Wednesday, July 27, 2011

Allah mahu kita jadi baik..


Setiap orang punya potensi untuk menjadi baik.

Kerna mencintai kebenaran itu adalah fitrah manusia.

“Adik-adik, siapa yang menggerakkan hati untuk antum baca tentang artikel-artikel tazkirah, pergi ke web islam, mendengar nasyid, datang ke usrah dan sebagainya? Jawabnya adalah Allah jua yang menggerakkan hati-hati antum. Maka jangan disia-siakan segala petunjuk itu,” ujar seorang Sister pada sesi sharing.

Kita mahu menjadi baik. Tapi di mana kesungguhan kita untuk menjadi baik itu? Istiqamahkah kita pada jalan-jalan kebaikan?

Err..baik itu macam mana sebenarnya?

Baik itu adalah apabila kita mula kembali kepada ajaran agama Allah. Jika tidak bertudung, sudah mula mahu bertudung. Jika tidak solat, sudah mula mahu belajar solat, dan contoh-contoh lain.

Ada orang kata cukuplah aku menunaikan segala rukun yang ditetapkan.

Jawapan saya,tidak cukup baik.

Kerna anda masih tidak menunaikan hak sesama muslim.

Apa tu hak sesama muslim???

Yakni mencegah kemungkaran dan menyeru ke arah kebaikan.

Kalau nak baik, biarlah baik yang sepenuhnya, bukan baik separuh, jahat separuh.

Aha, macam mana tu berparuh-paruh pula?

Alaaa..Macam cerita Robin Hood. Hero tu baik apa,tolong orang-orang miskin yang ditindas. Tapi jahat juga sebab dia mencuri. Tak ke lagi bagus si Robin Hood berniaga ke,kemudian jadi kaya dan tolong orang miskin.Tak pun jadi ahli politik, kelar dasar orang kaya yang suka menindas. Itu lebih elok dari dia pergi mencuri dan merompak.

Jadi, bagaimana anda yang punya potensi untuk menjadi baik?

Selama ini anda suka melayari web Islam atau blog seperti iluvislam.com, halaqah.net, saifulislam.com, langitilahi.com dan sebagainya.

Selama ini anda menonton cerita berunsur Islam seperti Ketika Cinta Bertasbih, Semanis Kurma, al-Kuliyyah dan sebagainya

Selama ini anda mendengar nasyid seperti Maher Zain, Raihan.

Selama ini anda membaca majalah dan novel seperti Solusi.

Selama ini anda sering menghantar post di facebook mengenai hadis dan sebagainya.

Bukankah itu adalah potensi?

Dan potensi itu digerakkan oleh Allah.Maknanya itu adalah petunjuk untuk anda berubah menjadi baik. Anda tidak perasankah selama ini?

“Suhana, kamu dengar radio apa tu? Lagu-lagu nasyid kat situ semua bestlah,” tanya rakan sekerja saya.

“Oh, radio online. Nasyid.fm, lagu-lagu kat sini memang semua best. Jarang dapat dengar dekat ikim,” ujar saya.

“Itulah selalu pasang ikim.fm kalau dalam kereta. Tapi tak ada pula lagu best macam ni.”

Saya terdiam.

Bagusnya, perwatakan rakan sekerja saya ini bolehlah dikatakan lelaki lembut, suka bersolek. Tapi dia ada potensi itu.

Potensi untuk menjadi baik.

Maka jangan kita memandang orang itu dengan pandangan negatif. Cukup baikkah kita untuk menilai dan menghukum seseorang? Anda sentiasa mahu menghukum dan mengkritik, tetapi anda pernahkah mendoakan orang-orang yang dikritik itu menjadi baik seperti malaikat macam anda?

Justeru, keluarkan potensi yang ada itu.Jangan biarkan ia statik tanpa dialirkan. Anda bisa aja jadi lebih baik jika membina potensi baik itu dengan semaksima mungkin. Ingat kata saya, jika mahu jadi baik, lakukan dengan kesungguhan. Jangan takut untuk menjadi baik. Cerahkan pemikiran anda bahawa baik itu disukai Allah, kita suka jika Allah suka kan?

Jangan sia-siakan petunjuk yang Allah beri. Takut nanti Allah tidak memberi lagi. Jika jadi begitu, bukankah kita yang merugi?

Mari kita sama-sama menjadi baik yang sepenuhnya.

Benarlah kata Nabi saw:-

“sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan diberi kefahaman di dalam agama”

(Hadis riwayat Ahmad di dalam Kitab Min Musnad Bani Hashim)

Monday, July 25, 2011

Dalam usrah kita suburkan ukhwah..


Ada satu perkara yang membuatkan saya sentiasa gembira dan teruja.

Tatkala saya menghadiri usrah.

Rasanya berbeza dengan pergi ke kuliah.

Mungkin suasana dikelilingi dengan orang-orang yang mahu mengejar redha Allah,menjadikan saya insan yang begitu menguja.

Ramai yang bertanya,bukan sedikit. Energi apa yang membuatkan saya jadi begini.

Lantas saya tersenyum, dan mengatakan.

Inilah Sinergi Iman.

Mujur cuti semester yang panjang ini saya masih punya ruang untuk menghadiri usrah. Berjumpa dengan orang-orang yang tidak saya kenali, membuatkan kadang-kadang diri rasa tidak betah. Tapi itu tidak lama, tidak sampai seminit dua, kemesraan dan ukhwah itu terjalin secara automatik. Seperti ada tenaga asing yang menggerakkan kami untuk bermesra, bercoletah dan berkongsi ilmu dan rasa.

Ya,itulah tenaga Iman.

Kenapa perlu usrah?

Satu jawapan jelas yakni untuk meneruskan survival dan menstabilkan iman.

Segala-galanya berputar tentang iman.

Kerana iman adalah paksi untuk segala perkara.

Ruangan ini saya hanya mahu menyentuh satu perkara yang saya perolehi melalui usrah. Yakni perkara bernama UKHWAH.

Di dalam usrah, saya mengenal ukhwah. Yakni hubungan sesama manusia yang dibina berpaksikan iman bermatlamatkan Allah. Saya tidak mengenal mereka, bahkan tidak pernah bersua muka. Tetapi yang menjadikan kami istimewa adalah datangnya kami dari pelbagai latar namun bertemu atas matlamat yang sama.

Dari naqibah, saya belajar sesuatu yang sangat berguna.

“Kak Adib, maaf lewat. Tak terjaga kunci jam tadi.”

Saya risau dimarahi. Janji jam 7.30 pagi tetapi saya terlewat hampir sejam. Salah saya kerana tidur lambat menyiapkan kerja.

Tersenyum naqibah saya. Tanda kemarahan tidak bersarang di dalam dirinya.

“Tak mengapa. Mungkin tidak disengajakan.Ana tidur pukul berapa malam tadi?” bertanya tanda mengambil berat.

“Pukul 2 pagi kak.Siapkan kerja sedikit.”

“Oh,akak tidur pukul 4 pagi semalam, siapkan kerja untuk dihantar pada sekolah.”

Mungkin jawapannya tidak bermaksud apa-apa. Tetapi membuatkan saya malu sendiri.

Serahkan saja alasan kamu itu pada Allah!

Namun,ada suatu perkara yang saya belajar dari Naqibah pada hari itu. Walau dia berulang-alik mengambil kami dari tempat program, ditambahi dengan anak buahnya yang kelewatan (oh sayalah tu!), tapi senyuman tidak pernah lekang. Wajahnya sentiasa tenang dan tiada riak penat. Tidak marah-marah. Saya tahu tanggungjawab dia sangat berat, tapi energi apa yang membuatkan naqibah saya menjadi sedemikian rupa?

Saya menjawab sendiri.

Itulah energi Iman.

Usrah Adibah a.k.a UA.

Itulah nama halaqah cinta kami semester lepas.

Mengambil nama sempena nama naqibah kami. Menguruskan anak-anak buah yang bermacam perangai,itu bukan suatu perkara mudah.

Hidayah, Suhailla, Atiqah Mazlan, Atiqah KZ, Athifah, Farah Najwa, Safura dan Aishah Pauzi. Mereka inilah saudara saya. Punya pelbagai kerenah.

Hidayah dan Farah Najwa, sudah saya kenali seawal tamrin dahulu. Tidak disangka, satu kumpulan tamrin kini menjadi satu usrah dan menjadi adik beradik saya. Daripada mereka saya belajar banyak perkara.

Atiqah KZ, Safura,Athifah dan Aishah Pauzi adalah adik-adik kami. Mereka sebaya. Namun itu tidak bermakna mereka kurang ilmunya. Apabila berhujah mampu membuatkan kami tersenyum. Daripada adik-adik ini,saya belajar banyak perkara juga. Salah satunya, kurangkan membuli mereka..Nanti kamu akan terkena..Haha

Atiqah Mazlan dan Suhailla adalah usrahmate saya yang lama. Kami berjumpa semula. Jadi kemesraan kami memang sudah tidak kekok.

Saat ini, saya rindukan wajah-wajah pencinta agama ini.

Tidak puas lagi rasanya untuk kami taaruf dan saling mengenal. Namun, peperiksaan akhir menjengah dan cuti semester pula menyapa. Tapi itu tidak bermakna kami terputus begitu sahaja. Sedaya upaya saya melangsungkan hubungan kami kekal tidak terputus. Sering bertanya khabar dan saling menasihati. Mujur ada lama sosial seperti facebook yang dikunjungi ramai. Kami gunakan sehabis mungkin untuk ukhwah dan jalan dakwah ini.

Persahabatan kami istimewa.

Kerana kami bertemu di dalam halaqah cinta. Masing-masing punya misi yang sama. Atas titik kesamaan itu kami membina rasa. Rasa tanggungjawab terhadap ummah dan agama.

Ya Allah, kekalkan hubungan kami hingga ke syurga.

Andai kami jatuh ke neraka, biarlah salah seorang dari kami yang terjun bersama untuk menyelamatkan membawa ke syurga.

Kasih sayang yang diberi ini cukup membuatkan aku rasa berdosa.

Berdosa andai aku tidak pandai mensyukuri dan menghargainya.

Ya Allah, saksikanlah..

Aku rindu dan cinta pada mereka hanya kerana Allah.

UKHWAH TERAS KEGEMILANGAN~

PS: Gatal tangan rasanya mahu menulis cerpen mengenai kisah kita. InsyaAllah kalau ada masa saya akan realitikannya..Rabbuna yusahhil..

Saturday, July 23, 2011

Bersenang dengan dosa,bersusah dengan neraka..


Saya termotivasi oleh satu perkara!

Mungkin ini biasa didengari oleh anda,tetapi bila anda memahami dan memerhati dengan lebih mendalam, ia bisa membuatkan anda melompat dari tempat duduk. Hammasah!

Oh,apa perkara yang motivasi sangat tu?

Bila saya memahami bahawa hidup kita ini terlalu singkat, dan segala perkara kejahatan dan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini akan dihitung untuk tiga alam yang lain pula. Justeru,masih ada masakah untuk saya bersenang-senang dengan dosa?

Saya ada mendengar satu pepatah, Manusia ini lahirnya disambut dengan azan/iqamat dan meninggalnya manusia disambut dengan solat.Jarak antara azan/iqamat dengan solat itu alangkah singkatnya.

Begitulah singkatnya masa hidup kita di dunia. Terlalu singkat, hingga saya merasakan tidak cukup nafas untuk menyatakan betapa kerisauan mula menyelebungi diri. Banyak tanggungjawab dan amanah yang masih saya tidak lakukan lagi. Masih ramai lagi orang yang perlu saya seru, masih banyak lagi ruang diri yang perlu saya perbaiki.Oh Allah, bantulah hambamu yang kerisauan ini.

Anda masih tidak risau?

Mari saya cuba risaukan anda.

Kalau kita masih senang dengan dosa, hakikatnya renungilah azab di neraka yang bakal dihuni oleh para pendosa. Tempat yang paling terseksa, tak terjangka dek akal untuk merasai betapa azabnya tinggal di situ. Anda boleh bayangkan bagaimana hanya percikan kecil api neraka itu saja sudah mampu menghancurkan bumi ini!

Ya, percikan kecil!

Musnah bumi.

Tapi di neraka itu bukan percikan kecil, tetapi api yang menjulang. Luasnya neraka tidak terbayang.

Makanan? Apa makanan para pendosa itu?

Bukan nasi ayam, bukan chicken chop, bukan jus tembikai dan bukan juga ais kacang seksyen 2!

Habis itu apa?

Makanannya adalah buah zaqqum, nanah, daging busuk, air panas yang mampu mengelegakkan otak!

Firman Allah SWT: "(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum; (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam Neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut; Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Surah Ad Dukhan ayat 43-46).

Saya ngeri mendengar semua azab yang diceritakan ini. Tatkala membaca terjemahan ayat Allah di dalam al-quran berkaitan keadaan neraka, membuatkan diri saya menggeletar, takut mengenang segala dosa.

Jadi anda masih bersenang dengan dosa sekarang?

Bila diajak berbuat baik,ada saja orang kata, “Alah,semua orang Islam masuk syurga kelak.”

Ya,benar. Yang Islam akan masuk syurga juga.

Tetapi mahukan anda melalui segala azab di neraka yang berjuta-juta tahun baru masuk ke syurga? Itu pun belum tentu syurga yang berhigh- class!

Jadi anda masih ada rasa untuk bersenang-senang dengan dosa?

Saya mahu ke syurga,dan saya mahu anda juga bersama-sama menuju ke syurga. Kita berpimpinan tangan ke syurga. Jika anda terjun ke neraka, saya akan terjun sama untuk menyelamatkan anda!

Saya gusar mengenai dosa dan neraka, itu menjadi tenaga asing untuk saya menggerakkan motivasi membuat kerja yang diperintah Allah.Namun motivasi utama, seperti yang dinyatakan di atas tadi.

Moga anda termotivasi seperti saya.

Masih ada rasa untuk bersenang-senang dengan dosa?

Insaf.

Marilah kita menjadi hamba.

Bukan menjadi petualang kepada Pencipta.

Thursday, July 7, 2011

Oh Media, bebaskan dirimu!


“Anak akak lapar ni,semua kedai tutup.”

“Eh, puan tak tahu ke hari ni ada perhimpunan BERSIH,menyusahkan orang betul.”

Anda pernah dengar dialog ini?

Saya mahu mengulas panjang lebar. Namun cukup sekadar saya mencoret sesuatu agar ada generasi yang mahu melihat dan membuka hati dan fikiran.

Saya tegaskan bahawa saya bersikap neutral. Tiada isu paksaan atau kepartian yang saya mahu lampirkan. Cuma keluhan dari seorang rakyat yang amat jelek dengan sikap media yang terlalu paranoid pada isu yang melibatkan parti pembangkang.

Isunya adalah media!

Saya tidak melihat suatu ketelusan yang ada pada media kini. Saya tekankan media adalah televisyen dan radio sahaja. Sebagai seorang anak muda yang memerhati perjalanan politik negara secara sambalewa, saya tetap kecewa. Kecewa dengan sikap mereka yang meletakkan provokasi hinggakan minda rakyat terpengaruh dengan amat hebatnya.

Saya tidak nafikan, televisyen merupakan media yang paling berpengaruh untuk mengawal minda. Jika anda pernah menonton The Arrival, isu ini telah dijelaskan di bawah tajuk “Mind Control”.

Seperti kata MatLutfi90, “Siapa yang kata Fahrin Ahmad tu handsome”..”Media”..

Nah, terbukti pengaruh media itu amat besar sekali kepada kita. Masalahnya adalah apabila media bersikap tidak telus, hanya mengambil cerita dari satu pihak sahaja. Sedangkan pihak yang lain tidak terbela. Akhirnya meninggalkan persepsi buruk kepada kita. Makanya saya meletakkan frasa ZALIM dan TIDAK ADIL kepada media kini.

Terlalu terikat dan penuh dengan cengkaman.

Anda mungkin boleh melihat dari filem “Phir Bil Di Hai Hindustani” lakonan Shah Rukh Khan dahulu. Saya berkesempatan menontonnnya, mengenai bagaimana media untuk mengejar menjadi “I’m the Best”, mereka tidak mengira berita itu benar atau tidak. Polis yang sentiasa mewah dengan rasuah. Rakyat miskin tidak terbela.Namun, langkah berani si Hero, membongkar suatu kebenaran mengenai ahli politik yang difitnah begitu hebat oleh kerajaan India, menyebabkan rakyat bangkit menentang. Filem ini cukup sinis pastinya buat mana-mana negara yang berkeadaan sedemikian rupa. Hinggakan kolumnis hiburan, Mama Juwie menulis komen filem ini adalah tidak bagus! Oh, apa maksudmu itu?

Belakangan ini dapat kita lihat betapa media diguna-gunakan dengan begitu hebat sekali. Bahkan video seks ditayang di berita perdana! Disiar gambarnya di laman muka utama! Bukankah ini satu sikap yang meranapkan disiplin institusi media. Saya kira, biarlah institusi media perlu bersikap lebih telus dalam menyampai maklumat, terlalu pro-partisan menyebabkan rakyat sendiri menyampah dan tertawa terbahak-bahak dengan mesej yang ingin disampaikan.

Saya kira, bukan sekadar tuntutan pilihanraya yang BERSIH, malahan perlu kita menuntut keBERSIHan media arus perdana kini. Mereka masih tidak mahu mengambil iktibar atas pilihanraya umum yang lalu. Bagaimana kebanyakan rakyat tidak bergantung hanya kepada televisyen, akhbar dan radio semata, malahan blog adalah merupakan satu punca kepada penyumbangan penafian 2/3 kerusi kerajaan di Parlimen. Fikirkan!

Sudah lama kita merdeka, negara juga sudah memacu mengikut arus teknologi, makanya rakyat sukar untuk ditipu lagi. Cuma kita kena bersikap memilih dengan bijak menggunakan akal yang diberi dan sudah tentu bersandarkan wahyu dan sunnah.

Para pengamal media di luar sana, bersikap teluslah. Jangan melenyapkan hak dan mengagungkan kebatilan. Dan jangan cuba untuk bersikap zalim! Kerna azab Allah itu amat besar untuk orang-orang yang zalim.

Rasulullah SAW bersabda : Zalim ada tiga jenis : Zalim yang Allah tidak akan ampunkan ; Zalim yang Allah akan ampunkan ; Zalim yang Allah tidak akan tinggalkan. Adapun zalim yang Allah tidak akan ampunkan adalah syirik. Allah berfirman : Sesungguhnya syirik adalah zalim yang amat besar (Luqman : 13) ; Adapun zalim yang Allah akan ampunkan ialah kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri dengan melakukan dosa-dosa antara dia dengan Tuhannya ; Adapun zalim yang Allah tidak akan meninggalkannya adalah zalim insan kepada sesama insan sehingga mereka diadili kelak (di akhirat) – ( HR Al-Taualisiy dan Abu Na’im dari Anas Bin Malik – Menurut Syeikh Nasiruddin Albaniy – Hadis Hasan – Lihat Sahih Al-Jaami’ – No 3961 )

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers