Tuesday, March 15, 2011

Berubahlah meskipun payah...


Sepertinya ada satu tembok penghadang di hadapan yang membuatkan kita tidak mampu bergerak ke hadapan, tidak mampu melakukan suatu perubahan ke arah kebaikan.

Tembok penghadang itu adalah tembok ketakutan, yang hanya bisa dirobohkan oleh suatu keyakinan dan keazaman yang tinggi.

“Dulu,sebelum aku nak pakai tudung, banyak benda aku fikir. Tapi bila aku dah pakai, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, malahan ada kawan yang turut mengikut jejak langkah aku ni,” kata seorang kawan menceritakan pengalamannya.

Betapa hati saya begitu gembira apabila belakangan ini ada beberapa orang sahabat ingin berubah. Menukar etika pakaian seperti mana yang disyariatkan. Lafaz hamdalah tidak putus dari hati saya. Syukur kerana Allah menitip ruang hidayah pada sahabat-sahabat saya.

“Macam mana dengan perubahan? Rasa bagus tak?” mesej saya pada sahabat.

“Alhamdulillah, rasa tenang sangat. Nak solat pun senang,” balas sahabat.

“ Ya kan, dan lelaki rasa lebih hormat lagi pada kita,setuju tak?”

“Ya,betul sangat.”

Mereka meminta pandangan saya untuk berubah. Malahan yang dapat saya simpulkan adalah suatu perasaan ketakutan yang sepatutnya tidak wajar digambarkan. Takut itu, takut ini, takut begini, takut begitu.. Dan titik bagi segala alasan adalah teruskan bergerak kalau niat sudah ada.

Berubah dari tudung biasa ke tudung labuh, dulu tidak berstokin kaki dan tangan kini menutup segala-galanya. Itu adalah perubahan yang perlu pada diri setiap muslimah. Ya, jiwa anda sering memberi alasan untuk mengatakan tidak bersedia, tapi sampai bila alasan itu mahu dipertahankan? Bukankah itu aib yang perlu kita jaga. Bukan sekadar rambut sahaja.

Kerana itu bijak pandai ada mengatakan; “Bertudung tidak semestinya menutup aurat, tetapi menutup aurat semestinya bertudung(dilabuhkan)”.

Dahulu sebelum saya nekad untuk berubah dan memakai tudung labuh, perasaan ketakutan itu juga yang menjelma. Apatah lagi saya adalah dari bidang kejuruteraan, cabarannya adalah tinggi. Bagaimana mahu pergi ke tapak binaan, panjat sana,panjat sini. Orang akan perlecehkan saya dan sebagainya. Tetapi akhirnya dengan sebuah tekad dan percaya pada janji Allah, saya meneruskan langkah perubahan ini. Alhamdulillah, tiada halangan untuk saya hingga hari ini.

Yang lebih ketara adalah apabila semakin saya rasa dihormati oleh kaum lelaki. Saya rasa keselamatan itu semakin tinggi. Ya Allah, tiada apa yang dapat saya ucapkan, perasaan yang sangat harmoni dan aman.

Mungkin anda berasa selesa untuk berpakaian terbuka dan ketat sana sini, namun hakikatnya adakah anda merasa bahagia dengan apa yang anda lakukan? Adakah anda merasa selamat dengan pakaian yang tersarung di badan anda sekarang? Adakah anda tidak tahu bagaimana lelaki yang tidak tahu menundukkan pandangan, melihat anda berpakaian sebegitu, apa perasaanya tika itu?

Mengertilah.. bahawa Allah tidak pernah menindas kaum wanita. Malahan Allah mengangkat darjat kita lebih tinggi, sentiasa memelihara kita. Mensyariatkan untuk kita menutup aurat bukanlah satu penindasan agama, tetapi itu adalah cara untuk menyelamatkan kita wahai wanita. Berhias berlebihan bukanlah kerana Islam menolak keindahan, tetapi Islam mahu menjaga kita dari menjadi fitnah.. Fahamilah segala apa yang diperintahkan, kerana dengan memahami baru anda ketahui segala hikmah pensyariatan ini.

Buat anda di luar sana, berubahlah meskipun payah. Berubah untuk mengukir hidup yang lebih indah.Niat yang ada, jangan ditangguhkan, teruskan bergerak. Ayuh, hiasi diri kita dengan pakaian indah bernama takwa.

“Hai anak adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan, dan pakaian takwa itulah yang paling baik.” (Al-A’araf:26)

Moga anda sentiasa diberi kekuatan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan~

6 comments:

Syauqah Mujahidah on March 18, 2011 at 3:02 PM said...

Oh..Kena tulis penuh ya..?! Ok..tulis komen guna tulisan penuh la..hehe..

Alhamdulillah,entry yang baik. Banyak manfaat dan ibrah dari pengalaman.

Setuju sangat. Bila sudah bertudung ,lebih-lebih lagi bila bertudung labuh,diri akan lebih dihormati.Cuba lihat mereka yang bertudung TAPI tidak sepenuhnya menutup aurat , masih lagi akan dikacau oleh syabab.Tapi kalau mereka yang bertudung dan menutup aurat [melabuhkan tudung] , jarang sekali mereka ini akan diganggu. Mereka akan lebih dihormati dan ada juga yang takut nak kacau.

Dulu waktu ana nak berubah dari bertudung biasa ke tudung labuh,banyak juga yang menduga,sampai pernah satu saat ana bertudung biasa balik.Tapi alhamdulillah,diberi kekuatan semula untuk bertudung labuh.Syukur alhamdulillah.

Apa-apa pun , nak berubah ini memang payah. Lebih-lebih lagi untuk istiqomah.Yang penting kena berubah dan istiqomah.Biar lambat berubah jangan sampai tak berubah langsung.Biar lambat asalkan istiqomah.

SuhaNa on March 19, 2011 at 7:55 PM said...

to Syauqah Mujahidah:

Sahabatku sayang.. Memang diakui, untuk berubah itu cukup payah, namun hakikatnya manusia perlu berubah, demi sebuah kebaikan.

Alhamdulillah, Allah masih sayang akan kita dengan memegang kuat hati-hati ini untuk istiqamah dalam perubahan.. Moga kita semua menjadi insan yang bersyukur dengan kurnia nikmatNya.. ^_^

ziera on May 29, 2011 at 12:14 AM said...

saya hendak berkongsi sikit..saya bekas pelajar sekolah agama..dan sekarang saya,melanjutkan pelajaran ke IPTA..perubahan pada diri saya tidaklah saya banggakan..sebab saya berubah ke arah yang negatif..kalau dulu saya bertudung labuh di sekolah..sekarang saya memakai tudung tapi tudung yang biasa tu..sekarang terasa berdosa sangat dan saya ingin berubah memakai tudung labuh balik tapi saya ragu-ragu..saya takut..saya amik jurusan sains komputer sekarang..boleh tidak,saudari memberi kata-kata semangat pada saya untuk berubah..sekian..terima kasih..

SuhaNa on May 30, 2011 at 3:20 PM said...

to ziera:

SubhanAllah, saudari seharusnya bersyukur kepada Allah kerana saudari pernah berada di dalam baiah (suasana) yang solehah. Tidak semua orang berkesempatan dan berpeluang untuk belajar di sekolah agama apatah lagi bertudung labuh meskipun itu aturan sekolah. Sejujurnya saya juga datang dari sekolah yang bukan aliran agama.

Saudari, rasa berdosa yang dialami itu bukan sekadar datang kosong, yakinlah bahawa itu adalah seruan Allah untukmu berubah. Perasaan ragu-ragu dan takut itu adalah hanya bisikan syaitan yang cuba menggagalkan misi saudari untuk terus berubah.

Logiknya, kenapa saudari harus takut dan ragu pada sistem Allah? Jika semua orang di dunia ini mencemuh saudari kerana mempertahankan sistem Allah dan beramal dengannya, maka itu tidak akan disia-siakan olehNya. Pasti ada ganjaran besar yang menanti.

Saya tidak bercakap kosong,dari pengalaman saya, bahkan saya dari bidang yang banyak dikuasai oleh kaum lelaki, tetapi saya nekad untuk terus dengan niat ini. Bahkan saya lebih selesa, biarlah orang tidak memandang kita, asalkan Allah tidak lari dari memandangi kita.

Teruskan niat saudari untuk berubah, saya menyokong penuh. Jika sudah ada keinginan, teruskan langkah, insyAllah pasti akan dipermudahkan jalan olehNya.. Moga Allah melindungi kita semua dari menjadi fitnah dunia yang maha dasyat =)

ziera on May 30, 2011 at 11:50 PM said...

terima kasih atas sokongan saudari itu..saya harap dapat berubah secepatnya..doakanlah saya..

SuhaNa on May 31, 2011 at 8:42 AM said...

to ziera :

InsyAllah, tekadlah untuk bergerak, masa tidak menunggu kita.Moga Allah permudahkan jalan untuk kamu =)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers