Monday, May 30, 2011

Langkah Tercipta..


“Umur kamu ni berapa? Lahir tahun 90 berapa?”

“Saya lahir tahun 2001 lah cikgu.Apalah cikgu ni tahun 90 mana pula.”

Terkena saya dengan budak ni!

Bila difikirkan kembali, betul juga. Sedangkan adik saya yang lahir tahun 1994 itu sudah tingkatan 5, inikan budak yang baharu darjah 4. Beza memang berbeza.

Tuntasnya, saya tidak sedari masa semakin banyak meninggalkan diri ini. Saat saya bermuhasabah, rupanya sudah 6 tahun saya meninggalkan zaman persekolahan. Kini, tinggal satu semester lagi untuk saya menamatkan pengajian ijazah sarjana. Masa yang berlalu terlalu pantas, hingga tak terkejar dek kerana kelelahan menghadapi kehidupan yang pelbagai.

Tinggal satu semester,kemudian saya akan melangkah ke alam kerjaya. Namun hingga saat ini, saya masih dalam kebuntuan, mahu merancang masa hadapan. Sama ada saya perlu bekerja di Shah Alam atau kembali ke Perak, menyambung sarjana atau tunggu dahulu.Hurm... manusia merancang Allah yang menentukan, tetapi berbeza dengan saya, merancang pun belum lagi mencapai kata putus, entah di mana takdir hidup saya selepas ini.

Sebenarnya saya keliru, untuk meninggalkan bumi Shah Alam kelak, ternyata saya juga meninggalkan “binaan manusia” saya. Mungkin saya bukan orang yang selayaknya untuk berbicara hal ini, tetapi hakikatnya terpaksa di telan apabila mengenangkan masih jauh lagi matlamat untuk mencapai misi FIDAK 2015.

“Habis ijazah nanti, acik nak kerja kat mana?” tanya mak kepada saya lewat petang itu.

“Entahlah mak, tengah berfikir lagi ni.” Melepaskan keluhan dalam diri, kerana tidak mampu menjawab dengan sebaik mungkin.

Sejujurnya jika saya menceritakan kenapa saya keliru sebegini, mungkin emak tidak memahami. Biarlah dipendam dalam diri, berdoa kepada Allah moga dikurnia ilham yang terbaik untuk merancang masa depan saya.

Tetapi apa yang pasti, saya sudah nekad untuk menjadi seorang peniaga. Mungkin jauh dari bidang yang saya ambil tetapi itulah yang ada di kepala saya buat masa ini. Mahu menjadi jurutera sehabis belajar? Mungkin ada dalam senarai saya yang ke-20 barangkali, tetapi yang pertamanya adalah menjadi seorang usahawan.

Sejuta Impian...

Mahu sahaja saya masuk rancangan itu, menebarkan impian saya ke ruang realiti niaga. Tapi itu cuma angan yang ada di dalam mimpi sahaja.

Dana Belia..Tunas Mekar..

Ini adalah senarai program yang ada dalam senarai di kepala. Akan saya gunakan semaksima mungkin peluang yang hadir. Saya memegang pada kata-kata bahawa seorang Muslim perlulah mempunyai jati ekonomi sendiri. Menjadi usahawan sukses sepertinya Abdul Rahman bin Auf.

Yuk, kita mencipta jati ekonomi sendiri.. Dunia bisnes Muslim~

"Rasulullah bertanya mengenai usaha yang paling baik sebagai sumber pendapatan atau rezeki. Baginda menjawab: Pekerjaan yang paling baik hasil usahanya sendiri dan setiap perniagaan yang baik serta halal. (Riwayat Bazzar dan Sohehahu al-Hakim) "

Thursday, May 5, 2011

Sampai bila nak bersangka baik!!


“Sampai bila saya harus bersangka baik pada semua perkara?”

Soalan ini sering menebak minda saya. Kenapa hal sebegini boleh terjadi?

Kadangkala setiap apa yang kebaikan yang dilakukan dilontar dengan keburukan. Menjadi baik itu bukannya semudah pertuturan, sangat sukar andai tiada mujahadah yang tinggi. Begitu juga bersangka baik, ianya berkaitan hati dan emosi.

Emosi yang cemerlang itulah yang mampu membawa kegemilangan kepada individu itu sendiri. Berapa banyak perkara di dunia ini, manusia yang tewas dengan emosi sendiri, lalu terjerat dengan perkara-perkara yang sia-sia. Kesan emosi ini cukup besar. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w mengatakan bahawa orang kuat adalah orang yang dapat menahan marahnya. Bukankah marah itu hasil rangsangan emosi?

Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani memberi panduan bagaimana mahu bersangka baik sesama insan.

Jika engkau bertemu dengan seseorang,maka yakinilah bahawa dia lebih baik daripadamu. Ucapkan dalam harimu,”Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan mulia.”

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) “Anak ini belum bermaksiat kepada Allah,sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik daripadaku.”

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu) “Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama daripadaku, tentu dia lebih baik daripadaku.”

Jika bertemu dengan orang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu) “Orang ini memperoleh kurnia yagn tidak akan kuperoleh, mencapai kedudukan yang tidak akan kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya. Tentu dia lebih baik daripadaku.”

Jika bertemu dengan seorang yang jahil, maka katakanlah (dalam hatimu) “Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia jahil (tidak tahu) sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik daripadaku.”

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin pada akhir usia dia, memeluk Islam dan beramal soleh, dan mungkin boleh jadi pada akhir usiaku kufur dan berbuat buruk.

Justeru, letakkanlah kembali persangkaan yang tinggi kepada Allah. Beruntung bagi golongan yang menerima hidayah lebih awal daripada Allah, tetapi kasihanilah kepada sesiapa yang masih lewat dan sedang dalam pencarian untuk menerima hidayah.

“Kasihan pada anak-anak muda ni, melakukan kemaksiatan yang mereka sendiri tidak ketahui akibatnya” berkata dalam hati melihat tingkah anak muda di kawasan tasik itu.

Melihat pemakaian anak muda yang terserlah kemelampuannya, saya sedih dan kasihan. Andai mereka mengerti masa muda ini cukup bererti untuk mencari sesuatu yang hakiki.

Ya Allah, jadikan masa muda kami ini sebagai masa untuk membantu agama sebaiknya, serta kuatkanlah diri untuk sentiasa bersangka baik pada perkara yang sepatutnya.

Bersangka baiklah sehingga ke akhir hayat anda~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers