Saturday, November 6, 2010

Diri di jalan kenangan..

Sepanjang jalan kenangan itu bila direnung kembali ada hikmah yang tersembunyi...

Ana selalu terfikir..

Berfikir kenapa ana tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya. Minta apa sahaja,pasti akan dapat. Tetapi itu semua angan-angan waktu kecil dahulu. Impian si budak hingusan.

Namun kini,impian itu mula menerjah ke ruang minda. Melihat kenalan dan para sahabat yang hidup mewah, tiada masalah kewangan, menimbulkan suatu keinsafan pada ana. Jika difikir terkandung seribu hikmah terhadap apa yang telah ditakdirkan dalam hidup ini.

Tersentak seketika ana, manakan tidak, secara tiba-tiba perasaan menginsafi menjalar dalam diri.

“Jom kita makan KFC,” ajak seorang sahabat ana.

“Alahai, KFC lagi..bosan dah.Makan benda lain pula lah,” jawab sahabat yang lain pula.

Terdiam...

Timbul perasaan akan kesyukuran serta keinsafan, bergaul menjadi satu. Dan pastinya hampir menitis air mata. Betapa diri ini insaf akan kesenangan yang diberikan oleh Allah kepada ana. Mahu makan apa sahaja, insyAllah pasti akan dapat. Bahkan jika dihitung, mungkin sedikit cuma masalah kewangan yang dihadapi. Dan keinsafan itu pula terasa apabila diri ini mula terfikir duduk di barisan orang-orang yang senang, bagaimana pula pada manusia yang masih berjuang dalam kehidupan demi mencari sesuap nasi,bukan untuk diri sahaja, tetapi untuk ahli keluarganya juga.

“Eh,tengok tu Acik.Kasihan pada keluarga ni,anak dia dah lama teringin nak makan KFC,sekarang baru dapat. Susahnya hidup mereka. Tengok tu,rumah pun dah nak roboh..Ya Allah,” ujar mak ketika kami menonton rancangan BERSAMAMU.

Sekali lagi ana terhenyak dengan perasaan ini. Berkali-kali Allah memberi peringatan pada ana agar menjadi insan yang lebih bersyukur, tiada daya melainkan pertolongan Allah jua.

Sahabat sekalian, maudhuk bicara ana bukanlah mengenai dapat makan KFC atau tidak, isunya adalah bagaimana menjadi orang yang tidak mewah harta pun boleh menjadi seorang bersyukur, apatah lagi pada manusia yang mendapat nikmat kesenangan harta, perlu bertambah-tambah pula syukurnya. Hikmahnya? Ini yang ana mahu kisahkan.

KEKUATAN ITU DATANG DARI KEKURANGAN

Pada manusia yang kurang punya harta, kurang senangnya, jangan mengeluh!

Disebalik kejadian, sebenarnya Allah memberi jalan untuk kita menghidupkan semangat juang serta mencipta kekuatan.Bagaimana ya?

Jika kita susah, dan punya keinginan,pasti kita mencari jalan untuk melangsaikan keinginan itu. Sudah tentu dengan cara yang halal pastinya. Makanya jika tiada kekuatan, pasti anda tidak akan bergerak untuk memacu diri mengejar keinginan itu. Sepertinya juga, mereka yang miskin dan kurang senang, lebih mementingkan ilmu kerana bagi mereka ilmu itu adalah jalan keluar dari kepompong kemiskinan.

Jadi,tidak hairanlah jika di sekolah, kebanyakan pelajar cemerlang adalah dari golongan yang ekonomi keluarganya sederhana.

Pengalaman dan kesusahan juga mengajar ana untuk terus maju dalam pelajaran. Peralatan sekolah yang kurang namun masih ada sedikit kesyukuran jika dibanding dengan kawan yang lebih susah dari ana.

“Abah, acik teringin pensil warna macam ni,besar.Ada warna macam-macam,” tunjuk ana pada abah,pensil warna di atas meja seorang kawan. Pensil warna berjenama LUNA,ada 24 warna semuanya,direnung dengan penuh keinginan.Ketika itu hari pertama ana menjejak kaki ke sekolah, sudah macam-macam yang dipinta. Alahai si budak hingusan.

“Nanti kalau abah ada duit,abah belikan ya,” pujuk abah pula.

Dan janji abah itu..ana tahu mungkin payah untuk ditunaikan.Biarlah menjadi kenangan dan pengajaran. Ana tahu cukup sukar , justeru si anak kecil ini mencari kekuatan, mencari jalan untuk mencapai keinginan. Dengan cara apa ya?

Setiap pertandingan yang dianjurkan di sekolah atau kampung pasti ana akan menyertai. Pada waktu itu,tiada apa yang diniatkan melainkan untuk menang dan pulang membawa hadiah. Kesudahannya setiap pertandingan yang ana sertai, berjaya meraih tempat pertama dan hadiahnya..SEKOTAK WARNA AIR BERJENAMA BUNCHO..Aha, jangan terkejut sebab pada zaman 90-an ini adalah hadiah paling mewah bagi anak-anak kampung seperti ana. Tidak terfikir, lain yang ana dapat, lebih pula yang Allah beri..Alhamdulillah..Segala puji bagiMu ya Allah..

Apabila sudah dapat apa yang dingini, nikmat memiliki itu ya Allah..sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Inilah hikmahnya, mungkin bagi yang mudah mendapat sesuatu perkara,mereka kurang menghargai, tetapi apabila sukar untuk dicapai dan berjaya diraih, itulah suatu nikmat yang jarang manusia kaya miliki.

Menghargai..itu pelajaran kedua.

Ana teringat filem berjudul HOME RUN, adaptasi dari filem CHILDREN OF HEAVEN, kisahnya sama. Bagaimana kita perlu belajar menghargai. Malahan filem ini memaparkan kemewahan kasih sayang di antara abang dan adik. Kekuatan persahabatan dan sebagainya. Sungguh filem ini perlu ditonton kerana terkandung seribu satu pengajaran dalam kita menjalani kehidupan.

Ingatlah sahabat sekalian..

Tidak akan beserta kesusahan itu melainkan kesenangan.

Berhenti mengeluh.Jadikan kemiskinan itu bukan batu penghalang,tetapi sebagai satu loncatan untuk terus berjaya. Tetapi apabila sudah berjaya,jangan pula terlalu mendongak ke langit hingga terlupa untuk berpijak di bumi yang nyata.

Kekayaan itu ujian,kemiskinan itu juga ujian..Tiada apa yang berbeza melainkan cara kita mendepani serta tempuhi ujian ini, sama ada dengan jalan keredhaan atau jalan kesukaran..

Dan nikmat Tuhan yang manakah kau dustakan?

Ya Allah,di jalan kenangan ini ku temu cintaMu,

Menjadikan aku insan yang tidak henti melafaz hamdalah

Kerna diri ini cuma insan jika tiada pertolongan dan nikmatMu

Terima kasih ya Allah atas nikmat ini..Alhamdulillah~

2 comments:

zikrie on December 6, 2010 at 10:02 AM said...

emmm.. btl tu suhana.. yg penting bersyukur dgn apa yang ada..:)

SuhaNa on December 15, 2010 at 7:46 PM said...

to zikrie :

Alhamdulillah..betul akhi,setiap apa yang dihadapi,perlu ada rasa kesyukuran kerna semua itu adalah tarbiyah dari Tuhan =)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers