Wednesday, June 22, 2011

Sayonara cinta..


Saya kecewa!

Itu yang saya mampu katakan sekarang.

Sebabnya?? Oh.. mungkin ada bisa kata ini adalah perkara biasa, tapi bagi saya yang biasa itu adalah bahaya!

Ila menunduk. Acu juga begitu.

“Tahu atau tidak apa itu dosa?” saya menyoal mereka.

Memang tazkirah minggu ini saya agak tegas. Bahkan bukan calang-calang tazkirah barangkali, mungkin lebih ke arah amaran dan ugutan! Oh, bagaimana tu?

“Dosa tu bila kita buat salah,” jawab Acu.

“Dalam hadis ada dikatakan dosa itu adalah apabila kita melakukan sesuatu perkara, hati kita bergetar. Terketar bukan sebab apa, tapi takut. Takut orang lihat, takut itulah, inilah. Macam sign lah, bagi amaran, tapi kalau kita buat juga, maknanya kita ni menzalimi siapa? “ soal saya lagi kepada mereka berdua.

“Menzalimi hati sendiri,” jawab Ila.

“Ha, pandai Ila. Menzalimi hati sendiri. Jadi selama ni Ila mesej dengan pakwe tu semua, menipu kami ni tak ada rasa bersalah ke?”

Saya pandang Ila, nampaknya sudah masuk ke mauduk utama.

“Entah, tak ada rasa apa-apa pun,” bersahaja Ila menjawab.

Saya terdiam dengan jawapannya, “Kalau dah buat salah tapi tak rasa apa-apa, itu tandanya apa?”

“Hati ada penyakit,” jawab Acu.

“Ada seorang ayah ni, dia ada anak. Anak dia ni punyalah jahat kemain. Jadi ayah dia kata kalau anak buat satu kejahatan, maka pakulah tiang tu. Jadi hari-hari anak dia buat jahat, pakulah tiang tu. Bila dah penuh tiang tu dengan paku, maka ayah dia suruh cabut paku kat tiang tu pula. Bila anak dia cabut, maka keadaan tiang tu buruklah, berlubang-lubang dengan kesan paku. Maka begitu juga dengan hati. Bila buat jahat, akan ada satu titik hitam dalam diri. Bila dah penuh titik hitam tu jadinya, tak ada sensitiviti dosa,” balas saya.

Saya memandang Acu, menunduk dia beristighfar.

“Acik tak tahulah nak kata macam mana, nak kata hati ni kecewa, macam pinggan kaca tu, pecah berkeping-keping. Bayangkan Acik ni yang kakak dah cukup kecewa macam ni, kalau mak dan abah apatah lagi. Selama ni Acik ingatkan Ila dah tak buat kerja macam ni, tapi diam-diam buat juga. Itupun Allah nak tunjuk kepada kami, selama ni kerja Ila tu salah,” tajam pandangan saya pada Ila.

Saya marah! Namun saya cuba menyelesai secara psikologi. Maka saya bertanya kepada Ila masalahnya. Bercerita dari A hingga ke Z perjalanan ‘cinta’nya itu.

Usai Ila bercerita.

“Jadi Acik nak beri Ila pilihan. Ila pilih nak Iqwan ke atau nak family? Kami tak kisah kalau Ila nak pilih dia, kami boleh je hidup, buat-buat Ila tak wujud dalam family ni. Kami boikot Ila, tak cakap dengan Ila, kalau nak suruh pergi kedai ke apa, tulis atas kertas je, takpun kami bagi sms je. Ila kan suka sms.”

Ada nada perli dan amaran di situ.

“Okeylah, kita try. Kitorang tak cakap seminggu dengan Ila, nak tak?”

“Taknak..” mengeleng-geleng kepala Ila.

“Ha, jadi, apa lagi Ila nak ragukan? Acik dah letak handset depan tu, taip mesej sekarang. Depan mata Acik.”

“Sekarang ke? Esok lusa tak boleh ke?” tanya Ila pula. Masih keberatan.

“Kalau bukan sekarang, bila? Hidup ni belum tentu lama, entah-entah nanti turun tangga dah meninggal, kita tak tahu kematian tu bila, kalau bertangguh untuk meninggalkan dosa, maka rugi dan binasalah kita,” saya bertegas lagi.

Lalu Ila mengambil handset tersebut dan menaip mesej.

Sayonara cinta..

“Kalau Ila nak kata Acik, kitorang ni semua kolot, tak moden apa lah sebab tak menerima couple, cakaplah. Acik tak kisah. Acik lebih kisahkan adik-adik agar tak menghampiri jalan-jalan ke arah menghampiri zina. Ila rasa Acik ni kejam ke buat semua ni dekat Ila?”

“Tak..”

“Jadi Acik harap Ila faham. Semua Acik buat ni untuk kebaikan. Ila baru 14 tahun. Kalau nak jodoh tu, mintalah dekat Allah agar diberikan jodoh dengan cara yang baik. Bukan dengan cara couple ni. Ila ingatlah, kitorang dah berkorban untuk Ila. Acik ni dulu sanggup tak masuk sekolah berasrama sebab nak jaga Ila dengan Iwan. Sebelum pergi sekolah dulu, hantar Ila dengan Iwan dekat rumah Makcik Ji, baru pergi sekolah. Sekarang dah besar, tak fikir pun apa kami dah buat untuk korang.”

Sungguh saya tidak mengharapkan pengorbanan itu dibalas. Tapi cukuplah menjadi peringatan untuk adik-adik saya.

Malam itu, menitis mata Ila. Teresak-esak tangisnya.

Ya Allah, redhailah kami. Jadikanlah adik-adikku ini, Acu, Ila dan Iwan sebagai insan yang soleh. Patuh segala perintahMu dan ibu ayah. Hindarilah kami dari fatamorgana dunia dan penyakit hati. Kuatkanlah hati kami dengan limpahan iman kepadaMu.

Adik-adikku, mengertilah bahawa kami ini sayang akan kalian.

Monday, June 20, 2011

Heyy Si Budak Dekan!!


“Mak jumpa Firdaus dekat kedai tadi, tengok keretanya jenama dari oversea, baru lagi. Katanya dia buat business sekarang, dulu kerja dekat Tanjung Malim,” ujar mak saya.

Teh yang masih berwap panas itu saya hirup sedikit. Berita di televisyen saya lihat dengan pandangan kosong. Mungkin otak ligat memahami maksud tersirat di hati mak.

“Mak rasa kejayaan yang sebenar apa dia?” saya bertanya pula kepada mak.

Mak diam. Berfikir mungkin dengan soalan saya.

“Kita ni selalu pandang kejayaan material je, kereta besar, rumah besar, jawatan hebat. Tapi kejayaan yang sebenarnya ialah apabila kita berjaya jadi insan yang beragama, itu kejayaan maknawi. Mana yang mak nak? Anak berjaya rumah besar, kaya tapi culas solat, tak hormat ibu bapa, cucu pula tak reti solat semua atau mak nak anak yang ada rumah biasa, tak mewah macam kita sekarang tapi isi rumahnya beragama?” saya bersoal lagi.

“Iskh, mestilah mak nak yang hormat mak ayah, beragama semua. Tak nak anak yang kaya rupa tu.”

“Nah, mak sendiri dah tahu pilihan mak apa dia, tapi orang masih memandang yang rupa dari isi.”

Mak diam lagi. Pandangannya mungkin tembus ke televisyen.

Ini adalah pemikiran masyarakat yang saya rata-rata berfikiran sedemikian rupa. Mengukur kejayaan dari harta dan kekayaan yang diperolehi. Entah, saya sendiri tidak tahu di mana silapnya. Jika ada anak yang punya akhlak baik, beragama walau kurang berjaya dalam akademik, tidak pula mahu dipandang dan dikatakan berjaya.

Jika ditanya kepada saya, apakah erti kejayaan yang sebenar? Maka wajib bagi saya menjawab bahawa kejayaan itu adalah apabila kita mampu menjadi manusia rabbani, yang beragama. Apabila kita merasakan segala perbuatan itu bermatlamatkan Allah, maka automatik segala suis akan dihidupkan untuk memacu diri mencapai kejayaan dari pelbagai sudut dunia dan akhirat.

Sahabat sekalian..

Mungkin bagi pelajar UiTM, masih berada di mood mendapat keputusan peperiksaan, ada yang gembira tak terkata, kecewa tidak terhingga, tersenyum puas, atau memandang bersahaja.

Tidak terkecuali juga saya. Alhamdulillah, diberi kecemerlangan tidak disangka. Namun dalam pada masa yang sama, saya takut andai ujian ini membuatkan saya jauh dari Allah malah mengundang pula kemurkaannya. Maka saya bermuhasabah..

Saya mahu membawa anda bermuhasabah bersama. Ayuh kita.. buat para penerima anugerah dekan ini pesanan khusus untuk anda..

Sering saya melihat dan mendengar sok sek sok sek dari rakan-rakan. Berbaur nada tidak puas hati, cemburu atau apa- apa sahaja.

“ Harap je dapat anugerah dekan, tapi meniru juga, bawa toyol masa test.”

Mungkin anda juga pernah mendengarnya, bahkan mungkin juga sebenarnya itu adalah diri anda!!

Inilah yang saya katakan, kejayaan yang bukan maknawi. Kita berjaya tapi kita tidak mampu menjadi orang beragama.

Kita berjaya tapi kita masih lagi sombong dengan Allah.

Culas untuk solat, tidak menutup aurat dengan sempurna, mulut masih tidak reti dijaga, pentingkan diri sendiri, dengan ibu bapa tidak pula kita hormat dan meninggi diri, masih lagi meniru dan banyak lagi lahhh..

Ini cuma sebahagian sahaja.

Muhasabah sahabat... Muhasabah para pemegang dekan sekalian..

Ini bukan artikel bernada cemburu! Tapi ini peringatan untuk diri saya dan anda..

Jika diri masih tidak sedar, maka awaslah bahawa hati anda sudah mula ada penyakit!

Berdoalah wahai diri, mintalah kepada Allah agar kejayaan atau kegagalan yang diperolehi ini mampu membawa kita dekat dengan Allah, mampu memberikan kita tenaga untuk menjadi penegak kalimah Allah.

Jalan Allah untuk mentarbiyah hambanya cukup cantik dan sempurna..

“Kak Suhana,tiba-tiba mahu kata-kata motivasi untuk diri ini, rasa down sikit dengan result exam.”

Saya mendapat kiriman di facebook.

“Adikku, tika kau lemah, jadikan Allah sebagai tempat untuk meluah rasa.Tika kau goyah, kau perlu kuat kerana kau pembawa Agama.Tika kau rebah, kau harus tabah kerana kau mujahidah muda. Ingat, kegagalan adalah kejayaan yang ditangguhkan, jangan berputus asa! Sesungguhnya orang yang berputus asa itu jauh dari rahmat Allah SWT. Sungguh Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.”

Saya membalas kiriman tersebut.

“Alhamdulillah terima kasih Kak Suhana atas kata motivasi, bermakna sangat buat saya. Hampir saya terlupa bahawa Allah beri ni ada sebabnya, kena tampal lubang-lubang usaha yang bocor.”

Sungguh, kegagalan itu adalah kejayaan yang tertangguh. Gagal hari ini, maka ada kejayaan besar yang menanti.

Berjaya atau gagal,kembalilah kepada Allah setiap saat dan detik, kerna Dialah Yang Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.

Thursday, June 16, 2011

Sharing: Tanpa bayang-bayang untuk kekal berdiri..


SHARING IS CARING..

Saat saya membaca artikel ini, ianya terlalu bermakna buat diri saya. Ingin sekali saya kongsi artikel ini buat kalian.Moga ada manfaatnya juga.


Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. An-Nisa' 4:104



Seiring dengan penambahan waktu, rencam manusia mencari dimanakah penghasilan hari-hari yang dituju. Bagi mereka yang tidak faham apakah ertinya kehidupan mudah sahaja berputus asa dan tewas sebelum tiba ke medan juang. Malas beramal punca hati berpenyakit. Hati berpenyakit membuatkan diri makin sakit, orang memandang jijik. Aduhai diri yang banyak melakukan kesilapan, sedarlah bahawa dunia bukan seperti apa yang diinginkan angan-angan kosong. Semuanya perlu berbayar dengan harga sebuah pengorbanan.

Jangan takut dan jangan mundur ke belakang. Kelak ujian itu pasti menimpa orang-orang yang berjanji untuk setia dalam barisan penolong-penolong Allah SWT. Benarkah ikhlas? Allah Taala menguji penolong-penolongnya dahulu. Siapa lepas, alhamdulillah semuanya terbayar tunai. Siapa sangkut, pintu taubat masih terbentang seluas-luasnya.


Terjun ke medan amal dengan seribu kekuatan

"Aku munafik, aku munafik!" sebut Hanzalah bin Ar-Rabi'.

Kehairanan Abu Bakr apabila Hanzalah berkata begitu. Lalu dia pun bertanya kepada Hanzalah apakah halnya?

"Di saat aku bersama Rasulullah SAW aku teringatkan Syurga dan Neraka. Tetapi apabila pulang kepada keluarga, aku lupa semuanya."

Abu Bakr tersentak dan tersedar bahawa dirinya juga merasakan apa yang difikirkan Hanzalah.

Lalu pergilah mereka berdua berjumpa dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"

Kisah Hanzalah ini sememangnya boleh juga dibuat pedoman pada diri. Terutamanya pada mereka yang selalu merasakan Islam itu menusuk setiap rongga jiwa saat berusrah, jaulah, daurah atau apa jua wasilah tarbiyah. Tetapi nilai-nilai ini mudah sahaja menjadi hilang saat tidak berada pada waktu dan ketika itu. Sedarlah bahawa ianya adalah sesuatu yang normal dan bukan luar biasa. Itulah medan amal.

Dengan kata lain selepas habis sahaja program pandai-pandailah bawa diri. Pandai-pandailah aplikasikan mengikut kebijaksanaan diri. Saat itu baru kamu tahu dimanakah dirimu sebenarnya, apakah sudah menghadam sebaik-baiknya sarana tarbiyah. Atau masih terapung-apung dengan angan-angan. Melakar peta kemenangan Islam di bantal atau bergerak berusaha untuk menghadapi jauh dalam nilai amal.

Saat hati sempit, gusar tiba, rasa-rasa futur mula menjelma janganlah mudah mengeluh. Bertahanlah dan serahkan urusan ini semuanya pada Allah Taala. Masya-Allah, selesai sahaja ujian ini dilepasi barulah rasa beruntung dan berharganya saat itu. Indahnya lagi ujian itu berjaya diterima. Ingatlah di saat gusar itu datang, mereka yang berlawan dan berseteru juga turut gusar. Beruntungnya gusar kerana mempertahankan kebenaran itu punya Allah sebagai sandaran, namun mereka yang berseteru dengan kebenaran tidak punya sandaran...

Ya Allah siapa saya ini?....

Thursday, June 9, 2011

Jangan rehatkan amal!


“Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w melihat seorang pemuda yang menghantukkan kepalanya pada batu yang besar sehingga terkeluar isi kepalanya. Nabi hairan lantas bertanya pada malaikat Jibril yang mengiring. Malaikat Jibril menjawab,”Inilah balasan pada yang melalaikan sembahyangnya.”

Terhenti seketika cerita, menarik nafas sambil memerhati adik-adik saya.

“Jadi, cuba Acu dengan Ila hentak kepala kat dinding sampai terkeluar isi kepala?” saya bertanya kepada mereka.

“Tak nak.Ee..sakit..ngeri,” kata mereka.

“Nah, Acu semalam tengok filem yang tunjuk orang isi kepala terkeluar kena hentak pun dah menjerit, inikan kita yang hentak sendiri, macam mana tu, kalau kita ni melalaikan solat. Melambatkan pekerjaan solat itu.”

Saya menyambung, “ Dah azan, tapi bila ajak solat eh jap lah tunggu cerita Nora Elena ni habis dulu. Nah, di mana kedudukan Allah pada waktu tu, kita sembah Allah tapi kita utamakan cerita kat televisyen. Kita lalaikan solat, orang macam inilah yang nanti hentak kepala sampai terkeluar isi tu.”

Saya bukanlah orang yang anti hiburan, tetapi pada pengamatan saya, mengapa perlu pihak TV3 menukar waktu siaran Slot Akasia. Dahulu sudah molek ditayang dari pukul 6.30 petang hingga 7.30 petang. Orang boleh terus solat Maghrib,tidak menunda-nunda.Sekarang bertukar 7.00 petang hingga 8.00 malam.

Saya tegaskan bahawa saya bukanlah untuk bercerita tentang cerita Nora Elena yan sedang hangat ditayangkan itu, tetapi fahamilah mesej yang cuba saya sampaikan ini.

Kalau sanggup kita mengabaikan seruan Allah, melengah-lengahkan waktu solat, tunggulah balasannya untuk orang yang sedemikian rupa!

Kematian tidak bertangguh!

Andai sahaja anda mati sebelum sempat menunaikan solat maghrib, pasti penyesalan selepas itu tidak berguna. Iringlah televisyen itu ke kuburan anda, mungkin dapat membantu barangkali dari disiksa sang Malaikat!

Hakikatnya kita ini semakin lama semakin diasak dengan hiburan yang melampau. Cuti sekolah dirai oleh pihak penyiar dengan siaran filem, kartun dan sebagainya. Tidak adakah langsung hiburan yang bermanfaat untuk anak-anak muda yang masih mentah ini?

Tazkirah semalam banyak saya sentuh mengenai kematian dan azab neraka kepada adik-adik saya. Agar menjadi pengingat kepada diri saya juga, bahawa segala isi dunia ini jika tidak dimanfaatkan sebagai peluang untuk meraih syurga, binasalah kita.

“Jadi apa kena buat untuk menjaga stabiliti iman kita, waktu cuti sekolah ni?” saya menyoal mereka.

“Buat perkara- perkara yang baik, tak boleh malas...bla..bla..bla..”

Saya tersenyum.

Tahniah pada pihak sekolah kerana berjaya melahirkan pelajar yang memberi jawapan seperti skema jawapan peperiksaan ketika disoal tentang kehidupan.

Anda mengerti maksud saya kan.

Friday, June 3, 2011

Aku kuat, maka aku diUJI..


“Aku rasa hidup aku ni macam suatu lawak, dari kecil aku hidup diuji, kuat sangat ke aku ni sampai Allah nak uji aku bermacam-macam.” Luah seorang sahabat saya di ruangan maya.

Saya terdiam melihat mesejnya. Beristighfar berulang kali.

Hidup ini memang takkan pernah sunyi dengan masalah atau ujian.

Firman Allah:”Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia sentiasa dalam perjuangan yang sukar dan penat”(90:4)

Hanyasanya yang menyedari bahawa ujian itu adalah suatu anugerah untuknya, bukan suatu bentuk kezaliman Tuhan pada hambaNya. Bagi yang beriman, jika ditimpa ujian dan masalah, tidak pernah lekang rasa kesyukuran itu,kerna ia menyedari ada sesuatu yang Allah mahu mendidik dirinya.

Buat sahabat yang saya sayangi, ingin sekali saya dendangkan sebuah kisah ini.

Ada seekor monyet, yang sedang memanjat sebuah pohon. Tiba di suatu dahan, dengan tiba-tiba angin menderu laju menyapa tubuhnya yang kerdil itu. Bergoyang-goyang pohon, ke kiri, ke kanan, tak henti-henti di tolak angin kuat itu. Sang monyet lantas memegang kuat dahan yang di panjatnya itu.

Tidak lama kemudian angin reda seketika, menyapa pula angin yang begitu lembut dan mendamaikan. Sepoi-sepoi bahasa lantunannya, menolak tubuh kerdil sang monyet dengan rasa lembut dan menyegarkan. Kedamaian angin itu membuatkan sang monyet terleka dan alpa, rasa nyaman menghadapi angin yang lembut itu sampai hingga ke pundak kepalanya membuatkan dia tidak sedar bahawa tiba-tiba...

Bukk!

Terjatuh sang monyet ke tanah dari pohon yang dipanjatnya.

Begitulah kisahnya manusia hai sahabat. Bisa saja kita analogikan angin kuat itu adalah ujian dan masalah, sering menimpa manusia. Namun, angin kuat itu juga yang membuatkan kita kuat dan mampu bertahan di pohon agama dan cabang iman. Kental, keras dengan mehnah dan tribulasi yang mendatang.

Tetapi apa akan jadi apabila Allah tidak memberi kita ujian, hidup kita sentiasa senang, tiada masalah, gembira sepanjang masa. Begitulah juga seperti angin lembut dan mendamaikan itu. Tanpa ujian, kita akan rasa lemah, terlalu bersenang hingga kita tidak sedar,akhirnya kita jatuh dan semakin jauh dari Allah.

Bukankah itu satu nikmat dan anugerah dari Allah?

Kamu memang seorang yang kuat. Tidak perlu dipersoalkan lagi, kerana Allah sudah berfirman bahawa :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya dan mendapat seksa dari kejahatan yang dikerjakannya.”

Jangan berduka sahabat apabila ditimpa ujian. Berlarilah mencari Allah, kita ini lemah bukan kerana masalah tetapi lemahnya kita tanpa Allah. Sungguh Allah sangat dekat dan hampir, hanya saja kita yang sombong dan angkuh melupakanNya begitu sahaja tatkala kesenangan dan segala permintaan kita tertunai.

Firman Allah : “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu ujian seperti yang dialami oleh orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang dengan pelbagai ujian, sehingga rasul dan orang-orang ynag beriman bersamanya berkata: Bilakan datang pertolongan Allah? INGATLAH, SESUNGGUHNYA PERTOLONGAN ALLAH ITU DEKAT.”

Kewafatan baginda SAW menandakan bahawa lengkaplah sudah Islam itu untuk kita. Namun, tatkala Islam datang dalam keadaan asing dahulu, baharu sahaja Rasulullah menyeru, kembali kepada Yang Maha Satu, apa tindakan umat itu pada waktu itu? Mereka sanggup bermatian demi mempertahankan agama Allah. Sanggup di siksa tengah panas, dihimpit dengan batu besar, dibakar, disiksa dan sebagainya, namun mereka teguh. Ujian itu mereka hadapi dengan penuh rasa keyakinan bahawa PERTOLONGAN ALLAH ITU DEKAT.

Ya Allah, bagaimana pula dengan kita ini?

Lahirnya sudah dalam keadaan Islam. Al-quran lengkap menjadi pedoman. Namun, kita masih tidak mampu untuk menancap keyakinan teguh pada Allah, malah ada sahaja yang meragu-ragukan Islam, menolak sepenuh,mengambil separuh.

Apakah kita mahu menjadi monyet yang terleka terkena angin nyaman yang menyapa?

Gembiralah wahai manusia yang sentiasa teruji.

Bersyukurlah dengan masalah yang diberi.

Kerna itu tarbiyah Allah untuk diri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers