Sunday, August 29, 2010

Jiwa yang merdeka..




Ada seekor anak singa yang tersesat di belantara.Kemudian anak singa tersebut telah dijumpai oleh seekor ibu kambing. Kerana sifat ibu yang penuh kasih sayang,lalu dijaga anak singa itu seperti anaknya sendiri.

Hari demi hari berlalu hingga tidak sedar anak singa itu semakin membesar dalam jagaan si ibu kambing. kawan sepermainan juga dari warga kambing. Namun,rupanya gah seperti singa yang menjadi raja rimba namun ada sesuatu yang tidak kena, apakah dia?

Suatu hari, seekor singa dapat mengepung sekumpulan kambing yang sedang mencari makanan untuk dimakan. Dalam sekumpulan kambing itu terdapat anak singa tersebut. Lalu ibu kambing itu menyuruh anak kambing tersebut melawan singa tersebut. Kerana ingin membalas jasa sang ibu yang menjaganya,maka keluarlah anak singa tersebut cuba menyelamatkan 'kamu keluarganya'.

Apa yang terjadi?

Singa tersebut terkejut apabila terpandangkan seekor anak singa yang keluar dari celah-celah kumpulan kambing tersebut.Hatinya tertanya-tanya, apa yang dibuat oleh anak singa tersebut?

Sementelahan pula, anak singa itu keluar, lalu cuba melawan singa tersebut. Dia mengaum sekaut hatinya tetapi yang keluar hanyalah...

Emmmmbeeekkk..emmmmbekkkk

Eh, kenapa anak singa itu tidak boleh mengaum,tetapi mengembek? Singa yang cuba mahu dilawan itu terkejut bukan kepalang. Lalu berkata dia kepada anak singa tersebut,

"Kau memalukan warga diraja rimba sahaja, berkelakuan seperti kambing malahan tidak pandai pula mengaum hebat dan gerun seperti aku."

"Siapa kata aku adalah keturunan kau? Ini ibu aku, aku dari kalangan mereka," jawab si anak singa sambil menunjuk kepada si ibu kambing.

"Ah,kalau kau tak percaya, mari sini aku tunjukkan pada kau siapa dirimu yang sebenarnya," balas sang singa pula.

Lalu dibawa anak singa itu ke sebuah sungai. Ditunjukkan pada anak singa itu wajahnya yang sebenar.

"Nah,lihat muka kau,bukankah sama dengan aku? Tidak sama langsung dengan ibu kau. Bagaimana kau boleh mengatakan bahawa kau adalah dari golongan mereka?" kata sang singa.

"Benar,rupanya aku adalah seekor singa,keturunan warga diraja rimba. Aku bukanlah seekor kambing rupanya."

Setelah menyedari hakikat tersebut, maka tinggallah si anak singa bersama kumpulannya kembali dan menjadi anak singa yang hebat dan pastinya boleh mengaum bukan mengembek lagi.


MENTALITI PERLU DIANJAK

Hakikatnya kisah si anak singa itu tidak lari jauh dari simbolik kehidupan masyarakat Islam kini. Pemikiran kita sudah lama dipenjara sedemikian rupa. Sebenarnya kita hebat,kita cukup kuat malahan kita adalah khalifah di bumi Allah ini,tapi realiti sekarang menunjukkan kita hanya pandai mengembek dari pandai mengaum. Justeru itu, tidak ada sesiapa yang takut malahan berani mempermain dan mencaci masyarakat kita pula.

Perlunya ada penyedar yang sebenarnya kita adalah masyarakat Islam yang cukup kuat. Tetapi berapa banyak petunjuk dan penyedar telah Allah berikan tetapi kita sia-siakan? Melihat sesuatu itu tanpa memandang secara berhikmah menyebabkan kita lalai dan leka.

Kita sebenarnya semakin tenggelam dalam dunia sendiri. Perlunya anjakan paradigma untuk mengubah suasana yang terlalu selesa. Bukan bermakna kita perlu menjadi miskin selepas kaya tetapi berani mendepani cabaran yang dicipta sendiri.

Ramai masyarakat kita khususnya kaum Melayu Islam yang begitu selesa hingga menjadi tidak produktif dan proaktif. Sudah punya sebuah kereta, sebiji rumah, pendapatan yang mencukupi itu sudah sempurna dan selesa. Bukan bermakna tidak reti bersyukur atau apa-apa tetapi hidup yang kita yang berada dalam zon selesa itu menyebabkan kita malas untuk bergerak ke zon yang lebih mencabar, makanya kita makin akan makin terpuruk lemah dan kaku.

Teorinya kita boleh maju kerana penduduk Islam lebih banyak dari masyarakat lain. Tetapi praktikalnya kita adalah masyarakat yang masih mengharap bantuan dan dokongan dari negara lain. Ekonomi negara kalau tiada pelabur asing, maka jatuh terlentanglah kita. Tidak mampu untuk berdiri atas kaki sendiri merupakan suatu kerugian yang maha besar hingga mampu membunuh ketamadunan sendiri.

MERDEKAKAN DIRI SENDIRI
Samuel Smiles mengawalinya dengan gagasan atau pikiran. Tanamlah gagasan, petiklah tindakan. Tanamlah tindakan, petiklah kebiasaan. Tanamlah kebiasaan, petiklah watak. Tanamlah watak, petiklah nasib.

Tiada siapa mahu menjadi nasib seperti anak singa tersebut,namun dalam rasa tidak mahu itulah sebenarnya kita terperangkap dalam identiti sendiri. Kitalah sebenarnya raja tetapi kita juga yang menjadi hamba. Hamba yang mula hilang budaya,bahasa serta nilai murninya.

Ana memberi contoh. Jika benar kita ini adalah bangsa yang merdeka, lihat cara pemakaian kita, lihat pula gaya bahasa yang dituturkan malahan tingkah kita adakah mencerminkan kita ini adalah bangsa yang benar-benar MERDEKA?

"Saya sangat menghargai kemerdekaan negara kita, setiap tahun saya takkan miss punya lah untuk datang meraikan sambutan kemerdekaan di dataran. Ada konsert-konsert artis yang menyanyikan lagu patiotik ni," kata seorang remaja yang dikatakan sangat menghargai kemerdekaan negara.

Jika itu definisi anak muda sekarang, sungguh merugi masyarakat kini. Mereka adalah bakal pemimpin, tetapi jika minda mereka sudah dibentuk sedemikian rupa, tiada upaya untuk mengelakkan negara kita dijajah dalam erti kemerdekaan. identiti yang semakin hilang lenyap kerana tangan manusia itu sendiri.

Ingatlah, dalam mengenang 53 tahun kemerdekaan kita ini, renungkan firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya. (Q.S. Ar Ra'du:11)."

Sunday, August 22, 2010

Apa bekal kita hari ni?


RAMADHAN KE-12

Sewaktu kecil dahulu,mak sering membekalkan ana,kakak dan abang bekal ke sekolah. Sekadar nasi goreng dan ikan goreng beserta sebotol air masak. Duit sebanyak 30sen seorang diberi sebagai belanja untuk membeli jajan di kantin. Bagi ana,mak cukup bijak,,kerana apa ya ana berkata demikian? Kerana bekal yang diberi sudah cukup mengenyangkan perut kami dan duit yang berada di tangan tidak jadi di belanja,jadi kami menyimpannya di dalam tabung buluh buatan ayah.Mendidik secara berhikmah!

Itu kenangan lama,tetapi pengajarannya sentiasa mengiringi kami sehingga ke dewasa. Baiklah, ana bukan mahu bercerita mengenai kisah silam mengenai bekal makanan ke sekolah,tetapi ana terfikir mengenai apakah bekal kita untuk perjalanan ke destinasi seterusnya yakni balik ke kampung akhirat. Bekal yang kita kumpul di dunia apakah sudah terisi penuh atau belum? Ana harap kita sedang menuju ke arah titik penuh,bukan semakin menjauh.

“Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah permainan dan hiburan,sedangkan kampung akhirat itulah hidup yang sebenar,andai mereka mengetahui.” (Al-Ankabut : 64)

Oh sahabatku, ana terdiam sebentar memikir mengenai firman Allah s.w.t ini. Kehidupan dunia ini ibarat permainan dan hiburan? Ana terfikirkan permainan anak patung adik kawan ana, mungkin kah kita diibaratkan seperti anak patung tersebut. Lantas ana tertanya-tanya kenapa adik kawan ana begitu menyukai permainan anak patung tersebut.

“Alang,kenapa suka main anak patung ya?” ana bertanya kepada Alang yang sedang leka menyikat rambut anak patungnya. Macam mak dan anak gayanya ana fikir.

“Sebab anak patung ni comellah Kak Su.”

“Erk..takkan comel je kot?”

“Hurm..sebab comellah,kalau tak comel siapa yang nak main? Cuba Alang bagi Kak Su anak patung bentuk muka macam hantu,nak tak?Mesti tak nak kan? Tak seronoklah kalau tak comel.”

Dush..Aduh..kan dah kena dengan budak kecil ni Aha..jawapan akhir itu yang ana cari sebenarnya, TAK SERONOK!

Seronok dan hiburan serta permainan,satu perkara yang saling berkait.Simbiosis!

Ibarat berada di sebuah funfair dan anda terlupa untuk pulang kerana leka bermain.

Jangan kita terleka hingga terlupa untuk mengisi bekal kita. Kehidupan dunia ini melekakan,berhati-hatilah jika kita terlalu jauh dari lapangan kehidupan.

Bangun setiap pagi,apakah kita terfikir mengenai perkara-perkara kebaikan yang kita hendak lakukan pada hari ini? Muhasabah diri kita,selepas anda membaca tulisan saya ini,ambillah pena dan sehelai kertas,senaraikan perkara kebaikan dan keburukan yang kita buat pada hari ini. Adakah kebaikan kita mengatasi keburukan atau sebaliknya? Jika keburukan lebih tinggi nisbahnya,jangan bersedih,tingkatkan prestasi diri untuk kemudian hari.

DUNIA adalah pentas lakonan, MANUSIA adalah pelakon, ALLAH adalah pengarah, AL-QURAN adalah skrip lakonan, MALAIKAT adalah krewnya, AKHIRAT adalah hari anugerah dan SYURGA dan NERAKA adalah trofinya.

Jadilah pelakon yang terbaik untuk menerima trofi terbaik.

Ayuh kita bersama-sama membawa bekal yang terbaik menuju kampung akhirat kelak..InsyAllah..

Saturday, August 21, 2010

Mahu sekuat besi..


RAMADHAN KE-11

"Dan kami telah menurunkan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah bagi manusia" (surah al-Hadid,57 : ayat 25)

Ana mahu menjadi wanita besi!

Erk..kau biar benar Suhana.

Benarlah.Bukan bermakna ana mahu menjadi seperti wanita yang mengangkat berat atau bina badan itu,tetapi ana mahu menjadi wanita yang kuatnya ibarat seperti besi. Kukuh serta banyak gunanya. Menjadi asas kekuatan dalam sesuatu binaan.

Manusia itu seperti besi.Perlu dijaga serta dipelihara sebaiknya agar tidak dicemari dengan karat-karat yang bisa merapuhkannya. Seperti itu juga manusia yang perlu menjaga dirinya sebaik mungkin dari dicemari anasir-anasir luar yang bisa meruntuhkan moral serta maruah kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Cuba kita lihat serta renungkan. Besi itu asalnya kuat, tetapi apabila tidak dijaga,sentiasa terdedah pada udara yang mampu membuatnya berkarat, kekuatannya semakin berkurang,malahan boleh jadi reput.SubhanAllah..Sungguh besar ciptaan Allah,dari sekuat-kuat perkara mampu menjadi selemah itu.

Ertinya, sebagai manusia yang punya kelemahan serta kekuatan, pentingnya memelihara diri dari karat-karat jahiliah yang mampu merosakkan iman serta menjadikan kita lemah. Iman kita perlu dilindungi,dijaga serta dipertingkatkan, ada caranya. Salah satunya adalah memelihara sifat MALU!

Daripada Abu Mas'uud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu. (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari)

PRAKTIKALNYA RAMADHAN

Kedatangan bulan ramadhan adalah suatu yang amat dinanti-nantikan bagi orang-orang yang beriman. Pesta ibadah, pelbagai ganjaran ditawarkan, berganda-ganda. Bahkan dosa juga mampu menjadi berganda-ganda!

Secara telusnya, kita perlu melihat apakah praktikalnya bulan ramadhan ini? Sungguh jika difikir, bahawa Allah telah memberi kita suatu medan juang yang sangat kondusif yakni di bulan ramadhan ini. Mahu menjadi kuat seperti besi, di sini langkahnya mulanya.

This is our turning point!

Di sinilah titik mula kita untuk melakukan suatu perubahan. Berubah menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.

“Eh,kau dah pakai stokin Sarah? Sejak bila ni?” tanya seorang sahabat.

“Semua orang mahu menjadi baik, tidak ada manusia yang cita-citanya mahu menjadi jahat kan?” jawab Sarah sambil tersenyum.

“Kau perli aku ke apa ni?”

“Aku tak perli lah.Tak ada niat pun nak sakitkan hati kau.”

Ya, semua orang mahu jadi baik. Tetapi mereka keliru,tidak tahu dari mana mahu bermula. Kadang-kadang tiada kekuatan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan itu.Justeru itu, Allah memberi kita suatu bulan yang kita penuh kebaikan. Di sini kekuatan itu ada. Mahu menjadi baik di bulan ramadhan? Orang tidak akan memandang jelek, kerana persepsi masyarakat bahawa ramadhan adalah bulan segala kebaikan. Jadi tidak hairanlah jika setiap hari ada sahaja syarikat-syarikat korporat mahupun perseorang yang menderma dengan cek sebesar meja makan itu.

“Eleh,dia tu baik sekejap je, nanti habis bulan puasa, jadi baliklah perangainya tu.”

Alahai, kita pasti sudah terbiasa dengan cakap-cakap sebegini bukan? Begitu susahnya mahu berubah menjadi baik, diumpat,dikeji dan sebagainya. Apalah yang mahu dihasadnya itu.Jadi baik susah,jadi jahat pun susah!

"Wahai orang yang beriman, rukuk serta sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat." (al-Haj:77)

Jadi, bina prinsip kalian sendiri, fikir APA ALLAH AKAN KATA..bukannya berfikir dengan APA ORANG KATA..

“Eh,nanti apa orang kata kat kita bang, raya setahun sekali, inilah masanya kita nak bergaya sakan. Nanti orang kata apa pula, langsir tak berganti, sofa dah buruk. Malulah Yah macam tu.”

“Nak malunya apa Yah? Bukannya kita tak pakai pakaian pun kan? Nak fikir apa orang kata, tak hiduplah kita kat dunia.Cuba fikir apa Allah akan kata kalau kita belanja membazir macam ni, itu yang patut ditanya pada diri,” nasihat sang suami.

Semakin lama ana melihat kita semakin jauh meninggalkan kesungguhan dalam ibadat. Perhatikan, di surau atau di masjid-masjid yang hari pertama puasa, sehingga melimpah-limpah tak cukup ruang untuk berterawih.Sudah 10 hari kita berpuasa, kuantiti jemaah di surau atau masjid semakin berkurang. Malahan, apabila semakin ke penghujung ramadhan, sepi surau itu, tidak diimarahkan lagi kerana masing-masing sibuk mahu menyambut kedatangan syawal pula.

Ana kira inilah kesilapan yang paling ketara kita lakukan pada bulan ramadhan ini. Malahan tidak termasuk lagi pembaziran dari segi makanan pula.

Hakikatnya kita berjaya mencapai makna puasa itu dari segi bahasa sahaja yakni menahan lapar serta dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Tetapi objektif utama kita untuk mencapai TAKWA SEJATI itu tidak kesampaian jika masih bersikap sebegini.

Fikirkan kenapa Allah menyembunyikan bila berlakunya Lailatul Qadar dalam 10 malam terakhir, bukan di awal atau pertengahan.

Sungguh tidak Allah jadikan sesuatu perkara itu hanya untuk sia-sia.

KUATNYA BESI DIJAGA, RAPUHNYA IA KERANA DISIA-SIA

Justeru jadilah kita sekuat besi kerana sentiasa dijaga dengan peribadi Al-quran serta sunnah. Jangan cemarkan besi ini dengan karat-karat jahiliyah yang mampu merosak diri serta iman kita.

Moga kita mampu seteguh serta sekuat besi!

Thursday, August 19, 2010

Susah itu senang..


RAMADHAN KE-8..

Harapannya jelas, meski bernada biasa.

"Cara kita guna ni adalah Frobenius Method,di ambil dari nama orang yang mencipta rumus ni Frobenius. Suhana kalau buat kajian, dah dapat rumus sendiri nanti rumus tu panggil Suhana's Method,"ujar pensyarah subjek Matematik.

Ana tersenyum..

Bergurau? Mungkin bagi mereka ya..Tetapi tidak bagi ana, kerana ana percaya seorang guru tidak akan berkata perkara yang hanya sia-sia.Bagi ana,itu adalah suatu harapan.

Matematik itu susah?

Ramai yang beranggapan demikian. Belajar mahu senang belaka. Disuruh berfikir mengenai nombor pun sudah botak kepala dibuatnya.Hakikatnya suatu perkara itu menjadi susah kerana dari awal kita sudah mengesetkan minda bahawa perkara itu susah.

Be a positive thinker..

Belajar tipulah kalau ana kata tidak susah. Tetapi sejauh mana kesukaran itu yang sanggup kita hadapi dan depani. Sebagaimana subjek Matematik itu sendiri, susahnya mungkin terpaksa berfikir dan menekan kalkulator berulang kali,namun bagaimana kita menghadapi kesukaran untuk berfikir itu? Jadilah seorang yang berfikiran positif. Mulakan dengan azam, "InsyAllah senang je,tak susah mana"

"Susah lah belajar matematik, baru nak tekan minyak dah ada orang siap awal. Kau lah ni Suhana," kawan ana menuding jari.

Matematik itu mengujakan. Tidak sampai seminit jawapan sudah diperoleh sedang rakan-rakan masih terkial-kial menulis dan menekan kalkulator. Oh kawan,ana bukan bersikap kejam, tetapi sukar dikawal minda dan pergerakan.

Kalian...kisah ini bukan untuk menunjuk pandai atau apa. Tetapi pengajarannya yang mahu ana utarakan.

Hari pertama kuliah subjek matematik,ana adalah orang yang sering duduk di belakang, tidak faham apa yang diajar. Melihat rakan-rakan lain sudah menghabiskan tutorial, ana baru terkial-kial merangkak menulis soalan pertama. Rasa sedikit tercabar, lalu ana pasakkan azam untuk berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan lain.

Alhamdulillah,setelah ulangkaji kembali,baru ana tahu di mana salah fahamnya. Mencari penyelesaian yang paling cepat. Mengimaginasikan nombor-nombor di minda. Manakan tidak, mungkin sedikit terpengaruh dengan watak Lintang dalam filem Laskar Pelangi, si anak kecil genius yang otaknya jika diasah mampu menjadi lebih hebat dari Einstein.

Firman Allah: “Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu adalah kesenangan.” (Al-Insyirah: 5)

Sayugia diingatkan, kesukaran serta kesusahan itu bukanlah suatu jalan untuk kita bermalas-malas dan berpuas hati dengan apa yang ada. Jadikan kesusahan itu sebagai motivasi untuk terus berjaya.

Apa yang penting,ditimpa kesukaran dalam bentuk apa jua sekalipun, jangan hilangkan pergantungan kita kepadaNya. Mungkin kesukaran ini adalah salah satu tarbiyah dari Allah agar kita tidak leka kemudian hari.


Monday, August 16, 2010

Aku merasa semakin berdosa..




RAMADHAN KE-6

Berdetak-detik hati
Gelisah,resah..semuanya jadi tak menentu..
Aku terfikirkan hal nan satu ini..

Ku layari laman facebook untuk seketika..
dan ku jumpa satu video yang memaparkan sebuah cerita
mengenai dosa yang sentiasa mengejari kita
dengan cara apa?

Gambar..ya gambar yang terpapar..
meski sudah ku berhati-hati dalam hal ini
namun,bagaimana pula tingkah rakan-rakanku?
yang memapar gambar tanpa kebenaranku?
tanpa memikirkan apakah aurat rakan-rakannya sudah sempurna untuk di lihat?

Lalu ku jadi bingung,dengan cara apa yang harus ku lakukan
menegur sikap kalian yang sedemikian
sedangkan gambar itulah yang menjadi alat untuk menimbulkan dosa
dalam masa 24 jam sahaja,tidak terhitung banyaknya dosa
tidakkah kalian terfikir? satu dunia mampu melihat anda
jika auratmu kit asudah cukup sempurna
ku fikir tidak mengapa
namun bagaimana rakan-rakan yang lain pula?
tidakkah kalian merasa berdosa meletakkan gambar mereka tanpa meminta izin juga?

Sungguh ku tidak berdaya menampung segala dosa ini
ku lihat betapa buruknya facebook dari segi ini

Aduh..bicaraku semakin walang
duhai kawan...mohon mengerti maksudku ini..

"dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan ta’atilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya." (QS. Al-Ahzab ayat 33)

Saturday, August 14, 2010

Apakah niat puasa kita?


SubhanAllah..Alhamdulillah, dalam waktu arus kesibukan yang sedikit menggila ini, ana dapat juga menyelit untuk menulis. Hari ini adalah ramadhan yang ke-5, seharusnya kita renungi apakah amalan yang kita lakukan sesudah 5 hari kita berpuasa. Adakah sedikit bertambah atau masih di takuk lama?

Di sini ana ada sedikit kisah yang ana rasa perlu kita renungi semula.

Ada seorang ayah,mempunyai 4 orang anak. Kemepat-empatnya mempunyai perwatakan yang berbeza. Pada suatu hari, si ayah baru pulang dari kerja dan meminta si anak mengambilkannya air.

"Along, tolong bawakan ayah segelas air," pinta si Ayah.

Dengan kaki yang menghentak-hentak tanda memprotes akan suruhan itu,si anak tetap juga menghulurkan ayahnya segelas air, sambil berkata " Asyik Along je yang ambilkan ayah air." Wajahnya kelat,masam mencuka, tanda tidak ikhlas jelas terpamer.

Keesokan harinya, si Ayah pulang dari kerja dan meminta dibawakan segelas air, tetapi kali ini pada anaknya yang lain pula.

"Angah, tolong bawakan ayah segelas air."

Laju sahaja si anak melaksanakan suruhan. Dengan wajah yang berseri-seri,dihulurkan pada ayahnya segelas air sambil berkata " Ayah,ini segelas air.Dan berharga RM 0.50 ditambah dengan layanan istimewa dari saya semua sekali berharga RM 1.00."

Alahai,diminta upah pula untuk suatu suruhan.

Hari seterusnya si ayah masih meminta segelas air dari anaknya setelah pulang dari kerja.

"Acik, tolong bawakan ayah segelas air."

Si anak memberikan ayahnya segelas air,namun dalam keadaan yang takut-takut kerana berfikiran ayahnya seorang yang garang.

Keesokan harinya sekali lagi si ayah meminta segelas air setelah pulang dari kerja.

"Acu, tolong bawakan ayah segelas air."

Kali ini si anak bukan sahaja membawakan kepada ayahnya segelas air, malahan turut dihidang dengan sepinggan biskut lagi. Betapa kasihnya dia pada ayahnya, melakukan suruhan bukan hanya dengan rasa ikhlas tetapi rasa penuh tanggungjawab serta kasih sayang.

HABLUMINALLAH..HUBUNGAN KITA DENGAN ALLAH

Apa iktibarnya dari kisah tersebut?

Dalam cerita ini sebenarnya ada 4 golongan, yang mana perlu kita renungi sebentar, di manakah layaknya diri kita dalam golongan ini.

1. Golongan yang melakukan suruhan tetapi didalam hatinya memberontak. Melaksanakan suruhan atas dasar paksaan. Buat tapi tidak ikhlas!

2. Golongan yang melakukan suruhan tetapi bersandarkan ganjaran serta fdilat semata-mata. Tiada 'reward' tidak pula mahu melaksanakannya. Di manakah letak niat kita sebenarnya? Adakah niat kerana Allah atau niat kerana mengejar pahala?

3. Golongan yang melakukan suruhan atas dasar takut. Takut menerima azab, dilaksanakan suruhan. Jika difikir pada kebaikan bagus juga dari tidak buat apa-apa tetapi jika sesuatu itu tidak ada balasan,adakah dia akan laksanakan? Fikir-fikirkan..

4. Golongan ini bukan sahaja sanggup melaksanakan tetapi jelas sekali niatnya adalah bukan kerana pahala,takut atau apa-apa. Kerana cinta sanggup melakukan segala suruhan. Dengan rela tanpa rungutan atau paksaan.

Justeru, harus kita renungi semula di bulan ramadhan ini. Apakah sebenarnya niat kita? Melaksanakan kewajiban puasa atas dasar kehambaan atau rasa mengejar maghfirah?

What you see is what you get back!

Jika kita pandang bulan ramadhan ini hanya untuk mengejar kebaikan, kebaikan yang kita dapat. Jika mengejar keuntungan, untunglah kita dapat. Namun bagi orang-orang beriman, seharusnya bulan ramadhan ini kita pandang hanya untuk Allah serta mencapai takwa sejati.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Hai orang-orang beriman! Puasa diwajibkan atasmu sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelummu, agar kamu menjadi orang yang bertakwa.

Ayuh,hubungkan hati kita dengan Allah..Moga takwa menjadi imbalan untuk kita di akhir ramadhan kelak..InsyAllah..

Tuesday, August 3, 2010

Menghitung detik penuh bermakna..


Ku mula bicara ini dengan kalimah suci Bismillahirahmanirrahim. Segala puji serta selawat juga untuk rasul junjungan.

Alhamdulillah,berkesempatan ana untuk menjenguk sebentar rakan-rakan blog setelah hampir sekian lama menyepikan diri. Sibuk...itu yang sering membelenggu diri apatah lagi mengejar segala jadual yang programnya mahu dilaksanakan sebelum ramadhan bermula.

Ramadhan..satu bulan yang penuh setiap inci masanya dipenuhi barakah. Mengejar segala kebaikan yang mahu ditebus setelah 'menjahat' selama 11 bulan sebelumnya. Sungguh ana tidka sabar menanti kehadiran ramadhan ini.

Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan
bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke
atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan
ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan.
Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia
rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)

Kali ini ana mahu mengajak kalian bermuhasabah kembali. Tatkala tibanya bulan barakah ini, perkara yang sering berlaku adalah majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, artis-artis nasyid menjadi pilihan untuk diundang dalam setiap majlis,malahan siaran di televisyen pula banyak memaparkan kisah-kisah yang lebih berinformasi dan berguna..salah satunya HAIWAN TELADAN..mungkin program yang dihoskan oleh dua pengacara ini sesuai untuk golongan kanak-kanak sahaja,namun bagi ana itu bukan menjadi masalah untuk ana menonton rancangan sebegini juga,bahkan secara santainya banyak pengajaran yang berguna.

Ana sayu membaca artikel yang ditulis oleh ustaz Hasrizal mengenai yatimnya anak-anak yatim selama 11 bulan,hanya dirai pada satu bulan sahaja sehinggakan mereka tiada waktu dan sedikit ruang untuk memperbanyakkan ibadat pada bulan barakah ini. Segala aktiviti mereka dipenuhi dengan majlis berbuka puasa yang dilakukan di hotel-hotel terkemuka atau di mana sahaja.

Pengajarannya, ramadhan hadir adalah untuk menjadi pemangkin kepada kita agar sentiasa melaksanakan amal perbuatan yang baik. Jika seseorang itu sering beranggapan bahawa tiada sisi baik dalam dirinya,tetapi apabila ramadhan tiba,secara automatik suis baik dalam diri menyala,tidak banyak mungkin sedikit. Mari kita renungkan..

Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga,tetapi misinya adalah untuk mencipta takwa. Beruntunglah sesiapa yang menyedari dan memperolehinya. Sedang kita diulit dengan hadiah berharga dari Allah ini,apakah kita masih tegar menyebarkan maksiat di muka bumi ini. Kes-kes maksiat masih tidak berkurangan. Semakin membarah masalah sosial ini dalam kalangan masyarakat kini.

Ayuh kita pasakkkan satu azam dalam diri agar ramadhan kali ini adalah ramadhan yang terbaik dari sebelum ini. Penuhi dengan amalan yang menggunung. Rebutlah malam yang dijanjikan Allah itu..Ya Allah,sampaikan aku pada ramadhan ini.

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers