"Solat itu tiang agama,sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama,sesiapa yang meninggalkan solat bererti meruntuhkan agama."
Fakta!
80 peratus rakyat Malaysia tidak menyempurnakan solat 5 waktu dalam sehari.Ini kajian yang dibuat oleh Dr Fadzillah Kamsah.Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi,yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.
Tambah beliau,hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima dalam sehari.Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini.
Sedih mengenang tentang hal ini.Begitu ramai yang tidak menitik beratkan soal solat ini.Sedangkan menunaikan solat adalah tuntutan fardhu ain yang wajib kita lakukan sehari-hari.Islam terbina atas rukunnya,dan salah satu rukun Islam adalah menunaikan solat.Jika solat tidak dijaga,harus bagaimana mahu mendirikan tiang agama.
Tiada alasan untuk meninggalkan solat sehingga kamu masuk ke liang lahad!
Ya,sesukar mana pun kondisi kita,solat wajib dilakukan.Dalam keadaan perang, sakit waima berada di angkasa lepas sekali pun,solat tetap solat!Tiada alasan untuk kita meninggalkan solat.Hakikatnya pahit namun harus ditelan juga,betapa ramainya masyarakat kita yang masih jahil tentang ilmu solat ini.
"Eh,kau sakit kaki ni,berbalut ni,kau solat tak?"kawan ana bertanya pada seorang rakan.
"Errr..tak,aku tak boleh..errr...kaki aku sakit lagi,macam mana nak ambil wudhu,"jawab beliau.
"Alahai,kawan serumah kau takkan tak ajar ke cara solat duduk?Kenapa tak boleh solat pula?"
"Errr...aku tak tau nak solat duduk macam mana."
Ya,itu salah satu realiti.Ramai sebenarnya yang masih tidak mengetahui sedalam-dalamnya ilmu solat ini,mahu bertanya soalan yang dianggap remeh,malu pula diejek rakan.Wahai kawanku,apakah kau letakkan malu itu dalam keadaaan yang betul?Sungguh itu satu kezaliman pada diri sendiri.tidak salah kalau sudah berumur,belajarlah lagi cara solat yang betul.Malu untuk apa kalau perkara yang kita buat itu adalah perkara yang tidak sia-sia.
SOLAT MENCEGAH KEMUNGKARAN
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Jelas sekali firman Allah tersebut.Solat bisa menjadi dinding kepada kita daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
"Jadi,bagaimana pula kalau orang yang solat,tapi dia masih tidak menutup aurat?"
Persoalan sama ada solat kita diterima oleh Allah s.w.t bukan kerja kita.Begitu juga dalam penerimaan hidayah.Ramai yang solat tetapi auratnya,perlakuannya masih tidak sempurna.Solat cukup 5 waktu,tetapi masih melakukan perkara -perkara mungkar.
Nah,jika perkara sebegitu terjadi pada diri kita,ayuh kita bermuhasabah kembali.Apakah selama kita solat seumur hidup ini,kita betul-betul solat atau kita lalai.Apakah niat kita solat kerana Allah s.w.t atau kerana niat lainnya.Apakah kita mengerti kenapa perlu kita solat?Itu persoalan pokok yang mesti dijawab secara jujur.Bermuhasabahlah kembali.Pasti ada kecacatan dalam solat kita selama ini.
MELENGAHKAN WAKTU SOLAT
Sesungguhnya ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah kerana Rasulullah menerima secara langsung daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.Perintah ibadat solat berbeza dengan ibadat lain seperti puasa,zakat,haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril.Ini menunjukkan ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah.
Oleh itu,sesiapa yang meremehkan dan mensia-siakan soal ibadat solat,adalah golongan yang sesat.Allah berfirman yang bermaksud :
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam, ayat 59)
Abdullah bin Abbas berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan daripada waktunya. Misalnya seseorang yang menunaikan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu maghrib, solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta solat Subuh dilaksanakan selepas terbit matahari.
Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke sebuah lembah bernama al-Ghai’a dalam neraka dan diberikan makanan amat jijik. Jika mengerjakan solat fardu di luar waktu sudah sebegini hukumannya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa orang yang tidak menunaikan solat fardu sama sekali.
Justeru, melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Oleh itu, marilah kita mentaati perintah Allah dengan menunaikan solat supaya kehidupan seharian sentiasa tenang dan dapat menghindarkan daripada melakukan mungkar.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda kesyukuran).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2).
SOLAT KHUSYUK JIWA TENANG..ITU UBATNYA
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)
Syaikh Ismail berkata, solat dilakukan dengan khusyuk mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran.
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45)
Katanya, untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.
“Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat,” katanya.
Beliau menjelaskan, sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.
“Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah,” katanya.
Katanya, solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.
“Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya,” katanya.
Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
Comments