Saturday, February 12, 2011

Mesir bukan saudara saya?


Saya memerhati perjalanan pergolakan di Mesir. Hari ini sekali lagi bumi anbiya itu berubah landskap politiknya apabila Hosni Mubarak meletakkan jawatan setelah desakan rakyat sendiri. Allahuakbar! Apakah hikmah segalanya ini.

Kuasa rakyat…

Apabila pemimpin tidak menjalankan amanahnya dengan betul,maka tiada apa yang ada di bumi mampu membantu. Hatta air yang diempang lama akan pecah juga jika ditekan dengan dahsyatnya,begitu juga yang berlaku pada rakyat Mesir. Tiga dekad menanggung kepahitan dalam kehidupan,namun hari ini sejarah tercipta atas dasar kesatuan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Aal 'Imraan 3: 26]

Saya akui dengan penuh kelemahan,bahawa isu Mesir ini benar-benar membuka mata saya yang kecil ini. Tatkala Tunisia dilanda amukan rakyat dahulu, saya kurang mengambil tahu. Hanya tercelik apabila jatuhnya kerajaan Ben Ali dan First Lady nya. Setelah itu, Mesir mengambil tempat, saya masih kurang memerhati. Apabila akhirnya saya menjadi tersedar apabila kejadian tersebut dekat dengan kawasan tinggal saudara perempuan saya yang belajar di sana.

Sejak itu,saya menjadi pemerhati tegar. Malahan saya juga antara ribuan pendesak yang mahu kerajaan segera membawa pulang pelajar di sana. Alhamdulillah, doa dimakbulkan!

Saya cukup tertampar dengan isu semasa belakangan ini.Mahu saya coretkan sedikit ibrah yang berlaku di Mesir,bumi anbiya.

MEREKA SAUDARA SAYA JUGA!

Tatkala ramai rakyat di Malaysia dikejutkan dengan demonstrasi rakyat Mesir hingga menyebabkan kekecohan berlaku, semuanya tersedar..tersedar kerana ada anak-anak mereka,saudara mereka,sepupu-sepapat, ipar-duai dan sebagainya yang berada di Mesir sama ada menyambung pengajian atau bekerja atau tujuan berziarah. Hal ini menyebabkan kerisauan semua orang memuncak, keselamatan mereka terancam yang jauh dari sanak-saudara di Malaysia.

Waktu ini saya sungguh malu atas diri sendiri…Kalau anda mahu malu juga,silakan..

Begitu prihatinnya kita kepada isu Mesir kerana apa?

Ya,kerana ramainya rakyat Malaysia yang berada di sana. 11300 orang bukanlah jumlah yang sedikit. Justeru,tidak hairanlah mengapa begitu prihatinnya kita tentang isu ini. Saya tidak mahu salahkan anda kerana begitu prihatin,tetapi saya lebih menyalahkan diri sendiri.

Sayugia saya mahu mengingatkan diri tentang firman Allah yang membawa maksud,

“Sesungguhnya setiap mukmin itu bersaudara…” (Surah al-hujurat :10)

Malu kerana kita hanya meletakkan makna ‘bersaudara’ itu pada perkataan bangsa dan negara sahaja.Walhal saudara yang kita perjuangkan adalah seAKIDAH dengan kita. Mana perginya rasa keprihatinan kita kepada rakyat di negara lain juga yang mengalami krisis pemimpin tidak amanah juga seperti Tunisia, Indonesia.. penderitaan umat Islam di Palestin, Thailand, Iraq dan serata dunia yang lain..mereka di negara ini bukan saudara kita kah? Adakah kerana mereka bukan warganegara Malaysia dan berbangsa Melayu, maka kita menutup deria mata dan pendengaran?

Malu pada diri kerana kita punya pemikiran yang cukup sempit tentang definisi global ‘saudara’ ini.

DOWN! DOWN!

Pemimpin yang batil tidak akan bertahan lama, kerana apabila kebenaran telah terlontar, maka lenyaplah segala kebatilan itu.

Saat ini, saya yakin dengan ketentuan Allah,bahawa para pemimpin yang sering menindas rakyat akan menggelatar lutut,tidak senang duduk melihat kebangkitan rakyat. Negara-negara Arab mula mencelikkan mata mereka. Awas pada kedudukan anda jika masih bersikap sambalewa pada kebajikan rakyat!

Saya juga merasakan bahawa ini juga mungkin satu petanda kepada kita bahawa semakin hampirnya kita kepada Hari Kehancuran. Perhatikanlah apa yang berlaku belakangan ini, segerakanlah untuk mengerjakan lebih banyak amal. Saat ini,bukan masa untuk kita berlengah dan bersenang serta berangan lagi tentang harapan kepada dunia, kerana dunia ini akan hancur binasa. Pasakkan keazaman untuk kehidupan kekal di akhirat kelak.

PENUTUP

Masa semakin hampir untuk Islam kembali bangkit. Ingatlah juga bahawa kembalinya Islam dijulang era ini, maka akan tidak lama juga kita tinggal di dunia yang fana ini.

Saya terkesan dengan kata ustaz Hasrizal..

Moga tertebus kepedihan yang ditanggung oleh rakyat yang diseksa.

Moga terubat tahanan-tahanan pendapat (prisoners of opinion) di penjara Mesir.

Moga sembuh al-Azhar daripada campur tangan regim.

Moga terbuka jalan pulang Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ke bumi Kinanah.

Moga terawat kerinduan Sheikh Kamal Helbawi yang lama berkelana di bumi Eropah.

Moga sirna kepungan derita umat di Gaza dan Palestin.

Moga bermakna 12 Februari 2011 pada mengenang terbunuhnya pengasas al-Ikhwan al-Muslimin, Hassan al-Banna pada 12 Februari 1949.

Segalanya, ameen untuk semua itu!

Mesir, anda mengajar saya satu pengajaran yang cukup berguna!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers