Sunday, March 20, 2011

Pendusta si penuntut ilmu!


“Belajar tinggi-tinggi sampai universiti. Nanti boleh dapat kerja yang bagus-bagus,” nasihat si ibu pada anaknya.

Nasihat sebegini sering kita dengari, agaknya sudah menjadi satu trend barangkali, apabila sudah bergelar graduan universiti, pasti dapat pekerjaan yang bagus. Jaminan rezeki pada sehelai sijil, begitukah?

Bukankah sifat Allah itu Ar-Razaq..Yang Maha Memberi Rezeki. Tidak yakinkah kita pada sifat Allah ini sehinggakan kita lebih percaya, sehelai sijil yang bercop universiti itulah yang mampu mengubah nasib dan memberi pada kita rezeki yang lebih bagus. Mana keyakinan kita pada tika itu?

Saya tidak menafikan, bahawa nilai akademik itu amat penting pada masa kini.Semuanya berlumba untuk mencapai status ekonomi yang bagus dalam ruang hidup yang semakin mendesak. Namun kita harus meletakkan kepercayaan yang tinggi pada Allah. Rezeki itu ada di mana-mana dengan usaha yang halal dan berkah pastinya.

Ruangan ini, saya bukan mahu mempertikaikan perlu atau tidak pencapaian akademik itu dalam meningkatkan ekonomi diri, tetapi saya mahu memperingatkan diri saya khususnya bahawa amat berbahaya jika kita menyelewengkan saranan menuntut ilmu itu.

Penyelewengan??

Ya, hakikatnya apabila kita koreksi diri, apakah matlamat sebenar kita menuntut ilmu hingga ke universiti? Adakah kerana selepas bergelar graduan, kita boleh mendapatkan pekerjaan yang bagus, tetap dan glamour, berkereta mewah dan sebagainya? Jika benar itu adalah matlamat utama kita ketika bergelar mahasiswa kini, nyatalah kita sendiri telah memburukkan imej mulia menuntut ilmu, matlamat inilah yang dikatakan penyelewengan dalam menuntut ilmu.

Amat tidak wajar kita memperlakukan sebegitu. Maka tidak mustahil jika para mahasiswa kini amat lesu dan tepu, lemah dalam segala segi. Malahan amat memalukan lagi apabila mahasiswa muslim juga begitu. Terperangkap dengan matlamat duniawi, hinggakan segala-galanya berunsurkan material semata. Nilai moral ditolak ke tepi asalkan pencapaian akademik bagus melangit, dengan itu senang untuk mencari pekerjaan kelak.

Belajar hingga ke peringkat kedoktoran kerana boleh bermewah-mewah. Mata melihat, ramai para professor ataupun doktor, hidup senang dengan pangkat akademik yang tinggi, tetapi sedarkah kita bahawa nikmat ketenangan itu boleh diperolehi dari harta yang banyak dan kereta yang mewahkah? Tentu anda menjawab tidak, kerana hati yang tenang bisa diperoleh dengan bahagianya keluarga soleh, jiran yang peramah, kawan yang mengambil berat dan sebagainya.

Sayugia saya mengingatkan diri dan sahabat sekalian. Amal itu berserta dengan niat. Apabila niat kita untuk dunia, maka dunia lah yang kita akan peroleh. Niat kerana Allah, itu lah kita akan dapat. Menuntut ilmu, perlu dimulai dengan niat kerana Allah. Barulah boleh dinamakan ibadah.

Saya cukup kecewa dengan mahasiswa yang berjaya dalam akademik tapi lemah dalam nilai moralnya. Mahu tahu berkat atau tidak ilmu yang kita pelajari itu, cerminlah diri. Adakah dengan ilmu yang kita peroleh itu mampu membuatkan kita lebih dekat pada Allah atau sebaliknya? Jika tidak, muhasabahlah diri bahawa pasti ada kesalahan dalam setiap kelakuan dan tindakan.

Saya akui, dahulunya saya juga berfikir begitu. Masuk universiti dan dapat pekerjaan yang bagus. Namun akhirnya saya menyedari, menuntut ilmu itu seharusnya lebih dari itu. Ada tanggungjawab yang lebih besar untuk saya apabila mahu bergelar ilmuan. Mengajar manusia untuk lebih mentaati Allah dengan ilmu yang saya ada.

Rezeki itu pasti ada. Usah gusar jika kita pernah gagal dalam peperiksaan ,mengulang subjek atau semester, kerana ada hikmah besar yang Allah sertakan dalam ujian. Usah risau dengan pencapaian yang kurang memberangsangkan setiap kali ujian ataupun peperiksaan. Anda sudah berusaha dengan sebaiknya, tawakallah pada Allah dengan sebanyaknya. Rezeki itu bukan datang dalam wang ringgit semata. Mempunyai keluarga yang harmoni, anak yang bijak dan taat, dan sebagainya adalah rezeki juga.

Perbaharui kembali niat kita dalam menuntut ilmu.

“Aku belajar keranaMu ya Allah, berkatilah dengan ilmu yang ku ada agar dengannya aku mampu membawa manusia kembali mentaati Mu.”

Justeru, tidak mustahil jika kita dapat melihat ramai graduan yang memilih pekerjaan kerana niat mereka yang bermegah dengan sekalung ijazah yang ada. Siapalah kita untuk meletakkan standard sebegitu sedangkan ilmu yang ada hanya secebis cuma.Lebih parah lagi apabila ada mahasiswa yang terlalu bermegah dengan bidang yang diceburi ataupun universiti yang sedang diduduki.

Bidang perubatan, kejuruteraan, akaun dan sebagainya menjadi rebutan. UM, UIA, USM,UKM dan sebagainya menjadi pilihan..

Saya akui, itu hak individu. Walangnya hati kerana mereka melihat semua itu hanya sebagai dunia semata. Percayalah, walau dalam bidang mana atau universiti apa sekalipun, jika itu semua tidak dapat membantu anda menjadi manusia yang berjiwa hamba dan mentaati agama, segala-galanya itu tidak memberi makna apa-apa!

Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajad.” (Al Mujadilah: 11)

Jadilah orang yang berilmu yang penuh dengan ketakwaan dan tawadhuk. Mencari keberkatan ilmu itu adalah nilai yang amat penting, jangan terlalu memandang enteng tentang hal ini.

Pelajarilah bagaiman ilmuwan Islam dahulu memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk umat. Al-Khawarizmi contohnya, memperkenalkan “Angka Arab” (Arabic Numeral) untuk menggantikan sistem bilangan Romawi yang kaku. Bayangkan bagaimana ilmu Matematik atau Akaun boleh berkembang tanpa adanya sistem “Angka Arab” yang diperkenalkan oleh umat Islam ke Eropah. Kita mungkin bisa menulis angka 3 dengan mudah dengan menggunankan angka romaiw iaitu “III” tetapi cuba tulis angka 879,094,234,453,340 ke dalam angka Romawi, bingungkan? Jadi para ahli Matematik dan Akaun seharusnya berterima kasih kepada orang-orang Islam. Selain itu berkat Islam pulalah maka para ilmuwan sekarang bisa menemukan komputer yang menggunakan binari digit (0 dan 1) sebagai asas perhitungannya, kalau dengan angka Romawi (yang tak mengenal angka 0), tak mungkin hal itu bisa terjadi.

Jadilah manusia yang bermanfaat kerana itu lebih disukai oleh Allah.

Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah SAW bersabda : "Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis riwayat Thabrani dan Daruquthni)

2 comments:

sayda on March 21, 2011 at 12:36 PM said...

Assalamu'alaikum Suhana

Agaknya jika semua mendidik anak-anak ke arah mencintai ilmu agama sejak kecil tentu ramai yang tak berkiblatkan harta pangkat dan glamour.. dan tentunya kena didik dengan Tauhid pasti semua kekayaan dicari buat menegakkan syiar Allah. Mudah2an generasi mendatang sedar akan hal ini..

SuhaNa on March 21, 2011 at 4:21 PM said...

to sayda:

Waa'alaikumusalam ukhti Sayda..

Ye benar, amat bersetuju dengan komen ukhti.. Harapan tersandar pada bahu yang memahami bahawa ilmu Tauhid itu cukup penting untuk diperap pada diri generasi si anak agar tidak berlaku penyelewangan ilmu kelak..wallahua'alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers