Sayonara cinta..


Saya kecewa!

Itu yang saya mampu katakan sekarang.

Sebabnya?? Oh.. mungkin ada bisa kata ini adalah perkara biasa, tapi bagi saya yang biasa itu adalah bahaya!

Ila menunduk. Acu juga begitu.

“Tahu atau tidak apa itu dosa?” saya menyoal mereka.

Memang tazkirah minggu ini saya agak tegas. Bahkan bukan calang-calang tazkirah barangkali, mungkin lebih ke arah amaran dan ugutan! Oh, bagaimana tu?

“Dosa tu bila kita buat salah,” jawab Acu.

“Dalam hadis ada dikatakan dosa itu adalah apabila kita melakukan sesuatu perkara, hati kita bergetar. Terketar bukan sebab apa, tapi takut. Takut orang lihat, takut itulah, inilah. Macam sign lah, bagi amaran, tapi kalau kita buat juga, maknanya kita ni menzalimi siapa? “ soal saya lagi kepada mereka berdua.

“Menzalimi hati sendiri,” jawab Ila.

“Ha, pandai Ila. Menzalimi hati sendiri. Jadi selama ni Ila mesej dengan pakwe tu semua, menipu kami ni tak ada rasa bersalah ke?”

Saya pandang Ila, nampaknya sudah masuk ke mauduk utama.

“Entah, tak ada rasa apa-apa pun,” bersahaja Ila menjawab.

Saya terdiam dengan jawapannya, “Kalau dah buat salah tapi tak rasa apa-apa, itu tandanya apa?”

“Hati ada penyakit,” jawab Acu.

“Ada seorang ayah ni, dia ada anak. Anak dia ni punyalah jahat kemain. Jadi ayah dia kata kalau anak buat satu kejahatan, maka pakulah tiang tu. Jadi hari-hari anak dia buat jahat, pakulah tiang tu. Bila dah penuh tiang tu dengan paku, maka ayah dia suruh cabut paku kat tiang tu pula. Bila anak dia cabut, maka keadaan tiang tu buruklah, berlubang-lubang dengan kesan paku. Maka begitu juga dengan hati. Bila buat jahat, akan ada satu titik hitam dalam diri. Bila dah penuh titik hitam tu jadinya, tak ada sensitiviti dosa,” balas saya.

Saya memandang Acu, menunduk dia beristighfar.

“Acik tak tahulah nak kata macam mana, nak kata hati ni kecewa, macam pinggan kaca tu, pecah berkeping-keping. Bayangkan Acik ni yang kakak dah cukup kecewa macam ni, kalau mak dan abah apatah lagi. Selama ni Acik ingatkan Ila dah tak buat kerja macam ni, tapi diam-diam buat juga. Itupun Allah nak tunjuk kepada kami, selama ni kerja Ila tu salah,” tajam pandangan saya pada Ila.

Saya marah! Namun saya cuba menyelesai secara psikologi. Maka saya bertanya kepada Ila masalahnya. Bercerita dari A hingga ke Z perjalanan ‘cinta’nya itu.

Usai Ila bercerita.

“Jadi Acik nak beri Ila pilihan. Ila pilih nak Iqwan ke atau nak family? Kami tak kisah kalau Ila nak pilih dia, kami boleh je hidup, buat-buat Ila tak wujud dalam family ni. Kami boikot Ila, tak cakap dengan Ila, kalau nak suruh pergi kedai ke apa, tulis atas kertas je, takpun kami bagi sms je. Ila kan suka sms.”

Ada nada perli dan amaran di situ.

“Okeylah, kita try. Kitorang tak cakap seminggu dengan Ila, nak tak?”

“Taknak..” mengeleng-geleng kepala Ila.

“Ha, jadi, apa lagi Ila nak ragukan? Acik dah letak handset depan tu, taip mesej sekarang. Depan mata Acik.”

“Sekarang ke? Esok lusa tak boleh ke?” tanya Ila pula. Masih keberatan.

“Kalau bukan sekarang, bila? Hidup ni belum tentu lama, entah-entah nanti turun tangga dah meninggal, kita tak tahu kematian tu bila, kalau bertangguh untuk meninggalkan dosa, maka rugi dan binasalah kita,” saya bertegas lagi.

Lalu Ila mengambil handset tersebut dan menaip mesej.

Sayonara cinta..

“Kalau Ila nak kata Acik, kitorang ni semua kolot, tak moden apa lah sebab tak menerima couple, cakaplah. Acik tak kisah. Acik lebih kisahkan adik-adik agar tak menghampiri jalan-jalan ke arah menghampiri zina. Ila rasa Acik ni kejam ke buat semua ni dekat Ila?”

“Tak..”

“Jadi Acik harap Ila faham. Semua Acik buat ni untuk kebaikan. Ila baru 14 tahun. Kalau nak jodoh tu, mintalah dekat Allah agar diberikan jodoh dengan cara yang baik. Bukan dengan cara couple ni. Ila ingatlah, kitorang dah berkorban untuk Ila. Acik ni dulu sanggup tak masuk sekolah berasrama sebab nak jaga Ila dengan Iwan. Sebelum pergi sekolah dulu, hantar Ila dengan Iwan dekat rumah Makcik Ji, baru pergi sekolah. Sekarang dah besar, tak fikir pun apa kami dah buat untuk korang.”

Sungguh saya tidak mengharapkan pengorbanan itu dibalas. Tapi cukuplah menjadi peringatan untuk adik-adik saya.

Malam itu, menitis mata Ila. Teresak-esak tangisnya.

Ya Allah, redhailah kami. Jadikanlah adik-adikku ini, Acu, Ila dan Iwan sebagai insan yang soleh. Patuh segala perintahMu dan ibu ayah. Hindarilah kami dari fatamorgana dunia dan penyakit hati. Kuatkanlah hati kami dengan limpahan iman kepadaMu.

Adik-adikku, mengertilah bahawa kami ini sayang akan kalian.

Comments

SuhaNa said…
to toblerone:

Alhamdulillah.. =)
MS Rizal said…
Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina

Popular posts from this blog

Lulus untuk temuduga Professional Technologist, MBOT

GrEP MARA: PART 3

GrEP MARA : PART 2