Wednesday, August 17, 2011

Contest "Andai Ku tahu ini Ramadan terakhir"


Bismillah wa hamdalillah.

Mengambil semangat Badar, dengan penuh kesyukuran saya dengan rendah hati menganjurkan satu contest untuk para pembaca.

Tajuk cerpen yang telah ditetapkan adalah “Andai ku tahu ini ramadan terakhir”.

Anda bebas untuk menulis apa-apa tema sama ada, kemanusiaan, dakwah, cinta, atau sebagainya. Sebagai penilai, saya akan meneliti karya anda berdasarkan tahap kreatif serta mesej yang mahu disampaikan. Jika cerpen ini sesuai untuk dibaca pada semua genre, itu adalah satu kelebihan untuk anda. Wah, dah bagi satu hint ni!

Syukran ala kulli hal buat sahabat baik saya yang sudi menaja semua hadiah pemenang. Ini adalah satu penghargaan buat saya yang terlalu kerdil dalam bidang blog dan penulisan ini.

Ayuh, sertai!

Saya amat meraikan penulisan anda.

Tarikh tutup bagi penyertaan contest ini adalah pada 30 Syawal 1432H / 28 September 2011M.

Syarat-Syarat Penyertaan:

  1. Terbuka kepada semua warganegara Malaysia. (tidak diwajibkan untuk menjadi follower laman ini,kalau nak follow, saya menghargai).
  2. Tuliskan satu entry berbentuk cerpen bertajuk “Andai Ini Ramadan Terakhirku"
  3. Tampal banner contest seperti seperti di atas di mana-mana sudut laman blog anda serta linkkan ke entry ini.
  4. Letakkan link entry penyertaan di ruangan komen, untuk saya senang menilai dan sebagai bukti penyertaan.
  5. Sesiapa yang bukan blogger atau tidak mempunyai blog juga boleh menyertai, hantarkan penyertaan anda pada emel saya norsuhanasamsudin@yahoo.com di dalam bentuk file pdf / word.
  6. Tag dua orang rakan anda untuk menyertai contest ini.
  7. Penganjur berhak sepenuhnya atas cerpen anda untuk disiarkan semula di dalam blog ini atau mana-mana laman web lain atas nama anda, bukan nama penganjur. Niat penganjur cuma mahu bakat anda dikembangkan secara meluas dan utamanya tentulah kerana Allah SWT.
  8. Keputusan akan diumumkan dua minggu selepas tarikh tutup penyertaan. InsyaAllah.
  9. Segala keputusan adalah muktamad. Surat menyurat, bantahan,rayuan atau undian SMS tidak akan dilayan.

Hadiah-hadiah pemenang:

Tempat Pertama : Hadiah bahan bacaan bernilai RM 35 ke atas.

Tempat Kedua : Hadiah bahan bacaan bernilai RM 30

Tempat Ketiga : Hadiah bahan bacaan bernilai RM 10

Saguhati: Sebuah Tasbih Kayu tanda ingatan. Ini bergantung kepada berapa orang sahabat saya nak taja.

Moga Allah berkati segala berusaha. Selamat berkarya dan berjaya kepada anda!

Tuesday, August 16, 2011

Contest Aku Berpuisi- Sang Penyeru Gagap


Angin debu menampar wajah duka
Menghirup udara rimba
Segarnya angin tidak mampu membunuh keluh resah di jiwa

Kamulah si pendosa
Yang mencabar kerajaan Sang Pencipta
Layaknya kamu ini cuma hamba yang hina
Tapi lakonmu seperti Firaun yang dihidupkan semula
Kedatanganku ibarat Musa yang tidak ada mukjizatnya
Namun atas rasa berjiwa hamba
Aku bangkit untuk berkata
Kembalilah kepada Yang Maha Pencipta

Aku tiada tongkatnya si Musa
Waima mampu mengeluarkan sinar putih bercahaya
Yang aku ada hanya al-Quran dan Sunnah sahaja
Itu sudah cukup bagi aku berani berkata
Kepada kamu si pendosa
Kembalilah kepada Yang Maha Mencipta

Hey manusia yang tergagap tutur bicara
Usulmu tidak aku ketahui dari mana
Sialan mulutmu berkata aku Firaun yang dihidupkan semula
Akan ku humban kau ke neraka Pencipta yang dikata
Kelak baru kau tahu siapa Tuhan yang sebenarnya!

Angin debu menampar lagi wajah duka
Alam rimba ini menjadi peneduhku buat seketika
Menjadi saksi Sang Pencipta itu Maha Berkuasa
Neraka yang dicipta memakan sendiri Tuannya

Dan aku..
Masih tetap mahu menyeru
Kembalilah kepada Yang Menciptakan kamu

Dari setetes air mani yang hina
Kau dan aku dicipta

Ayuh
Marilah menjadi hamba

Pendosa berjiwa hamba.


p/s : Entri ini untuk penyertaan contest mohamadazhan.com . Saya telah 'dipaksa' untuk menyertainya, jadi dengan tak berapa reti saya pun buat puisi sebuah cerita seorang daie yang gagap dalam berkata. Untuk melengkapkan syarat penyertaan, dengan ini saya akan paksa juga blogger ini untuk masuk..Hihihi..

Friday, August 12, 2011

Sedekah di Hentian Tapah..


Saya,kakak dan ayah, berjaulah hari itu ke Shah Alam.

Berehat sebentar menunaikan solat jamak di hentian rehat Tapah. Usai solat, pergi menemani kakak yang kelaparan.

Saya memerhati sekeliling sementara menunggu kakak membeli makanan. Ramai orang yang singgah untuk makan. Menariknya melihat keluarga Cina yang makan rendang dan ketupat palas, memang jiwa malaysia ni.Tapi bukan itu yang menarik pandangan saya, dari kejauhan memerhati susuk tubuh si kecil. Memegang sesuatu di tangannya, pergi dari meja ke meja.

Saya tahu akhirnya pasti si kecil ini ke meja saya juga.

Dan..

“Kak, ni saya ada jual benda ni, duit derma untuk anak-anak yatim. Kalau akak taknak beli pun takpe, derma seikhlas yang akak nak beri,” ujar si kecil itu. Saya menjangka dia masih bersekolah lagi.Mungkin dalam lingkungan 12-13 tahun.

Saya tersenyum.

“Takpe dik, terima kasih ye.”

Lalu kakak menegur,” Baru nak cakap, kenapa tak bagi je duit.Dah tadi dia kata derma je seikhlas yang nak diberi.”

“Bukan taknak bagi kak.Tak ada duit, tertinggal beg duit dalam kereta.Bagi senyum pun sedekah juga tu.”

“Itu semua sindiket.Kesian budak kecik macam tu,jadi mangsa.”

“Itulah juga. Tadi dekat stesyen minyak hentian jejantas Sungai Buloh pun ada orang macam ni gak.Minta derma untuk anak yatim.Peliknya macam mana diorang boleh sesat sampai ke hentian ni,” saya menambah.

Persoalan di situ. Namun saya hapuskan prasangka. Memang bukan sukar untuk mengenali peminta sedekah yang dari sindiket atau tidak. Hasil dari perbualan saya dengan seorang pakcik berbangsa cina di KL Sentral suatu ketika dulu, mencerahkan lagi pengetahuan saya tentang kes sindiket seperti ini.

Benar, jika mahu bersedekah, tak perlu dilihat pada siapa kita mahu sedekah, dan berfikir ke mana duit itu akan pergi.Kerna niat kita untuk bersedekah itu sudah diberi ganjaran. Tetapi kadangkala saya terfikir bahawa jika semua orang berfikiran macam itu, maka pasti ada golongan yang mengambil kesempatan. Suatu ketika dulu, gempar dengan isu pendapatan si peminta sedekah mampu mencapai pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Kita sering dimomokkan dengan status negara yang semakin maju dan ekonomi yang semakin meningkat.Tapi dalam masa yang sama, masih ada segelintir masyarakat yang hidup merempat. Kekayaan hasil negara masih tidak dapat diagihkan secara saksama. Justeru itu, timbul golongan peminta sedekah ini, yang menyara diri dan keluarga hasil belas ihsan.

Cuma satu nasihat saya, jika diri masih berupaya, berusahalah dengan kudrat sendiri. Bukankah tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Walau sesukar mana mencari rezeki, hasil dan pahalanya tetap ada.

Buat orang-orang yang diminta duit untuk disedekahkan.

Walau anda tiada duit, berikanlah senyuman kepada mereka. Bukankah itu juga adalah sedekah. Jangan diherdik dan dicaci walau mereka itu asal dari mana. Mungkin saja mereka tidak mau menerima nasib sebegitu.Andai anda berada dalam keadaan mereka, bagaimana rasanya?

Firman Allah SWT

“Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.” [Al-Baqarah : 263]

Saya juga punya pengalaman sebegitu.

Ketika menjadi sukarelawan untuk mengutip derma bagi tabung Palestin. Walau duit tidak diterima ketika disapa, cukup senyuman itu mampu mebuatkan saya bahagia dan bersemangat untuk meneruskan kerja. Paling utamanya adalah mereka mahu mendengar coletah saya mengenai Palestin, agar mereka peduli nasib ummah di sana.

Walau apa pun, marilah kita memperbanyakkan sedekah.

Sedekah bukan sahaja dari segi wang. Bisa aja datang dari bentuk tenaga, masa, senyuman, ilmu dan sebagainya. Makanya kita memang tidak boleh lari dari sedekah kan?

Mari menjadi hamba yang suka bersedekah.

Friday, August 5, 2011

Ya Allah,siapalah saya ini..



Saya tidak menyangka.

Ketika karya saya dikeluarkan di web Iluvislam, ramai yang bertandang ke blog saya, malahan menjadi rakan di facebook dan ada juga yang menghantar emel untuk bertanyakan pendapat dan masalah.

Ya Allah, tatkala ini saya bermuhasabah.

Siapalah saya ini.

Saya tidak layak untuk berbangga. Semuanya ini adalah ujian untuk saya. Adakah menulis keranaNya atau kerana nama. Apa yang saya ada cuba untuk saya berkongsi rasa. Hinggakan orang menjadikan saya sebagai tempat rujukan, itu dan ini bertanya.

Itu kerana mereka punya rasa percaya yang tinggi kepada saya. Rasa kepercayaan itu mendorong mereka untuk bertanya. Anda percaya kepada saya walau tidak mengenal secara realitinya. Bukanlah saya mengatakan saya ini hanya berpura-pura, tetapi sedaya upaya saya mahu menjadi kuli Allah yang terbaik. Saya ini bukanlah seorang yang sempurna hingga orang lain menganggap saya ini punya kehidupan yang baik.

SAYA DAN SEKOLAH!

Saya juga punya masalah. Hingga saya pernah jatuh kerana masalah yang dihadapi. Namun pelampung iman yang dilempar insan-insan sekeliling menyelamatkan saya dari lemas dalam lautan masalah.

Siapa saya?

Sayalah dahulu pelajar yang nakal dan culas. Waktu kelas agama adalah waktu tidur saya, kepenatan aktiviti seharian di asrama. Mujur ustaz tidak menegur, mungkin kerana tidur di dalam majlis ilmu dipayungi malaikat agaknya.

Menjadi ketua kelas, bukanlah mudah. Apatah lagi saya memecah rekod sekolah apabila menjadi ketua kelas perempuan yang pertama untuk kelas kejuruteraan. Ini agak pelik kerana di sekolah saya, ketua kelas perempuan hanya datang dari kelas perdagangan, tetapi saya mendominasi kelas kejuruteraan. Saya janggal, kerana pemilihan saya juga datangnya dari guru disiplin sekolah, bukan pilihan warga kelas.

Cikgu Eddy Johan, guru displin sekolah yang melantik saya itu.

Saya tidak tahu sama ada lantikan itu untuk kenakan saya atau apa, kerana setiap kali apa yang berlaku, pasti saya orang yang dicari. Saya bukanlah pelajar bermasalah yang perlu tumpuan guru disiplin sekolah. Tetapi entah mengapa, sehari tidak kenakan saya, memang tidak sah. Mereka memanggil saya anak Cikgu Eddy. Oho, satu penghargaan atau kata perlian?

“Azril, kelas kamu sepatutnya susun kerusi untuk guru di perhimpunan, kenapa lewat susun?” tanya Cikgu Eddy.

Saya hanya diam, kerana bukan nama saya yang disebut. Tapi peliknya kenapa cikgu memandang saya? Saya toleh ke kiri, tiada orang kerana saya orang pertama yang berbaris. Sebelah kanan saya Aminudin, ketua kelas kejuruteraan dua.

“Kamulah, turun 10.” Cikgu Eddy menuding jari pada saya.

Sah.

Hari pertama sekolah bermula, saya dah kena. Entah sejak bila nama saya ditukar dari Suhana kepada Azril.Mesti dia ingat nama abang saya, Rizal kot.

Cikgu Eddy memang terkenal dengan ketegasannya. Pernah senior dilempang olehnya. Pelajar yang lewat datang perhimpunan diketuk kepala dengan buku. Ayat yang paling popular darinya adalah “Do ten time”. Maksudnya ketuk ketampi sepuluh kali jika buat kesalahan. Pantang baginya bila orang lewat darinya dan berjalan kasut berbunyi.

“Dekat sekolah ni, hanya cikgu Arjit je boleh jalan berbunyi, sebab kasut dia ada ladam,” katanya kepada kelas kami.

Paling mengerikan apabila dia mengajar subjek English dan EST kepada kami. Oh,tidak boleh dibayangkan.

“Siapa punya air nescafe bergantung kat tingkap tu?” tanya Cikgu Eddy.

Saya mengangkat tangan. Sah, pasti kena lagi hari ni.

“Eh, saya tak suka ada benda gantung kat dalam kelas. Kamu minum bagi habis, kalau tak satu kelas kena berdiri.”

“Sir, panas air tu, sebab tu saya tak habis minum.”

Meraih simpati. Namun, buatlah gaya apa pun, takkan boleh menggugat ketegasannya. Jenuh juga saya menghabiskan air nescafe yang sedikit berasap tu. Melangkah keluar Cikgu Eddy dengan sengihan, berjaya kenakan saya!

“Eh, Suhana, come here.” Panggil Cikgu Eddy. Kerja menulis pantun dalam English tergendala, sudahlah susah, dipanggil pula. Mesti ada benda yang nak dikenakan lagi.

“Kamu lawan catur hari tu dapat nombor berapa?”

“Nombor empat cikgu. Tapi mata saya dengan pelajar tempat ketiga sama je.Margin je berbeza. Tak tahulah pihak daerah nak panggil atau tidak lawan peringkat negeri.” Pelik pula saya diajak berbual tatkala orang lain buat kerja. Saya menjawab sekadarnya.

“Sudah-sudahlah tu Suhana.SPM dah nak dekat ni. Bagilah chance kat junior pula. Debat kamu, forum kamu, catur kamu. Cukup-cukuplah tu,” nasihat cikgu.

Saya hanya tersengih. Tak sangka nasihat yang diberi. Ingatkan nak kenakan lagi.

Loceng sudah berbunyi. Tetapi kami berempat masih berdiri tegak di hadapan Cikgu Eddy. Menanti hukuman yang akan dikenakan. Di’suspect’ sebagai orang yang selalu balik awal sebelum loceng berbunyi. Memang sudah diagak, ketuk ketampi lah jawapannya.

“Suhana, balik kampung ni jangan bawa motor kalau tak ada lesen, nanti kena tahan polis. Kamu ada lesen motor ke tak?” tanya cikgu Eddy sebelum saya keluar dari bilik guru, selepas dikenakan hukuman ketuk ketampi kerana jalan berbunyi.

“Tak ada cikgu.”

Saya pelik, akhir-akhir ni, cikgu Eddy semakin baik. Jarang mahu kenakan saya. Kalau tidak, ketuk ketampi tu sudah menjadi senaman harian saya. Mungkin tidak mahu mengganggu kerana peperiksaan semakin hampir.

Cikgu Eddy di sebelah saya. Ketika Raya 2010.

Terlalu banyak memori saya pada Cikgu Eddy. Hari raya lepas, kami sempat bertandang ke rumah Cikgu. Sudah putih rambutnya. Makin dimamah usia.

“Kamu Suhana, belajar kat mana sekarang ni?” tanya Cikgu Eddy ketika saya dan kawan melawat sekolah.

“UiTM. Sekarang cuti sem.”

“Tak kerja ke?”

“Kerja cikgu. Jual ubat kurus. Losyen pati halia. Kalau cikgu nak, boleh dapat diskaun,” dalam nada canda. Mahu kenakan cikgu pula. Asyik aku je terkena!

“Oh, takpelah, saya ok dah macam ni.” Alamak, percaya pula cakap aku cikgu ni. Kawan saya disebelah sudah terkekeh-kekeh ketawa.

Walau Cikgu Eddy garang pada semua pelajar, tapi dengan saya bukan garang, tetapi lebih kepada sikap humournya. Jika pelajar lain takut menyapa, sayalah orang yang rajin menegurnya. Mungkin sebab sudah biasa kena denda agaknya.

PENUTUP : SAYA KINI

“Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, pasti Allah mengujinya.” (Hadis Al-Bukhari)

Zaman sekolah saya penuh dengan gembira dan duka. Masih tidak mengerti maksud Allah mencipta saya ke dunia. Di zaman universiti, kematangan saya bertambah. Akhirnya saya dilorongkan Allah untuk menjadi insan yang lebih bermakna.

Buat anda, saya adalah saya. Insan yang lemah tanpa Allah. Janganlah memandang terlalu tinggi pada saya, kerna pandangan tinggi itu bisa mengecewakan anda jika tidak kena pada tempatnya kan. Terimalah diri saya seadanya, insan yang tidak pernah sempurna.

Jika kita jahat hari ini, berubahlah untuk menjadi baik pada hari esok dan hari-hari yang lain.

Moga Allah menerima segala ibadah,amalan dan puasa kita!

Nota kaki~

Artikel saya di Web Iluvislam :

Melakar Cinta Allah Melalui Sahabat

Pencarian Untuk Kebahagiaan

Di Sebalik Kotak Segi Empat Itu

InsyaAllah, menanti artikel seterusnya untuk keluar ^_^

Tuesday, August 2, 2011

Inilah bekal yang terbaik!


Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, [Al Baqarah:183]

“Rasanya, apa pesediaan yang paling penting sebelum kita menyambut Ramadhan yang pertama nanti?” saya menyoal ahli usrah ketika sesi tazkirah.

Jawapannya pelbagai. Ada juga yang diam bersahaja.

Lalu saya tersenyum dan bersuara.

“Persediaan yang paling utama adalah kita memohon taubat dan keampunan yang sebanyak dan sesungguhnya kepada Allah. Supaya hati kita yang kotor dan hitam ini dapat dibersihkan dengan siraman taubat.Ingatlah, hati yang bersih, mampu meresapi semangat ramadhan.Inilah motivasi kita.”

Setelah sebelas bulan kita menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi, diri kita yang tercedera semasa sebelas bulan ini dengan serangan jahiliyyah dan kaum Api, maka Allah menghadirkan kita satu bulan yang penuh rahmah dan barakah. Bulan yang mana kita berpesta dengan ibadah yang sebanyaknya. Tiada hasutan dari kaum Api.

Jika selama ini orang tidak bangun qiam kerana takut, maka bulan inilah masanya.

Jika selama ini orang tidak mahu bersedekah, maka bulan inilah masanya.

Jika selama ini orang tidak mahu membaca al-quran, maka bulan inilah masanya.

Kerna apa?

Segala ibadah yang dilakukan akan diganjari dengan pahala yang beratus kali ganda.

Kita mahu mendidik diri menjadi insan yang bertaqwa.Andai ramadhan ini dianggap seperti universiti, maka ijazah taqwa menjadi tujuan kita. Selama ini kita rendah dalam cgpa pahala, maka masa inilah kita mahu meningkatkannya.Ibarat bonus untuk para manusia yang berada di Universiti Ramadhan ini.

Akhirannya kita mahu diganjari dengan balasan syurga.

“Persoalannya adalah, kita ini masuk ke syurga kerana rahmat Allah, bukan kerana ibadah yang kita lakukan. Jadi buat apa kita beribadah selama ni?” saya memprovokasi minda mereka.

“Sebab dengan ibadah yang dilakukan,kita mengharap untuk mendapat rahmat Allah,” jawab Wani, rakan usrah saya.

Tepat tembakannya.

Analoginya adalah seperti seorang anak mahu meminta basikal baru pada ayahnya. Lalu si anak pertama memberitahu pada si ayah. Tetapi si anak pertama tiada usaha untuk menyakinkan ayahnya agar membeli basikal baru untuknya. Si anak kedua mahukan juga basikal baru. Setelah diberitahu hajatnya kepada ayahnya, si anak kedua ini cuba mengambil hati si ayah. Membantu dalam kerja rumah, menolong si ayah membasuh kereta dan sebagainya. Natijahnya, si ayah membelikan si anak kedua basikal yang diingini.

Begitulah juga kita ini manusia. Kita beribadah selama ini kerana mahu mendapat rahmat Allah. Jika kita tidak beribadah, bagaimana Allah mahu menilai kita? Ya benar, Allah Maha Mengetahui, tapi harus ada usaha untuk ktia mendapat rahmat Allah itu kan.

Allah beri kita tempoh sebulan untuk melatih diri agar menjadi insan yang bertaqwa.

Taqwa amat penting dalam hidup kita.

Hanya insan bertaqwa yang mengambil berat apa yang Allah suka dan apa yang Allah tidak suka.

Firman Allah SWT,” Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku, hai orang-orang yang berakal.” [Al-Baqarah:197]

Justeru, marilah kita raikan ramadhan yang hampir tiba ini.

Agar taqwa menjadi bekalan terbaik untuk kita semua.

Ayuh, semarakkan ramadhan, semarakkan ketaqwaan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers