Thursday, January 8, 2015

Cerpen Bahagian 2

Berdiri di situ seorang lelaki memegang langsir penghadang antara Jemaah lelaki dan Jemaah perempuan. Wajahnya masih basah tanda baru usai mengambil wudhuk. Tertera nametag di atas poket bajunya, Mus’ab.

“Amboih,berhoi-hoi lagi. Tak reti nak beri salam ke?” desis Anis, mencebik. Rakannya yang sedang memegang telefon tadi terus menyorokkan telefon tersebut ke dalam kocek bajunya.

“Apa kamu semua buat dekat sini? Dari tadi saya dengar bunyi kecoh di luar surau tadi. Kamu nak buli orang ye?” tanya pemuda tersebut. Bahasanya mula reda. Tadi bukan main tinggi macam petir nak panah bumi.

“Eh,kami tak buat apa-apa cikgu. Ini kan surau,mestilah nak beribadah. Tadi kami gurau-gurau je, ye idok?” Madihah menepuk bahu Anis. Lirikan mata diberi pada semua tanda mereka perlu segera pergi dari situ.

Aqilah hanya terdiam. Tidak dipandang lelaki itu, tanda malu barangkali cikgu itu mendengar setiap butir bicara pergaduhan tadi. Dia tidak pernah tahu ada guru baru di sekolah ini. Bahkan lebih mengejutkan dia seperti pernah melihat wajah lelaki tersebut. Tetapi entah dimana, dia pun sudah lupa.

“Ah,peduli apa aku.” Dia pun melangkah keluar,tanpa mengucapkan sebarang ucapan terima kasih. Lagaknya yang memang tidak mesra pada sebarang lelaki memang begitu walau pada guru sendiri.

Mus’ab hanya memerhati Aqilah yang keluar terus dari surau tersebut tanpa sebarang bicara.

“Ini rupanya Aqilah.” Hatinya berbisik.

Terkoyak senyuman dari bibir.

Tanda satu masalah sudah selesai. Misi seterusnya perlu diteruskan. Memegang amanah terbesar ini, perlunya jiwa yang besar. Jiwa yang besar hanya datang dari kuasa yang besar,dan tentulah kuasa besar itu datang dari Allah yang Maha Besar.

Dia perlu menunaikan solat segera sebelum loceng untuk kelas bermula.

                                          ******************************************
“Anis,Madihah. Aku nak cakap sikit dengan kau dua orang.” Datang seorang perempuan berpakaian uniform kuning, lain dari pelajar. Tanda dia mempunyai jawatan di sekolah tersebut. Waktu sekolah sudah lama habis, kini mereka sedang menunggu pemandu untuk mengambil mereka. Yang pastinya hala tuju mereka bukan terus balik ke rumah, ada tempat baharu yang mereka mahu teroka rancangnya.

“Kau nak cakap apa? Aku malas nak layan kau lah, PEMBODEK!” Anis menuding jari kepada Iman. Tidak semua orang tahu yang Anis dan Iman adalah adik beradik kembar. Tidak tahu dan mereka memang tidak mahu beritahu. Lain benar perwatakan mereka berdua. Seorang yang memang sosial budaya, seorang lagi baik budinya. Bagai langit dan bumi perbedaan ketara mereka berdua.

Anis sering mencemburui Iman, kakak kembarnya itu. Sedari kecil, ayah dan ibu mereka hanya tertumpu kepada Iman. Segala macam hajat pasti akan ditunaikan. SEGALA! Maksudnya tiada ada yang tidak tertunai, pasti tertunai. Ini kerana sikap Iman yang sering mendapat pujian di sekolah kerana kepintarannya. Berbeza dengan Anis, dia lebih suka meneroka hidup dengan pengalaman dari menghabiskan hidup dengan menjadi hamba kepandaian. Prinsipnya pandai pengalaman lebih bagus dari pandai buku. Prinsipnya benar, tapi caranya salah. Dia lebih memilih untuk memberontak dengan cara bersosial sahaja. Ini sahaja cara dia mampu raih perhatian ibu dan ayahnya meskipun cara itu amat buruk sekali.

‘Kau buat apa dengan Aqilah tadi? Aku dapat tahu dari Cikgu Izzah. Dia jumpa aku beritahu perihal ini pada aku. Kau jangan macam-macam Anis, tak cukup lagi ke kau dah buat perkara onar dekat sekolah lama dulu, kau nak bawa perangai macam ni dekat sekolah ni juga? Memalukan aku betul dapat adik macam kau ini.” Dengus Iman. Safiyah yang berada di sisinya cuba menyabarkan sahabatnya itu.

“Eh, Iman. Yang kau nak sibuk pasal kitorang ni apahal? Kau hiduplah dengan hidup kau. Jangan nak masuk campur perihal aku. Blah lah kau!” terus mereka beredar dari situ. Hilang mood mereka.

“Iman, sabarlah. Aku rasa mesti dia memberontak. Sebab itu dia buat hal macam-macam di sekolah. Kita kena berhikmah dengan dia. Aku tak tahu macam mana, tapi pasti ada cara. InshaaAllah, yakin dengan Allah ya.” Safiyyah berkata, menepuk lembut bahu Iman.

Menitis air mata Iman. Bukan dia tidak mahu berlembut pada adiknya itu. Tapi sudah lama dia berlembut, tetapi hati adiknya cukup keras. Kasar benarkah teguran dia itu pada adiknya? Dia tidak tahu, tetapi hatinya masih kuat mengatakan adiknya akan berubah suatu hari nanti.

Yakin pada sirna.

Mus’ab masih berada di situ. Lewat balik hari ini kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Buku latihan masih banyak tidak bertanda. Dia baru sahaja berkhidmat di sekolah ini. Menjadi guru ganti selama tiga bulan. Profesion guru bukanlah kerjaya sebenar dia. Dia mengambil cuti selama tiga bulan untuk menyelesaikan masalah ini.

Masalah yang sekian lama cuba dirungkai.

Lelah dilepaskan. Tanda letih memeriksa latihan para pelajarnya. Subjek Matematik Tambahan bukanlah satu subjek yang amat popular untuk diminati oleh para pelajar. Bahkan hari pertama dia mengajar di situ, hampir kesemua pelajar tidur di dalam kelas. Apabila ditanya, mereka jawab tidak faham langsung apa yang diajar. Masalah dunia!

Beberapa hari dia tidak tidur malam. Mencari penyelesaian untuk kaedah termudah bagi memahami subjek ini. Lantas dia menghubungi Mualimah Zainab yang pernah mengajar subjek ini kepadanya sewaktu sekolah dahulu. Dia tidak pernah lupa pada jasa guru tersebut yang membimbingnya hingga dia menjadi pelajar terbaik dalam matapelajaran ini.

“Ah,kenangan dulu.” Desis hatinya mengenang perjalanan hidupnya bergelumang dengan dunia sekolahnya dahulu.

“Mualimah, dulu macam mana mualimah ajar ana yang bodoh pasal matematik ni ya?” tanya Mus’ab ketika mereka bertemu, hanya tujuan untuk menuntut kaedah tersebut.

Mualimah tergelak kecil.

“Bukan bodoh, kurang mahir Mus’ab. Anta dulu bukan tidak pandai, cuma masih tidak nampak konsep sebenar. Mualimah jampi kamu dalam kelas, kamu tak tahu ke?”

“Amboih, mualimah. Mai share sikit mentera jampi tu.  Mana tahu, berkesan kat anak muridnya saya ke lepas ini.” Sambung Mus’ab pada guruan gurunya itu.

“Haha.. menteranya hanya pada doa. Doa Nabi Musa minta dilapangkan dada dan difasihkan bicara untuk berdakwah kepada Firaun si pemuka ketika itu. Mus’ab, mengajar ini anta jangan pandang pada nak anak-anak murid sahaja faham. Anta dahulu kena lapangkan hati untuk mengajar dan minta difasihkan bicara agar mereka faham apa yang anta nak sampaikan sebenarnya.”

Bicara Mualimah tertusuk tajam ke dalam hati. Dalam gurauan penuh nasihat yang mahu disampaikan. Dia sedar doa itu. Tercatat di dalam alQuran dan sering diulang-ulang dibaca doa itu. Namun tidak dia sedari hikmah dan ibrah begitu besar jika dihayati dan difahami.

Allahu Rabbi.

Mungkin aku tidak ikhlas kerana mahu menyelesaikan misi ini.

Namun aku juga perlu ikhlas untuk cuba meraih pahala berbakti ilmu selama tiga bulan ini.

Bukan senang untuk senang.

Dan bukan susah untuk susah.

Ya Rabbi, permudahkan dan jangan disusahkan.

Bersambunggg.....

Sunday, January 4, 2015

Cerpen Bahagian 1

Dingin subuh menjalar di setiap urat tubuhnya. Namun, perjalanan yang jauh mengenyahkan kedinginan itu. Peluh kecil keluar, rasa rimas lalu di lap dengan hujung kain baju kurungnya itu.

Lampu jalan masih lagi terang, menunjukkan yang keadaan masih lagi gelap. Matahari fajar kian naik di ufuk. Makcik-makcik yang berniaga kuih dan sarapan sedang sibuk mengemas untuk jualan. Sebentar lagi ramai manusia yang keluar dari perut rumah singgah di kedai jualan ini. Suasana seperti biasa, yang dilalui saban hari olehnya.

Sekolah Menengah Kebangsaan Rimba Sakti.

Terpampang gah nama sekolah tersebut di papan tanda luar sekolah. Sedikit sahaja lagi langkahan dia akan sampai ke gerbang pintu sekolah tersebut. Langkahannya berat seperti di tarik sesuatu.

“Aqilah, apehal kau laju sangat ni, punyalah aku menjerit dari tadi kau tak dengar. Sejak bila telinga kau tuli ni?”

Aqilah menoleh ke belakang, dilihatnya Anis sedang menarik beg yang dikendongnya itu dari belakang. Kelihatan Madihah juga di sebelah tersengih sinis.

“Aku bukan tak dengar, saja buat tak dengar. Dah lepaskanlah. Kau dah kenapa nak buat hal pagi-pagi buta ni? Aku ada kerja nak buatlah!” bentak Aqilah. Pantas dia menolak tangan Anis yang masih memegang begnya itu. Berlalu terus masuk ke kawasan sekolah. Anis dan Madihah masih berada di kawasan luar sekolah. Aktiviti biasa mereka, melepak di luar pagar hinggalah loceng sekolah tanda kelas mahu bermula, baru mereka menapak ke dalam sekolah. Sudah diberi amaran banyak kali, tetapi kepintaran dan kekuasaan yang mereka miliki hanya mampu mendiamkan cikgu disiplin sekolah itu sahaja.

Siapa tidak kenal Tengku Anis binti Tengku Ahmad dan Ku Madihah binti Tan Sri Shukri? Anak hartawan yang bersekolah di sini. Sudah lima belas sekolah mereka berpindah randah atas masalah disiplin. Sekolah ini terpaksa menerima mereka kerana nama yang ada pada kedua ayah mereka. Jika tidak padah jawabnya. Baru beberapa bulan mereka di sini, sudah banyak masalah yang timbul. Pening guru memikirkannya.

Mereka ini berkawan baik sejak kecil, jadi ke mana sahaja mereka pergi, pasti bersama. Seperti lipas kudung lagaknya.

Belakangan ini, Aqilah menjadi sasaran mereka. Semuanya hanya kerana satu peristiwa yang berlaku minggu lepas.


                                           *******************************************

Loceng tanda rehat kedengaran.

Para pelajar berpusu-pusu keluar mahu mengisi perut yang berkeroncong. Kantin sekolah yang terletak bersebelahan tapak perhimpunan itu makin penuh dengan pelajar.

Namun tidak pada dia. Saban hari, loceng rehat itu bukan waktu untuknya mengisi perut. Tapi lebih kepada mengisi hati. Surau sekolah berwarna hijau ini begitu menyamankan bagi insan seperti dia. Apatah lagi dapat menunaikan solat sunat dhuha yang menjadi amalan hariannya. Amalan yang dikongsi oleh seseorang yang bererti dalam hidupnya. Dia masih tidak lupa. Sesekali tidak akan lupa.

Usai solat, dia menyandarkan tubuh ke dinding surau. Penat bekerja malam tadi tidak habis lagi lelahnya. Hanya itu mata pencariannya untuk terus menyambung pelajaran. Tinggal lagi beberapa bulan untuk dia mengakhiri zaman persekolahan dan meneruskan cita-citanya. Tempat ini memang sesuai untuk beristirehat, apatah lagi tidak ramai yang punya kesedaran untuk pergi ke surau ini pada waktu sebegini.

“Solat dhuha ini, orang mengerti untuk meraih rezeki sahaja. Hikmahnya murah rezeki. Tetapi orang tidak peduli pada ibrah kenapa solat ini dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam waktu dhuha. Surah ad-Dhuha menceritakan tentang perasaan Rasulullah yang begitu terasa ditinggalkan oleh Allah SWT kerana begitu lama tempoh masa wahyu tidak diturunkan kepada baginda. Akhirnya Allah menurunkan surah ini, yang intipatinya mengingatkan Rasulullah bahawa ketika dia menjadi anak yatim,siapa yang beri perlindungan, ketika tercari kebenaran siapa yang memberi petunjuk. Terkadang Aqilah, kita ini perlu diingatkan dengan perkara sebegini. Kita buat solat dhuha, bukan lepas t uterus turun rezeki dari langit depan mata. Tidak! Tetapi ibrah agar kita dapat melihat betapa waktu inilah keharmonian mencari rezeki itu ada. Lakukanlah hingga akhir hayatmu saban waktu. Moga nanti, jiwamu tenang untuk meraih rezeki yang diaturkan Allah untukmu.” Bahu Aqilah ditepuk lembut.

Di surau ini jugalah dia menemui insan ini. Namun, semuanya hanya tinggal kenangan sahaja.

“Hoi budak! Kau nama Aqilah kan?” terkejut bangun dia dari tidur-tidur ayam.

“Kau siapa?” lantas dia bangun. Ada sekumpulan pelajar di situ mengelilinginya membentuk separa bulatan.

 Dia masih berdiri menyandar di dinding.

“Aku tanya kau dulu sial! Kau kan nama Aqilah tu!”

“Ye,aku. Engkau ada urusan apa dengan aku?”

“Engkau boleh tanya apa urusan aku dengan kau? Hoi! Engkau aku tak kenal datang dari keturunan mana? Anak siapa? Tiba- tiba engkau pandai-pandai report pasal hal aku pada cikgu disiplin apehal? Kau ada masalah ke ha? Kau nak kena tumbuk dengan aku?"

Aqilah teringat berkenaan hal tersebut.

Ya, peristiwa malam itu!

“Ape lagi geng, kau bagi pengajaran dekat budak ni. Baru dia sedar sikit.” Arah suara tersebut.

Seorang sudah sedia merakam dengan telefon bimbitnya. Manakala yang lain sudah bersedia untuk memulakan aksi mereka.

“Buka semua pakaian dia, dan kau rakam. Aku akan sebarkan video tersebut. Biar dia dapat malu!”

Yang lain mula menghampiri Aqilah yang masih berdiri di dinding surau itu. Wajahnya masih tenang meski sudah dibanjiri peluh kegelisahan.

“Hoi, apa kau orang buat kat sini ha?”

Mereka semua menoleh kearah suara tersebut.

Bersambungg….

Dua tahun itu

Masa itu beredar pantas jika di isi dengan segala hal dunia sahaja.

 “Bila nak menulis lagi? Aku selalu baca blog kau, sekarang ni dah tak menulis ke?”

Kawan menyapa di dalam ruang sosial.

Bila mana melihat status saya yang kepingin mahu menulis semula.

Dua tahun bukan masa yang sekejap.

Dalam masa dua tahun ini, berlaku transisi dalam kehidupan saya.

Daripada seorang yang belajar, kemudian bekerja sepenuh masa. Dari seorang yang hanya menunggang motorsikal,sudah mampu memandu kereta. Dari tiada anak saudara, sudah ada 2 anak saudara, dari rumah yang kecil, sudah boleh hidup dalam rumah yang besar bersama keluarga. Dari tidak banyak hutang, sudah makin banyak beban hutang..

Banyak, terlalu banyak!

Itu baru dari atmosfera kehidupan saya. Belum lagi kehidupan dunia dan seisinya.

Tapi cuma satu perkara yang saya pinta dan masih mahu kekal sampai mati jika Allah izin.

Walau selemah mana daya kaki melangkah dan menongkah, mohon saya masih kekal dalam dunia dakwah dan tarbiyah ini.

Saya ini insan yang sentiasa alpa, dari kecil tidak diajar dengan nilai Islam sepenuhnya.

Bilamana Allah izin untuk saya mendapat sirna cahaya itu, syukur tidak terhingga.

Oh ya, hajat saya mahu menyambung ijazah sarjana di izin Tuhan.

Setelah hampir dua tahun saya memendam keinginan itu, masanya hampir tiba.

Di mana?

Saya akan berkongsi bersama anda semua.

Hanya tunggu masa sahaja lagi.

Doa anda amat saya harapkan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers