Monday, January 31, 2011

Pertandingan : Apa itu kitar semula..



Bumi yang tiada rimba,seumpama hamba,dia dicemar manusia,yang jahil ketawa..

Bumi yang tiada udara, bagai tiada nyawa, pasti hilang suatu hari, tanpa disedari...

Bumi tanpa lautan, akan kehausan, pasti lambat laun hilang, duniaku yang malang...

Sering kali lagu ini menjadi siulan saya ketika zaman kecil dahulu. Meskipun masih kecil,namun lagu yang didendang bukan sekadar hanya siulan,tetapi mesej yang cukup mendalam,bahawa bumi ini sudah sangat teruk keadaannya.Jika sudah dikatakan nazak,begitulah yang saya mampu katakan.

Tahap kesedaran masyarakat di Malaysia mengenai perihal alam sekitar masih lagi tidak mencapai standard yang diharapkan.Masih boleh dikira,berapa ramai yang berfikir dahulu sebelum membuang sampah? Amat sedih melihat bumi ini binasa akibat tangan-tangan manusia yang sepatutnya menjadi khalifah terhadap alam ini.

“Berapa ramai yang sedar betapa pentingnya kitar semula ini?Sedangkan kamu yang belajar tentang alam sekitar ni pun masih tidak ada rasa nak lakukan kitar semula,betul tak?” tanya pensyarah kepada kelas kami.

Diam tanda semua orang bermuhasabah,kata-kata yang begitu terkena pada diri sendiri.

MENCARI MAKNA KITAR SEMULA

Apa itu kitar semula?

Ini soalan yang sangat biasa sudah didengar oleh sesiapa sahaja waima kanak-kanak tadika,makcik-makcik di rumah,semua tahu tentang kitar semula.Yakni proses menjadikan barangan yang tidak boleh pakai menjadi terpakai dan diguna semula.Contoh paling mudah untuk kita lihat tentang kitar semula ini adalah fesyen ‘bundle’ yang amat digemari oleh anak-anak muda.

Saya sedar bahawa kebanyakan sahabat sekalian sudah terlalu biasa mendengar tentang perkataan kitar semula ini.Namun, apa yang saya mahu bicarakan pada kali ini adalah agak luar dari biasa sedikit.

Ayuh.. saya mahu mengajak para sahabat sekalian berfikir kitar semula ini bukan dari sudut sivik semata-mata tetapi pandangan dari sudut agama juga.

Saidatina Aishah pernah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w menjahit baju dan menampal baju serta kasut baginda (Riwayat Bukhari)

Inilah teladan paling menyeluruh kepada kita umat Islam apabila berbicara mengenai kitar semula. Baginda sendiri menjahit dan menampal kasut untuk memanjangkan hayat penggunaan kedua barang tersebut. Bukankah barangan yang sudah koyak itu sudah dikira tidak berguna lagi? Namun baginda masih juga mengguna pakai semula barangan tersebut iaitu baju dan kasut.

Sayidina Abu Bakar pula dilaporkan pernah berpesan kepada keluarganya agar membersihkan salah satu pakaian yang dimilikinya untuk dijadikan sebahagian daripada kain kafan beliau. Bagi Abu Bakar,tidak perlu membeli kain kafan yang baru hanya untuk dikebumikan bersama beliau bila kain baru itu akan memberi lebih banyak manfaat kepada orang yang masih hidup.

Sahabat baginda juga memiliki sikap seperti ini.SubhanAllah.. Ambillah pengajaran dari riwayat ini.

Jelasnya, apabila dilontarkan soalan mengapa mereka mengamalkan sikap kitar semula, ada yang memberi jawapan kerana sayangkan bumi,cintakan alam, terpengaruh dengan kawan, dan sebagainya, namun bagi saya jawapan dan alasan sebegini masih tidak cukup kerana ia tidak bersikap long-term dan menyeluruh.

Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bagi setiap muslim.Kitar semula adalah salah satu cara atau usaha untuk kita terus menjaga alam yang semakin tercemar. Kalian perlu sedar tentang kata kunci yang cuba saya sampaikan ini.

T-A-N-G-G-U-N-G-J-A-W-A-B.

Kita tanggung dan kita jawab!

Apabila berkata mengenai tanggungjawab,sudah tentu perkara ini adalah satu kewajipan untuk kita laksanakan.Agak mengecewakan apabila kita sebagai umat Islam agak terbelakang dalam memperjuangkan isu alam sekitar ini. Malahan, para ulama serta badan-badan beragama serta politik kurang sekali menegaskan mengenai hal ini.Adakah kerana isu ini tidak sepenting sebagaiamana pentingnya perkara lain?

Jelas sekali,sepatutnya kita sebagai umat Islam perlu menjuarai dalam menangani hal isu alam sekitar ini,apatah lagi berkenaan kempen kitar semula.Sepatutnya kita perlu lebih ke hadapan, bukan sekadar menjadikan slogan ini sebagai kosmetik atau retorik semata. Mendidik masyarakat bahawa pentingnya alam sekitar ini terutama umat islam,bahawa ini tanggungjawab kita sebagai khalifah.Mentadbir dan mengurus alam dengan sebaiknya.

Bumi ini tempat tinggal kita. Jika sudah merosak,ke mana lagi kita semua mahu tinggal?

KITAR SEMULA,ALAM SEKITAR DAN KEBERSIHAN

Nyata sekali, Allah s.w.t sudah menukilkan betapa manusia dan alam ini begitu saling berkait. Bahkan,penciptaan manusia itu sendiri dari salah satu unsur alam yakni tanah.Berapa banyak ayat di dalam al-quran yang menekankan mengenai alam ini? Banyak..Kalian boleh semak sendiri kan.. Tadabbur ayat yang difirmankan, menelan hakikat bahawa kita tidak sebagai muslim tidak boleh lari mengenai hablull minal alam ini. Hubungan sesama alam!

Terdapat juga beberapa ibadah yang hijau perlaksanaanya.Sebagai contoh,mungkin suatu masa dahulu ramai yang tertanya-tanya apakah hikmah lain mengapa diharamkan kepada para jemaah haji yang berihram daripada memotong pokok tumbuhan di Makkah.Rupa-rupanya, para ulamak menyatakan yang hikmah saintifiknya dapat dikesan sekarang, iaitu dengan 3 juta umat manusia berkumpul di Makkah dalam satu masa, maka sudah tentu mereka memerlukan bekalan oksigen yang dikeluarkan daripada pokok tumbuhan.Justeru, perlu diperlihara pokok-pokok tersebut.Ibadah haji mungkin contoh kecil mengenai ibadah hijau dan mesra alam.Akan tetapi muslim perlu memperluaskan perlaksanaanya dalam konteks yang lain. (Sumber: abidfana.com)

Firman Allah s.w.t :Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.(al-Rum :41)

Ya, tegas ayat di atas. Agar kita semua kembali bertaubat,atas segala kerosakan yang dilakukan.

Ingatan ini untuk saya sendiri utamanya serta amnya pada umat Islam.Kita sangat memerlukan alam ini,bahkan tanpa alam sekitar yang bersih,sangat mustahil untuk kita hidup dengan selesa.Saya tertarik dengan salah satu bacaan bahawa terdapat satu badan kebajikan di luar negara yang memperoleh pendapatan persatuan mereka dengan hanya menjalankan kempen kitar semula sahaja. Bahkan ada di sebuah negara yang miskin penduduknya,pemerintahnya menjalankan kempen sebiji telur untuk menangani masalah sampah di negara tersebut. Kesannya banyak sampah dapat dilupuskan dengan lebih efektif.

PENUTUP : HARAPAN UNTUK ALAM INI

Saya menulis entri ini dengan sepenuh hati dan harapan agar kelak kita semua sedar akan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita ini. Benar, bumi ini tetap akan binasa (baca : kiamat) tapi dalam pada itu,kita perlu menjaganya sebaik mungkin kerana bumi ini bukan milik kita, kita hanya meminjamnya dari generasi hadapan.

Adakah kita mahu menjadi seperti dalam filem Wall-e, generasi hadapan hidup di angkasa tanpa mengenal makna hijau lagi. Selamilah mesej yang cukup mendalam dalam filem itu.

Sering kali terlihat di papan tanda masjid atau surau “Kebersihan sebahagian dari iman” namun harapan apabila melihat tandas tempat wudhuk yang kotor dan tidak terurus.Ini pengalaman yang saya alami sendiri.Bukan saya mahu pukul rata,tetapi ada sesetengah tempat itulah yang berlaku. Surau yang terdapat di fakulti saya sebagai contoh mudah.Bau yang kurang menyenangkan serta tidak terurus. Kadangkala saya terfikir untuk terjun ke dunia politik kampus membawa manifesto penting ini, ‘Utamakan kebersihan surau kita”..Moga ada yang mendengar suara kecil hati saya ini.

Kita tidak mahu menjadi generasi yang kotor dengan sampah bukan? Kerana apa? Ya, kerana kita umat islam yang amat mementingkan kebersihan, bersih itu sebahagian dari iman.

Sekali lagi saya ingin meningatkan bahawa menjaga alam sekitar itu adalah tanggungjawab kita sebagai umat islam.Ayuh kita bersegera dalam menjalankan kempen kitar semula.

Moga Allah memberi kesedaran kepada kita semua..InsyAllah..

Nota kaki : Maaf kepada pihak penganjur contest andai entri saya ini tersasar jauh dari matlamat. Saya cuma mahu mengembangkan konsep kitar semula- alam sekitar- kebersihan kerana semua itu berhubung kait dengan amat rapat. Moga Allah redha atas usaha ini.

Saturday, January 29, 2011

Apabila kemanisan Islam bertamu..


Saya Islam..

saya islam..

Ada dua perkataan di atas.Mana satu adalah benar?Apa jawapan kalian?

Mari fikirkan sejenak..

Perkataan pertama jika dilihat adalah berbentuk kata nama khas. Manakala perkataan kedua adalah berbentuk kata kerja. Baiklah,saya beri contoh sebegini..

Saya Makan..

saya makan..

Perkataan pertama merujuk kepada kata nama khas yakni orang itu bernama Encik/Puan Makan. Perkataan kedua pula adalah kata kerja di mana seseorang melakukan perbuatan makan.

Faham?

Kembali kepada contoh yang teratas tadi.Apabila manusia hanya menjadikan Islam sebagai kata nama khas sahaja,maka tinggal nama sahaja pada diri kita.Tertera di kad pengenalan beragama Islam tetapi cara hidupnya bagaimana?

Namun jika meletakkan Islam itu sebagai kata kerja,maka segala pekerjaan dan perlakuan kita melambangkan Islam itu sendiri.Kita sedang melakukan apa yang dikatakan sebagai Islam.

Justeru, orang yang melakukan perbuatan yang diseru oleh Islam ini adalah orang-orang yang merasa kemanisan Islam itu sendiri. Jika mereka tidak merasa kemanisan Islam, maka mereka takkan rasa mahu melakukan segala kerja yang disaran,oleh itu tinggallah hanya pada nama sahaja.

Kemanisan Islam itu sendiri,jika dapat merasanya ya Allah manis tak terhingga.Boleh mabuk kepayang agaknya. Segala apa yang disuruh oleh Allah,rela melakukan dengan ikhlas.Malahan matlamat untuk meletakkan Islam itu dijulang membara-bara dalam diri.Setiap rintangan dan ujian dihadapi tanpa ada rasa gentar.

Persoalannya adalah adakah semua orang merasa kemanisan Islam itu?

Sudah tentu ada yang tidak dapat merasa kemanisan Islam itu.Tawarnya,pahitnya rasa mereka beragama dalam Islam (naud’zu minnalihi min zalik) menyebabkan mereka tidak mahu mengerjakan apa yang disuruh oleh Allah, pemilik agama Islam.

TERGANGGUNYA KEMANISAN ISLAM

“Jadi apa puncanya ada orang yang tidak dapat merasa kemanisan Islam ini?” tanya saya pada rakan-rakan seusrah ketika sesi tazkirah penutup.

Saya memberikan analogi.Menuangkan segelas air oren dan memberi rakan-rakan seusrah minum.

“Baiklah, mari kita ibaratkan kemanisan iman itu seperti kemanisan air oren ni.Manis rasanya kan?Rasa nak beritahu semua orang,sedap dan manisnya air oren ni. Jadi apa puncanya rasa air oren ini terganggu?”

Saya menuangkan air nescafe ke dalam gelas yang berisi air oren itu. Lalu digaul dan bercampur rasa oren dan nescafe itu. Sekali lagi mereka disuruh untuk mencuba minum, berbagai-bagai memek muka terzahir di wajah mereka, tanda tidak senang dengan air itu.

“Cuba kita lihat,apabila ada sesuatu yang menggangu kemanisan oren itu, apabila dicampur apakah rasanya?Hilangkan rasa manis itu,begitu juga dengan Islam, apabila ada orang-orang yang tidak merasa kemanisan Islam itu,kerana terdapat suatu perkara yang menyebabkan manisnya itu terganggu yakni apabila ada perkara-perkara jahiliyyah yang tertanam dalam dirinya.Justeru itu, mereka ini tidak nampak Islam itu sebenarnya bagaimana.”

Kata kuncinya adalah tidak mengambil Islam secara total.

Mengambil secara celup sahaja.Mana yang rasa tidak sesuai,tidak diambil sebagai cara hidup.

“Wahai orang-orang yang beriman!Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan,sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (surah al-baqarah :208)

Inilah masalah utama masyarakat sekarang. Tata cara hidup kita jika dilihat penuh dengan unsur-unsur jahiliyyah yang mampu merobek rasa Islam di dalam diri.Malahan siapa yang mengamalkan Islam secara total dilihat seperti seorang ghuraba (asing). Orang-orang yang beruntung adalah apabila mengamalkan Islam secara total pada hari ini.Merugi pada siapa yang tertipu dengan fata morgana dunia.

Jika ditelusuri pada sirah, lihatlah bagaimana para sahabat mampu menakhluk 2/3 dunia ini.Semuanya adalah kerana mereka merasa kemanisan Islam itu.Rasa mahu berkongsi dan memberitahu pada semua orang bahawa Islam adalah yang terbaik,yang terbest, yang tip-top dan sebagainya.

Rasa.. Ada apa pada keberadaan rasa itu?

Apabila kita tidak dapat merasa, maka tersangatlah rugi. Ibarat kita kehilangan nikmat deria rasa untuk menikmati makanan, pandang semua jenis makanan pun anda tidak akan rasa apa-apa.Biasa-biasa sahaja.Begitulah juga apabila kita kehilangan untuk merasa bahawa Islam itu adalah yang terbaik sekali.Hilang untuk merasa kemanisan Islam kerana diri sudah larut dalam campuran jahiliyyah moden ini.Takkan ada rasa untuk menyebarkan kepada sekalian manusia bahawa Islam itu adalah yang bagus sekali.Takkan ada kalau tidak ada rasa.

Marilah.. kita buang segala karat jahiliyyah yang melekat ke dalam diri. Usah tertipu dengan kesibukan dunia, hingga kita mengabaikan akhirat.

Sungguh saya menyeru kepada sahabat sekalian.

Kembalilah kepada Islam secara penuh. Kembalilah kepada Allah yang Maha Pencipta.

Kita tidak boleh menunda-nunda waktu kematian,beringatlah tentang perkara ini sentiasa agar kelak kita sedar bahawa penyesalan dan rasa bertaubat itu bertamu tatkala nyawa sudah di hujung nafas,itulah sesuatu yang sia-sia.

Persoalkan, adakah anda sudah merasai kemanisan Islam?

Apa petunjuk anda sudah merasai kemanisan Islam?

Saya doakan moga Allah menitipkan rasa kemanisan Islam itu pada diri ini dan sahabat sekalian.

Carilah kemanisan itu, bukan sekadar duduk menunggu dan menanti.

Wednesday, January 26, 2011

Wahai Pemilik Nyawaku..


Allah.. Allah.. Allah.. Astaghfirullahal azzim..

Tidak lepas sebutan itu dari mulut saya.Melihat ramai orang mengerumuni, baharu sedar bahawa saya betul-betul ditimpa kecelakaan jalan raya.Bukan bermimpi di siang hari lagi wahai Suhana.

Panduan saya cuma biasa sahaja, 60 km/j. Namun jika sudah dikatakan takdir untuk terjadi, maka jadilah juga.Segalanya kehendak Allah jua. Rasa bersyukur yang teramat sangat kerana Allah masih mahu memberi peluang untuk saya bernafas dan bergerak di muka bumi ini lagi.Nasib juga hanya cedera ringan di kaki dan tangan, dan keadaan motosikal hanya sedikit calar.

Parahnya apabila pemandu kereta tersebut tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.Jelas memang saya yang melanggar keretanya,namun itu berlaku kerana saya tidak sempat menekan brek kerana keretanya melintas tanpa melihat laluan trafik ketika itu. Saya berada di laluan yang betul, laluan major untuk trafik ( baca : utama bermakna anda berhak untuk jalan tanpa memberhentikan kenderaan) .

Pergaduhan berlaku di situ.Tetapi bukan saya yang bergaduh, pakcik-pakcik yang berada di situ bergaduh dengan pemandu tersebut,jelek melihat tingkahnya yang tidak mahu mengalah dan cuba menegakkan benang yang basah.

“Tak apalah pakcik,saya tak mahu ke klinik.Saya nak balik solat.”

Itu jawapan yang diberi oleh saya tika disoal sama ada mahu dihantar ke klinik atau tidak. Sudahlah parah menahan kesakitan, namun sakit lagi apabila melihat manusia yang begitu mementingkan diri sendiri.Tiada moral dan etika. Jelas pemandu tersebut cuba mengelak untuk membayar ganti rugi meski jelas saya yang melanggarnya. Wa kafa billahi shahida. Cukuplah Allah menjadi saksi untuk kejadian ini, kerana hanya Allah tahu siapa yang salah dan benar.

Usai solat, menadah tangan saya larut dalam esak tangis, memohon keampunan dan menghampar sejuta kesyukuran. Rasa sakit hati terubat dengan mengadu hanya padaNya.Lantas, saya segera merehatkan diri kerana rasa sakit yang berdenyut.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”.
-Riwayat Bukhari & Muslim-

Saya melihat kejadian ini secara berhikmah. Hampir sahaja saya di ambang kematian bila mengenang situasi kemalangan tadi. Sama ada diri saya melambung ke tepi dan kepala mengenai tiang tanda berhenti atau kepala saya hampir seinci untuk bergolek di tayar kereta hadapan. Ngeri mengenangkan kejadian, namun saya bersyukur kerana masih selamat dan tiada kecederaan berat.

Malang tidak berbau..

Itu kata pepatah.Malahan mati itu juga secara tiba-tiba. Mati itu tidak berbau juga kan. Saya terfikir andai kejadian tadi adalah riwayat untuk penamat hidup saya, apakah cukup segala amal yang saya lakukan. Apakah dosa yang saya lakukan selama ini lebih banyak dari amal yang ada.

Malahan, ajaibnya saya tidak mengalami sebarang luka di badan. Hikmah untuk saya apabila memakai pakaian yang disyariatkan oleh agama. Meski berbaju kurung namun aib saya masih terjaga (anda sendiri boleh fikir jika kemalangan dengan memakai baju kurung bagaimana rupanya). Terima kasih ya Allah kerana masih menjaga diri ini..

Buat pemandu tersebut, ingatlah tidak guna anda berkeras dan berhujah dengan sesuatu yang terbukti salah. Ibarat anda mencurahkan air ke daun keladi. Tiada manfaat. Saya doakan moga anda menjadi lebih bermoral dan bersifat kemanusiaan.Buat diri saya, beringatlah sebelum terkena.

Wednesday, January 19, 2011

Buntu ditambah keliru..


Panjangnya tajuk…

Finite Element Method, Axially Loaded Discontinuous Load Bearing Wall Made of 30% Recycled Coarse Aggregate with 13.3 Slenderness Ratio

Tajuk untuk apa ini?

Tentulah untuk tajuk projek tahun akhir ana.Bukan panjangnya tajuk menjadi isu,tetapi apa yang mahu dikaji itu yang keliru dan buntu.

Sebetulnya tajuk ini supervisor ana yang beri, jadi masih dalam samar-samar lagi apa yang perlu dibuat.Menggunakan LUSAS programme untuk mengkaji LWB (Load Bearing Wall) berdasarkan slenderness ratio tersebut,itu yang ana fikirkan.

Malahan tajuk ini adalah untuk bidang struktur, sepertimana yang kalian tahu ana bukanlah dari bidang ini,tetapi bidang alam sekitar.Terpaksa menadah telinga mendengar butir ceramah yang disampaikan secara ikhlas oleh Timbalan Akademik Fakulti,menjadikan ana seorang yang redha.Pada mulanya membantah juga,kerana diberi supervisor dari bidang struktur,namun akhirnya ana mengalah.Mungkin ini adalah peluang dan kelebihan yang Allah beri untuk ana.

Tambahan pula,ana sudah mencari tajuk untuk projek tahun akhir ini yakni “The effective way how to dispose cooking oil”..Tapi ditolak mentah-mentah oleh supervisor.Tiada kompromi baginya. Dengan penuh hiba,ana mencadangkan tajuk ini pada rakan pula untuk dibuat kajian bagi thesisnya.Alhamdulillah,dia menerima setelah mendapat persetujuan supervisornya.

Sungguh,sebenarnya tajuk yang ana pilih itu adalah untuk bahan kajian yang tidak pernah dibuat lagi di Malaysia.Negara maju seperti Jepun sudah ada cara mereka yakni dengan menjadikan minyak masak itu bertukar menjadi gel,dan kemudian senang untuk dibuang ke dalam tong sampah.Jika kajian ini berjaya,mungkin boleh dijual produk ini kepada umum insyAllah, dan masalah pembuangan minyak masak di negara ini sudah tidak menjadi isu lagi..InsyAllah.. (panjangnya angan-angan kau Suhana!)

Berbalik kepada tajuk thesis ana,sebenarnya ana masih keliru mahu mulakan dari mana. Menjadi masalah kepada seorang pelajar bernama manusia yang tidak jelas matlamat yang mahu dicapai. Pening,buntu,serabut semuanya ada..Perasaan sebegini sangat menggelisahkan ana.

Sudah masuk minggu ke-3, kerja masih di takuk lama.Tidak bergerak-gerak.Sedangkan dateline untuk projek ini semakin hampir.

Rabbi zidnii ‘ilman warzuqni fahman

“Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu dan berilah aku kefahaman (pengertian yang baik dan fahaman).

Moga ada sesuatu yang berhasil untuk minggu seterusnya.Lelah menjadi penunggu setia,menghadap laptop begitu lamanya dengan fikiran yang kosong tanpa arah tujuan.Oh Allah, janganlah jadikan hari-hari yang ku lalui berlalu dengan sia-sia..

Nota kaki : Keluhan hati seorang manusia yang keliru mencari deskripsi dan matlamat thesis.Kalian,doakan ana berjaya dalam misi ini..InsyAllah..Moga Allah kasih dan redha

Thursday, January 13, 2011

ISK :Indahnya hidup bermatlamat..


“Kenapa orang Melayu kalau kenduri kahwin,kena ada beri bunga telur?Mesti ada maksudnya yang tertentu.Kenapa tak beri betik ke,rambutan ke,kenapa perlu telur.Atau telur itu menjadi simbol kepada sesuatu?”tanya Laoshi ( baca pensyarah) kepada kami.

Ketika itu kelas bahasa Mandarin.

Beraneka jawapan dan alasan yang diterima..

Ana juga terfikir,kenapa perlu telur.Dahulu kebiasaannya begitu,namun sekarang mungkin berubah sedikit kerana harga telur semakin mahal,jadi diganti dengan pemberian gula-gula,kek bakar,dan sebagainya.

Pencarian untuk persoalan pun bermula.Hasilnya berdasarkan pendapat orang-orang tua, terlu itu diberi sebagai simbol untuk mendapat zuriat yang banyak.Sebagaimana ayam,sekali bertelur,pasti mengeluarkan telur yang banyak.(Ok,agak lucu namun itu yang jawapan ana terima)

Entahlah,pemikiran orang-orang dahulu,selalu berfikir luar dari kotak pemikiran..

Jadi,ana mahu mengajak pembaca sekalian menjadi seperti orang dahulu sebentar,yakni berfikir luar dari kotak pemikiran.

Jika dipandang pada sebiji telur itu,ada pelbagai tafsiran.Dipandang dari sudut pemikiran seseorang.Jika tukang masak,maka dia akan membayangkan resepi yang beraneka dari telur tersebut,jika dipandang dari seorang yang tengah lapar,akan membayangkan telur goreng yang enak untuk dimakan.Pandangan dari seorang artis (baca orang seni) pula,maka dikatakan telur ayam itu adalah sesuatu yang artistik,tetapi dari pandangan seorang pendakwah pula bagaimana?

Lihat pada struktur telur ayam itu,terdapat tiga lapisan yakni kulit telur,putih telur dan kuning telur.Yang mana paling penting dari yang penting?Tentulah kuning telur kerana dari situlah akan terbentuk anak ayam,setuju? Namun,tidak dilupa pentingnya juga fungsi kulit telur yang bertindak sebagai pelindung dan putih telur sebagai penyalur zat makanan.

Apa pengajarannya?

Ternyata ini adalah satu analogi untuk melihat apa itu MATLAMAT dan juga ALAT..

Kuning telur itu adalah matlamat,dan putih telur serta kulit itu adalah alat.Matlamat adalah untuk mendapatkan anak ayam melalui kuning telur dan cara menjayakan matlamat itu adalah melalui putih telur dan kulit yang bertindak sebagai alat.Faham disitu?

ALAT UNTUK MENCAPAI MATLAMAT

Koreksi kembali,apa matlamat penciptaan manusia di dunia ini?

Anda manusia kan?Anda sudah tahu tujuan anda dihidupkan?

Mari,mari ke sini,ana ingin mengingatkan semula,mungkin ada yang terlupa tujuan penghidupan ini…

Dan apabila tuhan kamu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya aku hendak menjadikan diatas muka bumi ini seorang KHALIFAH..( Al Baqarah 2: 30)

Ayat di atas menerangkan fungsi kita adalah untuk menjadi KHALIFAH..Seterusnya apa?

Dan tidak aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk mereka MENYEMBAH kepada-KU..(Adz-Dzariyat 51:56)

Setelah itu adalah IBADAH..Ya,matlamat hidup manusia itu ada dua yakni menjadi KHALIFAH dan melaksanakan IBADAH..

Khalifah..ibadah..adalah matlamat..

Apa pula alat untuk mencapai dua matlamat itu?

Apa-apa sahaja yang anda perolehi di dunia ini adalah alat.Dari konteks sebagai seorang pelajar, belajar adalah suatu alat untuk kita mencapai matlamat.

Adalah tidak adil untuk mendahulukan study dari program-program dakwah seperti usrah,daurah halaqah dan sebagainya melainkan jika sudah tiada alasan untuk dielakkan.

Bukan bermakna ana mahu kalian mengabaikan study,namun tidak adil jika kalian menyalahkan merosotnya pelajaran dan keputusan peperiksaan kalian hanya kerana dakwah.Salah anda melakukan percaturan masa atau salah anda mengikuti jalan dakwah ini?

Kedua-duanya penting,jika tiada alat,maka tidak tercapai matlamat,namun jika tiada matlamat,apalah guna alat?

Di dunia ini,betapa ramai manusia yang sudah lari dari matlamat hidup sebenar,mengejar kemewahan,bermegah dengan kereta besar,rumah besar,bini besar,anak besar..Ingat,dua matlamat kita yang sebenar adalah KHALIFAH dan IBADAH.Segala kemewahan yang dikejar,kereta besar dan semua yang besar itu adalah alat untuk kita mencapai dua matlamat itu.

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga) (Ali Imran 3:14)

Justeru,buahkan persoalah yang bertalu-talu dalam diri anda,apakah tujuan anda belajar?Adakah untuk mendapat pekerjaan yang baik atau mendapat dekan setiap semester,atau untuk mencapai matlamat khalifah dan ibadah?

Apakah tujuan anda bekerja sekarang ini?Untuk membeli kereta mewah kah,untuk naik pangkat kah,atau mencapai dua matlamat sebenar ini..

Ingatlah setiap pekerjaan yang kalian lakukan di dunia ini adalah alat untuk mencapai matlamat.

HIDUP DALAM ‘KANDANGAN’ IBADAH

Menjadi khalifah adalah ibarat Lasso.Kita perlu menarik setiap dari manusia sama ada rakan,keluarga atau yang lain untuk masuk ke ‘kandang’ ibadah.

Persoalannya kenapa menarik?kenapa tidak menolak?

Jika menarik,maka kita masih berada di dalam ‘kandang’ ibadah, namun jika menolak,maka anda sudah terkeluar dari ‘kandang’ ibadah.Kita tidak mahu menyeru atau berdakwah dengan cara keluar dari ‘kandang’ ibadah.Pastikan kita berada di dalam, menarik mad’u,bukan menolak mad’u itu.

Teori ini cukup mengajar ana suatu perkara,bahawa janga bertangguh dalam setiap pekerjaan, kerana gerak kerja Islam terlalu banyak.Mahu bersenang-senang bukan waktu sekarang,kerana hidup di dunia ini adalah ladang untuk kita menuai,sentiasa bekerja..bekerja..dan bekerja.. perjuangan agama ini tidak pernah akan selesai hinggalah akhir nyawa kita.

Ana pernah berasa lelah pada awalnya.Lelah untuk belajar, mengenangkan seronoknya untuk hadir usrah,daurah dan sebagainya.Hingga akhirnya ana menulis wasiat kepada diri,bahawa jika tiada alat,maka ana tidak mampu mencapai matlamat.Justeru,ana tidak boleh mengabaikan kedua-duanya.

Kadangkala untuk memahamkan kawan-kawan mengapa ana menjadi begini bukanlah mudah.Tatkala orang berlibur hujung minggu atau waktu malam,ana pula sibuk memegang buku dan bahan bacaan untuk dihadam sebanyaknya,mengejar hafazan yang masih merangkak-rangkak, hujung minggu tiada cuti.Duduk di hadapan laptop untuk mencari ilmu serta menjalankan dakwah fardhiah.Siapa yang rasa tidak cemburu dengan kelapangan waktu?Namun,ana tekadkan diri bahawa waktu yang lapang itu adalah musuh bagi seorang dai’e!

Mana mungkin seorang penyeru boleh bersenang-lenang tatkala masih ramai manusia di luar yang perlu ditarik masuk ke ‘kandang’ ibadah.

Hingga akhirnya ana tidak betah untuk merasa lapang.Rindu untuk menjalani rutin sebagai orang yang sibuk,penuh dengan tanggungjawab.

PENUTUP

Jika kalian faham,tatkala kalian sudah bergraduasi,memperoleh pekerjaan dan berjaya menjadi seorang yang kaya,baru kalian sedar bahawa kalian sudah lama kehilangan sesuatu dalam hidup.Menjalani hidup seperti robot,pergi kerja,balik kerja,tidur,makan..kemudian rutin itu diulang hingga ke akhir hayat.Mahukan kalian mati tanpa ada sumbangan terhadap agama?

Kalian kehilangan suatu perkara yakni tujuan menjadi khalifah dan ibadah.

Mungkin senang untuk dihadam teori sebegini,namun sukar untuk diterap pada amal..

Ingatlah,bersama kesukaran itu pasti ada kesenangan..

Belajarlah untuk mencapai matlamat,dakwah dan study adalah perkara yang menjadi fenomena terutama kepada mahasiswa di universiti.Ingat..dakwah adalah prioriti hidup ini.

Ana juga belajar untuk menyusun masa dengan kadar teratur.Agar yang tidak terjadi yang dikejar tak dapat,yang dikendong berciciran.Belajar untuk tidak bertangguh dalam setiap urusan.

Allah itu dekat dengan kita,Allah sentiasa bersama dengan orang yang ingin bersama denganNya~

Note : Warm-up untuk daurah ISK (Ini Sejarah Kita) hujung minggu ini..InsyAllah

Monday, January 10, 2011

Demi dakwah ini ya Zainab al-Ghazali..


“Su tahu tentang kisah Zainab al Ghazali?” tanya Kak Sha kepada ana.

“Belum berkesempatan lagi untuk membaca kisahnya.Macam mana ye kisahnya?” tanya ana pula.

Ketika itu kami bertiga,ana,Kak Sha dan adik berjaulah, berjalan kaki mungkin lebih kurang 10km, hampir separuh Pulau pangkor itu kami lalui (ye kot,tak leh nak agak,jauh sangat!). Kami baru sahaja menjalani mukhayyam di di kem Teluk Segadas, berjalan kaki pulang menuju ke checkpoint pertama semula yakni di sebuah masjid.

“Kalau nak baca tentang riwayatnya ada sebuah buku,nanti Su carilah.Apa yang kak Sha boleh katakan adalah perjuangan hidupnya,bagaimana dia diseksa di dalam penjara dan seksaan itu pula seperti seksaan yang mampu ditanggung oleh lelaki sahaja.Bayangkan kudrat perempuan yang berusia menerima siksaan sebegitu,” cerita kak Sha.

Sebetulnya nama srikandi ini diambil untuk nama kumpulan kami untuk program mukhayyam tersebut.Alhamdulillah, sering kumpulan kami mendapat carta pertama,kumpulan pertama di denda (kena nyanyi lagu IKRAM) dan kami juga menduduki tempat pertama untuk kumpulan terbaik program.

Ana bertuah kerana dapat mengetahui mengenai kisah hidup wanita tabah ini.Bila membaca mengenai kisah hidupnya, ya Allah, terasa aura semangatnya mengalir dalam diri, terasa betapa seksanya memikir tentang azab yang ditanggung.

Justeru,ana mahu menukilkan kisahnya di sini,agar para pembaca turut mengenal pejuang agama ini.Betapa kuat dan tabahnya dirinya tatkala usia sudah semakin senja,namun semangatnya masih muda,untuk melihat Islam kembali dijulang!

SIAPA ITU ZAINAB AL-GHAZALI??

Zainab Al Ghazali Al-Zubaili nama sepenuhnya.Ia dilahirkan di sekitar tahun 1917.Mula ditahan dalam tahun 1965,ketika usianya sekitar 44 tahun.Akibat dari penyeksaan yang dahsyat yang ditangungnya dalam tahanan ketika di ambil statement pendakwa,mereka menyangka umurnya lebih 90 tahun,padahal umurnya ketika itu 44 tahun.Ini menunjukkan betapa beratnya seksaan yang dilakukan oleh rejim Jamal Abdel Nasser.

Zainab Al-Ghazali mengasaskan penubuhan “Jamaah Saiditina Muslimah”.Satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin yang mempunyai method,cara dan matlamat yang sama dengan Ikhwan Muslimin.Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dan menyedarkan mereka serta mengangkat darjat mereka untuk menyebarkan panji-panji Islam,agar mereka memahami Islam,agar wanita-wanita Islam dapat menjalankan peranan wanita dengan mengikut contoh wanita salafus soleh.Dengan itu,mereka berkeyakinan umat Islam akan dapat dibangunkan semula dan negara Islam akan dapat ditegakkan dengan lelaki yang dididik oleh wanita yang bernaung di bawah Al-Quran dan As-Sunnah.Ia berjuang meletakkan wanita sebagai ibu yang mendidik rijal (pejuang) untuk membangunkan Islam.

Ketika itu proses pembaratan sedang hebat berlaku di Mesir.Kemasukan sosial budaya barat sedang berlaku dan terus melanda budaya umat Islam.Pakaian,tingkah laku dan pemikiran mereka sedang hanyut dalam budaya Barat yang menuju kearah kehancuran.Inilah dia belenggu sekularisme.

Zainab Al-Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisme ini.Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu,oleh kerana itu gerakan beliau ini antaranya untuk memberi pimpinan yang wajar kepada wanita Islam.Untuk melahirkan rijal,tenaga lelaki yang bersedia menjualkan dirinya untuk Islam.

MENDIDIK PERIBADI BERCORAK AL-QURAN DAN SUNNAH

Beliau berkeyakinan bahawa Daulah Islam akan tetap ditegakkan kembali dengan izin Allah S.W.T dengan syarat melalui satu jalan iaitu JALAN ISLAM. Negara Islam tidak dapat ditegakkan dengan lain-lain jalan kecuali JALAN ISLAM. Menurut beliau lagi, cara utama untuk kembali kepada JALAN UTAMA ini ialah Revolusi Pemikiran (Thaurah Fikriyah)—satu revolusi yang dapat mengubah pemikiran Jahiliyah kepada pemikiran Islam, berdasarkan 'aqidah Islam. Ini memerlukan Tarbiyah — pendidikan amali untuk membentuk sikap, tindakan-tindakan dan tingkah laku serta pemikiran Muslim dan Muslimah menjadi pemikiran Islam. Beliau menyebutkan ini sebagai langkah awal dalam pembentukkan Daulah Islam.

Beliau fahami ini daripada Al-Quran tentang sunnah perubahan. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang maksudnya

"Sesunguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka."

Bahawa perubahan itu tidak akan berlaku kecuali adanya perubahan diri itu…..yang difokuskan kepada jiwa dan hati manusia. Ini merupakan satu macam ketentuan - sunnatul llah dalam mengatur perubahan sejarah. Bahawa perubahan diri ini bermula dengan perubahan pemikiran, peribadi dan tingkah laku diri manusia. Inilah fahaman beliau yang mendalam tentang Islam.

Beliau menganjurkan untuk menuju kepada Daulah Islam, hendaklah mengadakan revolusi pemikiran perubahan yang pantas seperti sikap para sahabat. Beliau memetik kata-kata Syed Qutb dalam memperkatakan Jilun -Quraanun -Fariid, satu generasi Quran Yang Unik, bila mereka memeluk Islam, mereka sekali gus meningggalkan ciri-ciri Jahiliyah secara menyeluruh.

Perubahan atau Revolusi yang pantas dan cergas ini dilakukan dan seluruh pandangan mereka tentang nilai-nilai hidup dilihat mengikut neraca Islam, bukan neraca dunia atau Jahiliyah. Beliau memahami bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh Rasulullah S.A.W. dalam Dakwah baginda.

Langkah pertama dalam membuat perubahan ialah melalui Tarbiyah atau pendidikan keatas para sahabat, mereka dididik oleh Rasulullah S.A.W. bukan pada teori bahkan pada diri dan tingkah laku mereka.

Tarbiyah ini meliputi Tarbiyah Rohani dan Jasmani. Tarbiyah yang menekankan kepada pembentukkan Iman yang mendalam, sehingga tercerna dan lahir dalam tingkah laku mereka, sehingga Al-Quran tercerna dan tercetak pada diri dan tubuh badan mereka. Sehingga segala tindakan mereka adalah Islam—di lihat sahaja pada diri salah seorang dari mereka sudah ternampak akan Islam, ternampak akan Daulah Islam pada diri mereka, dan seterusnya hidupnya adalah Islam.

Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. yang mendidik jiwa mereka melahirkan manusia mithali yang unggul dalam sejarah peradaban manusia. Demikianlah natijah hasil dari didikan Iman, yang jelas pada sifat para sahabat.

KISAH MUS’AB UMAIR

Lihatlah!! Seorang pemuda yang kacak dan anak tunggal dari keluarga hartawan, Mus'ab 'Umair namanya - ia yakin dengan ajaran Muhammad S.A.W. dan terus memeluk Islam sebagai agamanya, sehingga akhir hayatnya. Setelah ibunya mengetahui bahawa Mus'ab mengikut ajaran Muhammad S.A.W, maka ia mengugut tidak akan memberi harta warisan kepada Mus'ab, seandainya ia tidak mahu kembali kepada agama nenek moyangnya.

Mus'ab sudah bulat keimanannya, demikianlah hasil didikan Rasulullah S.A.W. terhadapnya ia terus beriman dengan ajaran Muhammad S.A.W. "Aku memilih ajaran Muhammad dari memilih harta kekayaan". Ibunya pula terus bersumpah, ia tidak mahu makan sehingga Mus'ab kembali kepada agama asalnya. Sebaliknya Mus'ab pula bersumpah "Seandainya ibuku mempunyai 100 nyawa, dan keluar satu demi satu dari tubuhnya aku tetap dengan ajaran Muhammad SAW, aku tetap dengan kalimah LAILAHA ILLALLAH, namun aku tingalkan Islam, sekali-kali tidak".

Inilah kesan yang terus menerus dari Tarbiyah, Mus ab ketika syahid di medan Jihad, tatkala kain yang ada padanya untuk ditutupkan ke atas tubuhnya tutup kepalanya, terdedah kakinya, tutup kakinya terdedah kepalanya. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memerintahkan bahagian kepalanya ditutup dengan kainnya dan bahagian kakinya ditutup dengan daun kayu.

Demikianlah Mus'ab sanggup meninggalkan kesenangan dan kekayaan, dan rela mengorbankan dan menjual dirinya kepada Islam...semoga syurga firdaus ganjarannya.

MEREKA GENTAR PADA ISLAM!!

Pengorbanan demikian tidak sanggup dilakukan oleh manusia kecuali mereka yang dididik dengan Iman. Inilah sebagai satu syarat yang diwujudkan oleh Zainab Al-Ghazali, agar Negara Islam dapat dikembalikan. Semasa beliau memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat membawa masuk ramai wanita-wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah S.A.W.

Di antara mereka yang rapat hubungan dengan Zainab Al-Gahazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb,; Halidah Hassan Al-Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah Al-Fath, Aminah Al-Jauhati. Al-Waliyah Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Mereka inilah yang beliau sitatkan sebahagian dari mereka sebagai sebahagian anak-anaknya, sebahagian dari mereka sebagai adik-adiknya, sebahagian dari mereka sebagai kakak-kakaknya, dan sebahagian dari mereka sebagai ibu-ibunya.

Kerana di antara mereka ada yang berumur 85 tahun, Ummi Ahmad namanya, ia telah di tangkap oleh rejim Jamal Nasser ketika ia berusia 85 tahun, ketika Zainab mendengar berita itu, ia memperkatakan bahwa ini adalah pertanda baik bagi Islam. Musuh-musuh Islam telah gentar kepada wanita Islam yang telah tua lagi uzur. Ini menunjukkan hasrat dan minat terhadap Islam terlalu tinggi. Musuh-musuh Islam telah gentar, mereka tidak dapat membezakan antara yang bertenaga dan tidak bertenaga, antara wanita dan lelaki, antara tua dan muda, semuanya sama sebagai musuh mereka.

Setelah Mursyidul 'Am Hassan Al-Banna syahid dimamah peluru durjana yang tidak mengenal insan beriman atau tidak, Zainab Al-Ghazali terus berbai'ah kepada Hassan Al-Hudhaibi, Mursyidul 'Am penganti Hassan Al-Banna. Ia terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pimpinan Ikhwan Muslimin. la mendengar pandangan mereka dan mengambil pengajaran daripada mereka.

Beliau bersuami, suaminya seorang yang dihormati, seorang 'Ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada isterinya untuk meneruskan da'wah ditengah-tengah masyarakat manusia di Mesir. Zainab Al-Ghazali menceritakan ketika penyeksaan yang dihadapinya di penjara sampai kemuncaknya, mereka telah mengunakan berbagai cara bagi melemahkan jiwa dan rohnya menyebabkan ia terpaksa dibawa ke hospital.

Regim Jamal Abdel Nasser memaksa suaminya menceraikannya dan membawa surat cerai itu ke dalam bilik kurungan di hospital, di mana Zainab sedang dirawat. Ketika saudara-saudaranya melawatinya mereka menceritakan ketika suaminya dipaksa menceraikan Zainab Al-Ghazali, ia bersumpah "sekali-kali tidak, aku menceraikan isteriku". Demikianlah keteguhan, kesetiaan dan pengorbanan suaminya, sehingga ia kembali menemui Tuhannya ketika Zainab Al-Ghazali masih dalam Tahanan.

KISAH PENAHANAN ZAINAB AL-GHAZALI

Kisah tahanan ke atas Zainab Al-Ghazali adalah sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat dari penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan, sebelum ia ditahan, Jamal Nasser memerintahkan Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah.

Zainab Al-Ghazali menolak, kemudian ia ditawarkan menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau menjawab: "Dalam perjuangan ku tidak bercadang untuk menjadi menteri aku hanya mahu berdakwah" Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, Jamal Abdel Nasser memerintahkan untuk menangkap Zainab Al-Ghazali.

Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya satu pembunuhan telah dirancangkan sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab di tahan setelah di tangkap semula, setelah di bebaskan pada tahun 1964. Zainab Al-Ghazali terus dibawa ke penjara dengan sebuah kereta, dalam perjalanan itu dimaki hamun yang tidak dapat diterima oleh akal dan tidak dapat digambarkan oleh fikiran.

Setelah sampai ke penjara ia diseret ke bilik kurungan dengan kata-kata yang kesat, yang tidak wajar dihadapkan kepada binatang, apatah lagi kepada manusia. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin, mereka mengugut untuk menanam hidup-hidup seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh orang yang sealiran dengan Zainab Al-Ghazali. Dengan kata-kata yang

kasar, ia diheret kehilik kurungan oleh seorang lelaki yang bertubuh besar seperti syaitan hitam.

Zainab Al-Ghazali mengesahkan saya berdoa dalam hati saya.

"Ya Allah, kurniakanlah ke atas ku ketenangan, dan tetapkanlah pendirian ku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati ku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan denganperkara yang Engkau redhai".

Itulah yang dapat saya katakan. Kemudian saya terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Dalam bilik kurungan itu ada dua orang lelaki (syaitan) yang sedang duduk di atas meja membelik-belik buku catitan, yang saya tahu itu adalah buku catitan Syahid Abdul Fatah Ismail. Tahulah saya bahawa Abdul Fatah juga ditangkap ketika itu.

Di waktu itu saya mendengar azan 'Asar ... saya bersyukur kerana Allah SWT telah menyelamatkan saya dari "keganasan syaitan". Saya dapat menunaikan sembahyang, dan tiba-tiba datang lagi syaitan durjana, dengan sikap yang kasar dan keras memerintahkan saya ke sel kurungan. Saya diheret ke sel kurungan dan penyeksaan pun bermula. Semasa saya diheret ke sel

kurungan, saya melihat dalam sel penjara itu tubuh-tubuh manusia yang diseksa, tahulah saya bahawa mereka dari keluarga Ikhwan Muslimin.

Mereka sedang diseksa dan dipukul, memenuhi sel-sel penjara itu. Mereka adalah pemuda-pemuda yang saya sifatkan sebagai anak-anak saya, pemuda yang pernah dan sering datang meminta pengajaran dan nasihat dari saya. Saya berdoa "Ya Allah tetapkanlah pendirian kami, Ya Allah peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang jahat."

Saya dimasukkan ke dalam sel kurungan, kuasa letrik dinyalakan dengan kuat, sebagai satu bentuk penyeksaan. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing, anjing-anjing yang saya tidak tahu herapa banyak bilangannya. Anjing-anjing itu dilepaskan kepada saya... saya memejamkan mata dan meletakkan dua tangan saya ke dada saya, kerana saya gerun melihat anjing-anjing ganas

lagi lapar itu. Saya dengar pintu ditutup dengan rantai dan dikunci.

Saya merasai seluruh tubuh saya dikerumuni dan digigit oleh anjing itu. Saya membuka mata dan kemudian memejamkan mata saya, kerana penyeksaan yang amat sangat. Ketika itu saya berdoa kepada Allah S.W.T dalam hati saya... dan anjing-anjing itu terus menggigit dan menggigit, merobak-rabikkan dan memanjat-manjat seluruh tubuh saya — itulah yang saya rasai. Saya berdoa

"Ya Allah!!! tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain Ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!"

Kemudian saya dengar pintu dibuka orang, dan saya dibawa keluar. Saya menyangka pakaian saya yang putih bersih ini berlumuran darah... itulah yang saya rasai dan sangkakan. Alangkah terkejutnya saya, tiada apa apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Saya tahu bahawa Allah S.W.T bersama-sama dengan saya…Maha suci Engkaulah Wahai Tuhan ku. Beliau mengeluh dan merasai ni'mat kurniaan Allah yang tinggi serta kemurahan Allah S.W.T kepadanya dan pemeliharaan Allah kepadanya.

Zainab Al Ghazali menceritakan; syaitan yang memegang tangan saya bertanya kepada saya: Bagaimana anjing-anjing itu tidak merubak rabikkan daging engkau. Bagaimana anjing itu tidak menggigit engkau!!! Ada dua orang syaitan ketika itu, masing-masing memegang belantan di tangan mereka. Waktu itu hari hampir 'Isyak…kerana bayang-bayang dari luar kelihatan kemerah-merahan. Saya dibiarkan bersama anjing-anjing itu selama tiga jam. Inilah satu bentuk penyeksaan yang saya rasai…saya berserah bulat kepada Allah S.W.T kerana lebih berkuasa dari segala-galanya. Kemudian peningkatan penyeksaan pun diteruskan. Satu ketika saya direndam dalam air sejuk, pada hal ketika itu musim sejuk...dilepaskan pula udara sejuk. Beliau menyatakan, satu ketika ia melihat surat arahan tulisan tangan Jamal Abdel Nasser (la'natullah 'alaih) kepada pegawai penjara yang memerintahkan supaya Zainab Al-Ghazali diseksa lebih dari seksaan terhadap lelaki. Demikianlah! segala macam penyeksaan mereka lakukan.

Bermula dengan gigitan anjing-anjing, ke dalam sel yang berisi air dan udara sejuk... dan macam-macam lagi penyeksaan... dengan segala sepak terajang dan pukulan-pukulan cota…menyebabkan Zainab Al-Ghazali terpaksa dirawat di hospital beberapa kali. Beliau mengesahkan, satu hari pengawal penjara yang ditugaskan untuk memukulnya, tidak mahu memukulnya. Ia berkata "Duhai Makcik ku (Ya Khali), tidak sanggup saya memukulmu, tidak ada sebab mengapa harus saya memukul mu, Ya Khali". Rupa-rupanya ketika itu, ketua penjara mengintai perbualan mereka, ia menyeret keluar dan memaki hamun pemuda itu.

Pada esok harinya, ketua penjara memberitahu kepada Zainab Al-Ghazali, pemuda itu ditembak mati. Pegawai penyeksa-penyeksa di penjara terkejut kehairanan bagaimanakah keseksaan yang amat berat itu sanggup ditanggung oleh wanita... yang lebih berat penyeksaan yang ditanggung oleh lelaki... dan tidak sanggup ditanggung oleh sebarangan lelaki. Iman seorang wanita yang kebal dan kental, lebih kuat dari bubur — Muhathah. Mereka amat takjub dan mereka mengatakan, ini adalah suatu perkara yang luar biasa. Salah seorang dari mereka datang berjumpa dengan Zainab Al-Ghazali. Ia bertaubat dan meminta Zainab untuk mengajarnya Islam dan bagaimanakah hendak mendirikan Solat. Ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja dilatih keganasan fizikalnya, malah dilatih dengan fahaman mereka.

Oleh kerana itu ada di antara mereka berkata kepada Zainab Al- Ghazali: Kamu sering berkata tentang Neraka Jahanam. Sekarang kamu berada dalam neraka Jamal Abdul Nasser. Mintalah keampunan dari Nasser atau Engkau terima syarat-syarat yang ditawarkan olehnya. Ketika Zainab berkata: Allah…Allah…., salah seorang dari mereka berkata: Seandainya kami nampak Allah yang kamu sebut itu, kami akan tangkap ia dan penjarakan bersama-sama kamu. Inilah kekufuran yang berlaku. Inilah yang menyebabkan mereka takut dan gentar kepada gerakan Islam. Kemudian beliau dibicarakan dalam mahkamah pura-pura, beliau dipenjara seumur hidup. la dipenjara bersama-sama dengan Hamidah Qutb, bersama-sama seorang wanita yang sarat mengandung.

Pada hari-hari awal di dalam kem tahanan tentera, mereka dihidangkan dengan roti kering yang disapu dengan najis. Mereka menahan kelaparan yang amat sangat. Mereka ditempatkan di tempat yang busuk lagi kotor. Mereka menjenguk keluar, manalah ada kiranya sisa-sisa makanan, ada pengawal penjara yang baik sedikit mencampakkan kulit-kulit pisang ke dalam sel kurungan, mereka ambil dan makan kulit-kulit pisang itu, mereka tidak sanggup memakan roti yang disapu dengan najis.

Zainab Al-Ghazali dipenjara di sebuah kem tahanan tentera yang terletak di pinggir kota Kaherah. Beliau melihat wanita-wanita yang telah rosak akhlaknya, mereka rosak kerana dadah dan arak, mereka telah kehilangan kehormatan mereka, akibat dari proses pembaratan yang dilakukan oleh rejim sosialis. Zainab Al-Ghazali dan saudara-saudaranya itu diberi layanan yang buruk, berbeda sama sekali layanan yang diberikan kepada wanita-wanita Yahudi yang ditangkap kerana kegiatannya sebagai "spy" adalah lebih baik daripada layanan yang diterima oleh Zainab Al-Ghazali, Hamidah Qutb dan saudara-saudara mereka yang lain.

Sehingga beberapa lama beliau ditahan, di satu pagi sekitar tahun 1973, beliau dipanggil dan ditunjukkan surat pembebasan. Betapa berat kakinya untuk meninggalkan saudaranya Hamidah Qutb, tapi apakan daya semuanya diserahkan kepada ALlah S.W.T, kerana Allah S.W.T lebih berkuasa dari segala-segalanya. Tidak lama kemudian Hamidah pun dibebaskan. Menurutnya, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah S.A.W dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempohinya adalah benar. Rasulullah S.A.W bersabda

"Syaitan diharamkan menyerupai ku".

Oleh itu ia bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W adalah satu perkara yang benar. Demikianlah kisah Zainab Al-Ghazali, yang kini masih hidup, dan terus menjalankan tugas-tugas yang berat ini bersama-sama Mujahid-Mujahid yang lain untuk mengembalikan umat manusia dan alam ini kepada Islam. Berikutan dengan penangkapan beramai-ramai sahabat kita Ikhwan Muslimin oleh rejim Mendiang Anwar Sadat dan diteruskan oleh rejim Husni Mubarak (Zainab Al Ghazali) turut juga ditangkap, tapi kali ini ia hanya ditahan di rumah sahaja kerana dengan alasan sudah uzur. Semoga Allah S.W.T memelihara mereka.

PENUTUP

Sungguh kisah perjuangan ini memberi satu inspirasi kepada ana.Betapa jika difikir adakah kita tabah dan kuat menghadapi ujian sebegini? Ya Allah,begitu hebat harga yang perlu dibayar untuk meraih syurgaMu..

Jika wanita yang sudah dimamah usia ini mampu membangun semangatnya,bagaimana pula dengan kita wahai anak muda??Di mana langkah juang kita untuk melihat Islam kembali di tempatnya..

Moga kita semua mampu mengambil ibrah dari kisah ini.

SUMBER RUJUKAN: BIOGRAFI ZAINAB AL-GHAZALI


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers