Aku kah insan bertuah?
Gempa bumi kuat 7.7 skala Richter di Sinabang, Acheh
JAKARTA 7 April - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter berlaku di Sinabang, Aceh pada pukul 5.15 pagi ini, namun belum ada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan harta benda.
Gempa yang berlaku di kedudukan 75 kilometer ke Tenggara Sinabang itu berkedalaman 34 kilometer di bawah permukaan laut.
Pihak berkuasa telah pun mengeluarkan amaran tsunami, bagaimanapun ditarik balik kira-kira pukul 7.30 pagi dan keadaan di Aceh dilaporkan kembali seperti biasa.
Jurucakap Badan Meteorologi dan Geofizika Indonesia yang dihubungi berkata, kesan gempa tersebut boleh dirasai sehingga di Meulaboh.
Gegaran gempa turut menyebabkan bekalan elektrik dan telekomunikasi terputus seketika di Medan manakala penduduk Aceh turut keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Empat gempa susulan dengan ukuran antara 5.1 dan 5.2 pada skala Richter turut berlaku.
Sejumlah 165 pelajar Malaysia di Aceh dilaporkan selamat.
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar berkata, beliau telah menghubungi pemimpin pelajar di Aceh dan diberitahu mereka semua selamat.
Dr. Junaidi berkata, beliau telah mengarahkan para pelajar Malaysia di Acheh supaya mengikuti prosedur kecemasan jika ada arahan berpindah oleh pihak berkuasa tempatan. - Bernama
LAMPIRAN 2
ALOR SETAR, 7 April (Bernama) -- Gegaran akibat gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Richter yang berlaku di Sinabang, Aceh pagi Rabu turut dirasai di Kota Kuala Muda, kawasan nelayan yang dilanda tsunami pada Disember 2005.
Menurut saksi, kejadian itu tidak menyebabkan panik berikutan siren amaran tsunami yang dipasang oleh Jabatan Meteoroloji berdekatan pantai Kota Kuala Muda tidak dibunyikan.
Gempa tersebut berlaku pada kedudukan 75 kilometer ke Tenggara Sinabang, berkedalaman 34 kilometer di bawah permukaan laut kira-kira 5.15 pagi ini waktu tempatan, dipercayai turut dirasai di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Pengerusi Taman Permatang Katong (penempatan mangsa tusnami 2005), Yusoof Awang berkata beliau turut merasai gegaran itu semasa bersiap untuk ke laut menangkap ikan.
"Beberapa rakan nelayan yang berada di tepi pantai merasai gegaran akibat gempa itu kira-kira pukul 6.15 pagi dan menelefon memberitahu saya mengenai kejadian itu," katanya semasa dihubungi Bernama pada Rabu.
Yusoof berkata beliau bergegas ke tepi pantai untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu sebelum menelefon nelayan-nelayan yang telah pun turun ke laut supaya pulang sebagai langkah keselamatan jika berlaku ombak besar.
"Ada yang baru melabuh pukat terus mengarau pukat... yang telah melabuh pukat memperoleh sedikit tangkapan. Kira-kira pukul 9 pagi ramai antara mereka tiba di pantai," katanya.
Sementara itu, seorang penghuni Taman Permatang Katong, Salmah Ismail, 75, berkata beliau merasai gegaran semasa dalam perjalanan ke surau taman itu kira-kira 6.15 pagi.
"Gegaran dirasai di sekitar kawasan rumah. Mulanya saya rasa cemas namun menjadi tenang dalam beberapa saat apabila keadaan kembali normal," kata mangsa tsunami pada 2005 itu.
Di PULAU PINANG, kira-kira 500 penduduk di beberapa rumah pangsa Taman Pelangi, Lebuh Macallum di sini bergegas turun dari rumah selepas merasai bangunan rumah mereka bergoyang ekoran gempa bumi itu.
Mereka merasai gegaran itu pada pukul 6.15 pagi dan meluru keluar untuk menyelamatkan diri.
Salah seorang penduduk, M.Mohana, 48, berkata semasa kejadian beliau baru bangun tidur dan merasa gegaran sehingga badannya bergoyang-goyang.
"Pada mulanya saya rasa kepala pening dan badan bergoyang-goyang, saya ingat penyakit darah tinggi menyerang bagaimanapun dalam masa yang sama kipas siling dan beberapa barangan dalam rumah bergerak dengan sendiri," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau yang tinggal di tingkat tiga rumah pangsa itu, berkata kerana bimbangkan sesuatu yang buruk berlaku, beliau mengejutkan tujuh anggota keluarganya untuk keluar dari rumah dan mendapati beratus-ratus penghuni lain telah pun turun ke bawah.
Seorang lagi penduduk Tan Hock Wei, 35, yang tinggal di tingkat 13, berkata beliau merasa gegaran itu dua kali iaitu pukul 6.17 pagi dan 6.20 pagi.
"Waktu itu saya sedang bersiap-siap untuk keluar berniaga ikan di pasar dan apabila merasa gegaran, saya lihat ke bawah dan ramai orang telah berkumpul, lepas itu saya dan isteri juga turun," katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu pemberita di sini, kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda daripada penduduk di negeri ini.
"Kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa bumi atau tsunami dan saya juga telah mengarahkan pihak berkaitan untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Lim sebelum itu mendengar taklimat daripada Pengarah Meteorologi Wilayah Utara Loh Eng Kee mengenai kejadian gempa bumi yang berlaku di Sinabang, Aceh pagi ini.
Sementara itu di LANGKAWI pula, penduduk di kawasan Kampung Kuala Melaka telah pun membuat persiapan untuk berpindah jika diarah berbuat demikian.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Fazil Din berkata bagaimanapun pulau itu cuma menerima kesan gegaran yag kecil.
"Gegaran itu tidak kuat hanya sedikit sahaja, ia berlaku kira-kira 6.15 pagi tadi ketika saya solat Subuh," katanya ketika dihubungi.
-- BERNAMA
Comments