Thursday, March 31, 2011

Mahalnya harga sebuah keyakinan!


Helaian kertas yang berisikan slide untuk persembahan tesis itu diconteng-conteng oleh supervisor. Ternyata banyak lagi isi yang perlu ditambah sebelum menghantarnya semula. Jam sudah hampir bergerak ke waktu zohor. Kerisauan saya semakin berganda. Pelbagai perkara menerpa dalam benak kepala.

“Ya Allah,sempat atau tidak untuk siapkan semua kerja dan belajar ni. Esok pagi ada test,malam ni ada program usrah pula, macam mana ni.Permudahkanlah semuanya ya Allah.”

Dalam hati saya berdoa.

Usai solat zuhur, saya segera melakukan penambahbaikan pada isi slide tersebut. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Tepat jam sebelum asar saya sudah dapat menyiapkan tugas tersebut. Namun, bila dibelek-belek nota yang masih belum terbaca untuk test esok hari, hati saya menjadi tak keruan. Tebal bukan main kena baca, faham dan hafal. Mengeluh lagi..hai memang manusia!

“Macam tak sempat belajar je, malam ni ada program usrah. Kalau tak pergi mesti ada masa nak habiskan belajar.Iskh.. jangan. Kalau tak pergi, belajar bukan main rak pun tak boleh jawab test esok pun tak guna juga. Tekad,tekad.”

Sekali lagi hati jahat dan baik berbisik. Ya Allah, kuatkan tekad ku ini.

“Kawan, ingat 1 perkara. Setiap apa yang kita korbankan untuk jalan ini, Allah tak akan biarkan ia sia-sia.Allah tak akan biar kita berkorban secara percuma,Allah pasti beri ganjaran.Mungkin kena korbankan masa dari buat tesis + study untuk test sebab nak pergi program ni, tapi bila kita ikhlas dan korbankan kerana Allah, Allah mesti akan mudahkan semuanya. Put your trust on Allah dear.”

Terima kasih atas nasihat ini kawan. Mengukuhkan lagi tekad ini.

FITNAH KEPADA DAKWAH

Alhamdulillah, tidak sia-sia pengorbanan ini. Pelbagai manfaat yang saya dapat dari perkongsian ilmu dengan Ustazah Maznah Daud (Ketua Wanita IKRAM) ketika menziarahi beliau di rumahnya malam itu.

Apa yang paling saya ingat adalah nasihatnya kepada kami semua. Jangan study last minute. Bila dah gagal dalam peperiksaan, nanti menjadi fitnah kepada dakwah. Apabila bertembungnya antara perlu hadir program dan keperluan untuk belajar kerana peperiksaan, letakkan prioriti itu dahulu . Jika peperiksaan itu boleh membuatkan kita lulus atau gagal, kiraan markah adalah hampir 60%, maka prioriti ketika itu pada peperiksaan kita. Tetapi harus diingat juga, tarikh program yang diberitahu bukankah sudah dimaklum awal, jadi sudah tentu itu menjadi kesalahan kepada diri kerana tidak mengatur masa dengan bijak. Belajar awal-awal, sebelum hadir ke program. Itukan lebih baik.

Ya, nasihat beliau mencurah-curah ke ladang minda. Fitnah kepada dakwah!

Saya amat takut sekali jika saya adalah salah satu antaranya. Memang tidak dinafikan bahawa jika gagal dalam peperiksaan itu adalah ketentuan Allah, tetapi harus di ingat kawan, sebelum ktia bertawakal, bukankah kita disuruh untuk berusaha dahulu.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq : 3)

Kita sudah berusaha dan bertawakal, tetapi mengapa Allah masih mengurniakan kegagalan. Tatkala itu, muhasabahlah amal dan hubungan kita pada Allah dan manusia. Pasti ada cacat celanya di mana-mana.

Kertas yang sudah siap dijawab itu direnung dan dibelek. Puas hati saya kali ini kerana mampu menjawab test dengan baik. Saya melangkah ke luar dewan peperiksaan dengan rasa penuh kesyukuran.

Meskipun saya hanya sempat belajar beberapa jam sahaja sebelum peperiksaan, namun itu sudah cukup memuaskan hati saya. Proposal tesis juga sudah selesai dihantar. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan Allah.

PENUTUP

Kisah ini saya dendangkan bukan untuk menunjuk, tetapi jadikan sebagai satu contoh betapa Allah tetap menolong hambaNya. Apabila anda sudah menjadi penolong agama Allah, maka cabaran tidak akan pernah surut. Malah, sentiasa anda diperhatikan untuk dinilai oleh manusia khususnya. Dakwah vs Study, adalah satu cabaran pastinya, namun beringatlah bahawa setiap jalan pasti ada jalan penyelesaian.

Sayugia saya mahu mengingatkan sahabat sekalian..

“…….. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?.....” (At-taubah:111)

Yakinlah pada janji Allah. Letakkan keyakinan yang penuh kepadaNya bahawa..

“Sesiapa yang menolong agama Allah, Allah pasti akan menolongnya.” (Muhammad:7)

Ayuh, mencari redhaNya dalam perjalanan kehidupan penuh ujian.

Sunday, March 20, 2011

Pendusta si penuntut ilmu!


“Belajar tinggi-tinggi sampai universiti. Nanti boleh dapat kerja yang bagus-bagus,” nasihat si ibu pada anaknya.

Nasihat sebegini sering kita dengari, agaknya sudah menjadi satu trend barangkali, apabila sudah bergelar graduan universiti, pasti dapat pekerjaan yang bagus. Jaminan rezeki pada sehelai sijil, begitukah?

Bukankah sifat Allah itu Ar-Razaq..Yang Maha Memberi Rezeki. Tidak yakinkah kita pada sifat Allah ini sehinggakan kita lebih percaya, sehelai sijil yang bercop universiti itulah yang mampu mengubah nasib dan memberi pada kita rezeki yang lebih bagus. Mana keyakinan kita pada tika itu?

Saya tidak menafikan, bahawa nilai akademik itu amat penting pada masa kini.Semuanya berlumba untuk mencapai status ekonomi yang bagus dalam ruang hidup yang semakin mendesak. Namun kita harus meletakkan kepercayaan yang tinggi pada Allah. Rezeki itu ada di mana-mana dengan usaha yang halal dan berkah pastinya.

Ruangan ini, saya bukan mahu mempertikaikan perlu atau tidak pencapaian akademik itu dalam meningkatkan ekonomi diri, tetapi saya mahu memperingatkan diri saya khususnya bahawa amat berbahaya jika kita menyelewengkan saranan menuntut ilmu itu.

Penyelewengan??

Ya, hakikatnya apabila kita koreksi diri, apakah matlamat sebenar kita menuntut ilmu hingga ke universiti? Adakah kerana selepas bergelar graduan, kita boleh mendapatkan pekerjaan yang bagus, tetap dan glamour, berkereta mewah dan sebagainya? Jika benar itu adalah matlamat utama kita ketika bergelar mahasiswa kini, nyatalah kita sendiri telah memburukkan imej mulia menuntut ilmu, matlamat inilah yang dikatakan penyelewengan dalam menuntut ilmu.

Amat tidak wajar kita memperlakukan sebegitu. Maka tidak mustahil jika para mahasiswa kini amat lesu dan tepu, lemah dalam segala segi. Malahan amat memalukan lagi apabila mahasiswa muslim juga begitu. Terperangkap dengan matlamat duniawi, hinggakan segala-galanya berunsurkan material semata. Nilai moral ditolak ke tepi asalkan pencapaian akademik bagus melangit, dengan itu senang untuk mencari pekerjaan kelak.

Belajar hingga ke peringkat kedoktoran kerana boleh bermewah-mewah. Mata melihat, ramai para professor ataupun doktor, hidup senang dengan pangkat akademik yang tinggi, tetapi sedarkah kita bahawa nikmat ketenangan itu boleh diperolehi dari harta yang banyak dan kereta yang mewahkah? Tentu anda menjawab tidak, kerana hati yang tenang bisa diperoleh dengan bahagianya keluarga soleh, jiran yang peramah, kawan yang mengambil berat dan sebagainya.

Sayugia saya mengingatkan diri dan sahabat sekalian. Amal itu berserta dengan niat. Apabila niat kita untuk dunia, maka dunia lah yang kita akan peroleh. Niat kerana Allah, itu lah kita akan dapat. Menuntut ilmu, perlu dimulai dengan niat kerana Allah. Barulah boleh dinamakan ibadah.

Saya cukup kecewa dengan mahasiswa yang berjaya dalam akademik tapi lemah dalam nilai moralnya. Mahu tahu berkat atau tidak ilmu yang kita pelajari itu, cerminlah diri. Adakah dengan ilmu yang kita peroleh itu mampu membuatkan kita lebih dekat pada Allah atau sebaliknya? Jika tidak, muhasabahlah diri bahawa pasti ada kesalahan dalam setiap kelakuan dan tindakan.

Saya akui, dahulunya saya juga berfikir begitu. Masuk universiti dan dapat pekerjaan yang bagus. Namun akhirnya saya menyedari, menuntut ilmu itu seharusnya lebih dari itu. Ada tanggungjawab yang lebih besar untuk saya apabila mahu bergelar ilmuan. Mengajar manusia untuk lebih mentaati Allah dengan ilmu yang saya ada.

Rezeki itu pasti ada. Usah gusar jika kita pernah gagal dalam peperiksaan ,mengulang subjek atau semester, kerana ada hikmah besar yang Allah sertakan dalam ujian. Usah risau dengan pencapaian yang kurang memberangsangkan setiap kali ujian ataupun peperiksaan. Anda sudah berusaha dengan sebaiknya, tawakallah pada Allah dengan sebanyaknya. Rezeki itu bukan datang dalam wang ringgit semata. Mempunyai keluarga yang harmoni, anak yang bijak dan taat, dan sebagainya adalah rezeki juga.

Perbaharui kembali niat kita dalam menuntut ilmu.

“Aku belajar keranaMu ya Allah, berkatilah dengan ilmu yang ku ada agar dengannya aku mampu membawa manusia kembali mentaati Mu.”

Justeru, tidak mustahil jika kita dapat melihat ramai graduan yang memilih pekerjaan kerana niat mereka yang bermegah dengan sekalung ijazah yang ada. Siapalah kita untuk meletakkan standard sebegitu sedangkan ilmu yang ada hanya secebis cuma.Lebih parah lagi apabila ada mahasiswa yang terlalu bermegah dengan bidang yang diceburi ataupun universiti yang sedang diduduki.

Bidang perubatan, kejuruteraan, akaun dan sebagainya menjadi rebutan. UM, UIA, USM,UKM dan sebagainya menjadi pilihan..

Saya akui, itu hak individu. Walangnya hati kerana mereka melihat semua itu hanya sebagai dunia semata. Percayalah, walau dalam bidang mana atau universiti apa sekalipun, jika itu semua tidak dapat membantu anda menjadi manusia yang berjiwa hamba dan mentaati agama, segala-galanya itu tidak memberi makna apa-apa!

Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajad.” (Al Mujadilah: 11)

Jadilah orang yang berilmu yang penuh dengan ketakwaan dan tawadhuk. Mencari keberkatan ilmu itu adalah nilai yang amat penting, jangan terlalu memandang enteng tentang hal ini.

Pelajarilah bagaiman ilmuwan Islam dahulu memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk umat. Al-Khawarizmi contohnya, memperkenalkan “Angka Arab” (Arabic Numeral) untuk menggantikan sistem bilangan Romawi yang kaku. Bayangkan bagaimana ilmu Matematik atau Akaun boleh berkembang tanpa adanya sistem “Angka Arab” yang diperkenalkan oleh umat Islam ke Eropah. Kita mungkin bisa menulis angka 3 dengan mudah dengan menggunankan angka romaiw iaitu “III” tetapi cuba tulis angka 879,094,234,453,340 ke dalam angka Romawi, bingungkan? Jadi para ahli Matematik dan Akaun seharusnya berterima kasih kepada orang-orang Islam. Selain itu berkat Islam pulalah maka para ilmuwan sekarang bisa menemukan komputer yang menggunakan binari digit (0 dan 1) sebagai asas perhitungannya, kalau dengan angka Romawi (yang tak mengenal angka 0), tak mungkin hal itu bisa terjadi.

Jadilah manusia yang bermanfaat kerana itu lebih disukai oleh Allah.

Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah SAW bersabda : "Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis riwayat Thabrani dan Daruquthni)

Tuesday, March 15, 2011

Berubahlah meskipun payah...


Sepertinya ada satu tembok penghadang di hadapan yang membuatkan kita tidak mampu bergerak ke hadapan, tidak mampu melakukan suatu perubahan ke arah kebaikan.

Tembok penghadang itu adalah tembok ketakutan, yang hanya bisa dirobohkan oleh suatu keyakinan dan keazaman yang tinggi.

“Dulu,sebelum aku nak pakai tudung, banyak benda aku fikir. Tapi bila aku dah pakai, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, malahan ada kawan yang turut mengikut jejak langkah aku ni,” kata seorang kawan menceritakan pengalamannya.

Betapa hati saya begitu gembira apabila belakangan ini ada beberapa orang sahabat ingin berubah. Menukar etika pakaian seperti mana yang disyariatkan. Lafaz hamdalah tidak putus dari hati saya. Syukur kerana Allah menitip ruang hidayah pada sahabat-sahabat saya.

“Macam mana dengan perubahan? Rasa bagus tak?” mesej saya pada sahabat.

“Alhamdulillah, rasa tenang sangat. Nak solat pun senang,” balas sahabat.

“ Ya kan, dan lelaki rasa lebih hormat lagi pada kita,setuju tak?”

“Ya,betul sangat.”

Mereka meminta pandangan saya untuk berubah. Malahan yang dapat saya simpulkan adalah suatu perasaan ketakutan yang sepatutnya tidak wajar digambarkan. Takut itu, takut ini, takut begini, takut begitu.. Dan titik bagi segala alasan adalah teruskan bergerak kalau niat sudah ada.

Berubah dari tudung biasa ke tudung labuh, dulu tidak berstokin kaki dan tangan kini menutup segala-galanya. Itu adalah perubahan yang perlu pada diri setiap muslimah. Ya, jiwa anda sering memberi alasan untuk mengatakan tidak bersedia, tapi sampai bila alasan itu mahu dipertahankan? Bukankah itu aib yang perlu kita jaga. Bukan sekadar rambut sahaja.

Kerana itu bijak pandai ada mengatakan; “Bertudung tidak semestinya menutup aurat, tetapi menutup aurat semestinya bertudung(dilabuhkan)”.

Dahulu sebelum saya nekad untuk berubah dan memakai tudung labuh, perasaan ketakutan itu juga yang menjelma. Apatah lagi saya adalah dari bidang kejuruteraan, cabarannya adalah tinggi. Bagaimana mahu pergi ke tapak binaan, panjat sana,panjat sini. Orang akan perlecehkan saya dan sebagainya. Tetapi akhirnya dengan sebuah tekad dan percaya pada janji Allah, saya meneruskan langkah perubahan ini. Alhamdulillah, tiada halangan untuk saya hingga hari ini.

Yang lebih ketara adalah apabila semakin saya rasa dihormati oleh kaum lelaki. Saya rasa keselamatan itu semakin tinggi. Ya Allah, tiada apa yang dapat saya ucapkan, perasaan yang sangat harmoni dan aman.

Mungkin anda berasa selesa untuk berpakaian terbuka dan ketat sana sini, namun hakikatnya adakah anda merasa bahagia dengan apa yang anda lakukan? Adakah anda merasa selamat dengan pakaian yang tersarung di badan anda sekarang? Adakah anda tidak tahu bagaimana lelaki yang tidak tahu menundukkan pandangan, melihat anda berpakaian sebegitu, apa perasaanya tika itu?

Mengertilah.. bahawa Allah tidak pernah menindas kaum wanita. Malahan Allah mengangkat darjat kita lebih tinggi, sentiasa memelihara kita. Mensyariatkan untuk kita menutup aurat bukanlah satu penindasan agama, tetapi itu adalah cara untuk menyelamatkan kita wahai wanita. Berhias berlebihan bukanlah kerana Islam menolak keindahan, tetapi Islam mahu menjaga kita dari menjadi fitnah.. Fahamilah segala apa yang diperintahkan, kerana dengan memahami baru anda ketahui segala hikmah pensyariatan ini.

Buat anda di luar sana, berubahlah meskipun payah. Berubah untuk mengukir hidup yang lebih indah.Niat yang ada, jangan ditangguhkan, teruskan bergerak. Ayuh, hiasi diri kita dengan pakaian indah bernama takwa.

“Hai anak adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan, dan pakaian takwa itulah yang paling baik.” (Al-A’araf:26)

Moga anda sentiasa diberi kekuatan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan~

Saturday, March 5, 2011

Anehnya perjalanan masa..


Perjalanan masa cukup aneh..

Tetapi itulah hakikat yang perlu dihadapi, semakin hari manusia semakin meningkat bilangan umurnya dan pula mendekat pula waktu kematiannya. Kelalaian dalam menghitung waktu amatlah merugikan manusia itu sendiri.

Tanpa saya sedari,sudah hampir 23 tahun saya hidup di dunia ini. Pelbagai perkara telah saya lalui, dari manusia yang penuh tercalit lumpur dosa,hingga akhirnya Allah menuntun saya melalui hidayah dan taufiknya berada dalam barisan penolong agamanya,InsyAllah.

Umur adalah amanah yang dipertanggunjawabkan kepada manusia. Apakah kita memegang amanah itu dengan sebaiknya atau tidak. Adalah dungu seorang manusia itu jika mensia-siakan amanah yang diberi, umur yang ada. Bijaknya manusia apabila berjaya melaksanakan amanah itu dengan sebaiknya.

Hidup jika mahu fikirkan keseronokan,sampai bilalah hingga tiada penghujung.Keseronokan gandingannya adalah kebosanan.Akhirnya anda sendiri bosan dengan keseronokan yang anda kejar dan terlalu nikmati dahulu. Penyesalan memuncak apabila tatkala diri sudah tersedar, sudha lewat untuk mencari kembali makna kehidupan.

Berapa ramai orang di dunia ini yang masih tenggelam dengan kesibukan dunia, hingga terlupa pada Allah?

Sedangkan Allah lebih hebat sibuknya dari manusia!

“Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!” (Ar-Rahman:29)

Tetapi dalam kesibukan Allah itu, adakah segala apa yang kita perlukan tidak ditunaikan? Hampir seluruh nikmat Allah berikan tetapi manusia masih bersikap sombong pada Pencipta. Masih berlagak kononnya anda seorang yang paling sibuk di dunia ini.

Malu..malulah pada diri..

Segala kenikmatan Allah beri tapi kita masih tetap melupakan.

Selain amanah,umur juga adalah salah satu nikmat yang Allah beri. Jika difikirkan berapa ramai bayi yang meninggal tidak sempat menikmati hidup di dunia. Tetapi anda dan saya adalah manusia yang dipilih oleh Allah untuk hidup di pentas dunia ini. Diberi umur yang cukup panjang untuk melaksanakan segala yang diperintahkan.

Bahkan ada manusia yang tidak tahu mengapa dia hidup, maka dengan sia-sia dia mati. Kes bunuh diri berlaku kerana apa? Kerana mereka tidak faham bahawa umur Allah beri adalah amanah,hidup di dunia adalah satu tanggungjawab. Menjadi manusia perlunya beribadah dan juga menjadi khalifah.

Saat ini, muhasabahlah,ke mana amal dan usia anda lakukan. Apakah kita telah meninggalkan sesuatu yang berguna untuk umat atau tidak. Jika belum, lakukan segera sebelum segala-galanya terlambat.

Usia umpama harta..bukan banyaknya yang menjadi perhitungan tetapi keberkatannya. Harta yang berkat,sedikit pun mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Begitulah usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpahkan kebaktian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers