Tuesday, December 1, 2009

Berdakwah melalui filem


Sebelum kita pergi kepada dakwah melalui filem, mari kita ketahui dulu apa hukum drama, filem, panggung wayang, dan televisyen.

Setelah membaca 2 fatwa berkenaan hal ini:


Saya dapat menyimpulkan bahawa kesemua drama, filem, panggung wayang dan televisyen boleh menjadi baik dan boleh menjadi buruk bergantung kepada manusia yang menggunakannya, dan tentu sekali bergantung kepada jenis bikinan drama atau filem tersebut juga. Jika drama atau filem porno sudah tentu haram hukumnya.

Jadi, bagaimana mahu menggunakan drama, filem, panggung wayang dan televisyen ke arah kebaikan, tentulah perlu menyemak akan hal-hal berikut sekurang-kurangnya:

  • Tidak beserta maksiat drama atau filem tidak menayangkan apa-apa adegan yang melanggari syarak, seperti aurat wanita, aksi ghairah, keburukan masyarakat dan sebagainya. menonton televisyen dan panggung wayang juga tidak beserta maksiat seperti minum arak, bercampur lelaki perempuan bukan mahram, dan sebagainya.
  • Tidak lalai drama, filem, televisyen, panggung wayang itu tidak melalaikan kita dari mengerjakan perintah Allah s.w.t seperti meninggal solat atau melengahkannya, lagha, lupa pada Allah dan sebagainya.

Saya tertarik dengan jawapan Dr Yusuf al Qardhawi yang menjawab persoalan serupa, menonton televisyen ketika bulan Ramadhan:

"Pihak yang terlibat dengan penyiaran rancangan televisyen hendaklah takut kepada Allah terhadap sebarang program yang akan disiarkan kepada orang ramai, terutamanya pada bulan Ramadan. la bertujuan untuk menghormati bulan yang diberkati ini, menggalakkan manusia taat kepada Allah, di samping menambahkan amalan kebaikan. Sedangkan mereka sendiri tidak berdaya menanggung dosa mereka sendiri, bagaimana pula dengan dosa orang yang menonton televisyen itu?



Firman Allah:

"(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa dengan sepenuh penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahawa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruk dosa yang mereka pikul itu."
An-Nahl: 25

Oleh itu apa peringatan untuk pendakwah-pendakwah yang mahu menggunakan media drama, filem, televisyen dan panggung wayang untuk dijadikan medan dakwah? Saya kira jawapan Ustaz Zaharudin boleh membantu kita serba sedikit. Beliau pernah menulis tentang hukum wanita berdakwah dengan nasyid dengan berpendapat ia adalah haram hukumnya.

Beliau juga menambah dalam tulisannya, " tapi ustaz, inikan alternative untuk mereka yang suka tengok penyanyi wanita yang seksi. Eloklah mereka tengok kami." Mungkin ini sebahagian pertanyaan penyokong kumpulan nasyid wanita.

Jawabnya, benda yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga. Sebagaimana disebut oleh dalil :-

Ertinya :

"Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal) Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor."
(Riwayat Ahmad, 1/387 : Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali sebahagiannya khilaf ; Majma' Az-Zawaid, 10/228 )

Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan penyanyi nasyid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan mahramnya. Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah, TIDAK, Allah tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara haram.

Tiada siapa boleh mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakanya bahawa arak itu buruk.

Nabi SAW bersabda : Ertinya :

"Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya"
(Riwayat Al-Bukhari ) Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan oleh Allah SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan ubat dalam perkara yang diharamkanNya. ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )"

Maka, dapat saya simpulkan :

  • Tidak ada dakwah menggunakan method haram dalam Islam.
  • Jika buat juga benda haram dan disebarkan pada umum, maka dosa melibatkan orang lain dalam perkara haram akan ditanggung oleh kita jua. Maka mahu atau tidak mahu BERDAKWAH MELALUI FILEM atau apa saja media perlulah kita jalankan dengan 100% jalan yang syarie. Tidak ada alasan mahu mengurangkan dosa dengan buat sedikit dosa sebagai alternatif kepada buat banyak dosa.

Jika hal itu diperbolehkan, maka tentulah boleh nasyid-nasyid wanita dihukumkan halal, namun hakikatnya usaha beberapa pihak mahu menghalalkan nasyid wanita gagal membawa apa-apa hujah yang kuat. Jika nasyid wanita pun sudah jadi haram, bagaimana pula filem atau drama yang mempertontonkan aksi wanita buka aurat malah memberahikan atau sangat-sangat jelik tidak beradab berpakaian dengan sempurna? Tak akan mahu dihalalkan jua? Maka bagaimana pula dengan aksi sentuh-menyentuh bukan mahram yang lazim berlaku dalam produksi muslim di negara kita?

Bukan sekadar bersalam, malah usap kulit, peluk-berpeluk, dan cium badan juga dipertayangkan. Lebih parah, aksi itu bukan saja dalam filem atau drama rosak lagi merosakkan, tetapi jua ada dalam filem dan drama yang dicanang-canang sebagai islamik.

Pertama, kes drama Nur Kasih. Saya mengucapkan tahniah pada penulis skripnya yang mengaku drama itu bukan sebagai drama dakwah tetapi drama kekeluargaan. Namun, apa yang menyedihkan, ada para penonton yang menyambutnya dengan girang gembira dan mencanangkannya sebagai drama dakwah. Saya beranggapan peri penting dakwah dalam isu hiburan tanah air yang pertama adalah pada para penonton dan pengguna karya atau produksi hiburan itu.


Sebahagian sedutan drama Nur Kasih

Keduanya, baru pengkarya atau pembikin karya atau produksi hiburan tersebut. Mengapa saya melihat begitu? Jawapannya saya dapat lihat dalam isu drama Nur Kasih ini, walaupun penulis skripnya sudah menyatakan ini bukan drama dakwah, tetapi sikap penonton so called pencinta islam atau iluvislam yang berdegil dan berkeras kepala mahu menganggap juga drama ini sebagai islamik dan drama dakwah menyebabkan betapa sukarnya untuk kita menaikkan fatwa dan saranan ulama di awal entri ini.

Para ulama yang saya letakkan fatwanya itu sudah menyebut filem dan drama ini seumpama pisau maka pisau boleh membunuh , pisau juga boleh bermanfaat memotong barang masakan. Namun, ketahuilah jika sudah ada pisau yang berlumuran darah, pisau sumbing, pisau berkarat yang tak lagi bermanfaat, mahu diguna juga untuk memotong, alamatnya bencanalah bakal menimpa.

Jika sudah terlihat aksi-aksi dan adegan gila 'khinzirun' dalam suatu drama tetapi sengaja mendiamkannya dan memuji-muji lagi karya-karya busuk ini, apa lagi boleh kita harapkan pada penonton? Padahal kita mahu sangat pengkarya-pengkarya yang merogol agama ini hilang hujah apabila karya mereka ditolak atas kerana kedegilan mereka memasukkan aksi pesong dan pincang syariat itu.

Apa akan jadi apabila kita membiarkan anak-anak kita biasa dengan aksi maksiat dalam drama atau filem dengan alasan mesej utama filem atau drama itu sangat baik? Maka akan lahirlah nanti pemuka-pemuka liberalisme dan pluralisme yang akan rasa agama Kristian , Buddha dan Hindu juga adalah baik sebab semua agama itu mengajak kepada kebaikan, walaupun kita semua maklum akidah mereka sesat dan kafir.

Akan lahirlah nanti orang yang pergi haji guna duit gaji menyanyi konsert, balik haji tetap buka aurat dan tabarruj, berpuasa ramadhan sambil tonjol aurat, tak solat fardu tapi solat hari raya dan sebagainya. Ini semua simptom-simptom yang lahir dari kekeliruan antara haq dan batil, apabila bercampur dalam kepala dan hati akan maksiat dan amal soleh, iman dan kafir. Sebab itu penting untuk kita sentiasa menjelaskan kemungkaran yang jelik lagi menjelikkan dalam apa jua drama atau filem walaupun mesejnya baik tetapi kemungkaran itu perlu disedari dan disedarkan, supaya menjadi kebiasaan dan amalan buat hati kita membenci kemungkaran walau terlintas sesaat cuma.

Apa akan jadi apabila kita biasa buat-buat tak terpandang kemungkaran yang berlaku, sengaja bisukan diri, mendiamkan, maka nanti akan lahirlah umat yang berasa tidak apa atau biasa apabila rakan perempuannya ceritakan dia baru bersenggama dengan teman lelakinya, berasa biasa apabila mendengar kawannya minum arak di kelab malam, berasa biasa apabila saudaranya membuka aurat menjolok mata, berasa biasa apabila meninggalkan solat sebab main bola di padang, berasa biasa apabila anak perempuannya bercouple dan lain-lain.

Saya menjelaskan dengan terang bahawa dalam drama Nur Kasih ada kemungkaran itu setakat episod 6 ini:

  • Aksi peluk dan cium yang terang antara bukan mahram.
  • Aksi minum arak sambil memegang botolnya dengan terang.
  • Pembukaan aurat pelakon muslimat yang pada adegan lain boleh ditutup auratnya. (bukti penulis skrip dan pengarah adalah liberal dengan merasa tak berdosa memperlakukan pelakon muslimat kita sebegitu).
  • Aksi bersalam bukan mahram dan menggambarkan watak seorang "ustaz" juga meraikan perlakuan itu. (ada yang menganggap ini suatu adat Melayu, tapi tidak ada seorang dapat buktikan mana-mana adat resam Melayu baik adat Temenggung mahupun Pepatih yang membenarkan bersalam bukan mahram).

Saya merasakan bukan saja dosa-dosa berat bakal ditanggungi oleh penulis skrip, pengarah, penerbit dan sekalian yang terlibat dalam produksi Nur Kasih ini atas perlakuan mungkar mereka, malah gambaran salah kepada fakta dan realiti , sebagai contoh adat bersalam bukan mahram yang tidak ada dalam mana-mana adat resam Melayu cuba untuk diada-adakan padahal semua itu adalah perlakuan moden setelah kedatangan pemikiran liberalisme sejak penjajahan barat.

Kedua, adalah produksi filem Syurga Cinta. Berbeza dengan drama Nur Kasih yang tak diakui sebagai drama dakwah oleh pembikinnya, filem Syurga Cinta diakui sebagai filem dakwah atau disebut juga mengandungi mesej dakwah. Memang tepatlah ulasan Ustaz Zaharudin tentang sikap penasyid wanita atau setidaknya penyokong nasyid wanita yang cuba menghalalkan perlakuan haram mereka sebagai jalan dakwah islam.

Filem Syurga Cinta juga adalah salah satu spesies kaum yang sama dengan kelompok itu, yang tak memahami bahawa Allah tak akan redha kita berdakwah dengan cara haram.

Seperti juga drama Nur Kasih, filem Syurga Cinta juga menonjolkan aksi mungkar :

  • Aksi muslimin meminum arak di kelab malam.
  • Aksi pelukan, geselan bukan mahram.
  • Pembukaan aurat bukan saja buka aurat malah menjolok mata dengan menonjolkan barang tertonjol.
  • Lelaki dan perempuan bukan mahram berbual berdua-duaan sambil nak digambarkan perempuan itu kuat beragama.
  • Menggambarkan seolah-olah Islam menghalalkan "couple" atau hubungan "berkawan lelaki-perempuan sebelum nikah" padahal ia jelas haram. Maka, kita jangan menganggap penulis skrip, pengarah, dan penerbit drama atau filem ini budak kecil yang nak diajarkan tentang asas hukum Islam.

Selain David Teo atau pekerja bukan Islam yang terlibat, para muslimin muslimat ini rata-rata tahu akan hukum Islam yang menyatakan apa itu halal, apa itu haram. Mereka bukan jahil, kerana isi hukum Islam dinyatakan dalam skrip mereka baik drama Nur Kasih mahupun Syurga Cinta. Maka apa yang mungkin berlaku pada mereka adalah racun liberalisme yang menghalalkan beberapa perkara haram dengan meletakkan alasan situasi, keadaan dan keperluan.

Antara racun liberalisme yang saya lihat tertanam dalam iktikad beberapa penggiat seni yang mungkin terjangkit kepada mereka yang lain dalam produksi konon islamik ini :

  • Boleh buka aurat untuk mengelakkan tidak ikhlas menutup aurat.
  • Lebih rela langgar syariat dari menjadi hipokrit dengan melakukan amal soleh padahal hati cintakan maksiat.
  • Boleh bersentuhan bukan mahram untuk menghayati watak supaya mesej yang baik sampai dengan jelas pada penonton.
  • Boleh menayangkan aksi mungkar yang hanya dilakonkan untuk menggambarkan realiti masyarakat.
  • Boleh buat drama atau filem yang mengandungi kemungkaran asal saja mesej ceritanya islamik.

Dan poin nombor lima paling menakutkan bakal tiba Ramadhan nanti dengan drama yang dicanangkan sebagai drama dakwah sebelum mula penggambaran lagi dengan tajuknya Cinta Sempurna.

Setakat yang saya mampu lihat aksi mungkar masih diselitkan sebelum drama ini ditayangkan iaitu :

  • Lagu tema adalah lagu alunan muslimat yang bukan nasyid. Jika nasyid wanita pun dah diharamkan Ustaz Zaharudin, saya yakin Ustaz Zaharudin tidak akan halalkan lagu tema ini, kecuali ustaz yang lain yang liberal. Kita nantikan hujah liberal mereka ini untuk menghalalkan lagu tema drama ini.
  • Aksi buka aurat. Malah penulis skripnya berbangga dengan aksi lakonan buka aurat berasaskan skripnya itu yang dicanang sebagai skrip dakwah, siap bergambar dan letakkan gambar aksi shooting buka aurat itu di blognya. mereka malah memanggil penulis skrip ini ustaz.

Saya berdoa semoga hidayah dicurahkan agar adegan buka aurat ditiadakan. Malah, jika dua poin diatas bertambah dengan poin-poin serupa yang melanda Nur Kasih dan Syurga Cinta, malah dicanang pula sebagai drama dakwah, dan para pencinta Islam a.k.a iluvislam pun menjadi gila bayang menanti-nanti penuh girang gembira drama dakwah ini, berada di bulan Ramadhan penuh berkah diisi dengan penyebaran drama sebegini.

Jelas ingatan Dr. Yusuf al Qardhawi patut diambil kira sekali lagi buat mereka yang terlibat secara langsung atau tak langsung dalam menyiapkan, mempromosi, dan menayangkannya, dengan ingatan,

"Pihak yang terlibat dengan penyiaran rancangan televisyen hendaklah takut kepada Allah terhadap sebarang program yang akan disiarkan kepada orang ramai, terutamanya pada bulan Ramadan. la bertujuan untuk menghormati bulan yang diberkati ini, menggalakkan manusia taat kepada Allah, di samping menambahkan amalan kebaikan. Sedangkan mereka sendiri tidak berdaya menanggung dosa mereka sendiri, bagaimana pula dengan dosa orang yang menonton televisyen itu?"

Hampir saya terlupa, ada yang menyatakan kelemahan mukmin sejati menghasilkan drama atau filem menarik adalah kerana mukmin sejati tidak hebat sinematografinya seperti hebatnya sinematografi Nur Kasih. Mereka lupa filem Children of Heaven itu apa standard sinematografinya? Namun masih ia filem yang diakui hebat oleh banyak pesta filem antarabangsa malah penerimaan penonton pelbagai lapisan di seluruh dunia.

Sekarang anda mahu menafikan lagi, semua orang lebih suka mesej yang jelas akan makruf dan filem bersih tanpa aksi curang, pincang, pesong, melekit dan jelik-pelik lebih dari apa jua sudut sampingan sinematografi dan segala macam bagai.

Editor : doraemong13
Disalin oleh : Norsuhana binti Samsudin

0 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers