Sunday, November 28, 2010

Mahu jadi kaya??

Setiap rezeki itu datang dari Yang Maha Pemberi Rezeki

Apabila manusia ditimpa kepapaan atau masalah kewangan,buntu cara memikirkan cara terbaik untuk menyelesakan masalah, pelbagai cara dilakukan untuk menyara kehidupan.harga barang-barang yang semakin meningkat naik,tidak pernah susut saban tahun menjadikan kita lelah untuk berfikir mencari sumber kewangan.

Lantas,muncullah pelbagai jenis perniagaan yang dilabel ‘atas angin’, hanya melabur sedikit, mencari pelanggan yang berminat atau lebih dikenali ‘downline’,maka keuntungan menjadi berlipat ganda. Kerja mudah, tapi duit yang berlipat ganda.Siapa yang tak mahu?? Tapi tak semua yang bernasib baik, malahan kebanyakan mereka ditipu sebegitu sahaja.

Tatkala kalian dilanda kebuntuan,tiba-tiba kalian terjumpa satu iklan

TAWARAN MENARIK,DENGAN HANYA MODAL RM20, ANDA BOLEH MENJANA PENDAPATAN SEHINGGA RIBUAN RINGGIT,CEPAT..JANGAN LEPASKAN PELUANG,KERJA MUDAH,DUIT BERTAMBAH..JANGAN LEPASKAN PELUANG, HUBUNGI SEGERA 01X-XXXXXXX…

Wah! Apa yang anda lakukan seterusnya,sudahlah buntu dengan masalah duit,tiba-tiba sahaja ada peluang, modal sedikit pula tu..Pasti sahaja anda berminat bukan?

Baiklah,apa kata kalau kita menukar sedikit bentuk iklan tersebut seperti begini

TAWARAN MENARIK,DENGAN HANYA BERMODALKAN SOLAT DHUHA 2 RAKAAT SAHAJA, ANDA BOLEH MENJANA REZEKI SEHINGGA BERLIPA-LIPAT KALI GANDA..JANGAN LEPASKAN PELUANG, KERJA MUDAH,TAK PERLU MODAL DUIT!

Jelas sekali,peluang pertama dan kedua,kebanyakan manusia lebih tertarik dengan peluang pertama dari yang kedua ini. Tidak ramai yang mahu mengambil peluang yang Allah s.w.t beri sebegitu mudah,sudahlah tidak menggunakan modal duit..Iskh-iskh..

REZEKI MURAH DAN BERTAMBAH-TAMBAH

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

SubhanAllah..Allahuakbar..Alhamdulillah..

Manusia sering berusaha untuk terus Berjaya,kadangkala kita leka untuk menjaga perkara-perkara yang mampu menjamin usaha kita itu diberkati dan dimakbulkan oleh Allah. Bukan ana mengatakan sekadar solat Dhuha sahaja,kalian boleh menjadi kaya,tanpa melakukan apa-apa. Tetapi berusahalah sehabis daya dan jangan dilupa untuk melaksanakan solat sunat ini yang terlalu banyak faedahnya.

Dikatakan rezeki,bukanlah dipandang dari banyaknya duit di poket atau bank simpanan tetapi cabang rezeki itu terlalu banyak. Dapat melaksanakan qiamullail itu satu rezeki, mendapat hati yang lapang itu rezeki, selama ini sukar untuk mendapat parking,pagi ni ada pula ruang kosong parking untuk anda, selalu anda terlewat datang ke pejabat akibat kesesakan dan di marahi bos,hari ni bos tak marah pula,malahan diberi kata-kata nasihat dan perangsang..Nah,bukankah itu semua rezeki dan nikmat untuk anda??

Justeru,untuk mendapat hati yang tenang,jiwa yang lapang, sentiasalah mengingati Allah. Kealpaan dan kesibukan kadangkala menjadikan kita manusia yang terlalu sombong untuk berdoa dan meminta.

La hawla wa la kuwata illah billah..Tiada daya kita melainkan dengan pertolongan Allah jua..

AMALKAN DAN JADIKAN RUTIN HARIAN

Banyak lagi perkara-perkara yang boleh menambah rezeki kita seperti mengamalkan bacaan surah al-Waqiah

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”

Kesimpulannya..Ingat Allah waktu senang dan susah,maka Allah sentiasa akan mengingati kepada kita juga..

Hidup ceria dengan ibadah sunnah yang dituntut hikmah..

Ayuh,murahkan rezeki kita!

Thursday, November 25, 2010

Titian persahabatan..

Ambillah pelajaran dari sifat rumput dalam bersahabat~

Teruji??

Setiap perkara yang hidup pasti tidak akan terlepas dengan ujian. Sama ada ujian itu datang dalam bentuk kesenangan,kesusahan,kegembiraan atau kesedihan, selama mana bergelar manusia, selama itulah ujian datang.

Sahabat,adalah salah satu ujian~

Menjadi seorang sahabat yang terbaik terlalu sukar rasanya tetapi tidak mustahil. Asalkan niat untuk berbakti itu ada. Peranan seorang sahabat itu adalah untuk membawa sahabatnya lebih mendekati Allah, membina ukhwah atas dasar Illah.

Semua orang inginkan sahabat yang baik,namun begitu, jika kita dikelilingi dengan sahabat-sahabat yang lari jauh dari ajaran Islam,apakah kita harus menidakkan kewujudan mereka dalam hidup kalian?

Nasihat ini untuk diri ana serta para sahabat sekalian..

Bersangka baiklah serta berusahalah untuk menarik golongan yang kurang fahaman tentang Islam ini,jangan malu untuk menghulurkan tangan menjalin persahabatan dengan mereka. Kerja kita bukan menghukum tetapi mendidik.

“Jika sahabat itu sudah jauh lari dari ajaran Islam,apa yang perlu dibuat,” tanya seorang rakan.

“Tegurlah secara berhikmah, jika dia jatuh ke lubang kehinaan,hulurkan tangan dan tariklah dia kembali ke jalan Allah, dan yang paling,sentiasa mendoakan sahabat agar tetapkan hati mereka di jalan Allah,”jawab ana.

ELAKKAN MENJADI SI PENGHUKUM

Pandanglah alam sekeliling kalian, akan kalian lihat pelbagai ragam dan macam manusia.

“Aku tak suka lah si lembut tu, rimas pun ada,” juih mulut Khalil pada seorang lelaki lembut yang sedang berbual dengan temannya.

“Jangan kata macam tu, kita tak sepatutnya menghukum.Sekarang mungkin dia macam tu, mana tahu Allah nak beri hidayah dan petunjuk dia kembali ke pangkal jalan, dan juga orang macam kitalah yang seharusnya berperanan untuk mengajak mereka kembali kepada Allah. Jangan persoalkan seseorang, kita beruntung kerana dari kecil kita sudah di didik dengan suasana Islam yang sebenar,tetapi bagaimana dengan yang tidak berpeluang pula? Iman bila-bila masa sahaja boleh ditarik dan diberi,ada naik dan turun,” balas Amri pada jawapan rakannya.

“Astaghfirullah..aku tersalah.Terima kasih kerana mengingatkan aku.Bersangka baik dan berusaha mencari redhaNya,” ucap Khalil dengan rasa penuh kekesalan.

Jika mahu kawan perempuan anda yang melepaskan rambutnya untuk tontonan umum menutup auratnya kembali, jangan dihina.Malahan perlunya kalian untuk memberi kefahaman. Berhikmahlah dalam bertutur kata dan jangan lupa untuk sentiasa memohon dan berdoa agar dimasukkan kefahaman itu kedalam hati-hati mereka.

Kita mahu menjadi baik dan juga orang sekeliling kita juga menjadi baik. Bersenilah dalam berdakwah, jagalah tutur dan tingkah!

“Tegakkan Islam dalam diri kamu.. nescaya Islam akan tertegak diatas bumi kamu” Imam Al-Syahid Hassan Al- Banna.

Sunday, November 21, 2010

Pencarian untuk kebahagiaan..

Langit cinta hati milik Ilahi

“Suhana,kau pernah minat pada seorang lelaki tak?” tanya kawan ana ketika kami sedang duduk berehat.

“Pernah lah,”jawab ana. Agak segan kerana soalan sensitif yang dilontar oleh kawan.

“Kalau kau suka,kau akan buat apa?”

“Aku akan berdoa dalam hati. Ya Allah,aku suka akan dia,jika dia adalah jodohku, maka dekatkanlah dia untukku,jika bukan maka berikanlah yang lebih baik dari itu,”jawab ana.

“Oh...”terdiam seketika kawan.

Benar,setiap orang pasti pernah jatuh cinta. Namun bagi yang menjaga iman dan diri, pasti di pendamkan dahulu,cuba berusaha dengan cara yang betul untuk meraih cinta tersebut. Berusaha untuk tidak mencemari diri dari melakukan perkara-perkara yang mampu mencalarkan maruah diri dan sebagainya.

Jangan jadi manusia terhegeh-hegeh dan terlalu menguja.

Wanita fitrahnya adalah seperti daun semalu, yang berduri dan bila disentuh tertutup malu. Seperti bunga mawar yang indah namun penuh berduri tajam. Jangan dihilangkan fitrah itu, kerana cinta anda sanggup mengejar sesuatu yang pasti bukan kepunyaan anda.

Seringkali kerisauan mengenai jodoh menjadi pendorong kepada berlakunya ikatan kemanusiaan jantina yang berbeza yang tiada nilai di sisi agama, bercouple tanpa sah!

Atas alasan takut diri tidak laku,maka jika sesiapa lelaki yang menghulur cinta maka terus diterima tanpa berfikir dengan akal yang waras. Maka ketetapan Allah mengenai jodoh tidak dipeduli kerana kerisauan yang sering menghantui diri.Sudah dibilang pelihara diri anda, maka peliharalah kerana itu bukan sesuatu yang merugikan. Namun, jika diri sudah terperangkap dengan mainan emosi kerisauan ini, segeralah bermuhasabah.

Ya,benar..Ana akui,jodoh tidak akan bergolek,perlu dicari. Namun, pencarian anda itu bagaimana caranya? Adakah mengikut syariat atau tidak? Adakah anda yakin pacar anda sekarang pasti meminang anda atau tidak? Dan akhirnya pasti kalian menjawab “terserah pada Allah,moga inilah jodohku”..Nah, akhirnya anda sendiri akur untuk berserah juga akhirnya, tetapi berserah setelah mengikut pencarian yang salah,anda sendiri mampu menafsir apa yang berlaku seterusnya.

Ana tidak menafikan juga bahawa kebahagiaan itu tidak mampu dinilai. Tapi sedarlah wahai sekalian sahabatku, kita sering bermimpi indah selepas perkahwinan, punya anak-anak yang soleh dan sebagainya, tapi hakikatnya kita masih kabur dalam menilai erti perkahwinan itu sendiri. Seharusnya perkahwinan ini mampu menghasilkan generasi Islam yang lebih mantap,bukan pewaris kepada dosa-dosa yang kalian sudah lakukan sebelumnya.

Tuntasnya, ana mahu mengingat kepada diri serta sahabat sekalian bahawa carilah jodoh anda dengan cara yang paling diredhai oleh Allah. Berpacaran bukanlah jalan terbaik untuk mengatasi masalah kerisauan anda tentang jodoh. Jika indah akhlak kalian, menjaga peribadi anda, jodoh itu sendiri datang kepada kalian tanpa disedari.Mahu pasangan yang soleh dan solehah? Andalah yang perlu menjadi soleh atau solehah dulu…

Tidak perlu dicari jodoh itu,tapi mintalah kepadaNya,kerana hanya DIA yang Maha Mengetahui jodoh terbaik untuk kalian.Apa yang perlu kalian lakukan sekarang bukanlah menjalin hubungan mesra dengan pacaran tetapi jalinlah hubungan mesra dengan Yang Maha Memilik!

Jangan sekadar mohon jodoh,namun mohonlah juga keturunan yang baik kerna itu bisa menjadi penyejuk mata dan hatimu

..Ikutlah jalan Allah, pasti bahagia selamanya!

Saturday, November 6, 2010

Hijaukan bumi ini..

Merenung gagak seperti mentafsir nasib bumi ini..

“Iskh,banyaknya burung gagak,” kata sahabat melihat pemandangan yang agak meloyakan.Melihat burung gagak menyelongkar sampah-sampah yang dikumpul di dalam tong besar itu, memberi satu panorama yang kurang menyenangkan barangkali.

“Itulah,kalau tak ada burung gagak tu,agaknya macam manalah tempat ni rasanya. Cantiknya pengaturan Allah s.w.t, menciptakan sesuatu yang berkait. Kalau burung gagak tak bersihkan sisa makanan atau sampah tu, mesti lagi banyak sampah yang terkumpul,” kata ana pula.

Dahulu,sebelum menjadi seorang pelajar yang mengambil jurusan Alam Sekitar, ana juga seperti masyarakat lain,punya pemikiran yang agak negatif bila melibatkan sampah. Namun, setelah belajar dan menuntut ilmu, terasa bau sampah itu pun sudah menjadi kebiasaan bagi ana. Betul kata orang tua, alah bisa,tegal biasa.

Burung gagak yang dicipta oleh Allah tidak sia-sia, mengutip sisa sampah dan sebagainya. Mungkin kontranya ada tapi apa kata kita melihat dari sudut pronya. Jika bukan burung gagak yang melakukan pra-rawatan dalam proses pembuangan sampah ini,agaknya cukup atau tidak tanah di Malaysia untuk dijadikan tapak pelupusan dan rawatan sampah? Mungkin dilihat peranan mereka agak kecil, namun burung-burung ini masih berperanan di situ.

Kita agak sensitif bila melibatkan benda-benda kotor. Melihat jijik, tetapi tidak sedarkah kita bahawa siapa yang memulakan dahulu? Jika bukan tangan-tangan manusia juga yang melakukannya. Jadi mengapa mahu jijik sebegitu rupa?

Malahan hikmahnya, burung gagak sering dikaitkan dengan kotor dan sebagainya. Justeru, burung-burung ini juga adalah sebagai petanda kepada manusia agar sentiasa mengamalkan kebersihan. Mahukah rumah-rumah kalian dipenuhi burung gagak,tikus atau sebagainya? Jadi perlunya mementingkan aspek kebersihan. Malahan Islam menuntut kita untuk sentiasa menjaga kebersihan. Bukankah kebersihan itu sebahagian dari iman?

BUMI: HIDUP SEGAN MATI TAK MAHU

Bumi kita semakin,semakin dan semakin tua malahan sudah teruk tercemarnya.

Angkara pembangunan dan atas nama globalisasi, kita merosak bumi sendiri. Ana bukanlah seorang yang terlalu konservatif untuk menolak arus kemodenan, tidak seperti bangsa Amish di Amerika yang betul-betul tidak mahukan pembangunan dan ketamadunan, namun dalam kita mengejar arus globalisasi, jangan kita abaikan alam sekitar dan bumi ini. Bumi ini juga punya hak untuk terus hidup dan kita hanya meminjam alam ini dari generasi hadapan.

Itulah manusia, jika kita memperjuangkan hak alam sekitar, dikatakan kita konservatif, kolot dan sebagainya. Tapi jika kita punya ilmu dan agama, pasti hal ini tidak akan menjadi isu. Kitaran hidrologi, kitaran alam dan sebagainya tidak akan terganggu. Bencana alam yang berlaku itu petanda pada amukan bumi untuk manusia. Amuk kerana mengabaikan pemeliharan dan penjagaan mereka.Itu juga bicara dari Tuhan untuk manusia.

Peringatan ini untuk ana sendiri terutamanya dan juga untuk sahabat sekalian. Jagalah dan cintailah bumi ini. Jika bukan kita generasi muda yang memperjuangkan hak bumi,apa lagi yang tinggal untuk generasi seterusnya? Hanya menjadi pewaris kepada kebinasaan dan kehancuran yang kita tinggalkan.

Diri di jalan kenangan..

Sepanjang jalan kenangan itu bila direnung kembali ada hikmah yang tersembunyi...

Ana selalu terfikir..

Berfikir kenapa ana tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya. Minta apa sahaja,pasti akan dapat. Tetapi itu semua angan-angan waktu kecil dahulu. Impian si budak hingusan.

Namun kini,impian itu mula menerjah ke ruang minda. Melihat kenalan dan para sahabat yang hidup mewah, tiada masalah kewangan, menimbulkan suatu keinsafan pada ana. Jika difikir terkandung seribu hikmah terhadap apa yang telah ditakdirkan dalam hidup ini.

Tersentak seketika ana, manakan tidak, secara tiba-tiba perasaan menginsafi menjalar dalam diri.

“Jom kita makan KFC,” ajak seorang sahabat ana.

“Alahai, KFC lagi..bosan dah.Makan benda lain pula lah,” jawab sahabat yang lain pula.

Terdiam...

Timbul perasaan akan kesyukuran serta keinsafan, bergaul menjadi satu. Dan pastinya hampir menitis air mata. Betapa diri ini insaf akan kesenangan yang diberikan oleh Allah kepada ana. Mahu makan apa sahaja, insyAllah pasti akan dapat. Bahkan jika dihitung, mungkin sedikit cuma masalah kewangan yang dihadapi. Dan keinsafan itu pula terasa apabila diri ini mula terfikir duduk di barisan orang-orang yang senang, bagaimana pula pada manusia yang masih berjuang dalam kehidupan demi mencari sesuap nasi,bukan untuk diri sahaja, tetapi untuk ahli keluarganya juga.

“Eh,tengok tu Acik.Kasihan pada keluarga ni,anak dia dah lama teringin nak makan KFC,sekarang baru dapat. Susahnya hidup mereka. Tengok tu,rumah pun dah nak roboh..Ya Allah,” ujar mak ketika kami menonton rancangan BERSAMAMU.

Sekali lagi ana terhenyak dengan perasaan ini. Berkali-kali Allah memberi peringatan pada ana agar menjadi insan yang lebih bersyukur, tiada daya melainkan pertolongan Allah jua.

Sahabat sekalian, maudhuk bicara ana bukanlah mengenai dapat makan KFC atau tidak, isunya adalah bagaimana menjadi orang yang tidak mewah harta pun boleh menjadi seorang bersyukur, apatah lagi pada manusia yang mendapat nikmat kesenangan harta, perlu bertambah-tambah pula syukurnya. Hikmahnya? Ini yang ana mahu kisahkan.

KEKUATAN ITU DATANG DARI KEKURANGAN

Pada manusia yang kurang punya harta, kurang senangnya, jangan mengeluh!

Disebalik kejadian, sebenarnya Allah memberi jalan untuk kita menghidupkan semangat juang serta mencipta kekuatan.Bagaimana ya?

Jika kita susah, dan punya keinginan,pasti kita mencari jalan untuk melangsaikan keinginan itu. Sudah tentu dengan cara yang halal pastinya. Makanya jika tiada kekuatan, pasti anda tidak akan bergerak untuk memacu diri mengejar keinginan itu. Sepertinya juga, mereka yang miskin dan kurang senang, lebih mementingkan ilmu kerana bagi mereka ilmu itu adalah jalan keluar dari kepompong kemiskinan.

Jadi,tidak hairanlah jika di sekolah, kebanyakan pelajar cemerlang adalah dari golongan yang ekonomi keluarganya sederhana.

Pengalaman dan kesusahan juga mengajar ana untuk terus maju dalam pelajaran. Peralatan sekolah yang kurang namun masih ada sedikit kesyukuran jika dibanding dengan kawan yang lebih susah dari ana.

“Abah, acik teringin pensil warna macam ni,besar.Ada warna macam-macam,” tunjuk ana pada abah,pensil warna di atas meja seorang kawan. Pensil warna berjenama LUNA,ada 24 warna semuanya,direnung dengan penuh keinginan.Ketika itu hari pertama ana menjejak kaki ke sekolah, sudah macam-macam yang dipinta. Alahai si budak hingusan.

“Nanti kalau abah ada duit,abah belikan ya,” pujuk abah pula.

Dan janji abah itu..ana tahu mungkin payah untuk ditunaikan.Biarlah menjadi kenangan dan pengajaran. Ana tahu cukup sukar , justeru si anak kecil ini mencari kekuatan, mencari jalan untuk mencapai keinginan. Dengan cara apa ya?

Setiap pertandingan yang dianjurkan di sekolah atau kampung pasti ana akan menyertai. Pada waktu itu,tiada apa yang diniatkan melainkan untuk menang dan pulang membawa hadiah. Kesudahannya setiap pertandingan yang ana sertai, berjaya meraih tempat pertama dan hadiahnya..SEKOTAK WARNA AIR BERJENAMA BUNCHO..Aha, jangan terkejut sebab pada zaman 90-an ini adalah hadiah paling mewah bagi anak-anak kampung seperti ana. Tidak terfikir, lain yang ana dapat, lebih pula yang Allah beri..Alhamdulillah..Segala puji bagiMu ya Allah..

Apabila sudah dapat apa yang dingini, nikmat memiliki itu ya Allah..sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Inilah hikmahnya, mungkin bagi yang mudah mendapat sesuatu perkara,mereka kurang menghargai, tetapi apabila sukar untuk dicapai dan berjaya diraih, itulah suatu nikmat yang jarang manusia kaya miliki.

Menghargai..itu pelajaran kedua.

Ana teringat filem berjudul HOME RUN, adaptasi dari filem CHILDREN OF HEAVEN, kisahnya sama. Bagaimana kita perlu belajar menghargai. Malahan filem ini memaparkan kemewahan kasih sayang di antara abang dan adik. Kekuatan persahabatan dan sebagainya. Sungguh filem ini perlu ditonton kerana terkandung seribu satu pengajaran dalam kita menjalani kehidupan.

Ingatlah sahabat sekalian..

Tidak akan beserta kesusahan itu melainkan kesenangan.

Berhenti mengeluh.Jadikan kemiskinan itu bukan batu penghalang,tetapi sebagai satu loncatan untuk terus berjaya. Tetapi apabila sudah berjaya,jangan pula terlalu mendongak ke langit hingga terlupa untuk berpijak di bumi yang nyata.

Kekayaan itu ujian,kemiskinan itu juga ujian..Tiada apa yang berbeza melainkan cara kita mendepani serta tempuhi ujian ini, sama ada dengan jalan keredhaan atau jalan kesukaran..

Dan nikmat Tuhan yang manakah kau dustakan?

Ya Allah,di jalan kenangan ini ku temu cintaMu,

Menjadikan aku insan yang tidak henti melafaz hamdalah

Kerna diri ini cuma insan jika tiada pertolongan dan nikmatMu

Terima kasih ya Allah atas nikmat ini..Alhamdulillah~

Dilema Maher Zain..


Demam Maher Zain melanda Malaysia!

Ruangan ini ana tidak mahu bercerita mengenai Maher Zain kerana ana sudah menceritakan lewat entri yang lalu. Mungkin kalian boleh merujuk entri itu di sini.

Sebelum kedatangan Maher Zain ke Malaysia ana sudah mengenali dan mendapatkan kesemua lagu beliau. Lagunya yang berjudul Open Your Eyes betul-betul membuka mata ana, merasai sendiri betapa alam ini wujud dan tercipta untuk melihat kebesaran Allah s.w.t.

Buat peminat-peminat Maher Zain khususnya, mari kita renungkan sebentar..

Jika kita begitu meminati lagu-lagu yang dibawa oleh Maher Zain, lagu-lagu dakwah dan berunsur ketuhanan yang disampaikan oleh beliau, kita sanggup berebut dan cuba berhimpit dalam kesesakan untuk melihat sendiri susuk tubuh penyanyi ini mendendangkan lagu-lagu dakwah ini, sedarlah semula..

Apa yang cuba disampaikan dalam lagu itu sendiri adalah untuk membawa kita kembali merasai keinsafan dan keagungan Allah s.w.t..tetapi adakah dengan lagu-lagu yang dibawa itu mampu meresap ke dalam hati dan menjadikan kita seorang yang lebih meningkat iman dan amalnya? Dengan lagu yang dibawa,adakah kita kembali merenung setiap kejadian alam dan mentauhidkannya kepada Allah? Jika kita tidak mampu menjadi sebegitu, ada sesuatu yang kurang di dalam diri anda.

Lagu Palestine Will be Free yang dibawa, adakah dapat meningkatkan semangat jihad kita untuk turut bersama membantu saudara kita di palestin?Lagu Hold My Hand, adakah dapat meningkat rasa sayang dan persaudaraan kita? Atau kita masih berlagak sombong ,seperti kera sumbang di tengah-tengah masyarakat?Atau kita sekadar mendengar lagu-lagu ini sebagai halwa telinga sahaja, tanpa ada sedikit kesedaran.

Cukup..Noktah di sini..

Ana tidak mahu mengulas lanjut hal ini. Biarlah sedikit bicara ini mampu membuat sahabat sekalian bermuhasabah kembali. Ana tidak menyalahkan penganjuran untuk showcase maher Zain atau sebagainya, namun yang menjadi penyesalan adalah terhadap diri sendiri juga.

Mahu mendengar lagu-lagu Maher Zain? Sila lah dengarkan,tapi bukan sebagai halwa telinga sahaja. Jadikanlah lagu-lagu dakwah ini sebagai asas untuk kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Lagu yang disampai seharusnya bukan membawa kita kepada Maher Zain, tetapi sepatutnya membawa kita lebih mengenal Allah, Tuhan yang mencipta dan memberi ilham kepada Maher Zain menyampai lagu sebegini.

Jika kita mampu mencungkil kisah hidup Maher Zain kerana minat, kenapa tidak kita mampu mencungkil rasa cinta kepada Allah s.w.t juga?

Kembali kepada Allah..Itu tujuan utama..

Sejuta kemaafan ana pohon jikalau entri ini menyinggung hati pihak-pihak lain, tiada niat lain melainkan untuk peringatan dan renungan bersama, kerana ana juga antara berjuta peminat lagu Maher Zain..


Menuju lorong amal...


Terdiam dan terpaku. Ibarat tugu negara dirinya ketika itu. Jasad yang kelihatan seperti tidak bernyawa.

Bangun..bangun..tampar pipi tu sikit..

Apa yang berlaku?

Pengajaran yang ana dapat sungguh tak terjangka. Pulang dari aktiviti tersebut, termenung panjang di ruang kamar.Menyendiri, melayari satu persatu kisah hidup dahulu.

Aktiviti apa sampai kau termenung panjang sebegini?

Pagi hujung minggu lalu ana keluar beriadah bersama sahabat-sahabat. Tidak disangka usai beriadah ada kejutan pula. Kami akan menziarahi sahabat di pasar tani di Stadium Melawati. Ada aktiviti bersama Aqsa Syarif dan JIM, mereka melakukan jualan untuk mengutip dana dan kemudian disumbang kepada saudara-saudara di Palestin.SubhanAllah..mulia sungguh kerja mereka.

“Assalammualaikum,” sapa ana dan sahabat setelah sampai di gerai jualan.

“Wa’alaikumsalam,ha.. nanti tanya pada Aisyah kamu berdua jaga di lane mana. Ana kena gerak ke lane 8 sekarang ni, tak ada orang kat sana,” ujar Hanis pula.

Kami berdua berpandangan..

Lane??Jaga??Aisyah??....Buntu kepala kami yang baru sampai ni..

“Eh,Ya Allah..kamu,bukan esok ada exam ke?” terkejut Aisyah melihat kedatangan kami.

“Ada lah, tapi ikut Kak Adib, bawa kami ke sini.Kak Adib tengah cari parking lagi,” jawab kami.

Kedatangan kami tanpa di duga, jadi kami berdua turun untuk membantu Aisyah, di tambah dengan Ain dan Jannah yang singgah sebentar.

“Jom, gerak ke lane 6,”kata Aisyah.

Kami berempat yang masih buntu menurut sahaja dari belakang. Apa yang perlu dibuat sebenarnya, dengan membawa tin biskut berbalut SAVE GAZA dan dua buku bookmark?

“Nak kena buat apa sebenarnya ni?” tanya ana setelah sampai ke destinasi yang dituju. Entah lane berapa tak dapat dikenal pasti sebab dari tadi kami mencari lane 6 tidak berjumpa, sudahnya duduk sahaja di mana yang kelihatan kosong tanpa sukarelawan.

“Jumpa sesiapa,kemudian jual bookmark ni, tak kisah berapa dia nak beli, kemudian duit tu masukkan dalam tin ni. Duit ni kita salurkan untuk membantu saudara kita di Palestin,” ujar Aisyah sambil menunjuk bookmark yang berada di tangannya.

“Alamak, cuba Aisyah tunjuk skill sikit, tak reti lah,”balas kami berdua.

Kami memerhati Aisyah menjual bookmark tersebut. Terselit rasa ingin mencuba seperti mana yang Aisyah lakukan. Namun kekuatan itu masih tiada, alamatnya kami berdua berdiri kaku tanpa berbuat apa-apa.

Ya Allah,hadirkan kekuatan pada diriku untuk melakukan kerja amal sebegini..

Doa ana di dalam hati. Selang beberapa saat kemudian, ana cuba mengumpul kekuatan dan mencuba untuk menjual bookmark tersebut.

Cubaan pertama, menggeleng kepala tanpa senyuman di wajah seorang makcik tersebut tanda tidak mahu melayan..gagal..

Sabar Suhana, cuba lagi..

Cubaan kedua dan seterusnya,Alhamdulillah berjaya..Mula berani untuk menyapa dan menjual. Terima kasih ya Allah atas kekuatan ini.

Tidak lama kemudian, kak Adib datang dan membawa kami pergi. Baru tersedar masa sudah menginjak ke tengah hari. Puas kerana memperoleh pengalaman dan pengajaran yang cukup berharga pada hari ini.

Biarlah ana coretkan sedikit pengajaran yang dirasa perlu dikongsi bersama, untuk renungan dan tauladan :

  • Ana dapat melihat sikap mereka yang menyumbang atau tidak, terselit sikap ana juga sebenarnya. Baru rasa terpana bagaimana perasaan tawaran ditolak tanpa tersenyum, memberi dengan keadaan yang terpaksa (Astaghfiruallahal azzim..mohon dijauhkan) dan sebagainya.
  • Ketika berdiri untuk melakukan jualan, terlintas di kepala ana. Kalau yang menjual bookmark ini artis, pasti melimpah-melimpah duit di dalam tin biskut ni (hiperbola betul..). Justeru, betapa besarnya pengaruh mereka untuk mempengaruhi masyarakat. Mahu jadi artis ke Suhana? Oh..tidak..dijauhkan hendaknya..
  • Ada hikmahnya apabila Palestin diberitakan digempur dengan hebat, pelayaran kemanusiaan di tahan dan sebagainya. Kerana apabila Palestin senyap tanpa isu(kerana tiada berita disiar), masyarakat kurang prihatin untuk memberi dan menderma.Habis tu, takkan nak suruh Palestin hari-hari teruk digempur, misi kemanusiaan di biar gagal dan sebagainya baru orang nak prihatin? Bukan macam tu..Kesedaran itu perlu diajar dan disemai sehari-hari. Televisyen punya peranan besar untuk memberi maklumat mengenai Palestin. Dahulu jika boleh diperuntukkan masa 5 minit untuk siaran berita mengenai Palestin, tetapi mengapa sekarang berita sebegitu tidak disiarkan lagi?
  • Kemahiran berkomunikasi dan mempengaruhi itu penting. Itu yang ana pelajari..
  • Keesokannya adalah hari peperiksaan untuk ana..apa termenung lagi hai Suhana...pergi mandi dan study!!

Ingatlah,tidak akan sempurna iman jika tidak mengasihi saudara sendiri. Masyarakat Islam di Palestin adalah saudara kita, jadi mengapa kita masih tidak punya kesedaran?

Erti hidup untuk memberi, bukan untuk memiliki..

Terima kasih ya Allah untuk tarbiyah sebegini..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers