Mahalnya harga sebuah keyakinan!


Helaian kertas yang berisikan slide untuk persembahan tesis itu diconteng-conteng oleh supervisor. Ternyata banyak lagi isi yang perlu ditambah sebelum menghantarnya semula. Jam sudah hampir bergerak ke waktu zohor. Kerisauan saya semakin berganda. Pelbagai perkara menerpa dalam benak kepala.

“Ya Allah,sempat atau tidak untuk siapkan semua kerja dan belajar ni. Esok pagi ada test,malam ni ada program usrah pula, macam mana ni.Permudahkanlah semuanya ya Allah.”

Dalam hati saya berdoa.

Usai solat zuhur, saya segera melakukan penambahbaikan pada isi slide tersebut. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Tepat jam sebelum asar saya sudah dapat menyiapkan tugas tersebut. Namun, bila dibelek-belek nota yang masih belum terbaca untuk test esok hari, hati saya menjadi tak keruan. Tebal bukan main kena baca, faham dan hafal. Mengeluh lagi..hai memang manusia!

“Macam tak sempat belajar je, malam ni ada program usrah. Kalau tak pergi mesti ada masa nak habiskan belajar.Iskh.. jangan. Kalau tak pergi, belajar bukan main rak pun tak boleh jawab test esok pun tak guna juga. Tekad,tekad.”

Sekali lagi hati jahat dan baik berbisik. Ya Allah, kuatkan tekad ku ini.

“Kawan, ingat 1 perkara. Setiap apa yang kita korbankan untuk jalan ini, Allah tak akan biarkan ia sia-sia.Allah tak akan biar kita berkorban secara percuma,Allah pasti beri ganjaran.Mungkin kena korbankan masa dari buat tesis + study untuk test sebab nak pergi program ni, tapi bila kita ikhlas dan korbankan kerana Allah, Allah mesti akan mudahkan semuanya. Put your trust on Allah dear.”

Terima kasih atas nasihat ini kawan. Mengukuhkan lagi tekad ini.

FITNAH KEPADA DAKWAH

Alhamdulillah, tidak sia-sia pengorbanan ini. Pelbagai manfaat yang saya dapat dari perkongsian ilmu dengan Ustazah Maznah Daud (Ketua Wanita IKRAM) ketika menziarahi beliau di rumahnya malam itu.

Apa yang paling saya ingat adalah nasihatnya kepada kami semua. Jangan study last minute. Bila dah gagal dalam peperiksaan, nanti menjadi fitnah kepada dakwah. Apabila bertembungnya antara perlu hadir program dan keperluan untuk belajar kerana peperiksaan, letakkan prioriti itu dahulu . Jika peperiksaan itu boleh membuatkan kita lulus atau gagal, kiraan markah adalah hampir 60%, maka prioriti ketika itu pada peperiksaan kita. Tetapi harus diingat juga, tarikh program yang diberitahu bukankah sudah dimaklum awal, jadi sudah tentu itu menjadi kesalahan kepada diri kerana tidak mengatur masa dengan bijak. Belajar awal-awal, sebelum hadir ke program. Itukan lebih baik.

Ya, nasihat beliau mencurah-curah ke ladang minda. Fitnah kepada dakwah!

Saya amat takut sekali jika saya adalah salah satu antaranya. Memang tidak dinafikan bahawa jika gagal dalam peperiksaan itu adalah ketentuan Allah, tetapi harus di ingat kawan, sebelum ktia bertawakal, bukankah kita disuruh untuk berusaha dahulu.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq : 3)

Kita sudah berusaha dan bertawakal, tetapi mengapa Allah masih mengurniakan kegagalan. Tatkala itu, muhasabahlah amal dan hubungan kita pada Allah dan manusia. Pasti ada cacat celanya di mana-mana.

Kertas yang sudah siap dijawab itu direnung dan dibelek. Puas hati saya kali ini kerana mampu menjawab test dengan baik. Saya melangkah ke luar dewan peperiksaan dengan rasa penuh kesyukuran.

Meskipun saya hanya sempat belajar beberapa jam sahaja sebelum peperiksaan, namun itu sudah cukup memuaskan hati saya. Proposal tesis juga sudah selesai dihantar. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan Allah.

PENUTUP

Kisah ini saya dendangkan bukan untuk menunjuk, tetapi jadikan sebagai satu contoh betapa Allah tetap menolong hambaNya. Apabila anda sudah menjadi penolong agama Allah, maka cabaran tidak akan pernah surut. Malah, sentiasa anda diperhatikan untuk dinilai oleh manusia khususnya. Dakwah vs Study, adalah satu cabaran pastinya, namun beringatlah bahawa setiap jalan pasti ada jalan penyelesaian.

Sayugia saya mahu mengingatkan sahabat sekalian..

“…….. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?.....” (At-taubah:111)

Yakinlah pada janji Allah. Letakkan keyakinan yang penuh kepadaNya bahawa..

“Sesiapa yang menolong agama Allah, Allah pasti akan menolongnya.” (Muhammad:7)

Ayuh, mencari redhaNya dalam perjalanan kehidupan penuh ujian.

Comments

Popular posts from this blog

Lulus untuk temuduga Professional Technologist, MBOT

GrEP MARA: PART 3

GrEP MARA : PART 2