Monday, January 31, 2011

Pertandingan : Apa itu kitar semula..



Bumi yang tiada rimba,seumpama hamba,dia dicemar manusia,yang jahil ketawa..

Bumi yang tiada udara, bagai tiada nyawa, pasti hilang suatu hari, tanpa disedari...

Bumi tanpa lautan, akan kehausan, pasti lambat laun hilang, duniaku yang malang...

Sering kali lagu ini menjadi siulan saya ketika zaman kecil dahulu. Meskipun masih kecil,namun lagu yang didendang bukan sekadar hanya siulan,tetapi mesej yang cukup mendalam,bahawa bumi ini sudah sangat teruk keadaannya.Jika sudah dikatakan nazak,begitulah yang saya mampu katakan.

Tahap kesedaran masyarakat di Malaysia mengenai perihal alam sekitar masih lagi tidak mencapai standard yang diharapkan.Masih boleh dikira,berapa ramai yang berfikir dahulu sebelum membuang sampah? Amat sedih melihat bumi ini binasa akibat tangan-tangan manusia yang sepatutnya menjadi khalifah terhadap alam ini.

“Berapa ramai yang sedar betapa pentingnya kitar semula ini?Sedangkan kamu yang belajar tentang alam sekitar ni pun masih tidak ada rasa nak lakukan kitar semula,betul tak?” tanya pensyarah kepada kelas kami.

Diam tanda semua orang bermuhasabah,kata-kata yang begitu terkena pada diri sendiri.

MENCARI MAKNA KITAR SEMULA

Apa itu kitar semula?

Ini soalan yang sangat biasa sudah didengar oleh sesiapa sahaja waima kanak-kanak tadika,makcik-makcik di rumah,semua tahu tentang kitar semula.Yakni proses menjadikan barangan yang tidak boleh pakai menjadi terpakai dan diguna semula.Contoh paling mudah untuk kita lihat tentang kitar semula ini adalah fesyen ‘bundle’ yang amat digemari oleh anak-anak muda.

Saya sedar bahawa kebanyakan sahabat sekalian sudah terlalu biasa mendengar tentang perkataan kitar semula ini.Namun, apa yang saya mahu bicarakan pada kali ini adalah agak luar dari biasa sedikit.

Ayuh.. saya mahu mengajak para sahabat sekalian berfikir kitar semula ini bukan dari sudut sivik semata-mata tetapi pandangan dari sudut agama juga.

Saidatina Aishah pernah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w menjahit baju dan menampal baju serta kasut baginda (Riwayat Bukhari)

Inilah teladan paling menyeluruh kepada kita umat Islam apabila berbicara mengenai kitar semula. Baginda sendiri menjahit dan menampal kasut untuk memanjangkan hayat penggunaan kedua barang tersebut. Bukankah barangan yang sudah koyak itu sudah dikira tidak berguna lagi? Namun baginda masih juga mengguna pakai semula barangan tersebut iaitu baju dan kasut.

Sayidina Abu Bakar pula dilaporkan pernah berpesan kepada keluarganya agar membersihkan salah satu pakaian yang dimilikinya untuk dijadikan sebahagian daripada kain kafan beliau. Bagi Abu Bakar,tidak perlu membeli kain kafan yang baru hanya untuk dikebumikan bersama beliau bila kain baru itu akan memberi lebih banyak manfaat kepada orang yang masih hidup.

Sahabat baginda juga memiliki sikap seperti ini.SubhanAllah.. Ambillah pengajaran dari riwayat ini.

Jelasnya, apabila dilontarkan soalan mengapa mereka mengamalkan sikap kitar semula, ada yang memberi jawapan kerana sayangkan bumi,cintakan alam, terpengaruh dengan kawan, dan sebagainya, namun bagi saya jawapan dan alasan sebegini masih tidak cukup kerana ia tidak bersikap long-term dan menyeluruh.

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bagi setiap muslim.Kitar semula adalah salah satu cara atau usaha untuk kita terus menjaga alam yang semakin tercemar. Kalian perlu sedar tentang kata kunci yang cuba saya sampaikan ini.

T-A-N-G-G-U-N-G-J-A-W-A-B.

Kita tanggung dan kita jawab!

Apabila berkata mengenai tanggungjawab,sudah tentu perkara ini adalah satu kewajipan untuk kita laksanakan.Agak mengecewakan apabila kita sebagai umat Islam agak terbelakang dalam memperjuangkan isu alam sekitar ini. Malahan, para ulama serta badan-badan beragama serta politik kurang sekali menegaskan mengenai hal ini.Adakah kerana isu ini tidak sepenting sebagaiamana pentingnya perkara lain?

Jelas sekali,sepatutnya kita sebagai umat Islam perlu menjuarai dalam menangani hal isu alam sekitar ini,apatah lagi berkenaan kempen kitar semula.Sepatutnya kita perlu lebih ke hadapan, bukan sekadar menjadikan slogan ini sebagai kosmetik atau retorik semata. Mendidik masyarakat bahawa pentingnya alam sekitar ini terutama umat islam,bahawa ini tanggungjawab kita sebagai khalifah.Mentadbir dan mengurus alam dengan sebaiknya.

Bumi ini tempat tinggal kita. Jika sudah merosak,ke mana lagi kita semua mahu tinggal?

KITAR SEMULA,ALAM SEKITAR DAN KEBERSIHAN

Nyata sekali, Allah s.w.t sudah menukilkan betapa manusia dan alam ini begitu saling berkait. Bahkan,penciptaan manusia itu sendiri dari salah satu unsur alam yakni tanah.Berapa banyak ayat di dalam al-quran yang menekankan mengenai alam ini? Banyak..Kalian boleh semak sendiri kan.. Tadabbur ayat yang difirmankan, menelan hakikat bahawa kita tidak sebagai muslim tidak boleh lari mengenai hablull minal alam ini. Hubungan sesama alam!

Terdapat juga beberapa ibadah yang hijau perlaksanaanya.Sebagai contoh,mungkin suatu masa dahulu ramai yang tertanya-tanya apakah hikmah lain mengapa diharamkan kepada para jemaah haji yang berihram daripada memotong pokok tumbuhan di Makkah.Rupa-rupanya, para ulamak menyatakan yang hikmah saintifiknya dapat dikesan sekarang, iaitu dengan 3 juta umat manusia berkumpul di Makkah dalam satu masa, maka sudah tentu mereka memerlukan bekalan oksigen yang dikeluarkan daripada pokok tumbuhan.Justeru, perlu diperlihara pokok-pokok tersebut.Ibadah haji mungkin contoh kecil mengenai ibadah hijau dan mesra alam.Akan tetapi muslim perlu memperluaskan perlaksanaanya dalam konteks yang lain. (Sumber: abidfana.com)

Firman Allah s.w.t :Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.(al-Rum :41)

Ya, tegas ayat di atas. Agar kita semua kembali bertaubat,atas segala kerosakan yang dilakukan.

Ingatan ini untuk saya sendiri utamanya serta amnya pada umat Islam.Kita sangat memerlukan alam ini,bahkan tanpa alam sekitar yang bersih,sangat mustahil untuk kita hidup dengan selesa.Saya tertarik dengan salah satu bacaan bahawa terdapat satu badan kebajikan di luar negara yang memperoleh pendapatan persatuan mereka dengan hanya menjalankan kempen kitar semula sahaja. Bahkan ada di sebuah negara yang miskin penduduknya,pemerintahnya menjalankan kempen sebiji telur untuk menangani masalah sampah di negara tersebut. Kesannya banyak sampah dapat dilupuskan dengan lebih efektif.

PENUTUP : HARAPAN UNTUK ALAM INI

Saya menulis entri ini dengan sepenuh hati dan harapan agar kelak kita semua sedar akan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita ini. Benar, bumi ini tetap akan binasa (baca : kiamat) tapi dalam pada itu,kita perlu menjaganya sebaik mungkin kerana bumi ini bukan milik kita, kita hanya meminjamnya dari generasi hadapan.

Adakah kita mahu menjadi seperti dalam filem Wall-e, generasi hadapan hidup di angkasa tanpa mengenal makna hijau lagi. Selamilah mesej yang cukup mendalam dalam filem itu.

Sering kali terlihat di papan tanda masjid atau surau “Kebersihan sebahagian dari iman” namun harapan apabila melihat tandas tempat wudhuk yang kotor dan tidak terurus.Ini pengalaman yang saya alami sendiri.Bukan saya mahu pukul rata,tetapi ada sesetengah tempat itulah yang berlaku. Surau yang terdapat di fakulti saya sebagai contoh mudah.Bau yang kurang menyenangkan serta tidak terurus. Kadangkala saya terfikir untuk terjun ke dunia politik kampus membawa manifesto penting ini, ‘Utamakan kebersihan surau kita”..Moga ada yang mendengar suara kecil hati saya ini.

Kita tidak mahu menjadi generasi yang kotor dengan sampah bukan? Kerana apa? Ya, kerana kita umat islam yang amat mementingkan kebersihan, bersih itu sebahagian dari iman.

Sekali lagi saya ingin meningatkan bahawa menjaga alam sekitar itu adalah tanggungjawab kita sebagai umat islam.Ayuh kita bersegera dalam menjalankan kempen kitar semula.

Moga Allah memberi kesedaran kepada kita semua..InsyAllah..

Nota kaki : Maaf kepada pihak penganjur contest andai entri saya ini tersasar jauh dari matlamat. Saya cuma mahu mengembangkan konsep kitar semula- alam sekitar- kebersihan kerana semua itu berhubung kait dengan amat rapat. Moga Allah redha atas usaha ini.

8 comments:

Mohd Fitri on February 1, 2011 at 12:15 AM said...

tidak menghampakan. semoga berjaya :)
terima kasih.

SuhaNa on February 1, 2011 at 12:20 AM said...

to Mohd Fitri :

InsyAllah..moga Allah menitipkan kesedaran pada sesiapa yang membaca.

sayda on February 3, 2011 at 4:57 PM said...

Assalamu'alaikum Suhana..

Serampang banyak mata... insyaAllah berjaya dalam pertandingan.. sama-samalah kita amalkan kitar semula..

SuhaNa on February 3, 2011 at 6:41 PM said...

to sayda :

Wala'alaikumsalam warahmatullah ukhti..Jazakillah..sama-sama kita usaha untuk lebih bertanggungjawab ^^

cermin mata on February 20, 2011 at 3:18 AM said...

semoga berjaya dalam apa jua yang dilakukan

Fara on March 15, 2011 at 9:57 AM said...

alhamdulilah..kamu menang..bumi ini kita pinjaman dari anak2 kita..jadi jagai lah ia sebaiknya..

SuhaNa on March 15, 2011 at 5:51 PM said...

to cermin mata:

InsyAllah..Allahumma amin..Same goes too you =)

SuhaNa on March 15, 2011 at 5:53 PM said...

to Fara:

Alhamdulillah..tahniah pada ukhti juga..Moga ada keberkatan pada pengisian ini.. ^_^

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers