Perniagaan gaya pos: Hukum dari segi Islam

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, entri ini ana ambil dari laman ustaz Zaharuddin mengenai hukum perniagaan gaya pos ini. Ana mula-mula mendapat tahu mengenai perniagaan ini melalui kawan ana, perniagaan ini juga lebih dikenali dengan ta'awun. Modus operandinya seperti perniagaan lain, mencari orang bawahan, tapi beroperasi menggunakan wang pos, kawan ana kata seperti main kutu lah gayanya.

Menarik, itu yang ana fikirkan, tetapi apa-apa pun,ana perlu cari juga mengenai hukum perniagaan seperti ini. Bukankah Allah mengurniakan akal untuk berfikir? Justeru, ana mula mencari mengenai hukum perniagaan ini.Alhamdullilah, ana jumpa juga apa yang ana cari. Syukran ustaz kerana mengulas isu ini.

Buat kalian, terpulang kepada anda untuk percaya atau tidak, anda dikurnia akal, gunakanlah sebaik mungkin untuk menimbang tara mengenai hal ini.

SOALAN

Saya nak tanya tentang suatu pelaburan yang berbentuk piramid. Baru-baru ini saya ada masuk, modalnya cuma RM30.00. Caranya ialah dengan membeli wang pos berjumlah RM5.00 setiap satu dan enam keping. Setiap satunya hendaklah ditulis dengan nama si penerima 'di atas' kita dan ini merupakan sumbangan ikhlas daripada kita. Kemudian setelah nama kita tersenarai, kita mencari ahli-ahli baru pula di bawah dan giliran kita pula mendapat sumbangan RM5.00 daripada ahli di bawah. Dalam masa sebulan berbelas-belas keping wang pos yang diterima yang berjumlah beratus-ratus ringgit.

Soalannya, apakah hukum menerima duit tersebut? Pelaburannya cuma RM30.00 tetapi pulangannya agak lumayan. Ia juga adakalanya dinamakan sebagai ta'awun atau tolong menolong.

JAWAPAN

Setelah membaca penerangan saudara di atas. Jelas kepada saya bahawa ia adalah pelaburan yang tidak halal di sisi Islam. Ia juga bukanlah pelaburan.

Ini kerana rukun pelaburan islam di bawah konsep mudarabah dan musharakah adalah: -

· Wang pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui

· Pelabur

· Pengusaha

· Bisnes yang halal / Pekerjaannya

Antara syarat sahnya pula :-

· Nisbah pembahagian keuntungan yang dipersetujui bersama.

· Tiada jaminan modal selamat.

· Tiada jaminan untung tertentu atau tidak tertentu.

Jika dilihat, salah satu rukun dalam pelaburan Islam atas asas mudarabah dan musyarakah adalah mestilah mempunyai satu perniagaan yang halal serta terbuka kepada untung dan rugi.

Dalam kes yang dirujuk saudara, duit pelabur (peserta iaitu dalam bentuk wang pos itu) adalah untuk melabur dalam perniagaan itu..tetapi tiada perniagaan tertentu, malah pelaburan itu pula dianggap sumber mendapat untung, atau dalam kata lain, 'pelaburan' atau duit penyertaan terkumpul itu adalah dianggap bisnes dan keuntungannya, lalu manakah perniagaannya sebagaimana yang disyaratkan? apa produknya? mana pula "profit sharing ratio" nya? ..maka ini jelas tidak menepati rukun pelaburan dalam Islam.

Menjual pusingan ahli yang menyertai dan sistem piramid adalah tidak diterima oleh Islam walaupun ia cuba berselindung di sebalik nama ‘ta'awun' (kerjasama), sedeqah, tolong menolong dan sebagainya.

ELEMEN RIBA

Selain itu, proses ini juga mempunyai elemen riba di dalamnya, ini adalah kerana setiap pihak yang ‘menderma' memasuki sistem dengan niat, harapan serta janji oleh pihak pengurusan bahawa mereka mendapat derma berbentuk wang dengan nilai yang lebih banyak dari apa yang diberinya.

Di dalam Fiqh Islam, seseorang yang menderma tidaklah boleh mensyaratkan kepada penerima atau mana-mana pengurus sistem untuk mengembalikan sejumlah wang semula kepadanya, khususnya yang lebih besar. Jika ini berlaku, sifat hadiah tadi akan berubah kepada daripada hadiah yang biasa kepada ‘hibah at-thawab' atau ‘hadiah bersyarat pulangan' (hibah bisyarti ‘iwad) yang mana keadaan ini akan mengubah sifat kontrak asal derma iaitu ‘tabarru'at' kepada sifat jual beli iaitu ‘mu'awadah maliah'.

Apabila ia telah berubah menjadi sifat jual beli, Islam mengharamkan pertukaran wang dengan wang yang berbeza nilainya dan bertangguh pula. Selain itu, sifat jual beli mewajibkan agar semua rukun dan syaratnya ditepati dan jelas seperti subject matter, tempoh, nilai, pihak yang bertransaksi dan lain-lain.

Dalam program derma wang pos ini, kebanyakannya tidak diketahui, seperti bila tempoh dapat semula wang, berapa nilainya, siapa pihak di sebelah sana yang sedang berurusan dengannya dan banyak lagi. Hasil dari itu, konsep ta'awun atau banu membantu melalui sistem wang pos piramid ini tergolong dalam kategori yang bermasalah dari sudut rukun jual beli dan juga jatuh dalam kategori riba.

ELEMEN JUDI, GHARAR DAN MAKAN HARTA SECARA BATIL.

Selain dari tergolong dalam kategori riba atau syubhat riba, ia juga mempunyai elemen judi kerana peserta tidak pasti wang yang telah diderma akan mampu membawa pulangan wang yang lebih banyak atau tidak di kemudian hari, namun harapannya sentiasa berkobar untuk mendapat ‘derma' yang lebih banyak. Tatkala itu, definisi judi, spekulasi dan gharar, ketiga-tiganya wujud di dalam permainan ini.

Berdasarkan huraian sahabat besar, Ibn Abbas r.a semasa menghuraikan ayat dari surah An-Nisa:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." ( An-Nisa : 29)

Beliau menafsirkan salah satu dari erti makan harta secara batil, palsu dan tidak sahit adalah

أخذ المال بغير عوض

"mengambil harta tanpa sebarang balasan kerja yang setimpal" (Rujuk Tafsir at-Tabari, Ar-Razi)

Selain itu, terdapat juga athar yang disandarkan kepada Ibn Abbas dimana beliau berkata

"Riba adalah setiap hadiah yang mensyarat pulangan lebih besar dari pemberiannya" (Al-Jami' fi Usul al-Riba)

Imam Fakhruddin Ar-Razi menambah penjelasan di dalam kitab tafsirnya dengan berkata :

أن الربا يقتضي أخذ مال الإنسان من غير عوض، لأن من يبيع الدرهم بالدرهمين يحصل له زيادة درهم من غير عوض

Ertinya : Sesungguhnya riba ia beerti mengambil harta manusia tanpa sebarang timbale kerja atau nilai, sebagaimana seseorang yang menjual satu wang dirham dengan mengambil dua dirham, si penjual memperolehi tambahan satu dirham tanpa sebarang perantara kerja dan nilai tambah (Rujuk Tafsir Al-Kabir dalam tafsir ayat 29 surah An-Nisa)

Maka inilah sifat program derma wang pos, yang jelas jatuh dalam erti mengambil harta orang lain tanpa kerja yang setimpal, pemberian yang setimpal. Program ini amat sama dengan tabiat Riba, iaitu wang dipaksa melahirkan wang yang lain tanpa sebarang perantara aset dan kerja yang menambah nilai kepada ekonomi setempat.

Itu berlaku apabila wang diderma dan mengharap pulangan derma dari yang lain kepadanya. Apakah nilai pertumbuhan yang dihasilkan selain menambahkan ketamakan dan menghilangkan pahala dari sesebuah derma? Bukankah itu sama sahaja dengan sifat riba?, sama seperti meminjamkan wang dan menerima pulangan yang lebih darinya tanpa sebarang kerja yang setimpal dan tiada pula aset yang diniagakan.

Ringkasnya, sistem derma wang pos atas apa juga nama yang digunakan adalah sama seperti sistem piramid yang mengambil keuntungan di atas jumlah orang yang masuk di dalam sistem. Daripada bentuk yang saudara berikan, ia jelas diharamkan oleh sebab, syubhat riba, elemen judi, gharar dan juga makan harta secara batil.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

18 Syawal 1430 H

7 Oktober 2009


Comments

Popular posts from this blog

Lulus untuk temuduga Professional Technologist, MBOT

GrEP MARA: PART 3

GrEP MARA : PART 2