Mengapa doa tidak diperkenan Allah s.w.t?
Musim peperiksaan sudah berakhir,cuti pula berkunjung tiba.Mungkin selepas ini masa untuk menunggu keputusan peperiksaan,hasil dari usaha kita selama satu semester ini,adakah lulus atau tidak.Hanya pada Allah s.w.t bergantungnya harapan kita.
Justeru,saban kali kita memohon dalam setiap untaian doa kita agar diberi keputusan peperiksaan yang cemerlang sama ada duniawi mahupun ukhrawi.Setiap detik yang berlalu di nanti dengan penuh debaran.Apakah doa kita termakbul atau tidak.
Tetapi sahabatku,jangan kalian mengeluh andai doa yang kalian pinta itu tidak termakbul oleh Allah s.w.t.Pasti ada asbabnya mengapa kejadian sebegitu berlaku pada kalian.Barangkali usaha kita yang kurang,ada salah dan silap dalam ibadat kita atau apa sahaja.
Hakikatnya asbab itu hadir dalam diri kita juga.Kerna salah satu syarat yang penting untuk mendapat pengkabulan doa dari Ilahi adalah doa itu disertai dengan hati yang khusyuk,bukan berdoa hanya di mulut sahaja.Tidak ada ertinya mulut yang kumat kamit sehingga kering tekak tetapi hati menerawang ke alam lain,jiwa tidak khusyuk menghadap Ilahi.
Dalam salah satu hadis dijelskan bagaimana sifat dan bentuk doa yang diperkenankan Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Apabila kamu meminta kepada Allah berrmohonlah dalam keadaan kamu yakin sepenuhnya akan dikabulkan TuhanAllah tidak memperkenankan doa seorang hamba yang hatinya lalai.
Dari hadis tersebut,ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w supaya setiap orang yang berdoa harus yakin bahawa doanya akan diperkenankan Tuhan sama ada segera atau lambat.Yakin itu akan timbul apabila seluruh jiwa dan raga dipusatkan menghadap Ilahi.
Salah seorang sufi yang terkemuka iaitu Ibrahim bin Adham yang hidup pada abad kelapan,pernah memberikan huraian tentang sebab-sebab doa seseorang tidak diperkenankan Tuhan.Tatkala berkunjung ke Basrah, beliau menerima pertanyaan dari sebahagian penduduk,
"Kenapakah nasib kami masih belum berubah, padahal kami selalu berdoa,sedangkan Allah menjanjikan dalam al-Quran akan memperkenankan doa setiap orang yang bermohon?"
Ibrahim bin Adham memberikan jawapan bahawa sebab-sebabnya ada 10 macam, yakni :
PERTAMA : Kamu tidak menunaikan hak-hak Allah.Kamu kenal Allah, tetapi tidak memenuhi hak-haknya.Hak Allah s.w.t yang paling utama ialah untuk disembah.Setiap orang wajib mensyukuri nikmat yang dilimpahkan Allah kepadanya dengan jalan menyembahnya dengan sebena-benar erti ibadah.Bagaimanakah Tuhan akan memperkenankan doa seseorang hamba kalau Tuhan mengatakan supaya dia berjalan ke kanan tapi masih ditempuhnya ke kiri.
KEDUA : Kamu tidak mengamalkan isi al-Quran.Kamu sentiasa membaca al-Quran tapi tidak kamu amalkan isi-isinya.Kitab suci al-Quran senantiasa dibaca,dilagukan dengan bermacam-macam lagu tetapi isinya tidak dipelajari dan dihayati.Kalau pun ada satu dua ayat yang dapat difahamkan tidak pula diamalkan bahkan kadang-kadang sengaja dilanggar.
KETIGA : Kamu tidak mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w.Kamu selalu mendakwa cinta kepada Rasulullah s.a.w tapi kamu tinggalkan sunnahnya.Rasulullah s.a.w menunjukkan jalan yang lurus tapi tidak sedikit manusia yang memilih jalan yang bengkok.Kadang-kadang ada juga yang katanya mengikuti sunnah Rasul tapi apa yang dikerjakannya itu bertentangan dengan apa yang dilakukan atau digariskan oleh Rasulullah s.a.w,masih lagi mengikuti perkara-perkara khurafat yang bukan dari al-Quran atau as-Sunnah yang sahih.
KEEMPAT : Kamu patuh kepada syaitan.Kamu sentiasa menyatakan bermusuh dengan syaitan tapi kamu patuhi dia.Syaitan itu adalah musuh manusia yang selalu berusaha menjatuhkan anak Adam ke lembah kehinaan dengan jalan mempengaruhi nafsu manusia yang jelik.Dalam pergaulan hidup sehari-hari kebanyakan manusia berlutut kepada syaitan dengan memperturutkan hawa nafsu yang buruk.Seharusnya manusialah yang menguasai nafsunya dan dengan sikapnya itu dia akan berjaya mengalahkan godaan syaitan.
KELIMA : Kamu menerjunkan diri sendiri ke jurang kebinasaan.Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api neraka tapi kamu lemparkan dirimu sendiri e dalamnya.Iaitu kebanyakan manusia ingin memasuki pintu kebahagiaan tap isebaliknya dia sendiri seolah-olah mengunci pintu itu.Dia tidak mahu mengerjakan kebajikan tapi selalu bergelumang dengan perbuatan dosa dan maksiat.
KEENAM : Ingin masuk syurga tapi tidak beramal.Iaitu kamu berdoa masuk syurga tapi kamu sendiri tidak beramal untuknya.
KETUJUH : Sedar akan mati tapi tidak bersiap-siap untuk menghadapinya.Kamu mengatakan bahawa kematian itu pasti datang tapi tidak pula mempersiapkan diri menghadapinya.Kamu mengakui dan insaf bahawa di akhirat kelak,namun demikian kamu tidak mengerjakan amal soleh yang akan menjadi anak kunci membuka pintu kehidupan yang abadi itu.
KELAPAN : Kamu melihat cacat orang lain.cacat sendiri tidak nampai.Kamu sibuk memikirkan dan mengurus aib saudara-saudaramu,tapi kamu tidak melihat aib kamu sendiri.Orang yang sedemikian selalu menuding jari kepada orang lain tapi amat jarang menghadapkan telunjuknya ke dadanya sendiri.
KESEMBILAN : Kamu mengecap nikmat tetapi tidak bersyukur.Kamu makan nikmat Ilahi tapi kamu tidak bersyukur atas kurnia itu.Sejak kecil manusia menikmati nikmat Ilahi dan beratus-ratus kurniaan yang lainnya tap itidak berterima kasih,malah kadang-kadang menunjukkan sikap bongkak dan lupa daratan.
KESEPULUH : Kamu menguburkan jenazah tpai tidak menginsafkan diri.Kamu turut mengubrkan orang yang mati tapi kamu sendiri tidak mengambil iktibar dari peristiwa itu.Iaitu kalau ada orang yang meninggal dunia kamu selalu tidak ketinggalan turut menghantar jenazah itu ke kubur,tapi malang sekali jarnag kamu mengambil pelajaran dari kejadian itu, bahawa apabila hari ini kita turut menghantar orang ke kubur mungkin esok lusa kita sendiri akan dihantar orang.
Nah,demikianlah sepuluh sebab doa seseorang tidak diperkenankan Allah menurut butir-butir hikmah Ibrahim bin Adham.Ini seharusnya mengetuk pintu hati setiap mukmin untuk membuat penilaian dan mengenal diri sendiri.Moga-moga Allah menjadikan kita orang-orang mukmin yang melaksanakan kewajipan-kewajipan kita dengan ikhlas dan yakin.
Comments