Menjadi luar biasa di hari korban!
Suasana perumahan pagi ini agak sunyi.
Mungkin kerana tiada suara kanak-kanak yang berlari dan bermain.Kebanyakannya sudah pulang ke kampung.
Alhamdulillah.
Allah memberi keizinan untuk merai dan menginsafi pada hari yang penuh dengan sirah pengorbanan ini.
“Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun, namun yang mengambil jalan kembali hanyalah kurang dari 100. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menunaikan perintah Allah tanpa ragu-ragu walau bakal ada darah yang tumpah di bumi. Nabi Muhammad SAW ditentang hebat sepanjang dakwahnya di Mekah. Siti Hajar ditinggal di bumi tandus yang kering kontang ditinggal suami tercinta. Mereka ini adalah sebahagian dalam lipatan sejarah yang melakukan pengorbanan hanya untuk Islam dan mencari redha Allah. Namun begitu, masyarakat pada hari ini sanggup mengorbankan Islam hanya untuk kepentingan diri semata-mata. Apakah tidak ada rasa malu pada Allah?”
Suara khatib membaca khutbah raya. Menjalar keinsafan diri,menunduk wajah ke lantai bumi. Memahami ayat-ayat itu dengan sepenuh hati.
“Marilah kita mengorbankan masa lapang kita untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Memperbaiki diri menuju redha Ilahi.Allahuakbar, Allahuakbar.”
Saat ini muhasabah masa menerpa diri. Berapa banyak masa yang telah ku isi untuk memperbaiki diri atau mensia-sia begitu sahaja?
Allahu Rabbi, tidak layak diri ini digelar Murabbi andai masa tidak lagi mampu untuk ku urusi dengan sebaiknya.
HIDUP BERMASYARAKAT
Usai solat, berziarah kami sekeluarga ke rumah jiran. Mengeratkan lagi ukhuwah yang sekian terbina. Kemudian, bersiap untuk melaksanakan tanggungjawab masyarakat.
Melapah daging korban!
Jujur selama ini, saya tidak pernah berminat untuk menyertai aktiviti ini. Kebiasaannya pagi lagi selepas solat sunat, saya akan berziarah ke rumah kawan-kawan sekolah yang sudah lama tidak berjumpa. Kadangkala berkonvoi raya kami dari rumah ke rumah.
Namun,ada satu kesedaran menyuntik saya pada raya kali ini.
“Acik,nak ikut mak pergi surau tak nanti? melapah daging korban.Makcik Liza banyak kali dah ajak mak.”
“Nak! Okey juga tu.” Saya mengiya tanpa banyak bicara. Entah kenapa. Mungkin tiada perancangan lagi untuk berziarah ke rumah kawan-kawan.
Keadaan di surau itu agak sibuk. Para lelaki sedang menyembelih lembu dan kerbau. Saya tidak berani untuk melihat. Melihat darah yang menghambur keluar, ada kemungkinan saya akan diserang penyakit yang entah apa-apa. Lalu saya bergerak menuju ke ruangan kaum ibu. Mengambil tempat, tanpa banyak bicara terus melakukan kerja memotong sayur dan sebagainya.
Agak kekok sebenarnya untuk melakukan kerja bersama kaum ibu ini. Entah apa yang dicerita dan disembang, memang saya tak fahami. Lantaran itu, saya lebih senang duduk diam dan buat semua kerja.
Habis menyiang dan memotong, saya bergerak membantu mencuci pinggan pula.
Baru ini saya dapat berbual-bual dengan makcik. Itupun hanya cerita sekadar tentang keluarga.
“Eh,kenapa yang basuh ni semua mak dara je? Anak daranya mana?” tanya seorang Ustaz.
“Entahlah Ustaz, habis hilang semua anak dara entah pergi mana,” jawab seorang makcik yang sedang sibuk membilas pinggan.
“Aku ni bukan anak dara ke? Atau aku ni nampak macam mak dara?” desis hati saya. Diam itu lebih baik.
“Rajin kamu ni nak tolong makcik-makcik. Nak hidup bermasyarakat. Kalau anak dara lain, tak mahunya tolong makcik-makcik ni,” kata seorang makcik pada saya. Lebih senang dipanggil Makcik Ti.
Saya hanya tersenyum tanpa menjawab. Pujian dipulangkan kepada yang selayakNya.
KERJA BERMASYARAKAT,JANGAN DILUPA SYARIAT
Selesai upacara korban, ada sedikit jamuan.
Sekali lagi, saya mengambil tempat untuk mencuci pinggan yang menggunung.
“Kenapa kamu tak lipat baju tu Suhana? Basah lencun dah,” tegur seorang makcik ketika saya hendak pulang.
Saya hanya mampu tersenyum dan menjawab di dalam hati. “Aurat lah makcik.”
Alhamdulillah, pengalaman buat kerja bermasyarakat, memang menyeronokkan walau agak kepenatan.
Sekurang-kurangnya saya dapat mengubah sedikit persepsi makcik-makcik di kampung ini bahawa tak semua anak dara yang tak mahu dan tak tahu buat kerja. Bukan sekadar melawa sahaja di pagi raya.
“Maaf makcik, basah tangan nak salam.” Kata saya ketika makcik menghulur tangan.
“Takpe, tu ada tanda lah maknanya.” Tersenyum makcik sambil matanya melirik kawan sebelah.
Saya???
Buat-buat tak faham sudah. Bukan niat untuk mempromosi diri menjadi calon menantu, tapi niat hanya sekadar untuk bermasyarakat. Supaya senang kerja dakwah diterima ramai. Mempelajari sikap dan nilai mereka berfikir untuk menjadi inspirasi kepada kerja dakwah.
Hari ini mengajar saya pelbagai pengajaran.
Nak buat kerja bermasyarakat, jangan dilupa akan syariat!
Pergaulan sesama lelaki dan perempuan yang berstatus mahram perlu dijaga.
Aurat perlu dipelihara sebaiknya.
Allahu Rabbi, terima kasih atas cetusan inspirasi.
Membawa aku mengenali dan cuba menyantuni masyarakat ini.
Comments