Friday, December 9, 2011

Memandang 'hari esok'..

Mari mulakan langkahan kita untuk 'hari esok"!

“Apa cita-cita antunna?” soalan terjah dari saya untuk anak-anak bulatan pelangi.

“Jurutera.”

“Sambung Master.”

“Jadi usahawan.”

Dan seterusnya.

“Cita-cita akak pula apa?” tanya mereka mengenakan saya pula.

Menunduk sebentar untuk menyusun kata. Sambil tersenyum.

“Alhamdulillah, cita-cita yang murni. Semua orang punya cita-cita yang hebat,tapi apakah sekiranya jika cita-cita sekadar di dunia saja? Cita-cita akak? Tentunya mahu mendiami syurga Allah,” jawab saya sambil memandang semua.

Terdiam mereka. Hening suasana.

“Cita-cita ini penting kerana dari inilah yang menggerakkan kita untuk melaksanakan perkara tersebut. Tetapi harus diingat bahawa tidak guna kita merancang masa depan tetapi sekadar hanya di dunia,sedangkan cita-cita di akhirat nanti mana? Bahagiakah sekadar meraih kepuasan di dunia tetapi menderita sepanjang hayat di akhirat sana? Inilah yang membezakan cita-cita kita sebagai seorang mukmin dengan cita-cita manusia lain,” sambung saya lagi.

Ya,hakikatnya begitulah.

Kita telah lama memprogramkan minda anak-anak dengan “cita-cita dunia” semata. Maka akhlak dunialah yang mewarnai hidup mereka. Tidak saya katakan salah mahu menjadi jurutera, peguam, doktor, pakar sakit mata atau apa sahaja,tetapi dahuluilah dengan menjadikan segala cita dan pekerjaan sebagai satu bentuk pengabdian kepada Allah!

Jika ditanya pada Ah Chong, Mutusamy, Mei Mei atau siapa saja, apakah cita-cita mereka? Pasti jawapannya tetap sama. Masih berkisar dengan dunia.

Sebagai seorang mukmin,harus bagi untuk membezakan kita dengan mereka. Jika Ah Chong, Mutusamy dan sebagainya tu nak jadi jurutera, biarlah kita berbeda dengan menjadi jurutera di jalan Allah.

Percayalah, letakkan Allah sebagai cita-cita, maka segala isi dunia akan bergerak mengikuti kita!

Kita terlalu obses untuk mengejar sesuatu yang tak pasti, sesuatu yang belum tentu terjadi, tapi benda yang pasti,sering kita lupai?

Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa sahaja yang telah dilakukan untuk hari esok(akhirat)” [ al-Hasyar 59:18-19]

“Tahu tak macam mana nak tanam cita-cita akhirat?” tanya saya pada seorang kawan ketika bersembang di alam maya.

“Macam mana?” soalnya kembali.

“Cubalah lakukan amalan-amalan yang sedikit dahulu tetapi istiqamah.Mungkin kau boleh mulakan dengan isitqamah solat sunat dhuha,itu antara amalan yang tidak pernah Rasulullah tinggalkan. Bersedekah juga, tak ada duit, sedekahlah ilmu, senyuman atau apa sahaja,” cadang saya pada si kawan.

“Okey, esok aku nak mulakan.Semangat!”

Tersenyum saya melihat kata-katanya. Doa moga dia istiqamah dengan apa yang diniatkan itu.

Bagaimana dengan kita?

Sudahkan ada cita-cita di akhirat kelak?

Kalau belum, ayuh bina dan cuba tunaikan dari sekarang.

Aku dan kau bersama-sama membina dan menjayakannya.

Kerna kita semua adalah anak akhirat!

Tuesday, November 8, 2011

Menjadi luar biasa di hari korban!


Suasana perumahan pagi ini agak sunyi.

Mungkin kerana tiada suara kanak-kanak yang berlari dan bermain.Kebanyakannya sudah pulang ke kampung.

Alhamdulillah.

Allah memberi keizinan untuk merai dan menginsafi pada hari yang penuh dengan sirah pengorbanan ini.

“Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun, namun yang mengambil jalan kembali hanyalah kurang dari 100. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menunaikan perintah Allah tanpa ragu-ragu walau bakal ada darah yang tumpah di bumi. Nabi Muhammad SAW ditentang hebat sepanjang dakwahnya di Mekah. Siti Hajar ditinggal di bumi tandus yang kering kontang ditinggal suami tercinta. Mereka ini adalah sebahagian dalam lipatan sejarah yang melakukan pengorbanan hanya untuk Islam dan mencari redha Allah. Namun begitu, masyarakat pada hari ini sanggup mengorbankan Islam hanya untuk kepentingan diri semata-mata. Apakah tidak ada rasa malu pada Allah?”

Suara khatib membaca khutbah raya. Menjalar keinsafan diri,menunduk wajah ke lantai bumi. Memahami ayat-ayat itu dengan sepenuh hati.

“Marilah kita mengorbankan masa lapang kita untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Memperbaiki diri menuju redha Ilahi.Allahuakbar, Allahuakbar.”

Saat ini muhasabah masa menerpa diri. Berapa banyak masa yang telah ku isi untuk memperbaiki diri atau mensia-sia begitu sahaja?

Allahu Rabbi, tidak layak diri ini digelar Murabbi andai masa tidak lagi mampu untuk ku urusi dengan sebaiknya.

HIDUP BERMASYARAKAT

Usai solat, berziarah kami sekeluarga ke rumah jiran. Mengeratkan lagi ukhuwah yang sekian terbina. Kemudian, bersiap untuk melaksanakan tanggungjawab masyarakat.

Melapah daging korban!

Jujur selama ini, saya tidak pernah berminat untuk menyertai aktiviti ini. Kebiasaannya pagi lagi selepas solat sunat, saya akan berziarah ke rumah kawan-kawan sekolah yang sudah lama tidak berjumpa. Kadangkala berkonvoi raya kami dari rumah ke rumah.

Namun,ada satu kesedaran menyuntik saya pada raya kali ini.

“Acik,nak ikut mak pergi surau tak nanti? melapah daging korban.Makcik Liza banyak kali dah ajak mak.”

“Nak! Okey juga tu.” Saya mengiya tanpa banyak bicara. Entah kenapa. Mungkin tiada perancangan lagi untuk berziarah ke rumah kawan-kawan.

Keadaan di surau itu agak sibuk. Para lelaki sedang menyembelih lembu dan kerbau. Saya tidak berani untuk melihat. Melihat darah yang menghambur keluar, ada kemungkinan saya akan diserang penyakit yang entah apa-apa. Lalu saya bergerak menuju ke ruangan kaum ibu. Mengambil tempat, tanpa banyak bicara terus melakukan kerja memotong sayur dan sebagainya.

Agak kekok sebenarnya untuk melakukan kerja bersama kaum ibu ini. Entah apa yang dicerita dan disembang, memang saya tak fahami. Lantaran itu, saya lebih senang duduk diam dan buat semua kerja.

Habis menyiang dan memotong, saya bergerak membantu mencuci pinggan pula.

Baru ini saya dapat berbual-bual dengan makcik. Itupun hanya cerita sekadar tentang keluarga.

“Eh,kenapa yang basuh ni semua mak dara je? Anak daranya mana?” tanya seorang Ustaz.

“Entahlah Ustaz, habis hilang semua anak dara entah pergi mana,” jawab seorang makcik yang sedang sibuk membilas pinggan.

“Aku ni bukan anak dara ke? Atau aku ni nampak macam mak dara?” desis hati saya. Diam itu lebih baik.

“Rajin kamu ni nak tolong makcik-makcik. Nak hidup bermasyarakat. Kalau anak dara lain, tak mahunya tolong makcik-makcik ni,” kata seorang makcik pada saya. Lebih senang dipanggil Makcik Ti.

Saya hanya tersenyum tanpa menjawab. Pujian dipulangkan kepada yang selayakNya.

KERJA BERMASYARAKAT,JANGAN DILUPA SYARIAT

Selesai upacara korban, ada sedikit jamuan.

Sekali lagi, saya mengambil tempat untuk mencuci pinggan yang menggunung.

“Kenapa kamu tak lipat baju tu Suhana? Basah lencun dah,” tegur seorang makcik ketika saya hendak pulang.

Saya hanya mampu tersenyum dan menjawab di dalam hati. “Aurat lah makcik.”

Alhamdulillah, pengalaman buat kerja bermasyarakat, memang menyeronokkan walau agak kepenatan.

Sekurang-kurangnya saya dapat mengubah sedikit persepsi makcik-makcik di kampung ini bahawa tak semua anak dara yang tak mahu dan tak tahu buat kerja. Bukan sekadar melawa sahaja di pagi raya.

“Maaf makcik, basah tangan nak salam.” Kata saya ketika makcik menghulur tangan.

“Takpe, tu ada tanda lah maknanya.” Tersenyum makcik sambil matanya melirik kawan sebelah.

Saya???

Buat-buat tak faham sudah. Bukan niat untuk mempromosi diri menjadi calon menantu, tapi niat hanya sekadar untuk bermasyarakat. Supaya senang kerja dakwah diterima ramai. Mempelajari sikap dan nilai mereka berfikir untuk menjadi inspirasi kepada kerja dakwah.

Hari ini mengajar saya pelbagai pengajaran.

Nak buat kerja bermasyarakat, jangan dilupa akan syariat!

Pergaulan sesama lelaki dan perempuan yang berstatus mahram perlu dijaga.

Aurat perlu dipelihara sebaiknya.

Allahu Rabbi, terima kasih atas cetusan inspirasi.

Membawa aku mengenali dan cuba menyantuni masyarakat ini.

Tuesday, October 18, 2011

Akulah si Logam Bongkah Rubik!!

"Binaan bongkah rubik sepertinya binaan manusia yang kompleks"


“InsyaAllah.Moga program tu berjalan lancer.Ameen.Sampaikan salam Mira pada akhawat yang lain ye.Rindu kalian syadid! Minggu lepas pun Mira join ISK di Jitra. Rindu pada kenangan yang membuatkan ukhuwah kita bertaut.”

Ya,saya termenung seketika. Menyelami bait-bait tulisannya.

“Rindu pada kenangan yang membuatkan ukhuwah kita bertaut.”

Kenangan itu sudah hampir setahun berlalu. Namun disebabkan kenangan itu,ukhuwah kami menjadi luar biasa. Rindu kami berpandukan pada Ilahi. Agak luar biasa sebenarnya.

“Teknik akak berkesan! Jangan lupa bawak tau, Mira pun nak cubalah buat macam akak jugak, boleh tautkan hati-hati kita pada minat yang sama.Heee.”

Kami bertemu dalam daurah Ini Sejarah Kita. Ketika itu saya menjadi peserta. Satu perkara yang saya tidak lupa untuk bawa ketika itu adalah bongkah Rubik a.k.a Rubic Cube.

Jadi,setiap kali sesi rehat. Tangan saya ligat bermain, dan mereka yang lain, memandang dengan rasa teruja dan teringin untuk mencuba!

Akhirnya, rubic cube saya menjadi fenomena di kalangan peserta dan fasilitator. Saya secara tidak bertauliah,menjadi tenaga pengajar untuk mereka menyelesaikan bongkah tersebut.

Allahu Rabbi,tidak disangka sama sekali , bongkah itu mampu membuatkan hati-hati lain terpaut.

Maka,setiap kali ada daurah, saya tidak akan pernah lupa untuk membawa bersama.

Kerana inilah modal untuk saya menarik objek-objek dakwah.

Bukankah manusia itu seperti logam?

Jadi, jangan dipersiakan logam yang kita ada. Gunakanlah ia dengan sebaiknya. Allah SWT memberi kita kelebihan yang jarang ada pada orang lain. Maka usahakanlah kelebihan itu demi dakwah ini.

Saya tiada harta, saya tiada rupa dan saya tiada apa-apa. Namun saat ini Allah telah memberikan saya sesuatu yang begitu berharga.

Saya tersedar, saya mampu menulis dengan agak baik.

Saya tersedar, saya mampu bercakap dengan agak baik.

Saya tersedar, saya mampu bermain bongkah rubik.

Saya tersedar, saya mampu bermain silap mata.

Saya tersedar, saya mampu melukis dengan agak baik.

Ya, kesedaran!

Semuanya atas kesedaran bahawa itulah logam-logam yang ada pada diri saya. Maka begitu zalimnya saya jika tidak mampu menggunakan logam ini untuk melakukan kerja-kerja dakwah.

Mungkin anda ada logam seperti saya. Bahkan mungkin lebih baik dari saya. Namun, janganlah dihilangkan logam yang ada itu. Mungkin juga ada yang berkata, dia tidak tahu logam apa yang dia ada? Maka gilaplah. Cari dan berusahalah.

Anda kenal Siti Nurhaliza?

Dia berusaha dengan begitu gigih untuk memperbaiki vokalnya. Anda sendiri boleh bandingkan suaranya ketika 90an dengan sekarang.Sangat berbeza.Tetapi adakah dia mencapai suara yang begitu merdu tanpa berusaha apa-apa?

Tidak!

Dia ada suara,tapi berusaha untuk memperbaikinya jadi lebih baik.

Begitu juga dengan anda.

Masih punya kelebihan yang ada,tetapi gilaplah dengan usaha yang sesungguhnya. Saya juga tidak pandai bermain silap mata,tetapi kemahuan yang tinggi membuatkan saya rasa mahu belajar mengenainya.

Tetapi saya tidaklah sehebat David Copperfield. Cukup sekadar silap mata mudah, seperti menggunakan duit syiling atau wang kertas.

Kata kuncinya adalah, berusaha dengan logam yang sudah sedia ada.

Logam seperti emas itupun asalnya dari lumpur yang kotor.Dibersihkan dan disaring jadilah ia logam yang begitu bernilai bukan?

“Manusia itu seperti logam.Baiknya mereka ketika jahiliyyah,baik juga ketika mereka Islam.Sekiranya mereka faham.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Sayugia saya mahu mengingatkan diri dan kalian semua. Fahamilah dengan kaca mata Islam,maka anda akan mengerti mengapa Allah mengurniakan logam-logam pada diri setiap insan.

Aku dan engkau.

Ayuh kita menjadi logam terbaik untuk Islam!

Sunday, September 18, 2011

Erti sebuah DOA..


Dengan namaMu ya Allah.

Mungkin masih tidak lewat untuk saya mengucapkan Eid Mubarak kepada pembaca blog Musafir Ilmu sekalian, memandangkan kita semua masih berada di mood bulan Syawal lagi kan?

Taqabalallahu minna wa minkum.

Blog yang semakin bersawang, Alhamdulillah masih ada kesempatan pada pagi hening ini untuk saya mencoretkan sesuatu. Moga ada manfaat untuk semua. Jom baca!

Saya berniat untuk menunaikan solat terawih pada malam terakhir ramadan itu di Masjid Jalan Diary di Ipoh. Saya jatuh cinta untuk ke masjid sana. Alunan kalamullah dari Sang Imam memukau hati saya yang mendambakan secebis ketenangan dari Tuhan. Namun,jarak yang jauh dan faktor malam menjadikan batas saya kaku untuk kembali ke sana.

Mujur abang saya berkesempatan untuk pulang sementara berbuka puasa.

“Acik, hang nak solat terawih kat Masjid ke?” pertanyaan abang pada saya.

Alhamdulillah,seakan-akan Allah mendengar bisikan hati yang rindu pada rumahNya. Terkoyak senyuman dari bibir saya.

Puasa kali ini mengajar saya akan sesuatu yang cukup bernilai pastinya.

Kuasa doa!

Itulah tanda penghubung hati kita kepada Allah Taala.

Seringkali orang ramai memperlekeh apabila dikatakan tentang doa. Walhal itulah senjata orang Mukmin. Apabila dikatakan tentang ‘senjata’, bukankah itu satu kelebihan bagi seseorang apatah lagi yang sedang berada di medan perang?

Ya, kita memang sedang berada di medan perang. Medan pertempuran antara kuasa nafsu dan fitrah berTuhan.

“Ya Allah, kau berilah kesempatan untuk Athifah sempat menaiki bas untuk pulang dan permudahkanlah perjalanan aku dah Safura hari ini.”

Hati saya mengungkap doa ini.

Ketika itu,saya dan Safura dalam perjalanan menghantar Athifah ke Stesen Bas Jalan Pekeliling. Jam di tangan sentiasa saya kerling, mengira waktu agar kesempatan atau keajaiban itu wujud. Alhamdulillah,kami lewat 2 minit dari waktu bertolak namun bas masih belum memulakan perjalanan.

Bersyukur.

Sekurang-kurangnya doa saya ini Allah makbulkan. Apatah lagi ketika di bulan puasa.

Bukankah tiada hijab untuk orang berpuasa berdoa? Terasa kebesaran Allah bila memuhasabah perkara ini semula.

Banyakkan berdoa. Walaupun kita tidak tahu bilakan doa kita itu akan dimakbulkan Allah.

“Pernah terfikir tak, kita berdoa sebab ingin meminta hajat atau keampunan kepada Allah, walhal Allah itu Maha Mengetahui apa yang kita hajati? Jadi kenapa perlunya kita berdoa? Bukankah Allah sudah tahu apa yang kita mahu dan hajatkan?” saya terfikirkan perkara ini satu ketika dulu.

Lantas, menjawab sendiri persoalan minda ini.

“Benar, Allah Maha Mengetahui. Tetapi ketahuilah bahawa kita berdoa bukan sekadar meminta,tetapi itulah tanda kita ini berjiwa hamba. Tanda kita ini lemah hingga kita memohon pertolongan kepada Yang Maha Kuasa.”

Ya, kuasa doa.

Saya bersyukur kerana menjadi Muslim yang punya Allah,tempat untuk saya berdoa.

Kau dan aku.

Marilah berdoa dan mendoa.

Moga Allah redha. ^___^

Wednesday, August 17, 2011

Contest "Andai Ku tahu ini Ramadan terakhir"


Bismillah wa hamdalillah.

Mengambil semangat Badar, dengan penuh kesyukuran saya dengan rendah hati menganjurkan satu contest untuk para pembaca.

Tajuk cerpen yang telah ditetapkan adalah “Andai ku tahu ini ramadan terakhir”.

Anda bebas untuk menulis apa-apa tema sama ada, kemanusiaan, dakwah, cinta, atau sebagainya. Sebagai penilai, saya akan meneliti karya anda berdasarkan tahap kreatif serta mesej yang mahu disampaikan. Jika cerpen ini sesuai untuk dibaca pada semua genre, itu adalah satu kelebihan untuk anda. Wah, dah bagi satu hint ni!

Syukran ala kulli hal buat sahabat baik saya yang sudi menaja semua hadiah pemenang. Ini adalah satu penghargaan buat saya yang terlalu kerdil dalam bidang blog dan penulisan ini.

Ayuh, sertai!

Saya amat meraikan penulisan anda.

Tarikh tutup bagi penyertaan contest ini adalah pada 30 Syawal 1432H / 28 September 2011M.

Syarat-Syarat Penyertaan:

  1. Terbuka kepada semua warganegara Malaysia. (tidak diwajibkan untuk menjadi follower laman ini,kalau nak follow, saya menghargai).
  2. Tuliskan satu entry berbentuk cerpen bertajuk “Andai Ini Ramadan Terakhirku"
  3. Tampal banner contest seperti seperti di atas di mana-mana sudut laman blog anda serta linkkan ke entry ini.
  4. Letakkan link entry penyertaan di ruangan komen, untuk saya senang menilai dan sebagai bukti penyertaan.
  5. Sesiapa yang bukan blogger atau tidak mempunyai blog juga boleh menyertai, hantarkan penyertaan anda pada emel saya norsuhanasamsudin@yahoo.com di dalam bentuk file pdf / word.
  6. Tag dua orang rakan anda untuk menyertai contest ini.
  7. Penganjur berhak sepenuhnya atas cerpen anda untuk disiarkan semula di dalam blog ini atau mana-mana laman web lain atas nama anda, bukan nama penganjur. Niat penganjur cuma mahu bakat anda dikembangkan secara meluas dan utamanya tentulah kerana Allah SWT.
  8. Keputusan akan diumumkan dua minggu selepas tarikh tutup penyertaan. InsyaAllah.
  9. Segala keputusan adalah muktamad. Surat menyurat, bantahan,rayuan atau undian SMS tidak akan dilayan.

Hadiah-hadiah pemenang:

Tempat Pertama : Hadiah bahan bacaan bernilai RM 35 ke atas.

Tempat Kedua : Hadiah bahan bacaan bernilai RM 30

Tempat Ketiga : Hadiah bahan bacaan bernilai RM 10

Saguhati: Sebuah Tasbih Kayu tanda ingatan. Ini bergantung kepada berapa orang sahabat saya nak taja.

Moga Allah berkati segala berusaha. Selamat berkarya dan berjaya kepada anda!

Tuesday, August 16, 2011

Contest Aku Berpuisi- Sang Penyeru Gagap


Angin debu menampar wajah duka
Menghirup udara rimba
Segarnya angin tidak mampu membunuh keluh resah di jiwa

Kamulah si pendosa
Yang mencabar kerajaan Sang Pencipta
Layaknya kamu ini cuma hamba yang hina
Tapi lakonmu seperti Firaun yang dihidupkan semula
Kedatanganku ibarat Musa yang tidak ada mukjizatnya
Namun atas rasa berjiwa hamba
Aku bangkit untuk berkata
Kembalilah kepada Yang Maha Pencipta

Aku tiada tongkatnya si Musa
Waima mampu mengeluarkan sinar putih bercahaya
Yang aku ada hanya al-Quran dan Sunnah sahaja
Itu sudah cukup bagi aku berani berkata
Kepada kamu si pendosa
Kembalilah kepada Yang Maha Mencipta

Hey manusia yang tergagap tutur bicara
Usulmu tidak aku ketahui dari mana
Sialan mulutmu berkata aku Firaun yang dihidupkan semula
Akan ku humban kau ke neraka Pencipta yang dikata
Kelak baru kau tahu siapa Tuhan yang sebenarnya!

Angin debu menampar lagi wajah duka
Alam rimba ini menjadi peneduhku buat seketika
Menjadi saksi Sang Pencipta itu Maha Berkuasa
Neraka yang dicipta memakan sendiri Tuannya

Dan aku..
Masih tetap mahu menyeru
Kembalilah kepada Yang Menciptakan kamu

Dari setetes air mani yang hina
Kau dan aku dicipta

Ayuh
Marilah menjadi hamba

Pendosa berjiwa hamba.


p/s : Entri ini untuk penyertaan contest mohamadazhan.com . Saya telah 'dipaksa' untuk menyertainya, jadi dengan tak berapa reti saya pun buat puisi sebuah cerita seorang daie yang gagap dalam berkata. Untuk melengkapkan syarat penyertaan, dengan ini saya akan paksa juga blogger ini untuk masuk..Hihihi..

Friday, August 12, 2011

Sedekah di Hentian Tapah..


Saya,kakak dan ayah, berjaulah hari itu ke Shah Alam.

Berehat sebentar menunaikan solat jamak di hentian rehat Tapah. Usai solat, pergi menemani kakak yang kelaparan.

Saya memerhati sekeliling sementara menunggu kakak membeli makanan. Ramai orang yang singgah untuk makan. Menariknya melihat keluarga Cina yang makan rendang dan ketupat palas, memang jiwa malaysia ni.Tapi bukan itu yang menarik pandangan saya, dari kejauhan memerhati susuk tubuh si kecil. Memegang sesuatu di tangannya, pergi dari meja ke meja.

Saya tahu akhirnya pasti si kecil ini ke meja saya juga.

Dan..

“Kak, ni saya ada jual benda ni, duit derma untuk anak-anak yatim. Kalau akak taknak beli pun takpe, derma seikhlas yang akak nak beri,” ujar si kecil itu. Saya menjangka dia masih bersekolah lagi.Mungkin dalam lingkungan 12-13 tahun.

Saya tersenyum.

“Takpe dik, terima kasih ye.”

Lalu kakak menegur,” Baru nak cakap, kenapa tak bagi je duit.Dah tadi dia kata derma je seikhlas yang nak diberi.”

“Bukan taknak bagi kak.Tak ada duit, tertinggal beg duit dalam kereta.Bagi senyum pun sedekah juga tu.”

“Itu semua sindiket.Kesian budak kecik macam tu,jadi mangsa.”

“Itulah juga. Tadi dekat stesyen minyak hentian jejantas Sungai Buloh pun ada orang macam ni gak.Minta derma untuk anak yatim.Peliknya macam mana diorang boleh sesat sampai ke hentian ni,” saya menambah.

Persoalan di situ. Namun saya hapuskan prasangka. Memang bukan sukar untuk mengenali peminta sedekah yang dari sindiket atau tidak. Hasil dari perbualan saya dengan seorang pakcik berbangsa cina di KL Sentral suatu ketika dulu, mencerahkan lagi pengetahuan saya tentang kes sindiket seperti ini.

Benar, jika mahu bersedekah, tak perlu dilihat pada siapa kita mahu sedekah, dan berfikir ke mana duit itu akan pergi.Kerna niat kita untuk bersedekah itu sudah diberi ganjaran. Tetapi kadangkala saya terfikir bahawa jika semua orang berfikiran macam itu, maka pasti ada golongan yang mengambil kesempatan. Suatu ketika dulu, gempar dengan isu pendapatan si peminta sedekah mampu mencapai pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Kita sering dimomokkan dengan status negara yang semakin maju dan ekonomi yang semakin meningkat.Tapi dalam masa yang sama, masih ada segelintir masyarakat yang hidup merempat. Kekayaan hasil negara masih tidak dapat diagihkan secara saksama. Justeru itu, timbul golongan peminta sedekah ini, yang menyara diri dan keluarga hasil belas ihsan.

Cuma satu nasihat saya, jika diri masih berupaya, berusahalah dengan kudrat sendiri. Bukankah tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Walau sesukar mana mencari rezeki, hasil dan pahalanya tetap ada.

Buat orang-orang yang diminta duit untuk disedekahkan.

Walau anda tiada duit, berikanlah senyuman kepada mereka. Bukankah itu juga adalah sedekah. Jangan diherdik dan dicaci walau mereka itu asal dari mana. Mungkin saja mereka tidak mau menerima nasib sebegitu.Andai anda berada dalam keadaan mereka, bagaimana rasanya?

Firman Allah SWT

“Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.” [Al-Baqarah : 263]

Saya juga punya pengalaman sebegitu.

Ketika menjadi sukarelawan untuk mengutip derma bagi tabung Palestin. Walau duit tidak diterima ketika disapa, cukup senyuman itu mampu mebuatkan saya bahagia dan bersemangat untuk meneruskan kerja. Paling utamanya adalah mereka mahu mendengar coletah saya mengenai Palestin, agar mereka peduli nasib ummah di sana.

Walau apa pun, marilah kita memperbanyakkan sedekah.

Sedekah bukan sahaja dari segi wang. Bisa aja datang dari bentuk tenaga, masa, senyuman, ilmu dan sebagainya. Makanya kita memang tidak boleh lari dari sedekah kan?

Mari menjadi hamba yang suka bersedekah.

Friday, August 5, 2011

Ya Allah,siapalah saya ini..



Saya tidak menyangka.

Ketika karya saya dikeluarkan di web Iluvislam, ramai yang bertandang ke blog saya, malahan menjadi rakan di facebook dan ada juga yang menghantar emel untuk bertanyakan pendapat dan masalah.

Ya Allah, tatkala ini saya bermuhasabah.

Siapalah saya ini.

Saya tidak layak untuk berbangga. Semuanya ini adalah ujian untuk saya. Adakah menulis keranaNya atau kerana nama. Apa yang saya ada cuba untuk saya berkongsi rasa. Hinggakan orang menjadikan saya sebagai tempat rujukan, itu dan ini bertanya.

Itu kerana mereka punya rasa percaya yang tinggi kepada saya. Rasa kepercayaan itu mendorong mereka untuk bertanya. Anda percaya kepada saya walau tidak mengenal secara realitinya. Bukanlah saya mengatakan saya ini hanya berpura-pura, tetapi sedaya upaya saya mahu menjadi kuli Allah yang terbaik. Saya ini bukanlah seorang yang sempurna hingga orang lain menganggap saya ini punya kehidupan yang baik.

SAYA DAN SEKOLAH!

Saya juga punya masalah. Hingga saya pernah jatuh kerana masalah yang dihadapi. Namun pelampung iman yang dilempar insan-insan sekeliling menyelamatkan saya dari lemas dalam lautan masalah.

Siapa saya?

Sayalah dahulu pelajar yang nakal dan culas. Waktu kelas agama adalah waktu tidur saya, kepenatan aktiviti seharian di asrama. Mujur ustaz tidak menegur, mungkin kerana tidur di dalam majlis ilmu dipayungi malaikat agaknya.

Menjadi ketua kelas, bukanlah mudah. Apatah lagi saya memecah rekod sekolah apabila menjadi ketua kelas perempuan yang pertama untuk kelas kejuruteraan. Ini agak pelik kerana di sekolah saya, ketua kelas perempuan hanya datang dari kelas perdagangan, tetapi saya mendominasi kelas kejuruteraan. Saya janggal, kerana pemilihan saya juga datangnya dari guru disiplin sekolah, bukan pilihan warga kelas.

Cikgu Eddy Johan, guru displin sekolah yang melantik saya itu.

Saya tidak tahu sama ada lantikan itu untuk kenakan saya atau apa, kerana setiap kali apa yang berlaku, pasti saya orang yang dicari. Saya bukanlah pelajar bermasalah yang perlu tumpuan guru disiplin sekolah. Tetapi entah mengapa, sehari tidak kenakan saya, memang tidak sah. Mereka memanggil saya anak Cikgu Eddy. Oho, satu penghargaan atau kata perlian?

“Azril, kelas kamu sepatutnya susun kerusi untuk guru di perhimpunan, kenapa lewat susun?” tanya Cikgu Eddy.

Saya hanya diam, kerana bukan nama saya yang disebut. Tapi peliknya kenapa cikgu memandang saya? Saya toleh ke kiri, tiada orang kerana saya orang pertama yang berbaris. Sebelah kanan saya Aminudin, ketua kelas kejuruteraan dua.

“Kamulah, turun 10.” Cikgu Eddy menuding jari pada saya.

Sah.

Hari pertama sekolah bermula, saya dah kena. Entah sejak bila nama saya ditukar dari Suhana kepada Azril.Mesti dia ingat nama abang saya, Rizal kot.

Cikgu Eddy memang terkenal dengan ketegasannya. Pernah senior dilempang olehnya. Pelajar yang lewat datang perhimpunan diketuk kepala dengan buku. Ayat yang paling popular darinya adalah “Do ten time”. Maksudnya ketuk ketampi sepuluh kali jika buat kesalahan. Pantang baginya bila orang lewat darinya dan berjalan kasut berbunyi.

“Dekat sekolah ni, hanya cikgu Arjit je boleh jalan berbunyi, sebab kasut dia ada ladam,” katanya kepada kelas kami.

Paling mengerikan apabila dia mengajar subjek English dan EST kepada kami. Oh,tidak boleh dibayangkan.

“Siapa punya air nescafe bergantung kat tingkap tu?” tanya Cikgu Eddy.

Saya mengangkat tangan. Sah, pasti kena lagi hari ni.

“Eh, saya tak suka ada benda gantung kat dalam kelas. Kamu minum bagi habis, kalau tak satu kelas kena berdiri.”

“Sir, panas air tu, sebab tu saya tak habis minum.”

Meraih simpati. Namun, buatlah gaya apa pun, takkan boleh menggugat ketegasannya. Jenuh juga saya menghabiskan air nescafe yang sedikit berasap tu. Melangkah keluar Cikgu Eddy dengan sengihan, berjaya kenakan saya!

“Eh, Suhana, come here.” Panggil Cikgu Eddy. Kerja menulis pantun dalam English tergendala, sudahlah susah, dipanggil pula. Mesti ada benda yang nak dikenakan lagi.

“Kamu lawan catur hari tu dapat nombor berapa?”

“Nombor empat cikgu. Tapi mata saya dengan pelajar tempat ketiga sama je.Margin je berbeza. Tak tahulah pihak daerah nak panggil atau tidak lawan peringkat negeri.” Pelik pula saya diajak berbual tatkala orang lain buat kerja. Saya menjawab sekadarnya.

“Sudah-sudahlah tu Suhana.SPM dah nak dekat ni. Bagilah chance kat junior pula. Debat kamu, forum kamu, catur kamu. Cukup-cukuplah tu,” nasihat cikgu.

Saya hanya tersengih. Tak sangka nasihat yang diberi. Ingatkan nak kenakan lagi.

Loceng sudah berbunyi. Tetapi kami berempat masih berdiri tegak di hadapan Cikgu Eddy. Menanti hukuman yang akan dikenakan. Di’suspect’ sebagai orang yang selalu balik awal sebelum loceng berbunyi. Memang sudah diagak, ketuk ketampi lah jawapannya.

“Suhana, balik kampung ni jangan bawa motor kalau tak ada lesen, nanti kena tahan polis. Kamu ada lesen motor ke tak?” tanya cikgu Eddy sebelum saya keluar dari bilik guru, selepas dikenakan hukuman ketuk ketampi kerana jalan berbunyi.

“Tak ada cikgu.”

Saya pelik, akhir-akhir ni, cikgu Eddy semakin baik. Jarang mahu kenakan saya. Kalau tidak, ketuk ketampi tu sudah menjadi senaman harian saya. Mungkin tidak mahu mengganggu kerana peperiksaan semakin hampir.

Cikgu Eddy di sebelah saya. Ketika Raya 2010.

Terlalu banyak memori saya pada Cikgu Eddy. Hari raya lepas, kami sempat bertandang ke rumah Cikgu. Sudah putih rambutnya. Makin dimamah usia.

“Kamu Suhana, belajar kat mana sekarang ni?” tanya Cikgu Eddy ketika saya dan kawan melawat sekolah.

“UiTM. Sekarang cuti sem.”

“Tak kerja ke?”

“Kerja cikgu. Jual ubat kurus. Losyen pati halia. Kalau cikgu nak, boleh dapat diskaun,” dalam nada canda. Mahu kenakan cikgu pula. Asyik aku je terkena!

“Oh, takpelah, saya ok dah macam ni.” Alamak, percaya pula cakap aku cikgu ni. Kawan saya disebelah sudah terkekeh-kekeh ketawa.

Walau Cikgu Eddy garang pada semua pelajar, tapi dengan saya bukan garang, tetapi lebih kepada sikap humournya. Jika pelajar lain takut menyapa, sayalah orang yang rajin menegurnya. Mungkin sebab sudah biasa kena denda agaknya.

PENUTUP : SAYA KINI

“Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, pasti Allah mengujinya.” (Hadis Al-Bukhari)

Zaman sekolah saya penuh dengan gembira dan duka. Masih tidak mengerti maksud Allah mencipta saya ke dunia. Di zaman universiti, kematangan saya bertambah. Akhirnya saya dilorongkan Allah untuk menjadi insan yang lebih bermakna.

Buat anda, saya adalah saya. Insan yang lemah tanpa Allah. Janganlah memandang terlalu tinggi pada saya, kerna pandangan tinggi itu bisa mengecewakan anda jika tidak kena pada tempatnya kan. Terimalah diri saya seadanya, insan yang tidak pernah sempurna.

Jika kita jahat hari ini, berubahlah untuk menjadi baik pada hari esok dan hari-hari yang lain.

Moga Allah menerima segala ibadah,amalan dan puasa kita!

Nota kaki~

Artikel saya di Web Iluvislam :

Melakar Cinta Allah Melalui Sahabat

Pencarian Untuk Kebahagiaan

Di Sebalik Kotak Segi Empat Itu

InsyaAllah, menanti artikel seterusnya untuk keluar ^_^

Tuesday, August 2, 2011

Inilah bekal yang terbaik!


Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, [Al Baqarah:183]

“Rasanya, apa pesediaan yang paling penting sebelum kita menyambut Ramadhan yang pertama nanti?” saya menyoal ahli usrah ketika sesi tazkirah.

Jawapannya pelbagai. Ada juga yang diam bersahaja.

Lalu saya tersenyum dan bersuara.

“Persediaan yang paling utama adalah kita memohon taubat dan keampunan yang sebanyak dan sesungguhnya kepada Allah. Supaya hati kita yang kotor dan hitam ini dapat dibersihkan dengan siraman taubat.Ingatlah, hati yang bersih, mampu meresapi semangat ramadhan.Inilah motivasi kita.”

Setelah sebelas bulan kita menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi, diri kita yang tercedera semasa sebelas bulan ini dengan serangan jahiliyyah dan kaum Api, maka Allah menghadirkan kita satu bulan yang penuh rahmah dan barakah. Bulan yang mana kita berpesta dengan ibadah yang sebanyaknya. Tiada hasutan dari kaum Api.

Jika selama ini orang tidak bangun qiam kerana takut, maka bulan inilah masanya.

Jika selama ini orang tidak mahu bersedekah, maka bulan inilah masanya.

Jika selama ini orang tidak mahu membaca al-quran, maka bulan inilah masanya.

Kerna apa?

Segala ibadah yang dilakukan akan diganjari dengan pahala yang beratus kali ganda.

Kita mahu mendidik diri menjadi insan yang bertaqwa.Andai ramadhan ini dianggap seperti universiti, maka ijazah taqwa menjadi tujuan kita. Selama ini kita rendah dalam cgpa pahala, maka masa inilah kita mahu meningkatkannya.Ibarat bonus untuk para manusia yang berada di Universiti Ramadhan ini.

Akhirannya kita mahu diganjari dengan balasan syurga.

“Persoalannya adalah, kita ini masuk ke syurga kerana rahmat Allah, bukan kerana ibadah yang kita lakukan. Jadi buat apa kita beribadah selama ni?” saya memprovokasi minda mereka.

“Sebab dengan ibadah yang dilakukan,kita mengharap untuk mendapat rahmat Allah,” jawab Wani, rakan usrah saya.

Tepat tembakannya.

Analoginya adalah seperti seorang anak mahu meminta basikal baru pada ayahnya. Lalu si anak pertama memberitahu pada si ayah. Tetapi si anak pertama tiada usaha untuk menyakinkan ayahnya agar membeli basikal baru untuknya. Si anak kedua mahukan juga basikal baru. Setelah diberitahu hajatnya kepada ayahnya, si anak kedua ini cuba mengambil hati si ayah. Membantu dalam kerja rumah, menolong si ayah membasuh kereta dan sebagainya. Natijahnya, si ayah membelikan si anak kedua basikal yang diingini.

Begitulah juga kita ini manusia. Kita beribadah selama ini kerana mahu mendapat rahmat Allah. Jika kita tidak beribadah, bagaimana Allah mahu menilai kita? Ya benar, Allah Maha Mengetahui, tapi harus ada usaha untuk ktia mendapat rahmat Allah itu kan.

Allah beri kita tempoh sebulan untuk melatih diri agar menjadi insan yang bertaqwa.

Taqwa amat penting dalam hidup kita.

Hanya insan bertaqwa yang mengambil berat apa yang Allah suka dan apa yang Allah tidak suka.

Firman Allah SWT,” Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku, hai orang-orang yang berakal.” [Al-Baqarah:197]

Justeru, marilah kita raikan ramadhan yang hampir tiba ini.

Agar taqwa menjadi bekalan terbaik untuk kita semua.

Ayuh, semarakkan ramadhan, semarakkan ketaqwaan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers