Thursday, January 8, 2015

Cerpen Bahagian 2

Berdiri di situ seorang lelaki memegang langsir penghadang antara Jemaah lelaki dan Jemaah perempuan. Wajahnya masih basah tanda baru usai mengambil wudhuk. Tertera nametag di atas poket bajunya, Mus’ab.

“Amboih,berhoi-hoi lagi. Tak reti nak beri salam ke?” desis Anis, mencebik. Rakannya yang sedang memegang telefon tadi terus menyorokkan telefon tersebut ke dalam kocek bajunya.

“Apa kamu semua buat dekat sini? Dari tadi saya dengar bunyi kecoh di luar surau tadi. Kamu nak buli orang ye?” tanya pemuda tersebut. Bahasanya mula reda. Tadi bukan main tinggi macam petir nak panah bumi.

“Eh,kami tak buat apa-apa cikgu. Ini kan surau,mestilah nak beribadah. Tadi kami gurau-gurau je, ye idok?” Madihah menepuk bahu Anis. Lirikan mata diberi pada semua tanda mereka perlu segera pergi dari situ.

Aqilah hanya terdiam. Tidak dipandang lelaki itu, tanda malu barangkali cikgu itu mendengar setiap butir bicara pergaduhan tadi. Dia tidak pernah tahu ada guru baru di sekolah ini. Bahkan lebih mengejutkan dia seperti pernah melihat wajah lelaki tersebut. Tetapi entah dimana, dia pun sudah lupa.

“Ah,peduli apa aku.” Dia pun melangkah keluar,tanpa mengucapkan sebarang ucapan terima kasih. Lagaknya yang memang tidak mesra pada sebarang lelaki memang begitu walau pada guru sendiri.

Mus’ab hanya memerhati Aqilah yang keluar terus dari surau tersebut tanpa sebarang bicara.

“Ini rupanya Aqilah.” Hatinya berbisik.

Terkoyak senyuman dari bibir.

Tanda satu masalah sudah selesai. Misi seterusnya perlu diteruskan. Memegang amanah terbesar ini, perlunya jiwa yang besar. Jiwa yang besar hanya datang dari kuasa yang besar,dan tentulah kuasa besar itu datang dari Allah yang Maha Besar.

Dia perlu menunaikan solat segera sebelum loceng untuk kelas bermula.

                                          ******************************************
“Anis,Madihah. Aku nak cakap sikit dengan kau dua orang.” Datang seorang perempuan berpakaian uniform kuning, lain dari pelajar. Tanda dia mempunyai jawatan di sekolah tersebut. Waktu sekolah sudah lama habis, kini mereka sedang menunggu pemandu untuk mengambil mereka. Yang pastinya hala tuju mereka bukan terus balik ke rumah, ada tempat baharu yang mereka mahu teroka rancangnya.

“Kau nak cakap apa? Aku malas nak layan kau lah, PEMBODEK!” Anis menuding jari kepada Iman. Tidak semua orang tahu yang Anis dan Iman adalah adik beradik kembar. Tidak tahu dan mereka memang tidak mahu beritahu. Lain benar perwatakan mereka berdua. Seorang yang memang sosial budaya, seorang lagi baik budinya. Bagai langit dan bumi perbedaan ketara mereka berdua.

Anis sering mencemburui Iman, kakak kembarnya itu. Sedari kecil, ayah dan ibu mereka hanya tertumpu kepada Iman. Segala macam hajat pasti akan ditunaikan. SEGALA! Maksudnya tiada ada yang tidak tertunai, pasti tertunai. Ini kerana sikap Iman yang sering mendapat pujian di sekolah kerana kepintarannya. Berbeza dengan Anis, dia lebih suka meneroka hidup dengan pengalaman dari menghabiskan hidup dengan menjadi hamba kepandaian. Prinsipnya pandai pengalaman lebih bagus dari pandai buku. Prinsipnya benar, tapi caranya salah. Dia lebih memilih untuk memberontak dengan cara bersosial sahaja. Ini sahaja cara dia mampu raih perhatian ibu dan ayahnya meskipun cara itu amat buruk sekali.

‘Kau buat apa dengan Aqilah tadi? Aku dapat tahu dari Cikgu Izzah. Dia jumpa aku beritahu perihal ini pada aku. Kau jangan macam-macam Anis, tak cukup lagi ke kau dah buat perkara onar dekat sekolah lama dulu, kau nak bawa perangai macam ni dekat sekolah ni juga? Memalukan aku betul dapat adik macam kau ini.” Dengus Iman. Safiyah yang berada di sisinya cuba menyabarkan sahabatnya itu.

“Eh, Iman. Yang kau nak sibuk pasal kitorang ni apahal? Kau hiduplah dengan hidup kau. Jangan nak masuk campur perihal aku. Blah lah kau!” terus mereka beredar dari situ. Hilang mood mereka.

“Iman, sabarlah. Aku rasa mesti dia memberontak. Sebab itu dia buat hal macam-macam di sekolah. Kita kena berhikmah dengan dia. Aku tak tahu macam mana, tapi pasti ada cara. InshaaAllah, yakin dengan Allah ya.” Safiyyah berkata, menepuk lembut bahu Iman.

Menitis air mata Iman. Bukan dia tidak mahu berlembut pada adiknya itu. Tapi sudah lama dia berlembut, tetapi hati adiknya cukup keras. Kasar benarkah teguran dia itu pada adiknya? Dia tidak tahu, tetapi hatinya masih kuat mengatakan adiknya akan berubah suatu hari nanti.

Yakin pada sirna.

Mus’ab masih berada di situ. Lewat balik hari ini kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Buku latihan masih banyak tidak bertanda. Dia baru sahaja berkhidmat di sekolah ini. Menjadi guru ganti selama tiga bulan. Profesion guru bukanlah kerjaya sebenar dia. Dia mengambil cuti selama tiga bulan untuk menyelesaikan masalah ini.

Masalah yang sekian lama cuba dirungkai.

Lelah dilepaskan. Tanda letih memeriksa latihan para pelajarnya. Subjek Matematik Tambahan bukanlah satu subjek yang amat popular untuk diminati oleh para pelajar. Bahkan hari pertama dia mengajar di situ, hampir kesemua pelajar tidur di dalam kelas. Apabila ditanya, mereka jawab tidak faham langsung apa yang diajar. Masalah dunia!

Beberapa hari dia tidak tidur malam. Mencari penyelesaian untuk kaedah termudah bagi memahami subjek ini. Lantas dia menghubungi Mualimah Zainab yang pernah mengajar subjek ini kepadanya sewaktu sekolah dahulu. Dia tidak pernah lupa pada jasa guru tersebut yang membimbingnya hingga dia menjadi pelajar terbaik dalam matapelajaran ini.

“Ah,kenangan dulu.” Desis hatinya mengenang perjalanan hidupnya bergelumang dengan dunia sekolahnya dahulu.

“Mualimah, dulu macam mana mualimah ajar ana yang bodoh pasal matematik ni ya?” tanya Mus’ab ketika mereka bertemu, hanya tujuan untuk menuntut kaedah tersebut.

Mualimah tergelak kecil.

“Bukan bodoh, kurang mahir Mus’ab. Anta dulu bukan tidak pandai, cuma masih tidak nampak konsep sebenar. Mualimah jampi kamu dalam kelas, kamu tak tahu ke?”

“Amboih, mualimah. Mai share sikit mentera jampi tu.  Mana tahu, berkesan kat anak muridnya saya ke lepas ini.” Sambung Mus’ab pada guruan gurunya itu.

“Haha.. menteranya hanya pada doa. Doa Nabi Musa minta dilapangkan dada dan difasihkan bicara untuk berdakwah kepada Firaun si pemuka ketika itu. Mus’ab, mengajar ini anta jangan pandang pada nak anak-anak murid sahaja faham. Anta dahulu kena lapangkan hati untuk mengajar dan minta difasihkan bicara agar mereka faham apa yang anta nak sampaikan sebenarnya.”

Bicara Mualimah tertusuk tajam ke dalam hati. Dalam gurauan penuh nasihat yang mahu disampaikan. Dia sedar doa itu. Tercatat di dalam alQuran dan sering diulang-ulang dibaca doa itu. Namun tidak dia sedari hikmah dan ibrah begitu besar jika dihayati dan difahami.

Allahu Rabbi.

Mungkin aku tidak ikhlas kerana mahu menyelesaikan misi ini.

Namun aku juga perlu ikhlas untuk cuba meraih pahala berbakti ilmu selama tiga bulan ini.

Bukan senang untuk senang.

Dan bukan susah untuk susah.

Ya Rabbi, permudahkan dan jangan disusahkan.

Bersambunggg.....

0 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers