Wednesday, November 14, 2012

Eh, dah cuti sekolah daaa..

                                        

“Horeyyy..cuti sekolah!”

Gegak gempita sekolah yang berada di hujung ladang getah itu dengan sorakan murid-murid yang ibarat baru pulang dari perang Badar. Melompat keriangan. Hantu getah pun boleh lari melihat keriangan mereka ini.

“Eh, nak buat apa cuti sekolah ni? Latihan hoki setiap pagi. Lepas tu kita berkelah mandi sungai nak? Kita beli nasi lemak makcik Ida yang sedap tu buat bekal,” saran kawan saya, mengeluarkan ideanya yang bernas itu.

Saya yang mengayuh basikal itu hanya mendengar dan mengangguk-anggukkan sahaja kepala tanda bersetuju.

Zaman saya, waktu 90-an. Cuti sekolah adalah perkara yang paling best. Duduk berbincang sesama kawan, dan merancang aktiviti apa yang mesti dilakukan sepanjang dua bulan.

Al maklumlah, tinggal di kampung. Aktiviti kami pastinya yang berkaitan sekitar kampung sahaja.
Mahu ke bandar? Hurmm.. hentikan sahaja. Tiada tarikan bagi kami anak kampung untuk ke sana. Walhal, di kampung ini sudah cukup banyak khazanah Allah SWT yang kami masih belum terokai.

Setiap kali usai latihan hoki, kami sekumpulan akan pergi terjun ke sungai. Kalau tiada latihan hoki yang dilakukan maka dusun yang menjadi pilihan.

Kalau bosan, maka kami akan  bermain jengket-jengket (sekarang ni orang panggil teng-teng). Permainan batu seremban, gasing, layang-layang, pistol ikan, senapang buah dan seangkatan dengannya. Habis segala permainan di mainkan sepanjang cuti sekolah itu.

Tetapi, adakah hanya bermain sahaja dalam kepala otak saya? Habis tu belajar macam mana?

Pastilah jawapannya tidak!

Sebelum keluar bermain, perkara wajib untuk saya adalah mengemas rumah bersama dengan kakak. Kemudian, baru saya dibenarkan untuk bermain. Seusia 9 tahun, saya sudah teruja untuk membasuh baju sendiri. (sebab Abah baru beli mesin basuh, teruja nak guna, habis semua baju dalam besen saya basuh, yang penting, mak balik kerja, senang hati =) )

Malamnya saya berehat dan menonton televisyen, rancangan yang saya suka tengok sahaja, yakni drama Melayu dan Doraemon! Ahaks..

Belajar? Memang saya tolak ke tepi. Seminggu sebelum sekolah, baru saya fokus untuk belajar, teruja dengan baju baru, kasut baru, beg baru, segala-galanya baru.

CUTI SEKOLAH KINI

Bila mengenangkan kisah cuti sekolah zaman saya kecil berbanding zaman sekarang, sangat berbeza.

“Cuti sekolah ni kamu buat apa?” tanya saya pada anak-anak murid.

“Saya pergi Manchester, teacher!”

“Saya pergi balik kampung kat Kuala Kangsar”

“Saya ni..saya tu..bla..bla..”

Aduhai, macam-macam versi percutian saya dengar. Memang sedih bila ada yang terdiam, tidak tahu nak berkata apa-apa kerana ibu bapa yang sibuk dengan tugasan masing-masing hingga tidak sempat merancang percutian anak-anak.

Maka yang menjadi pilihan adalah dihantar ke kem percutian.

Ya, benar. Hidup saya sejak kecil tidak pernah nak kenal Islam yang sepenuhnya. Hanya tahu Islam itu solat, puasa, haji dan sebagainya.

Tetapi itu tidak menjadikan saya orang yang tidak tahu bermanfaat pada orang lain.

Sekurang-kurangnya anak-anak yang bercuti sekarang, perlu memikirkan tentang bagaiamana mahu menjadikan cuti sekolah ini sebagai lapangan ibadah.

Kalau di waktu cuti kita tidak mampu menolong ibu dan ayah, jadi apa bezanya kita yang berada dalam sekolah Islam atau tidak?

Kalau di waktu cuti kita tidak mampu untuk solat subuh di awal waktu, jadi apa bezanya kita orang Islam dengan yang bukan Islam?

Kalau di waktu cuti kita tidak mampu untuk mengulang ayat hafazan atau bacaan al-Quran, jadi apa gunanya kita belajar di sekolah selama ini?

Ingatlah, apa yang kita belajar di sekolah , adalah satu didikan yang perlu kita amalkan bila tiada di ruang sekolah.

Masa di rumah adalah amal yang paling kita perlu jaga.

Tatkala ini, tiada Ustaz atau Teacher yang menegur jika tidak bersolat, tiada orang yang akan marah jika minum dan makan tidak beradab.

Justeru, masanya untuk kita beramal adalah ketika cuti sekolah ini!

Jadikan Islam itu hidup di rumah sendiri.

Bukan hanya Islam di lingkungan pintu pagar sekolah. Berlakon alim soleh dan solehah di sekolah, tetapi pulang ke rumah, Islam ditanggalkan.

Hiduplah dalam Islam.

Jadikan cuti sekolah ini adalah masa untuk kita melaksanakan ibadah khusus atau umum yang sebanyaknya. Menolong ibu ayah, membantu membuat kerja rumah, solat di awal waktu, al-quran dibaca sehari-hari.

Kalau mahu main, silakan..tiada siapa yang menghalang. Tetapi bermainlah dalam keterbatasan dan tidak melampau-lampau.

Nasihat ini khusus untuk diri saya sendiri dan amnya untuk anak-anak murid saya sangat saya sayangi  yang sedang bercuti kini.

Moga Allah menetapkan kita di jalan-Nya.


Selamat bercuti dan selamat beramal. ^__^

Saturday, September 15, 2012

Gelanggang amal..




 Usai usrah selepas Subuh itu, saya bersiap-siap untuk pulang ke Ipoh.

Meminta bantuan Kak Salwa untuk menghantar, Alhamdulillah tiket pula dibeli lewat, jadi memang harapan untuk saya mendapatkan tiket pagi tatkala cuti panjang yang pastinya sudah menjadi pilihan orang.

Sekali lagi meminta bantuan Kak Salwa untuk menghantar ke KTM Shah Alam pula. Destinasi pilihan saya adalah KL Sentral meski masih ada tiket bas yang dijual untuk waktu seterusnya, tetapi saya lebih selesa untuk berlama-lama di tempat ini.

Kuala Lumpur Sentral.

Nama yang pastinya umum sudah mengetahui. Tempat transit untuk perjalanan kereta api, sistem aliran ringan dan pelbagai pengangkutan lain. Maka tidak hairanlah jika tempat ini memang sentiasa di kunjungi ramai manusia, dan saya adalah salah seorang darinya.

Tiket sudah dibeli, masih ada tiga jam untuk saya melepaskan lelah berprogram sepanjang hari semalam dan mencari ‘sesuatu’ di sini.

Sementara menunggu kereta api ke Ipoh sampai, sempat saya mengisi perut di Restoran Pokcik Rambut Putih a.k.a KFC.

“Nek, tadi kakak kaunter tu semua RM 12.80 lah,” kata seorang cucu kepada neneknya.

“Makcik, semuanya RM 12.80,” ujar petugas kaunter pula.

Duit dihulur hanya RM 10. Saya melihat dalam genggaman tangan nenek itu hanya ada RM 1 sahaja. Bersoal jawab nenek tua itu cuba untuk mengurangkan harga dengan hanya membeli seketul ayam sahaja.

Cucunya yang berdua hanya melihat kecewa.

Kecewa jika ayam itu perlu dikongsi berdua.

Allahu Rabbi.. lantas aku mengeluarkan RM 3 untuk membayar baki harga nenek tersebut. Tidak sampai hati rasanya untuk membiarkan kanak-kanak itu berduka.

“Terima kasih kakak. Kakak ni baik hatilah.”

Mereka menoleh melihat saya di belakang. Tersenyum gembira.

Allahu, menggeletar tangan saya. Segera mencari kalimah keampunan.

Begitu terasa keikhlasan kata-kata mereka kepada saya.

Saat saya mencari meja kosong untuk di duduki, sempat saya melihat kanak-kanak berdua itu menoleh-noleh kepalanya mencari di mana saya akan duduk.

Malu terasa diperhati oleh mereka berdua dengan rasa teruja. Maka saya mencari tempat yang agak tersorok untuk di duduki.

Terima kasih Allah kerana memberi peluang untuk saya melakukan kebaikan.

Misi untuk saya berlama-lama di KL Sentral tercapai.

Mungkin bagi kebanyakan orang, untuk mencari ketenangan maka carilah tempat yang mendamaikan. 

Namun begitu, bagi saya pula, tempat yang memberi saya peluang banyak untuk bermuhasabah diri adalah di sini.

Di KL Sentral.

Di sinilah saya cuba mengasah mencari peluang untuk melakukan praktikal dakwah.

Di sinilah saya suka memerhatikan manusia yang pelbagai ragamnya.

Di sinilah juga dapat saya berinteraksi dengan manusia yang bukan dari Malaysia. Membantu mereka mencari arah perjalanan serta mengasah pertuturan English saya.

Semuanya saya mahu belajar secara pengalaman.

Tidak mungkin akan dapat di dalam kelas.

Tidak mungkin juga dialami jika hanya sekadar duduk di dalam bulatan sahaja.

Sesungguhnya usrah itu bermula tatkala usainya bulatan usrah itu sendiri.

Medan amal yang menunggu kita untuk berjuang.

Namun harus di ingat bahawa ini semua adalah perancangan Allah s.w.t yang Maha Kaya. TanpaNya tidaklah saya dapat melakukan sesuatu amalan itu.

Kalau nostalgia orang dahulu kala adalah berkenaan Puduraya, maka bagi saya pula, nostalgia dan rakaman cerita saya banyaknya di KL Sentral ini.

Terima kasih sekali lagi Ya Allah.

:)



Thursday, May 31, 2012

You-Turn!



“Masalahnya adalah saya tak tahu macam mana nak parking dekat Puduraya ni.Selalu drop orang je,” ujar Kak Salwa.

Keadaan kota raya.Memang mula akan ‘hidup’ tatkala malam menjelang.Kesesakan jalan raya memang memeningkan. Ditambah pula sambutan Sejuta Belia yang diadakan, bertambah lagi lah kepeningan kami.

“Takpe, kita optimis. Jalan terus je kat depan.” Ayat positif saya,memang akan keluar bila-bila masa.

Tapi terlebih optimis susah juga. Alamatnya sudah beberapa kali kami terpaksa melakukan U-Turn semata-mata untuk mencari parking di Puduraya tersebut. Masalahnya adalah apabila U-Turn pula terpaksa jauh dan dalam keadaan jalan raya yang sesak dan sibuk!

Sumpah..Memang menguji kesabaran hambaNya!

“Tolonglah, saya dah pening banyak kali U-Turn je ni.”

Saya di sebelah diam..Seminit..Dua minit..

“Ha’a lah kak..Betul! Banyak U-Turn memang buat kita pening! Terima kasih atas kata-kata itu,” balas saya.

Terpinga Kak Salwa mendengar!

“Iskh,betul lah. Memang pening kepala kalau banyak U-Turn ni. Macam tu jugalah manusia yang banyak kali dah U-Turn,tapi berapa banyak kali dia ‘pening’ dengan U-Turn nya tu?” sambung saya, mematikan rasa terpinga sahabat di sebelah.

Anda faham?

Begini.

Seringkali kita mengungkap taubat, taubat dan taubat. Namun begitu, ada sebahagian dari kita apabila sudah bertaubat dan insaf, tetapi kembali kepada perkara jahiliyahnya lagi, masih melakukan maksiat yang serupa. Bukankah golongan sebegini sebenarnya ‘pening’ dengan taubat yang mereka lakukan?

Mauduk utama saya adalah perubahan yang kita sudah janjikan pada Allah. Mahu berubah ke arah yang lebih baik. Namun, tika menelusuri perjalanan menuju kebaikan kita itu, saat di persimpangan untuk memilih, kita sendiri pening dan keliru. Sampai satu saat, kita sendiri akan mempersoal “Apa yang aku mahu sebenarnya?”

“Eh,tengok artis ni dah berubah bertudung lah,” kata adik saya ketika kami duduk bersama menonton televisyen.

“Berapa ramai orang mampu berubah ke arah yang lebih baik? Tapi berapa ramai yang kekal dalam kebaikan itu? Berapa ramai yang kecundang kerana tidak ada pengingat dan pembimbing? Acik perhati, artis yang konsisten untuk berubah adalah golongan yang mengikuti benda ni.”

Sinis bunyi saya.

“Usrah?” adik menjawab.

Lalu saya hanya mengangguk sahaja. Tanda mengiya.

Saudaraku sekalian.

Muhasabah diri kita. Berapa banyak sudah jalan U-Turn yang kita sudah ambil dan kadang kita sendiri pening dengan jalan itu? Adakah kita masih mahu main-main dalam perkara perubahan ini? Ini bukan game yang boleh di’reset’ kembali. Ini bukan perkara try and error. Bahkan pandanglah perkara ini dengan serius tahap dewa!

FIRMAN Allah yang bermaksud: Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka dengan adanya dua sebab itu mereka diterima Allah taubatnya; dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat, dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Nisa’, ayat 17-18) 

Terima kasih Kak Salwa!

Kerna sudi bersusah payah untuk saya. Moga Allah mengganjari selayaknya amal anda. Inni Uhibbukifillah ukhti..

Tuesday, May 29, 2012

Jangan jadi 'peminjam' tegar!


sebulan lebih, saya masih memerlukan bantuan tongkat untuk berjalan.

Selama itu jugalah saya pergi ke tempat kerja dengan bantuan rakan-rakan sekerja yang bagi saya cukup mulia hati mereka. Mengambil dan membawa pulang saya dari rumah ke tempat kerja.

Di sekolah, anak-anak murid pula melahirkan tanda simpati mereka. Melihat seorang guru yang masih gagah untuk datang mengajar.

Segala-galanya berubah dalam sekelip mata.

Moga sakit ini menjadi kafarah dosa buat diri saya yang cukup hina ini.

“Ya Allah, janganlah lampu tu merah. Dah lambat ni.” Doa Kak Fara.

Namun harapan apabila di kejauhan, lampu isyarat itu sudah berkelip-kelip memberi tanda supaya kereta berhenti.

“Kenapa akak tak jalan je? Sempat lagi tadi. Kalau merah pun kita masih ada 3 saat lagi,” tanya saya mengeluarkan teori lampu isyarat yang dipelajari sewaktu pengajian dahulu.

“Iskh..tak berani akak. Ni kereta orang, kalau kereta akak, memang dah lama redah je, tapi sebab kita pinjam dari orang, automatik rasa berhati-hati tu ada. Kena bawa betul-betul, nanti takut kemalangan,” jawab Kak Fara pula.

Saya terdiam.

Muhasabah babe!! Pepagi hari sebelum pergi kerja.

Perasaan meminjam!

Apa yang kita rasa apabila kita merasakan bahawa kita ini adalah peminjam bagi sesuatu barang?

Pasti kita akan menggunakannya dengan teliti dan elok bukan? Dijaga dengan rapi hingga saat kita akan pulangkan kepada tuan pemiliknya kembali.

Ya, itulah yang sepatutnya kita rasa sebagai seorang manusia dan hamba Allah!

Merasakan diri kita ini adalah seorang peminjam yang pastinya pemilik itu adalah Allah Azza Wajalla.

Jika kita merasakan itu semua, saya pasti dan jamin, tiada siapa yang berani mahu melakukan kemaksiatan di muka bumi ini.

Kerna kita tahu, jika kita memulangkan kembali diri ini kepada pemiliknya dengan segala kerosakan dan keburukan, maka pasti pemiliknya akan marah!

Kita punya hati, akal, deria dan anggota badan yang pastinya satu saat akan ditanya kelak, menjadi bukti tatkala kita sudah berada di mahkamah Allah! Satu persatu akan dipersoal dengan ketelitian yang maha dahsyat!

Firman Allah SWT didalam surah Yasin ayat 65; yang bermaksud ……`Pada hari Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan'.

Pesanan ini saya khususkan buat perokok tegar, Si Gemuk Obesiti, Si Kaki Wayang, Si Kaki Game dan sebagainya yang melakukan sesuatu perkara itu dengan melampui batas! Sedarilah bahawa anda telah merosakkan anggota badan anda dengan sesuatu yang sangat tidak berguna.

Marilah kita berusaha untuk menjadikan diri kita ini sebagai seorang peminjam yang beramanah.

Allah sudah memberikan kita pinjaman badan waima dunia ini juga, ambillah peluang yang diberi oleh TuhanMu ini dengan jalan yang sebenar-benar dan selayak-layaknya

Thursday, April 26, 2012

Anda trauma dengan KUNING?



Tahun 2011.

Kecoh negara dengan ‘lautan kuning’ hinggakan warna kuning itu seakan diharamkan tika itu.

Perjalanan saya membaca sisi pandang anak-anak muda di blog dan facebook.Semuanya mahu mengeluarkan pendapat masing-masing. Tidak mahu kalah walaupun saya kira pendapat itu seperti tin kosong, yang tidak mengerti apa-apa.Hanya dilontar tatkala mendengar tanpa menganalisis perkara sebenar-benarnya.

Keluar pula ketika itu golongan agamawan yang mengorek kembali sirah. ‘Puak Khawarij’ dan sebagainya.

Anak muda seperti saya ini.

Memerhati.

Gelagat dan tarian setiap manusia yang cuba mendendangkan ‘nyanyian’ agar didengari di setiap pelusuk negara.

“Anak muda b**** dan s**** je yang mahu turun perhimpunan ni.Haram,haram..tak pernah nak rasa ke keamanan negara ni. Makan, pakai semua cukup.”

Salah satu status di facebook.

Kini.

‘Lautan Kuning’ itu bergema kembali. Mengorek kembali rentetan peristiwa yang satu saat dahulu pernah memalukan Malaysia atas tindakan pihak penguasa yang seakan-akan buta mata hatinya.

Saya tidak pernah mahu mendesak sesiapa untuk menyokong apa yang saya sokong.Itu hak kalian.

Namun saya mahu mengutarakan pendapat saya sebagai anak muda yang bakal memberi kepada mana-mana pihak tika pilihanraya nanti.

Apa yang saya pelajari dan hadam dari peristiwa ini.

Saya menyokong sepenuhnya tuntutan BERSIH ini. Mahukan pilihanraya yang adil dan telus.

Apakah cara lagi rakyat mampu lakukan melainkan bangkit menentang. Mahu runding bicara di meja bulat berhawa dingin bilik? Saya tidak rasa itu satu perkara yang sangat muntij.

Arab Spring yang berlaku lewat kini memberi petanda bahawa bahananya adalah daripada pilihanraya yang tidak ADIL! Penguasa yang zalim tidak berhati perut!

Wahai rakyat marhaen!

Di tangan siapa lagi pemilihan pemimpin ini kalau bukan di tangan kita juga?

Tatkala ribuan penuntut kebenaran turun saat gelombang kuning dahulu, saya yang memerhati menangis. Bergabung hanya bukan kerana tuntutan peribadi, tetapi untuk KITA!

Ya, untuk KITA!

Masih lagi kita mahu mencaci dan menghina.Apakah tiada rasa sekelumit mahu peduli terhadap jiran-jiran atau rakyat yang tertindas? Saat kita enak diulit kemewahan dan rasa keselesaan, apakah rakyat yang lain merasa benda yang sama?

Saya berbicara atas rasa kemanusiaan pastinya.

Iman apa yang kita miliki tatkala syurga dan neraka, penindasan dan kezaliman terhadap manusia tidak mampu menggentarkan hati?

Sesungguhnya kamu lah orang yang ‘menyembah Allah di pinggiran’ jika tidak mahu mengambil PEDULI atas setiap perkara selama ini.

Diumpamakan Allah seperti Binatang Ternak!

Lebih teruk dari binatang ternak.

 “Sesungguhnya Tuhan memerintahkan supaya menjalankan keadilan, berbuat kebaikan dan memberi kepada kerabat-kerabat dan Tuhan melarang perbuatan keji, perlanggaran dan penderhakaan. Dia mengajar kamu supaya kamu mengingat.” (Surah an-Nahl ayat 90)

Bingung di Perhentian..




Suhana,enti taknak cari kerja lain ke?” tanya kawan saya ketika kami duduk berbual lewat petang itu.

“Entahlah,tipulah kalau ana kata ana tak cemburu tengok kawan-kawan semua dah berjaya menjadi engineer, tapi ana masih kat sini juga,” seakan ada keluhan berat di hujung nafas.

Berat soalan yang ditanya oleh kawan.

Sama ada kemahuan atau tuntutan. Semuanya menjadikan ana  tidak tahu untuk membuat pilihan.

Sejujurnya memilih kerjaya sebagai seorang guru tidak pernah ada dalam senarai pekerjaan saya selepas habis belajar. Namun saya percaya, manusia hanya mampu merancang, hasilnya Allah yang tentukan.

Melihat kawan-kawan yang bergaji besar, glamour di dalam bidang kejuruteraan. Ya,siapalah saya jika hendak dibandingkan dengan mereka semua.

Seorang guru yang mengajar di sekolah rendah swasta.

Sebenarnya, hal ini juga yang menjadi pilihan saya. Mempunyai perancangan mahu melanjutkan pelajaran sehingga peringkat sarjana sementara itu bekerja sebagai guru.

Tapi akhirnya saya di sini, lari menjauh dari sasaran. Hajat di hati sementara masih berada di bumi Anggerik ini mampu membantu perjalanan dakwah di kampus, sudah bertukar menjadi tulang belakang membangun dakwah di sekolah pula.

Ya.

Semuanya sudah bertukar.

Hingga satu saat, saya sendiri hampir bingung memikirkan apa yang saya mahu sebenarnya? Bekerja atau meneruskan pelajaran atau pulang terus sahaja ke kampung halaman?

Mendidik Sang Dai’e Cilik!

“Teacher, dia ni main-main duduk sebelah saf saya,”kata Irsyad, menepuk-nepuk kain saya.

Ketika itu saya mengawasi murid Tahun 1 dan Tahun 2 melaksanakan solat zohor berjemaah di Musollah.

“Jangan main-main, nak solat dah ni kan?” kata saya pada budak sebelah Irsyad itu.

Tersengih Irsyad tanda kemenangan, dan saya? Hanya menggeleng kepala melihat gelagat mereka.

“Teacher,batal tak air sembahyang saya sentuh teacher tadi?” tanya Irsyad kembali.

“Mana ada batal. Kamu kecil lagi, Teacher dah besar.” Jawab saya.

Aduhai,kanak-kanak.

Sukar ditafsir pemikiran mereka.

“Teacher,saya pelik lah.Bumi ni bulat kan Teacher,lepas tu kita tak jatuh pun. Kan bumi berputar, saya tak rasa pening pun?” soal anak murid saya ketika kelas Hafazan.

Mencabar sungguh soalan mereka ini. Bagaimana mahu diterangkan kepada si kecil yang masih berumur 8 tahun ini?

Saya pun mengambil pensil di atas meja.Melakonkan aksi bagaimana bumi berputar dan kenapa manusia tidak jatuh apabila berada di atasnya.

“Faham sekarang?”

“Ooooohh..faham.”

Panjang O nya bermakna insyaAllah fahamlah tu.

Demikian Allah mencampak saya ke sini, pasti ada sesuatu yang Allah mahu saya pelajari.

Menanam sifat sabar dan menahan marah.

Setiap apa yang diperlakukan pasti akan dijadikan contoh oleh anak murid.

Kerna itu guru itu adalah perlu menjadi Qudwah.

Ya.

Di sinilah medan amal saya diuji dengan sebanyaknya. Bagaimana menjadi Murabbiah yang sehari-hari amal dan akhlaknya diperhati oleh manusia yang bernama murid atau ibu bapa.

Ya Rabb, aku insaf.

Aku memohon taubat atas segala keterlanjuran dan perkara yang melampui batas.

Monday, March 5, 2012

"Oiii, jangan menyerah sebelum kalah!"



“Why your house didn’t do any movement during that song? Just stand up like this?” tanya Teacher Fari pada saya.

“We have some movement, but not practice yet teacher,” balas saya pula. Sekadar menyedapkan hati walhal idea masih lagi entah mana-mana.

Melihat latihan Battle Cry kontinjen rumah Hamzah, setiap orang sudah pasti tahu bahawa rumah kamilah yang akan menduduki tempat terakhir bagi pertandingan ini.

Hambar.

Bosan.

Hilang Semangat.

Itulah yang terpamer di wajah anak-anak murid saya. Sudah putus asa mahu meneruskan perjuangan. Melihat kehebatan kontinjen rumah lain, mereka sudah gentar.

“Ala teacher, bosan lah macam ni. Kita ni confirm kalah dah,” komandan sendiri sudah putus asa.

Tatkala itu, membara dalam diri saya melihat rasa putus asa mereka yang belum lagi bertanding.

“Kamu ni dari tadi asyik complain je, cuba bagi idea kat teacher, macam mana kita nak buat movement Battle Cry ni?” suara sedikit meninggi tanda marah pada kelemahan diri mereka namun masih berada di paras yang sepatutnya.

Melihat semangat kontinjen rumah lain, memang saya tidak nafikan. Penuh energetic, sorak semangat yang seolah-olah mahu turun ke medan perang. Namun hati kecil, masih berdoa.

Moga Allah memberi sedikit ilham kepadaku.

ILHAM ITU DARI ALLAH

“Allah adalah sumber kekuatan kita yang sebenar, kerana Dialah yang mencipta kita. Barangsiapa yang berkehendakkan tempat yang lebih tinggi, kekuatan yang lebih dahsyat, maka hendaklah dia kembali kepada Allah, merapatiNya, mengikuti perintahNya, dan meninggalkan laranganNya. Nyata Dia akan memberikan kuasa dan kekuatan kepada kita.” (Akhi Hilal Asyraf)

Sehari sebelum pertandingan bermula.

“Teacher Salwa, saya ada gerakan baru.”

Kecoh bilik guru digegarkan suara kami dengan gerakan yang menggelikan hati.

Hari itu juga, kami mulakan latihan. Mengerah mereka yang sudah putus asa.

Alhamdulillah, sedikit demi sedikit, semangat mereka semakin pulih. Malahan, kontinjen rumah lain pula, menoleh-noleh mereka latihan yang kami lakukan. Teruja barangkali.

Melihat anak-anak murid kembali bersemangat, itu sudah memadai bagi saya. Mahu bertempur esok dengan rasa yang tidak putus asa.

ALLAH MENDIDIK ADA CARANYA

Waktu hari pertandingan.

“The winner for Battle Cry Competition is.. Green House a.k.a Salahuddin Al Ayubi.

Battle Cry Competition - Hamzah Asadullah

Memang sudah dijangka, mereka memang mantap persembahannya.

“Yellow House dapat nombor berapa? Yang terakhir ke?” tanya saya pada anak murid.

“Kita dapat nombor dua teacher,” jawab mereka.

Alhamdulillahi Rabbil Alamin…

Meluru saya memeluk Kak Salwa dan kemudian anak murid yang lain. Gembira hasil kerja kami yang last minute diberi ganjaran sebegini rupa.

Malahan lebih bermakna sekali adalah rumah sukan kami menjuarai Kejohanan Sekolah tahun ini.

Tarbiyah Allah.

Memang tak disangka.

Dari guru baru yang tidak tahu apa-apa.

Dari rasa putus asa mahu bertempur pada awalnya.

Akhirnya inilah hasil yang kami terima.

Terkesima rumah lain, tanda tidak percaya juga.

Allahu Allah..

Terima kasih atas tarbiyah yang cukup bermakna ini.

Bukankah sukan itu ibadah? ^___^

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers