Wednesday, December 29, 2010

Menghulur sebuah hadiah nan berhikmah...


Ana mengambil sedikit masa,berlegar di ruang tapak niaga, mencari hadiah bermakna untuk kawan ana kerna hari itu adalah hari graduasinya, menyudahkan pengajian ijazahnya dengan kepujian kelas pertama.Sebagai kawan,ana tumpang gembira.

Ditemani teman sekerja,ana mencari sejambak bunga untuk dihadiahkan.Ana bukanlah pakar dalam memilih bunga,jadi mengajak teman lebih bagus pendapatnya.Semua gerai kami singgahi,tak semena-mena gerai foto pun kami singgah,sebab dah pening nak cari bunga yang terbaik di kalangan yang baik.Sukarnya memilih..

“Banyaknya bunga,nak pilih yang mana ni?” tanya ana pada Hanis.

“Aku suka yang katak tu,comel..yang tu ok gak,” kata Hanis sambil matanya melihat bunga yang ada.

“Semua sama je,asyik jual bunga..jom gi sana,”ana mengajak Hanis ke suatu tempat.

Akhirnya kami sampai di tempat yang dituju.Kedai Buku!

“Aku nak bagi bukulah,bagi bunga nanti bukan boleh simpan lama.Buku ni,ada ilmu,boleh kongsi dengan ramai orang,” kata ana sambil membelek buku yang mahu dibeli.

Akhirnya buku karya Habiburrahman el Shirazy menjadi pilihan. Ketika Cinta Berbuah Syurga menjadi hadiah untuk kawan ana.

Hadiah adalah tanda penghargaan.Tatkala ramai graduan dikelilingi dengan jambangan bunga,ana lebih suka andai diri ana dikelilingi dengan buku-buku sebagai hadiah.Itu janji ana dan kawan bila kami bergraduasi nanti.Saling memberi hadiah.

Bahkan untuk hadiah perkahwinan ana nanti, televisyen sahabat ana yang berada di rumah sewa kami itu menjadi pilihan ana.Televisyen kami bukanlah bercirikan plasma,tapi kalau nak tahu suara tiada,gambar tak jelas,kadang-kadang ada warna.Kenapa ana mahu hadiah televisyen itu? Kalian boleh rujuk pada entri ana ini DI SEBALIK KOTAK SEGI EMPAT ITU..

Dan pernah ana menghadiahkan para guru di sekolah dengan hadiah ajinamoto berharga RM 0.10 tu dengan sebuah kad manila berisi ucapan bermakna ketika hari guru..

Pelik?

Bagi ana bukanlah sesuatu yang pelik andai hadiah itu memberi satu pengertian yang cukup bermakna.Malahan sepatutnya hadiah yang kita beri itu mampu memberi pulangan pahala yang berganda-ganda.Benar,jika menggembirakan orang dengan hadiah itu sudah membuahkan pahala,tapi macam mana pahala itu jadi berganda-ganda?

Ideanya begini,jika anda mahu beri sebuah jam sebagai hadiah, berikan juga peringatan pada si penerima tentang peranan masa,mungkin surah al-a’ashr menjadi peringatan untuknya.Jika mahu memberi bunga,apakah peringatan di sebalik bunga itu.Jika beri buku,beri pinggan mangkuk,beri cawan,beri periuk nasi atau apa-apa sahaja,sertakan peringatan berhikmah pada si penerima.Bukankah itu lebih baik?

Secara sedar atau tidak,kita telah memainkan peranan sebagai seorang penyampai bukan? Penyampai agama Allah..

Mesej santai ini ana tujukan untuk diri ana sendiri serta para sahabat sekalian.

Mari kita menjadi pemberi hadiah yang paling berhikmah..

Ada sesiapa yang mahu beri ana hadiah??Walau sepotong doa untuk ana itu pun hadiah kan….Hehe ^^

Wednesday, December 22, 2010

I Need An Answer Contest...


“Punyalah panjang barisan ni,kalau macam ni,alamatnya tak makanlah kita.Kena beratur sampai keluar dewan,”keluh Saleha melihat pelajar yang beratur panjang untuk mengambil makanan di dewan makan itu.

Sudah menjadi kebiasaan setiap hari jumaat pasti di hidang makanan sedap untuk makanan tengah hari.Oleh itu, tidak mustahillah jika semua warga asrama turun ke dewan untuk menikmati makanan yang sedap itu.Akibatnya,siapa lewat,baki sahaja yang tinggal.

“Ye lah,nak buat macam mana,kita lewat balik dari sekolah tadi.Beratur je lah..Sabar itu kan lebih baik,”balas Amira kepada Saleha.

“Aku taknak lah.Sebagai seorang senior,aku ada kuasa.Aku nak pergi insert barisan junior tu,” juih mulut Saleha pada barisan junior yang sedang beratur.

“Jangan macam tu,tak baguslah.Sepatutnya jadi senior kau kena jadi contoh yang baik,ni tidak, kau nak gunakan kuasa yang ada pula,”nasihat Amira.

“Eh,yang kau ni baik sangat kenapalah? Sejak bila jadi skema ni?Selalu kalau aku tak ajak kau yang bukan main bagi idea macam ni.Iskh..payah cakap dengan kau ni,baik terlebih malaikat pula!” tempelak Saleha pada Amira,berang barangkali.

Baik macam malaikat,kalau jahat macam syaitan…

Selalunya begitulah perumpamaan yang diberi, dan lewat entri ini,ana ingin berbicara mengenai menjadi baik.Bahkan entri ini juga adalah sebahagian jawapan untuk persoalan sahabat ana.

Kalau diserahkan pada manusia,definisi baik itu ada pelbagai-bagai.Bermacam-macam tamsilan,ungkapan atau apa sahaja.Namun,yang kita mahu bukanlah menjadi baik berdasarkan kacamata manusia tetapi berdasarkan baik di pandangan Allah.Bagaimana?

Anda bukanlah seorang yang baik jika masih tidak mampu menutup aurat dengan sempurna,anda bukanlah seorang yang baik jika seringkali solat ke masjid tetapi mulut masih mengumpat,mengata dan mengeji.Malahan anda bukanlah seorang yang baik jika sering menasihati tetapi anda sendiri tidak mampu melakukan apa yang anda nasihatkan itu.

APA ITU BAIK?

Seringkali ana mengungkap dan mengingat pada sekalian sahabat.

“Manusia itu walau sejahat mana,sezalim mana dia,tetap ada sisi baik dalam diri meskipun sisi itu hanya terdapat di dalam ruang kecil dalam dirinya.Kerna itu jangan cepat bersangka buruk,jika dia mencuri,merempit,merompak,mesti ada asbabnya.”

Fitrah manusia itu sukakan kebaikan.Menjadi jahat bukanlah sifat semula jadi,tetapi itu terjadi kerana pengaruh yang tak dapat dibendung dalam diri akibat pagar iman sudah rapuh dan hampir runtuh.Jika sifatnya semula jadi,pasti sukar untuk dibentuk kembali tetapi jika terjadi kerana pengaruh itu pasti boleh dibentuk semula.Yang jahat kembali menjadi baik.Kalau tidak,takkan terjadi peribahasa kembali ke pangkal jalan.Malahan kadangkala yang baik pun bisa menjadi jahat.

Ana sangat bersetuju dengan definisi akhi Hilal Asyraf.Baik yang sebenar adalah bila Allah kata itu adalah baik.

Apabila mengambil Islam itu secara penuh dan bukannya separuh-paruh.

Jika tidak,takkan muncul perkataan baik macam malaikat.

Kerana malaikat sentiasa melakukan kebaikan,melakukan apa yang Allah suruh,tidak pernah sekali-kali melanggar perintah Tuannya.

SAYA NAK JADI BAIK; BAGAIMANA?

Kini,kita tersoal kembali,bagaimana mahu menjadi baik sebegini?

Kesedaran perlu ada dalam diri.Siapa anda?kenapa dicipta? Macam mana aku boleh berperanan di bumi ini? Soalan-soalan sebegini perlu ada dalam diri agar kelak ada suatu perasaan yang mampu membuatkan kalian sedar,bahawa jawapan di setiap persoalan akhirnya membawa kalian kembali kepada Tuhan,jika tidak mampu kembali,bermakna anda salah dalam memberi jawapan.

Menjadi baik bukannya mudah.Kerna itu ganjarannya cukup berharga.Justeru, jika sudah ada kesedaran dalam diri untuk berubah menjadi baik,segeralah melakukannya.Keliru mahu mula dari mana? Kembali kepada asas agama yakni solat.Istiqamahlah dalam memelihara solat 5 waktu itu,kerna di dalam solat itu,kita menyebut kalimah agung,membesarkan Ilahi serta melafaz syahadah di samping berjanji kepada Allah…Sesungguhnya solatku,hidupku dan matiku hanya kerana Allah.

Kerna itu menjaga solat itu perkara terpenting sekali,malahan di hari pengadilan kelak,perkara yang akan dihisab sekali adalah solat.Sempurnakah solat kalian atau kalian mendirikannya dalam keadaan lalai?

Berfikirlah dan renungilah hakikat kejadian.

Menjadi baik juga perlunya ada penjagaan dan pemeliharaan hubungan kalian sesama manusia dan terutamanya hubungan dengan Allah. Jika hubungan ini tidak terpelihara,maka anda bukanlah seorang yang baik!

Jika dilihat pada surah al-Hujurat,banyak menceritakan tentang bagaimana perhubungan silaturahim dan persaudaraan dapat dijaga dan dipelihara.Asas kepada penghidupan adalah hidup bermasyarakat,anda pasti tidak mampu untuk hidup bersendirian kerana keupayaan setiap manusia adalah terbatas.Setiap daripada kita punya kekurangan dan kelebihan,oleh itu perlunya kita hidup bermasyarakat agar saling melengkapi.

Bagaimana mahu memelihara hubungan sesama manusia dan Allah?

Banyak caranya yang penting anda fikir jika perlakuan itu mengundang kepada putusnya hubungan itu,maka itulah yang perlu diperbaiki.

Jika mahu dibicarakan terlalu banyak cara untuk menjadi baik dan ana hanya mencoretkan sedikit sahaja.Luas maknanya,maka sesiapa sahaja berpeluang untuk menjadi baik bukan? Islam itu tidak menyukarkan penganutnya,setuju?

PENUTUP

Mungkin sekadar ini yang dapat ana kongsi,kerna dari perkataan baik itu sendiri,jika mahu bercerita boleh dibuat sebuah buku.Namun apa yang sedikit ini moga dapat diambil pengajarannya oleh para pembaca sekalian.

Laksanakanlah amal makruf nahi mungkar..itu yang terbaik untuk kita..

Ambillah Islam itu secara penuh,bukan separuh-separuh.Amalkan secara total!

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan,dan kamu lihat manusia masuk ke dalam agama Allah dengan berbondong-bondong,maka bertasbihlah dengan memuji Rabb-mu dan mohonlah ampunan kepadaNya.Sesungguhnya dia adalah Maha Penerima Taubat.” (Surah An-Nashr :1-3)

Harga kebaikan itu terbayar dengan mujahadah anda serta keikhlasan dalam melakukan perkara-perkara berhubung dengan kebaikan.

Mujahadah,istiqamah,keikhlasan, pengorbanan dan sebagainya itu adalah harga yang tidak dijual dalam urusniaga biasa.Hanya insan-insan yang memiliki daya kekuatan ini yang mampu membayar setiap harga kebaikan.

Mungkin jika dilihat dari mata kasar anda rugi,tapi lihatlah dari pandangan Ilahi..

Bukankah perjuangan itu pahit,kerana syurga itu manis…

Tiada kemanisan dan kenikmatan jika tiada kesukaran.Moga Allah sentiasa melorongkan kita ke jalan kebaikan..insyAllah..

p/s : Entri ini adalah untuk contest blog Si Rama-Rama..Para blogger digalakkan untuk sertai di link ini I NEED AN ANSWER CONTEST

Sunday, December 19, 2010

Perlu ke Solat Istikharah??

"Kau dah buat keputusan belum?” tanya sahabat pada ana.

“Belum lagi,nanti aku solat istikharah dulu,”jawab ana pula.

Gelak seketika sahabat mendengar jawapan ana.Solat istikharah?? Mahu membuat keputusan tinggal di rumah sewanya ketika cuti semester nanti pun kena buat solat istikharah?

“Kenapa kau gelak?Betul apa aku kata,kena buat yang terbaik dalam memberi kata putus,jadi aku kena solat istikharah sama ada pilihan aku buat ni betul atau tidak.Melaksanakan solat istikharah bukan sekadar ketika membuat pilihan untuk mencari jodoh sahaja,tetapi setiap kali kita mahu membuat pilihan,” memberi penjelasan pada sahabat.Terdiam dia mendengar kata-kata ana.Gelaknya reda.

Seringkali masyarakat membuat tanggapan bahawa berkata mengenai solat istikharah sahaja, dilakukan ketika mahu membuat pilihan mengenai jodoh sahaja.Fahaman sebegini perlu dileburkan segera,kerana natijahnya membuat pilihan tanpa keredhaan Allah maka itu adalah sesuatu yang buruk.

Hidup kita sentiasa membuat pilihan,kerana kita mahukan yang terbaik dalam hidup.Kadangkala pilihan yang pilih itu belum tentu yang terbaik untuk diri kita,justeru sewajibnya dikembalikan kepada Allah keputusan itu sama ada baik atau tidak.

“Suhana,nanti jangan lupa buat solat hajat dan istikharah untuk peperiksaan ni ya,moga yang terbaik hendaknya.” Pesan ustazah pada ana. Itu situasi ketika membuat keputusan dalam kertas peperiksaan,bagaimana membuat keputusan dalam situasi lain pula?

Ana beri contoh…

Hassan mahu membeli sebuah kereta setelah wang hasil simpanannya mencukupi. Setelah berbincang dengan isterinya,maka Hassan bersetuju untuk membeli sebuah kereta terpakai yang dijual oleh kawannya daripada membeli kereta baru.Setelah beberapa tahun menggunakan kereta tersebut,seringkali kerosakan berlaku hingga banyak duit yang dilabur untuk membaiki kerosakan tersebut.Jelas sekali,ketika Hassan mahu membuat pilihan sama ada mahu membeli kereta terpakai atau kereta baru,dia terlupa untuk melakukan solat istikharah.

Contoh yang lain…

Pak Murad sudah lama teringin mahu mengerjakan haji.Tanpa di duga,rezeki datang bergolek,seorang sahabatnya yang baru sahaja memperoleh keuntungan berganda dari perniagaannya mahu menanggung perbelanjaan Pak Murad mengerjakan haji atas nama sedekah. Sebelum bersetuju,Pak Murad melakukan solat istikharah dahulu sama ada mahu menerima atau tidak.Hatinya rasa tidak tenteram, jadi Pak Murad menolak pelawaan kawannya tersebut.Tidak lama kemudian,Pak Murad mendapat khabar bahawa rupanya keuntungan perniagaan kawannya tersebut adalah hasil dari riba,jadi fikir kawannya mahu bersedekah agar keuntungan yang diterima itu bersih.

Ini adalah dua contoh yang ana mahu kisahkan kepada para sahabat sekalian,bahawa betapa pentingnya kita melakukan solat istikharah dalam membuat keputusan penting mahupun tidak penting.

SOLAT ISTIKHARAH = MIMPI

Selain itu,fahaman masyarakat mengenai solat istikharah ini pula adalah hasilnya adalah datang dari mimpi sahaja.

“Macam mana keputusan kamu?Nak ke tidak terima Fatimah tu sebagai isteri?”tanya Mak Lijah pada anaknya.

“Nantilah mak,tak dapat mimpi lagi lah.Dah buat solat istikharah malam tadi,” jawab Leman.

Nah,inilah yang perlu diperbetulkan.Keputusan anda bukan sekadar datang dari mimpi,boleh datang dalam bentuk yang pelbagai.Dan salah satunya adalah petanda dari hati anda,sama ada lapang atau gundah setelah membuat keputusan itu!

PENUTUP

Jelas di sini,peringatan ini untuk ana sendiri serta para sahabat sekalian.Hidup adalah pilihan. Kita takkan lari daripada membuat pilihan.Justeru ana mahu memperingatkan diri dan kalian untuk membuat pilihan dan menyerahkan yang terbaik kepada Allah.

Lakukanlah solat istikharah, sama ada ketika pilihan untuk menerima temuduga,menerima pekerjaan, menerima tawaran belajar,atau sebagainya,laksanakan solat setelah anda yakin dengan pilihan anda itu.

Ana mahu berkongsi sedikit tips bagaimana mahu membuat keputusan, yang penting tips ini tidak boleh diamalkan dalam soal mematuhi arahan Allah dan menjauhi laranganNya seperti mahu solat atau tidak,mahu menutup aurat atau tidak.Mahu atau tidak,itu wajib dilakukan!

  • Solat Istikharah

Solat Istikharah patut menjadi prioriti seorang Muslim dalam membuat keputusan.Tidak semua perkara yang diinginkan oleh kita adalah yang terbaik buat kita dan tidak semua perkara yang tidak kita sukai membawa mudarat.Hanya Allah s.w.t yagn tahu apa yang terbaik buat kita.Ini dijelaskan lagi dengan firmanNya yang bermaksud : “ Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu,dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buaruk bagi kamu.Dan (ingatlah),Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu),sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, 2:216)

  • Musyawarah

Musyawarah,syura,bermesyuarat atau diskusi amat penting.Satu akal yang bersuara membuat keputusan sama sekali tidak sama dengna suara majority atau akal yang kurang ilmu dan pengalaman tidak dapat membuat keputusan sematang mereka yang berilmu dan mempunyai pengalaman hidup yang banyak.Oleh sebab itu,mintalah pendapat orang soleh,ilmuwan atau mereka yang lebih berumur daripada kita seperti ibu bapa dalam membantu kita membuat keputusan

  • Dengar kata hati

Hati pun boleh memainkan peranan dalam membuat keputusan.Tetapi perlu bersyarat.Bukan sembarangan hati yang kita boleh dengar kehendaknya.Hanya hati yang cintakan Allah dan Rasul yang layak dipertimbangkan.Oleh sebab itu,dengarlah kata hati selepas solat terutamanya selepas solat fardhu,solat taubat atau solat Istikharah serta ketika sedang berpuasa.

Moga tips ini dapat kita gunakan ketika membuat keputusan.Yang terbaik hanya dari Pencipta,yang buruk hanya dari yang tercipta..

Wallahua’alam bisawwab…

Saturday, December 18, 2010

Kempen Aurat : Tahu atau Faham..

Ana telah di ‘tag’ oleh sahabat.Mengenai kempen menutup aurat.Alhamdulillah,usaha murni blogger ini amat terpuji dan ana menyokong dengan sebuah entri ini.

Apabila berbicara mengenai aurat,setiap orang boleh memberi jawapan seperti skema peperiksaan.Tepat dan persis,namun berapa ramai dalam jawapan itu yang memahami bahawa aurat itu wajib dan mesti dilakukan.Sudahnya ramai yang TAHU tetapi masih tidak FAHAM, berkenaan aurat ini.Bahkan,mutakhir kini,hakikatnya ramai yang tidak MENUTUP aurat tetapi MEMBUNGKUS aurat..Pening?InsyAllah ana akan jelaskan.

Malahan bercerita mengenai aurat juga,bukan sekitar topik pada kaum wanita sahaja,tetapi turut pada kaum lelaki.Meskipun aurat kaum lelaki itu hanya sedikit sahaja,tapi tidak bermakna juga anda mengabaikan etika berpakaian yang lain.

Islam adalah sebuah organisasi yang agung dan syumul,justeru pasti ada etika dalam setiap perkara dan berpakaian adalah salah satunya.Analoginya seperti sebuah syarikat yang besar,pasti meletakkan syarat berpakaian yang lengkap dan kemas untuk melambangkan syarikat itu adalah suatu badan korporat yang beretika dan bertauliah.Jika syarikat itu tidak meletakkan etika dalam berpakaian,anda boleh fikirkan tak bagaimana anda pergi datang pejabat,dengan hanya berselipar, berkain pelikat atau sebagainya? Oleh itu,apa yang Islam letakkan etika berpakaian adalah dengan cara menutup aurat.

Sebelum ana mengulas dengan lebih lanjut,kita lihat dahulu bahawa menutup aurat ini sebenarnya adalah perintah dari Allah Taala dalam surah al-Nur ayat 31,

“Katakanlah kepada wanita yang beriman :Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya,dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya,kecuali yang biasa nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,dan jangan menampakkan perhiasannya,kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka,atau putera-putera mereka,atau putera-putera suami mereka,atau saudara-saudara mereka,putera-putera lelaki mereka,atau putera putera saudara perempuan mereka,atau wanita-wanita Islam,atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita.Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Jelas melalui firman tersebut mengenai hal ini,ditujukan kepada wanita yang beriman!

Melalui firman tersebut,dimulai dengan menahan pandangan- memelihara kemaluan- jangan menampakkan perhiasan – menutup kain tudung ke dadanya- jangan menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi..

Sila fahamkan!

Itulah yang Allah Taala perintahkan, bukan sekadar menutup kepala anda,tetapi menutupnya hingga ke dada.

Bertudung tetapi sekadar membungkus kepala,oh..maaf,mungkin kasar bunyinya tetapi itulah hakikatnya sekarang.Fesyen membungkus kepala seperti pemakaian shawl,selendang atau apa sahaja jika tidak dapat menutup dada anda itu bukan menutup aurat namanya,sekadar membungkus!

Bertudung anda nak lilit 44 kali pun tak kisah asalkan hingga menutup dada anda!

Jelas di sini?

Bagaimana pula dengan pemakaian bertudung Syria,yang bertocang tinggi dan sebagainya,kalian boleh rujuk pada entri sahabat ana ini….

Untuk kaum lelaki,anda juga tidak terlepas dari pesanan ana ini.Dewasa kini kebanyakan remaja lebih gemar memakai shortpants, dari berseluar panjang penuh.entah mengikut fesyen atau apa ana tidak tahu.Yang pastinya meskipun dari bawah lutut hingga ke buku lali kalian anda itu bukan aurat tetapi silalah beretika dalam berpakaian.Bagaimana para wanita mahu menjaga pandangan jika kamu juga menghidangkan sesuatu yang sepatutnya menutup?

BERLEBIHAN DALAM BERHIAS

Bukan sekadar menutup aurat tetapi ana juga mahu menekankan kepada kalian mengenai tabarruj.Ana merujuk kepada buku Ustazah Ni’mat Sidqi (seorang ulama wanita mesir-1930M) yang berjudul al-Tabarruj.

Apa itu tabarruj??Pertama kali mendengar??

Tabarruj ialah mendedahkan kecantikan rupa paras,sama ada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain.Al–Bukhari rahmatullahi ‘Alaihi ada berkata : “Tabarruj iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.”

Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan ‘aurat dan di samping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan,maka dengan yang demikian Allah melarang setiap wanita telah berakal lagi baligh dari bermake-up (tabarruj).

Menjadi suatu kepelikan bagi ana,kita sering berhias dengan cantik,berwangian untuk pergi keluar bersiar,bershopping dan sebagainya hanya untuk apa? Untuk menunjukkan bahawa diri anda cantik dan indah di pandangan mata orang-orang lain kah?Seronokkah menjamu mata orang-orang lain dengan cara menayangkan keindahan sebegitu?

Malahan masalah terbesar para wanita zaman ini adalah berwangian terlampau! Sedarkah kalian, bahawa jika seorang lelaki bukan muhrim itu jika terhidu bau wangian anda itu,tidak ubah seperti seorang penzina! Jelas kan di sini..Bukan bermakna anda tidak boleh berwangi langsung,tetapi berpadalah jangan sampai yang bukan muhrim terkesan dengan bau wangian anda itu.

Islam meletakkan syarat wanita berhias untuk siapa? Untuk si suami sahaja.Tetapi yang terbaliknya begitulah.Untuk para isteri cukup sekadar berkain batik dan bert-shirt, t-shirt pula tu yang subsidi,cap tadika,cap dacing ke entah apa-apa, bau pula dengan bau bawang,sambal belacannya..Aduhai,muka pula dihias dengan bedak sejuk.Jadi,jangan disalahkan si suami jika mereka mencari yang lain,dengan cara anda melayan mereka sebegitu rupa.Bahkan untuk para suami begitu juga, bukan si isteri saja perlu berhias,kalian juga sebegitu, sekadar berkain pelikat, berbaju cap pagoda yang dah koyak sikit di lehernya..huhu..entah apa-apa!...Berhias lah untuk para pasangan anda,bukan untuk dijamu pada yang bukan muhrim. Ana hanya sekadar mengingat pada diri ini meskipun belum memiliki suami lagi..Mudah untuk wanita masuk ke syurga,tetapi fikirkan kenapa kita yang paling ramai ada di dalam neraka!

PERINGATAN :WANITA DALAM NERAKA

Sayugia ana mahu mengingatkan kalian tentang peristiwa yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w semasa dalam perjalanan Israk Mikraj yang ada kaitannya dengan penghuraian tabarruj.

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali karam allahu wajhah :

“Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w kami dapati baginda sedang menangis lalu kami bertanya kepadanya :

“Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis,ya Rasululllah?”

Rasulullah menjawab:

“Aku lihat ada perempuan rambuatnya tergantung,otaknya menggelegak.Aku lihat perempuan yang digantung lidahnya,tangannya terikat ke belakang dan Qathran (air yang menggelegak) dicurahkan ke dalam halkumnya.Aku lihat perempuan tergantung,kedua kakinya diikat,tangannya terikat di umbun umbunnya dan disuakan dengan ular dan kala.

Aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri,di bawahnya dinyalakan api.Aku melihat perempuan yang memotong tubuhnya dengan gunting daripada api neraka.Aku lihat perempuan yang bermuka hitam,memakan tali perutnya sendiri.Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta,diisi ke dalam sebuah peti yang diperbuat daripada api neraka,otaknya keluar dari lubang hidungnya,badannya berbau busuk kerana berpenyakit sopak dan kusta.Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti khinzir,badannya seperti badan keldai,beribu-ribu kesengsaraan yang dirasainya.Aku lihat perempuan rupanya seperti anjing,kala dan ular masuk ke kemaluannya,atau ke mulutnya dan keluar di duburnya.Malaikat memukul kepalanya dengan corong daripada api neraka..”

Fatimah berdiri dan bertanya kepada ayahnya :

“Ayahanda yang dikasihi,ceritakanlah kepada anakanda ;apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?”.

Rasulullah menjawab :

“Aku lihat ada perempuan rambutnya tergantung,otaknya menggelegak.Fatimah adapun perempuan yang tergantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup rambutnya daripada lelaki yang bukan muhrimnya.

Perempuan yang lidahnya tergantung itu ialah perempuan yang menggunakan lidah untuk memaki hamun dan menyakiti suaminya.

Perempuan yang kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya dengan tidak mendapat keizinan daripada suaminya dan tidak mahu mandi suci daripada haid dan nifas.

Perempuan yang memakan badannya sendiri itu ialah kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat-ngumpat orang.

Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka,ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing,bersolek dan berhias supaya kecantikannya itu dilihat oleh lelaki lain.

Perempuan yang diikat kedua-dua kakinya,tangannya diikat kearah umbun-umbun dan disuakan dengan ular dan kala,ianya boleh bersembahyang dan berpuasa,tetapi tidak mahu mengambil air sembahyang dan tidak mahu mandi janabah (junub).

Perempuan yang seperti anjing itu adalah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.”

PENUTUP

Tuntasnya ana begitu menyayangi para sahabat dan pembaca sekalian,agar kita mampu melangkah menjadi bidadari syurga,bukan penghuni neraka.Seruan ini untuk diri ana juga serta kalian agar berhati-hatilah dalam menjaga pemakaian dan tingkah laku.

Apalah guna kenikmatan yang sementara tetapi azabnya cukup sengsara!

Fikirkan dan renungkan dengan mata hati anda…

Wednesday, December 15, 2010

Menyuburi tanaman ikhlas..


Entah kenapa,ada suatu perasaan asing dan aneh dalam diri.

Deruan ombak menghempas ke pantai, laut yang kebiruan jernihnya, angin yang menolak dedaun lembut dan damai tidak mampu menghapuskan perasaan asing dan aneh ini. Puas untuk mencari jawapan,tidak ketemu.Akhirnya diri berteleku, diam membisu.

Membawa diri larut dalam muhasabah sendiri,merintih sayu kerana tidak ketahuan apa yang menyerang perasaan ketika ini.Rasa aneh itu tidak hilang lagi.Ya Allah,ya Allah..ya Allah..

Teringat perbualan ketika sesi usrah beberapa bulan dahulu,sahabat bertanya pendapat.

“Bagaimana kita nak tahu apa yang kita buat tu ikhlas atau tidak?”

“Setelah setiap pekerjaan yang kita lakukan kita seronok lakukan tanpa ada rasa untuk dibalas ganjaran itu atau tidak,” bersuara ana menyahut persoalan sahabat.

“Dan juga apabila setiap yang kita lakukan hanya kerana Allah.Suka atau tidak kena buat, buat biarlah kerana Allah,bukan sebab lain atau apa-apa sahaja,” sambung Naqibah pula.

Alhamdulillah,kini ana tersedar kembali mengenai peranan ikhlas ini.Walau apa sahaja pekerjaan yang ana lakukan,harus sandarkan pada Allah.Justeru,perasaan asing dan aneh dalam diri mula hilang sedikit demi sedikit.Menjadi lapang..Allahu Allah..Rupanya inilah peringatan yang cuba Engkau sampaikan.

Sentiasa diri ini takut,apakah amalan yang dilakukan selama ini diterima oleh Allah atau tidak.Terketar jasad dan jiwa, hiba dalam hati semakin kuat.Memohon pada Allah agar diterima amalan yang dilakukan,meminta pada Allah agar dipagari diri dengan pelbagai perasaan buruk yang mampu memadamkan segala ibadah yang dilakukan.

Malangnya diri jika selama ini hanya perasan dengan amalan yang dilakukan sudah diterima oleh Allah dan akhirnya di hari pembalasan kelak,dihampar kitab yang berat di kirinya dan ringan kanannya.

“Celakalah!” itu yang mampu diucap ketika itu melihat amalan tertolak bagai debu-debu pasir yang dilayang angin ribut.

Ya Allah..Sungguh diri tidak mahu menjadi orang berteriak sebegitu.

Ikhlas,satu perkataan yang cukup mudah untuk diucap namun sukar untuk melaksana.

Ibnul Qoyyim memberi perumpamaan seperti ini,”Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir.Memberatkannya tapi tidak bermanfaat.”

Ibarat seperti kita membersihkan beras dengan menampinya,membuang segala habuk,kerikil ,pasir dan sebagainya,maka akhirnya jika dimasak,enak untuk dimakan.Sebaliknya jika beras itu masih kotor dengan habuk,kerikil atau pasir, kita menjadi lelah untuk makan,tiada nikmat yang dapat.

Itulah perumpaannya dengan keikhlasan.Apabila mengerjakan amal seiring dengan keikhlasan, maka akhirnya kemanisan melakukannya terasa, tetapi sebaliknya pula berlaku jika tiada keikhlasan,rasa kemanisan itu tercalar dengan sendirinya.

“Iblis berkata, “ya Tuhanku,berilah tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan,”Allah berfirman, “Sesungguhnya,kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh sampai kepada hari kiamat.” Iblis menjawab, “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya,kecuali hamba-hambaMu yang IKHLAS di antara mereka.” (Surah Sad :79-83)

Tiga golongan orang yang pertama kali masuk neraka jahannam iaitu orang alim,orang yang mati syahid di jalan Allah dan orang dermawan yang mereka semuanya melakukan tersebut hanya ingin dipuji manusia,tidak ikhlas kerana Allah.

Ya Allah….bukanlah Firaun,Qarun atau sesiapa sahaja yang terkenal dengan kedurhakaannya yang masuk neraka dahulu,namun golongan yang sebeginilah dicampak dahulu,menerima pengazabannya.Jelas sekali Allah Taala sangat membenci orang yang tidak ikhlas dan berasa riya’.

Ampunilah kami Ya rabb,hindarilah kami menjadi golongan yang riya dan tidak ikhlas mengerjakan amal.

Tuesday, December 14, 2010

Pena menari di jalan dakwah..


“Su,aku nak tukar blog lah.Blog yang sedia ada ni dah macam apa je aku rasa.Kau ada idea tak?” tanya seorang sahabat ketika kami bersua di ruangan yahoo messenger.

“Hurm..ni sekadar pendapatlah.Aku tengok kau pandai menulis syair,sajak kan,yang macam puitis-puitis sikit ni,betul tak?” tanya ana pula.

“Betul,memang aku minat bab-bab ni,”sahabat mengiakan andaian ana.

“Kalau macam tu,apa kata kau tulis mengenai puisi ke,sajak ke yang berunsurkan ketuhanan atau keagamaan.Sekurang-kurangnya kau boleh menarik diri kau dan orang yang membaca untuk lebih terarah kembali kepada Allah.”

“Aku tak pandailah Su.”

“Manalah kau tak pandai,selagi tak cuba,tak bermakna kau tak pandai.Cuba dahulu ya,nanti tengok hasilnya macam mana.”

Menjadi seorang blogger,bukanlah niat suka-suka.Tapi di ruangan ini,boleh menjadi medium untuk kita terus menyampai sesuatu yang berguna pastinya.Menjadi seorang dai’e dalam ruangan ini.Blog yang hebat bukanlah diukur dari banyaknya pengikut,bukanlah dari banyaknya komentar yang terhasil dari setiap entri,tetapi blog anda adalah sesuatu yang hebat apabila berjaya menjadikan ia sebagai suatu wadah untuk anda berdakwah!

“Aku tak retilah,aku bukan pandai agama sangat,nanti tersalah tak pasal-pasal aku di kata bawa ajaran sesat pula.”

Ini alasan popular untuk kita menidakkan diri dari turut terlibat dalam jalan Allah.Sampai bila kita tidak mahu berganjak dari zon TIDAK RETI ini?Ya,memang ana tidak nafikan,untuk bercakap sesuatu itu perlu menggunakan ilmu,tapi ana tidak meminta kalian untuk menulis mengenai hukum hakam,bidang fiqh,syariah,siasah atau sebagainya,yang ana butuhkan dari kalian adalah suatu yang kena dengan situasinya dan mampu mengajak pembaca untuk berfikir kembali pada Allah.

Innamal a’malu binniati..

Lakukan sesuatu dengan niat yakni demi Allah,kerana Allah..

MENULIS ITU SATU AMANAH,MENULIS ITU SATU MEDAN DAKWAH

Ayat di atas sering ana gunakan,ditujukan untuk ana dan para penulis yang suka menari-narikan jari jemari kalian di papan kekunci.Dakwah itu jalannya bermacam-macam,menulis itu juga adalah satu jalannya.Bahkan,apa yang ditulis ini adalah satu amanah,yang akan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat kelak.

Justeru itu,Allah Taala juga telah bersumpah dengan berfirman “Nun,Demi pena dan apa yang mereka tuliskan,” (Al-Qalam : 1-2)

Allah Taala tidak akan bersumpah jika sesuatu perkara itu tidak mendatangkan kesan yang besar kepada manusia.

Jelasnya menulis itu jika datang dari hati,pasti akan sampai ke hati.Matlamat kita sepatutnya adalah untuk mencapai mardhatillah, mencari sebanyak pahala yang mungkin meskipun di ruangan maya ini.

Siapa kata anda tidak boleh menjadi seorang blogger berjiwa dai’e?

Jika anda minat dengan fotografi, lampiran blog anda semuanya mengenai fotografi,apa salahnya jika gambar yang ditangkap,kemudian selit atau kaitkan gambar itu dengan ciptaan Allah.

Jika anda minat menulis tentang alam atau sebagainya,apa simbiosis alam dengan Allah? Jadi di situ,kalian boleh menghubungkaitkan segala-galanya dengan Allah.

Cara ini malahan mampu membuat kalian menjadi manusia yang sentiasa berfikir tentang kejadian dan penciptaan.Sesuatu kejadian yang Allah jadikan itu takkan berlaku tanpa sia-sia.Segala-galanya adalah tarbiyah secara langsung untuk kita.Sama ada mahu atau tidak sahaja kita berfikir atau tidak.

Mungkin kalian sedar atau tidak,kebanyakan entri ana lebih bercorak pengalaman yang ana lalui kemudian ana hubungkan dengan ibrahnya sekali.Kerna itu,ana lebih suka menulis secara ilmiah santai,tidak terlalu berat,dan terlalu ringan tetapi mampu mengajak pembaca untuk senang berfikir selepas membaca.InsyAllah..itu yang ana harapkan..

AMALAN YANG BERTERUSAN

Bagaimana dengan blog anda bukan sahaja mampu menjana pendapatan tetapi mampu menjana pahala yang berterusan..Bukankah itu satu kelebihan?

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Apabila seorang manusia mati,putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisannya pahala) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

Berdasarkan hadis tersebut,salah satu amalan yang mampu membantu kita di alam baqa’ kelak adalah ilmu yang memberi kepada faedah orang lain.

Sekiranya blog anda adalah sesuatu yang bermanfaat,yang berguna kepada manusia serta mampu memandu ke arah jalan Allah,itu adalah lebih baik.Inilah pahala berterusan yang kalian sentiasa perolehi meskipun kalian sudah tiada lagi.

Justeru itu ana sangat-sangat berharap agar para blogger sekalian,janganlah menjadikan blog kalian sebagai blog ‘sampah’ yang terisi sesuatu yang tidak memanfaat.Jadikan blog adalah salah satu medium untuk kita mencari pahala,menyatu ukhwah kerana Allah serta bersatu di jalan dakwah.

PENUTUP

Janganlah melakukan sesuatu itu dengan sia-sia. Menulis itu jika tidak dipandu dengan rujukan yang betul,sekadar menulis tanpa ilmu menyebabkan terwujudnya penulisan yang ‘merapu’ barangkali.

Teguran ini khusus untuk diri ana sendiri serta amnya kepada pembaca serta para penulis sekalian. Jadikanlah para pembaca anda sebagai seorang yang berilmu dengan apa yang anda tulis,kerana itu anda bertanggungjawab dengan apa yang anda tulis. Beratkan jika difikirkan kembali amanah dalam menulis?

Benda yang paling berat sekali bukanlah besi,kapal terbang,keretapi atau apa-apa tetapi AMANAH adalah paling berat sekali.

Oleh itu,berfikirlah sebelum menulis sesuatu…

Friday, December 10, 2010

Hati di wilayah bumi..


Kala senja itu tiba

Ku termenung sendirian

Terasa diriku ini

Jauh dari rahmat Tuhan

Dosa yang aku lakukan

Menerjah ruang fikiran

Masihkah adakah untukku keampunan

Bait-bait lagu ini mengingatkan ana tatkala remang senja itu.Melihat indahnya langit yang berwarna keperangan,begitu indah ciptaan Tuhan.Bahkan menginsafkan diri ini.Menelusuri sejarah hidup,terasa bahawa Allah cukup sayang akan diri ini.Mehnah yang melanda bukanlah sekadar ujian tetapi itulah juga wadah untuk peningkatan iman.

Permulaan tahun hijrah memberi satu makna yang besar pada ana.Diri ini lahir ke dunia,dengan seputih kain,dicorak dan diwarna oleh alam sekeliling.Satu demi satu sejarah menerpa ke ruangan minda.Ana begitu bersyukur akhirnya dilorongkan Allah ke jalan yang lurus,jalan untuk menyambung risalah suci Rasulullah.Jasad dan jiwa ana tidak berada di jalan ini secara tiba-tiba. Tetapi pengaturan Allah s.w.t begitu cantik dan berhikmah sekali.

Diri ini bukanlah siapa dan ada apa-apa.Cuma insan kecil yang sentiasa melakukan kesilapan dan memohon keampunan kepada penciptaNya.Insan yang dahulu pernah leka dan lalai dengan nikmat yang diberikan,akhirnya Allah memberi ujian yang tidak terduga.Jika dikenang sangat pahit kenangan itu,hinggakan diri ini tidak mampu lagi berdiri menongkah arus kehidupan,namun,pelampung iman yang dilempar oleh insan-insan kurnian Allah kepada ana menyebabkan ana tidak kelemasan, akhirnya jasad dan jiwa ana sudah betah dilanda arus begini.Menjadikan ana sebuah batu karang yang tetap tidak terusik langsung pabila di landa badai.

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati..

Tetapkanlah hati ini untuk terus berada di dalam medan risalah ini.Diri ini juga impikan syurga yang diceritakan di lembaran suciMu,berikanlah aku ujian dan rasa tidak putus asa.Kurniakanlah kekuatan dan istiqamah dalam diri.

Monolog hati membuat akujanji, memperbaharui misi dan visi untuk permulaan tahun ini.Berdoa agar diri sentiasa istiqamah dan dikurniakan mati syahid dalam keadaan apa sekalipun.Biarlah jasad terobek,jiwa dikoyak-koyak dengan ujian,namun untuk keluar dari medan ini tidak sekali-kali.

SUNNAH ORANG BERJUANG

Perjuangan itu sangat pahit,kerana syurga itu manis..

Menyelak kembali sirah Rasulullah,diri ini tidak akan pernah lelah untuk sentiasa mengulang-ulang pembacaan sirah kerana disitulah hikmah,kekuatan tatkala diri dirundung kealpaan atau kekecewaan.

Pernah diri ini tidak mampu memaafkan kesalahan kawan,kerana perlakuan yang amat tidak dapat diterima dalam teori persahabatan.Namun siapa yang mampu ingkar dengan hukum alam,akhirnya hati cair untuk memaafkan setiap kesalahan yang dilakukan. Malahan diri pernah dihina dengan fitnah,hinggakan tiada siapa yang berani menyapa, diri berseorangan melangkah longlai, tapi akhirnya diri tahu bahawa semua itu adalah ujian untuk diri menjadi lebih kuat.Menghadapi cabaran yang lebih hebat di luar dunia kelak.

Akhirnya kekuatan itu hadir,setelah membaca kembali sirah Nabi,membaca dengan nurani,bukannya akal menyebabkan diri terdiam bermuhasabah.Apalah sangat dengan ujian yang dilanda,hanya sekelumit sahaja,tetapi ujian yang diterima oleh Rasul cukup hebat,hingga menitis airmata mengenang hebatnya ujian yang diterima.

Perjalanan Rasulullah menuju ke Taif punya misi yang suci,tetapi sampainya baginda di sana,bukan sambutan hebat diterima,tiada majlis keramaian menyapa,apatalah lagi karpet merah dihampar untuknya,tetapi yang diterima hanyalah kata-kata nista dan balingan batu yang menyakitkan.Darah yang mengalir tidak membuatkan hati baginda merasa benci,tetapi doa yang dipanjat kepada Allah.Hinggakan turun malaikat Jibril untuk memberi pembalasan kepada kaum yang menyakitkan kekasih Allah itu,namun kata-kata Rasulullah dengan sifatnya yang cukup penyayang menyebabkan terselamatnya penduduk Taif tersebut.

“Aku tetap menaruh harapan kepada Allah s.w.t bahawa walaupun mereka ini tidak memeluk islam,pasti akan lahir orang yang akan menyembah Allah s.w.t dan beribadat kepadaNya dikalangan anak-anak mereka.”

Allahu Allah..

Jelas,diri ini rasa malu,menerima ujian yang cuma sedikit ini sudah tidak betah,apatah lagi mahu menjadi pejuang agama? Kuatkan hati dan diri ya Rabb..

Moga penghijrahan diri ini mampu mengejar redha Ilahi.Tiada yang kudamba melainkan diberi keampunan atas segala dosa,terlindung dari segala macam perkara buruk serta diri ini sentiasa diuji dan diberi kekuatan untuk menghadapinya.

Untuk menjadi kekasih Allah,bukanlah nikmat kesenangan yang sentiasa diberikan,tetapi sentiasa diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi yang menggugat kenikmatan duniawi dalam diri. Bermujahadah dengan nafsu yang menggila dalam jiwa anda, kawallah ia dengan pahlawan iman yang kuat dan gagah perkasa.

Hijrah menuju Allah~

Tinta hati MUSAFIR ILMU…

Sunday, December 5, 2010

Politik bangsa atau agama??


"Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. [Surah Al-Zukhruf : 36.]

Manusia sentiasa berubah,dan perubahan itu perlulah dibuat dalam lingkungan yang positif, menuju hijrah.

Ana bukanlah seorang yang mahir berpolitik,namun atas dasar bahawa ini adalah salah satu keperluan dalam kehidupan,makanya perlu ana mengambil peduli tentang hal ini.Rata-rata jika ditanya mengenai hal politik,ramai anak muda yang menggeleng kepala,tanda tidak mahu terlibat sama.melihat dari perspektif bahawa politik itu celaru,keliru,kotor,busuk,sampah dan sebagainya kerana dihuni oleh manusia-manusia yang kosong nilai amanahnya,itu bukan tanda alasan utama untuk kita menidakkan sikap kepedulian dalam ehwal politik.

Media massa dewasa kini sudah semakin lari dengan peranan dan tanggungjawab mereka yang sebenar.Menyalur maklumat yang telus kepada masyarakat,bukan sekadar memilih haluan dan memburukkan haluan yang lain.Atas dasar inilah,kita dapat lihat bagaimana pilihanraya umum yang lalu,parti Barisan Nasional jatuh terlentang,tersungkur atas kesalahan sendiri,terlalu mengagung dan menjadikan media massa sebagai senjata utama,hinggakan terlupa bahawa teknologi sudah lama memainkan peranan dalam melumpuhkan pergerakan lawan.Anak-anak muda lebih gemar menjadikan berita-berita di internet sebagai rujukan utama.Kuasa anak muda bergelombang pada pilihanraya yang lalu.Menunjukkan tanda protes kepada kerajaan atas lakonan politik yang begitu muak dan memualkan.

Setiap kali ana melawat ke sekolah,bertemu guru-guru yang pernah mengajar ana dahulu,topik perbualan kami lebih menjurus kepada isu semasa dan putaran politik Malaysia.Benar,seronok jika dapat berbual dengan para pendidik yang memberi pandangan dan kadangkala terselit perdebatan,bukan untuk menentukan siapa benar atau salah,kerana akhirnya kami sedar bahawa itulah realiti kini.

“Baguslah kau,aku jarang dapat berbual dengan kawan-kawan tentang hal politik,tapi tak sangka kau pun minat juga,”ujar ana pada seorang rakan selepas kami bertemu semula,sesi menziarah guru di sekolah.

Pantang ada kelapangan waktu cuti semester,ana akan mengajak rakan-rakan menziarah guru-guru di sekolah,kerana ana rasa ukhwah kami bukan sekadar guru dan anak murid,tetapi seperti hubungan seorang anak dengan ibu dan ayah,sentiasa memanjangkan usia ukhwah ini hingga ke akhir hayat,insyAllah.

“Itulah,aku pun tak sangka,sebab kawan-kawan aku pun tak minat cerita hal politik. Kalau kau nak,boleh jumpa ayah aku,lagi best kalau dapat berbual dengan dia. Ayah aku selalu cerita hal-hal macam ni kat aku,” jawab kawan ana pula.

POLITIK DAN HIDUP ITU SIMBIOSIS

Salah satu juzuk dalam kehidupan kita adalah politik.Tanpanya maka tidak wujud kehidupan berorganisasi dan sebagainya.Justeru,ana agak kecewa apabila kebanyakan masyarakat tidak mahu mengambil tahu mengenai hal politik ini.Sikap AKU TIDAK PEDULISME dan ADA AKU KISAHME adalah suatu penyakit atau barah yang mula hinggap di dalam diri masyarakat kini.

Ana tidak mahu menuding jari pada sesiapa kerana puncanya juga adalah dari ahli politik yang menyelewang niat mereka dari membela nasib rakyat.Mementingkan nasib kroni dan periuk nasi sendiri,menyebabkan kebanyakan masyarakat cukup kecewa dengan sikap pemimpin sebegini.

Anak muda,dengarkan ini!

Anda mahu hidup bersenang-lenang,keselamatan terjamin,kesihatan terjaga dan sebagainya namun anda sendiri menidakkan rasa mahu mengambil peduli tentang hal politik.Kemahuan dan kehendak anda itu lahirnya dari ehwal politik,justeru malulah pada diri kerana anda ibarat melukut di tepi gantang!

Malahan ana juga begitu kecewa pada wajah politik yang dicemari dengan ahli yang begitu taksub dengan parti hingga tidak sedar diri saling memfitnah.

Bersikap matanglah dalam berpolitik!

Kata-kata keji,buruk,fitnah,umpatan adakah itu yang diajar oleh misi dan objektif parti kepimpinan anda?Jika benar,pemimpin parti melakukan sebegitu,perlukah kita turut mengikut kelakuan mereka yang buruk?Bila melihat laman haluan kiri dan kanan,ana sering melihat komen yang ditulis.Hampir 90% mengutuk dan menulis dengan kata-kata keji dan kotor, di mana kewibawaan dan kematangan kita dalam berpolitik ketika itu?

Ingat,kata-kata yang ditulis itu menzahirkan keperibadian anda sebenarnya.

Ana mohon,ayuh kita menjadi matang dalam pemikiran dan perasaan!

ISU KETUANAN : HAK ALLAH ATAU HAK KITA?

Lewat masa kini,suara-suara yang berkumandang memainkan kembali mengenai isu ketuanan,isu kenaikan harga barang dan sebagainya.Ketuanan melayu, itu yang diperjuangkan.

Bangsa Melayu,sibuk memperjuangkan hak sendiri,kerana ini tanah air mereka, hingga tidak memikir hati dan jiwa bangsa lain.

“Tanah air ini,milik bangsa kita,perlu kita perjuangkan!,” ucap seorang pemimpin parti perjuangan bangsa,berapi-api pidatonya pada persidangan antarabangsa.Terlupa akan sesuatu bahawa tanah ini,bumi yang dipijak ini adalah milik Allah,hak Allah. Kalian sibuk memperjuangkan hak bangsa,tetapi di mana perjuangan untuk hak Allah??

Logiknya,ana fikir,jika asas perjuangan sesebuah parti itu atas nama bangsa,maka tidak RELEVAN untuk diguna pakai lagi.Malaysia punya masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa,jika semua parti mahu memperjuangkan nasib bangsa,hingga kiamat pun tidak akan habis perjuangan itu. Tetapi jika asas perjuangan adalah nama KETUANAN IMAN DAN ISLAM,itu adalah sepatutnya. Kita mahu hidup sejahtera,aman dan selesa,semua itu ada pada ISLAM.

Fikrah kita sama,kiblat kita sama,hanya kerana nafsu dan ego yang membezakan corak perjuangan ini.Justeru,tidak salah untuk kita saling meletak ego dan nafsu,kembali kepada perjuangan IMAN dan ISLAM.

Wahai jiwa yang buta sejarah!

Lihat sirah Rasulullah s.a.w, bagaimana Negara Madinah yang dipimpin oleh baginda hidup sejahtera,hidup berbilang kabilah dan bangsa,namun bagaimana Rasulullah boleh memimpin dengan begitu baik sekali,politiknya sejahtera.

Di Madinah,ada sahaja yang bukan beragama Islam,tetapi mereka boleh menerima dan hidup sejahtera.Pada masa itu,adakah para sahabat berpolitik atas nama perjuangan kabilah atau bangsa? Jawapannya TIDAK!

Para sahabat dan orang Islam amnya,memperjuangkan kalimah Allah,menjadikan IMAN sebagai ketuanan diri.

AJARKAN MEREKA TENTANG POLITIK BERWAJAH ISLAM

Jika anak-anak yang masih muda belia berbicara tentang politik,mungkin terkejut ibu bapa,menjadi panik.Ibarat si anak sudha melakukan khilaf paling besar dalam diri mereka,lantas dicuci minda anak supaya tidak berfikiran seperti itu.

Ini kesalahan paling fatal pernah ana lihat!

Ajarkan anak tentang politik yang berwajah Islam, bagaimana?

Didik mereka menjadi anak yang berAMANAH,

Didik mereka menjadi anak yang berPERIBADI AL-QURAN DAN SUNNAH

Didik mereka menjadi anak yang MENEPATI MASA

Didik mereka cara menjadi pemimpin yang ADIL

Itu adalah tanggungjawab ibu bapa,bukan sekadar cukup pakai,makan dan tempat tingaal mereka,tetapi asas kehidupan berpolitik inilah yang sering ibu bapa terlepas pandang.

Apabila sudah terdidik dengan peribadi sebegini,insyAllah mereka akan lebih berfikiran matang, menentukan hak dan batil.Ini yang kita mahukan,bukan sekadar melihat anak muda kita leka dengan hiburan yang bisa meroboh jiwa dan iman mereka.

PENUTUP

Ana mohon kemaafan andai entri ini menyebabkan ramai yang marah,terhina atau rasa bermacam-macam,kerana ini hanyalah pendapat dari seorang anak muda yang masih mentah dalam kehidupan.

Mana yang elok,jadikan pengajaran,mana yang salah jadikan pedoman.

Tegurlah jika diri ini salah,kerna ego itu di didik dengan siraman nasihat.

Marilah kita kembali kepada perjuangan hidup yang sebenar.Perjuangkan ISLAM,maka nasib BANGSA juga turut terbela,insyAllah..

Wallahua’alam bisssawab~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers