Gelanggang amal..




 Usai usrah selepas Subuh itu, saya bersiap-siap untuk pulang ke Ipoh.

Meminta bantuan Kak Salwa untuk menghantar, Alhamdulillah tiket pula dibeli lewat, jadi memang harapan untuk saya mendapatkan tiket pagi tatkala cuti panjang yang pastinya sudah menjadi pilihan orang.

Sekali lagi meminta bantuan Kak Salwa untuk menghantar ke KTM Shah Alam pula. Destinasi pilihan saya adalah KL Sentral meski masih ada tiket bas yang dijual untuk waktu seterusnya, tetapi saya lebih selesa untuk berlama-lama di tempat ini.

Kuala Lumpur Sentral.

Nama yang pastinya umum sudah mengetahui. Tempat transit untuk perjalanan kereta api, sistem aliran ringan dan pelbagai pengangkutan lain. Maka tidak hairanlah jika tempat ini memang sentiasa di kunjungi ramai manusia, dan saya adalah salah seorang darinya.

Tiket sudah dibeli, masih ada tiga jam untuk saya melepaskan lelah berprogram sepanjang hari semalam dan mencari ‘sesuatu’ di sini.

Sementara menunggu kereta api ke Ipoh sampai, sempat saya mengisi perut di Restoran Pokcik Rambut Putih a.k.a KFC.

“Nek, tadi kakak kaunter tu semua RM 12.80 lah,” kata seorang cucu kepada neneknya.

“Makcik, semuanya RM 12.80,” ujar petugas kaunter pula.

Duit dihulur hanya RM 10. Saya melihat dalam genggaman tangan nenek itu hanya ada RM 1 sahaja. Bersoal jawab nenek tua itu cuba untuk mengurangkan harga dengan hanya membeli seketul ayam sahaja.

Cucunya yang berdua hanya melihat kecewa.

Kecewa jika ayam itu perlu dikongsi berdua.

Allahu Rabbi.. lantas aku mengeluarkan RM 3 untuk membayar baki harga nenek tersebut. Tidak sampai hati rasanya untuk membiarkan kanak-kanak itu berduka.

“Terima kasih kakak. Kakak ni baik hatilah.”

Mereka menoleh melihat saya di belakang. Tersenyum gembira.

Allahu, menggeletar tangan saya. Segera mencari kalimah keampunan.

Begitu terasa keikhlasan kata-kata mereka kepada saya.

Saat saya mencari meja kosong untuk di duduki, sempat saya melihat kanak-kanak berdua itu menoleh-noleh kepalanya mencari di mana saya akan duduk.

Malu terasa diperhati oleh mereka berdua dengan rasa teruja. Maka saya mencari tempat yang agak tersorok untuk di duduki.

Terima kasih Allah kerana memberi peluang untuk saya melakukan kebaikan.

Misi untuk saya berlama-lama di KL Sentral tercapai.

Mungkin bagi kebanyakan orang, untuk mencari ketenangan maka carilah tempat yang mendamaikan. 

Namun begitu, bagi saya pula, tempat yang memberi saya peluang banyak untuk bermuhasabah diri adalah di sini.

Di KL Sentral.

Di sinilah saya cuba mengasah mencari peluang untuk melakukan praktikal dakwah.

Di sinilah saya suka memerhatikan manusia yang pelbagai ragamnya.

Di sinilah juga dapat saya berinteraksi dengan manusia yang bukan dari Malaysia. Membantu mereka mencari arah perjalanan serta mengasah pertuturan English saya.

Semuanya saya mahu belajar secara pengalaman.

Tidak mungkin akan dapat di dalam kelas.

Tidak mungkin juga dialami jika hanya sekadar duduk di dalam bulatan sahaja.

Sesungguhnya usrah itu bermula tatkala usainya bulatan usrah itu sendiri.

Medan amal yang menunggu kita untuk berjuang.

Namun harus di ingat bahawa ini semua adalah perancangan Allah s.w.t yang Maha Kaya. TanpaNya tidaklah saya dapat melakukan sesuatu amalan itu.

Kalau nostalgia orang dahulu kala adalah berkenaan Puduraya, maka bagi saya pula, nostalgia dan rakaman cerita saya banyaknya di KL Sentral ini.

Terima kasih sekali lagi Ya Allah.

:)



Comments

Popular posts from this blog

Lulus untuk temuduga Professional Technologist, MBOT

GrEP MARA: PART 3

GrEP MARA : PART 2