Belasungkawa untuk sahabatku...


Entah kenapa....

Pagi tadi,saya berbual dengan rakan sekolah di ruang alam maya. Dia memberitakan sesuatu kepada ana bahawa rakan sekolah kami sedang nazak sekarang. Ana terkedu seketika, rasa bergetar jiwa. Lalu selang tiga puluh minit kemudian, ana mendapat mesej dari kawan akan pemergian rakan tersebut. Inna lillahi wainna ilaihi raji'un..

Selepas mendapat berita tersebut, hujan mula turun sehingga kini masih tidak berhenti. Seakan memberi suatu petanda. Sudah banyak kali ana berhadapan dengan rakan-rakan sekolah yang pergi dulu meninggalkan dunia sewaktu usia muda, tetapi kali ini ana rasa sangat sayu sekali.

Arwahyarhamah bukanlah seorang yang rapat dengan ana,tetapi ada kenangan juga ana dan beliau. Kami berjiran kerana rumah ana dahulu di belakang rumahnya sahaja. Jika mahu ke sekolah, ana sering duduk di hadapan rumahnya menunggu kedatangan pakcik menghantar kami ke sekolah.

"Nina,kenapa basikal kau?" ana bertanya apabila melihat basikal Nina tidak boleh bergerak tayar belakangnya. Ketika itu kami baru langsai latihan bermain hoki.

"Entahlah, tak tahu kenapa. Tak boleh gerak,tayar depan je yang boleh," kata Nina pula sambil cuba menggerakkan tayarnya.

"Hari nak senja dah ni, biar aku lah yang tuntun basikal kau. Nah,kau amik basikal aku."

"Eh,tak apa ke Suhana? Menyusahkan kau pula."

"Tak apa lah,lagipun rumah aku kan belakang rumah kau je,kita balik sama-sama lah."

"Ok.Terima kasih ya."

Ana menuntun basikal arwah sehingga sampai di rumah,ketika itu hari sudah lewat benar, azan Maghrib juga sudah berkumandang. Yang pastinya mak sudah tercegat di depan pintu,bersedia memarahi ana kerana lewat pulang.

"Kenapa balik lambat ni? Pergi kemana?" mak bertanya, jelas risau wajahnya.

"Tadi basikal Nina rosak, Acik tolong bawa kan. Jalan kakilah kami sorong basikal tu dari sekolah. Tu yang lambat," ana memberi jawapan atas pertanyaan.

Kenangan itu mengingatkan ana pada arwah. Mandi sungai bersama-sama, mencari bijih timah di tepi sungai, menangkap udang di sungai selepas hujan reda dan sebagainya. Aduh...rindu mula menyapa.

Saat arwah melangsungkan perkahwinan, ana tidak dapat hadir kerana berada dalam suasana peperiksaan. Begitu juga ketika arwah melahirkan anaknya yang pertama. Apatah lagi, ketika beliau melahirkan anak, suaminya pergi dahulu menghadap Ilahi. Anak yang dilahirkan tidak sempat melihat wajah bapanya.

Kini,anak itu pula kehilangannya ibunya. Menjadi yatim piatu kala usia muda. Hati ana meruntun sayu.

Seorang demi seorang ahli keluarga arwah dijemput menghadap Ilahi. Bermula dari kematian neneknya, kemudian kerana rindukan si ibu yang sudah tiada, makciknya pula pergi tidak lama kemudian. Manisnya berumah tangga tidak dapat dirasa lama apabila suaminya pula meninggal kerana kemalangan. Kini, beliau pula pergi,angkara buatan orang katanya. Rumah itu kini menjadi penghuni si ibu yang semakin tua, si anak kecil yang sudah tiada bapa dan ibu serta abang arwah sahaja.

Ya Allah..ampuni segala dosa sahabatku ini, meski aku tidak mengenalnya secara rapat, tetapi cucurilah rahmat ke atasnya. Golongkannya di kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :“ Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata : Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “(Surah al-Baqarah , ayat 155)


Moralnya ana perlu sentiasa beringat,bahawa kematian itu sentiasa dekat dengan kita. Datang tanpa di duga,tidak kira masa,tempat atau umur kita.

Moga masih ada kesempatan untuk ana dan kalian melakukan kebaikan sebelum ajal menjelang.

Belasungkawa untuk keluarga arwah..

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”-Surah Ali Imran: Ayat 185

Comments

Artzlizan said…
antara sifat orang pandai...sentiasa mengingati mati...

TINGGALKAN SATU NYAWA
Affan Ruslan said…
Rahimahullah, Rahimahullah...

Begitulah kehidupan, kadang2 org yg jauh itu lah yg boleh memberi pengajaran kepada kita. Moga roh beliau dicucuri rahmat
Idda Hashim said…
Salam Suhana
Hidup pasti mati
kakak sy pergi ketika usia 36 tahun dan bar mendirikan rumahtangga kurang 2 thn, tiada anak, tapi pemergian yang begitu senang dan cepat, sampai kini masih terasa kehilangan dia. Mudahan dia ditempatkan di golongan yg Allah kehendaki, Ameen
amer_hoosynie said…
Inna lillahi wainna ilaihi raji'un..sabar ye cik yam...~
SuhaNa said…
to princeduyong:

benar tu,sentiasa mengingati mati.

to affan ruslan:

InsyAllah..amin
SuhaNa said…
to Idda Hashim:

wa'laikumsalam,insyAllah..amin

to amer :

ye,sabar itu indah~
zikrie said…
ya btl.. sentiasa mengingati mati kerana kematian pasti akan menemui kita..x(
sayda said…
Salam Suhana

Daripada Dia datang kepada Dia kita kembali, semoga rohnya damai di sana.
CEO said…
salam..
Inna lillahi wainna ilaihi raji'un.
Sy juga pernah kehilangan sahabat yg rapat dan beliau merupakan seorg yg alim. Sgt sedih dgn kehilangannya ttp allah lebih menyayanginya. Insyaallah..semoga roh mereka yg telah pergi dahulu dr kita akan sentiasa dicucuri rahmatnya dan berada dikalangan org2 yg beriman. amin.
kuntet said…
salam ..
Kuntet tidak pandai merangkai kata,hanya bisa sumbangkan doa moga ALLAH menempatkan di tempat yang layak sesuai amal ibadahnya..!
Unknown said…
ALLAH lebih menyayanginya...
SuhaNa said…
to zikrie..

kematian itu memotivasikan diri.

to kacamata..

Wa'laikumsalam, insyAllah~
SuhaNa said…
to katak gomok sulie..

InsyAllah,amin.

to kuntet..

salam kembali..insyAllah~

to echah...

benar tu =)

Popular posts from this blog

Lulus untuk temuduga Professional Technologist, MBOT

GrEP MARA: PART 3

GrEP MARA : PART 2