Saturday, October 23, 2010

Melakar cinta Allah..


“Kau tahu apa itu makna uhibbuki fillah?” tanya seorang sahabat kepada ana.

“Mencintaimu kerana Allah.” Ringkas jawapan ana.

Kelihatan tidak senang duduk sahabat dengan jawapan ana. Riak muka tidak puas hati lagaknya.

“Memanglah,itu direct translate. Tak semua orang faham erti itu sebenarnya,Cuma mengungkap tetapi tidak sampai jauh ke dasar hati, kerana itu setiap perkara yang dilakukan pasti ada kurangnya, hingga kadang-kadang boleh menjadi cemburu dalam berukhwah. Manusia sebegini masih keliru sebenarnya,”luah sahabat dengan air muka penuh kekesalan.

Terhenti seketika kerja yang ana sedang lakukan. Berfikir tentang kata-kata sahabat sebentar tadi.

“Cemburu dalam berukhwah? Ana setuju,bahkan ada yang masih tidak mampu mentafsir erti uhibuki fillah itu sendiri. Keliru itu benar. Realitinya kerana fitrah berkasih yang terlampau. Rasa menyayangi yang terlampau hingga ada istilah ‘dia milik aku’ sahaja.Astaghfirullahal azzim, mohon dijauhkan perasaan sebegini,” memandang sahabat dengan penuh pengertian.

Benar, ini kisah realiti.Sebenarnya ramai yang masih keliru dengan perasaan sendiri. Fitrah manusia memang mahu menyayangi dan disayangi, tetapi berpadalah dalam berkasih dan sayang hingga timbul perasaan ingin memiliki. Mengikut ilmu psikologi, inilah yang dinamakan innate motive.

Maknanya jangan berkasih sayang lah?

Tidak..bukan itu yang ana maksudkan. Berkasih sayang itu perlu, tetapi berpada dan kawallah diri. Berukhwah kerana Allah semata-mata. Jadi takkan timbul isu ‘dia milik aku’. Orang-orang yang beriman tidak akan rasa cemburu apabila sahabat menjalin ukhwah dengan sahabat lain. Isilah hati dan nurani dengan jalan Allah kerana ukhwah ini terjadi atas kehendak Allah. Jika ada timbul rasa cemburu, muhasabah kembali kerana sungguh itu adalah bisikan syaitan yang cuba menghasut dan menggugat ukhwah yang dibina.

Siapa kita untuk memiliki? Tiada apa-apa di dunia ini adalah milik kita. Sahabat? Bukan milik kita. Justeru kenapa mahu cemburu apabila orang lain mendampingi?

Firman Allah s.w.t : “Sesungguhnya mukmin itu bersaudara” (al-Hujuraat: 10)

Dari firman ini telah jelas bahawa setiap kita muslim itu adalah bersaudara. Diulangi SETIAP.. maknanya bukan menyeluruh, meliputi semua. Tiada yang tertinggal. Kita memerlukan antara satu sama lain. Seharusnya kita perlu belajar menyayangi setiap sahabat yang berada di sekeliling kita.

Dalam Islam sudah diajar tentang ithar (melebihkan orang lain) yakni tahap ukhwah yang paling tinggi manakala berlapang dada adalah tahap ukhwah yang paling rendah. Tapi dalam apa jua keadaan, kita harus sedar tentang makna basitah (kesederhanaan). Bila sudah sayang terlebih, segala benda jadi lain. Justeru itulah kita perlu bersederhana. Kalau mahu sayangi semua, bukan memilih-milih pula.

Nasihat ini jelas untuk ana dan semua yang mempunyai sahabat. Mungkin ini sudah terjadi atau bakal terjadi. Makanya ana mahu mengingatkan dahulu sebelum terkena pada diri sendiri atau yang lain juga.

Uhibbuki fillah..best friend..teman sejati atau apa-apa sahaja akan menjadi retorik semata-mata jika setiap perhubungan itu tidak di dasari dengan iman dan takwa. Usah tertipu dengan mainan perasaan sendiri. Perbetulkan niat kembali jika masih ada cemburu di hati.

LAYANAN ISTIMEWA UNTUK SEMUA SAHABAT

Sayugia ana mahu mengingatkan kalian tentang kisah Rasulullah dalam bersahabat.

Sahabat..

Adakah para sahabat yang lain merasa cemburu dengan Abu Bakr apabila Rasulullah mengatakan Abu Bakr adalah teman baiknya. Saidina Umar, Uthman, Ali dan sebagainya tidak cemburu melihat persahabatan itu kerana Rasulullah melayan para sahabat yang lain juga dengan istimewa. Inilah yang perlu kita contohi bersama.

Jika kita mampu untuk memberi hadiah, belanja kawan, sentiasa saling mengingat, membantu dia, bertanya khabar kepada kawan yang seorang,beri layanan istimewa, memasak untuk kawan seorang, kenapa tidak kepada kawan yang lain kita lakukan sebegitu rupa? Adakah Islam mengajar kita untuk membanding beza darjat?

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling memutuskan hubungan dan janganlah sebagian kamu menyerobot transaksi sebagian yang lain, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim itu saudara muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, membiarkannnya (tidak memberikan pertolongan kepadanya), mendustainya dan tidak boleh menghinakannya. Taqwa itu berada di sini, belian menunjukkan dadanya tiga kali. Cukuplah seorang (muslim) dianggap (melakukan) kejahatan karena melecehkan saudara muslimnya. Setiap muslim atas muslim lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya”

(HR. Muslim dan Ibnu Majah)

Jadi,mari kita tajdidkan niat kita, banyakkan muhasabah. Mungkin selama ini kita berukhwah bukan kerana Allah tetapi atas dasar lain.. peribadi ke, minat yang sama ke, perasaan ingin memiliki ke..Koreksi diri..Istighfar berulang-ulang kali..

“Ada tak orang rasa cemburu dengan kita. Mereka rasa takut untuk rapat sebab kita berkawan baik?” tanya sahabat lagi.

“Wallahua’lam, jika ada yang berfikiran sebegitu, mesti ada silap dia dan silap kita juga. Dalam ukhwah ini kita membina ithar tetapi kita perlukan juga basitah,” tuntas ana.

Moga ini dapat menjadi renungan untuk para sahabat di luar sana. Sungguh mungkin ini juga bakal terjadi pada ana dan anda, kita tidak tahu. Jadi persiapkan diri dan bermuhasabah kembali.

Marilah kita menjalin ukhwah kerana Allah..

Untuk sahabat-sahabat ana di luar sana..Uhibbuki fillah..Harap ukhwah ini hingga ke jannah hendaknya.Ya Allah,peliharalah ukhwah kami ini. Moga tiada hasad yang menyelirat jauh di hati yang tersirat..

Di jalan Allah

Persahabatan ini bukan milikku dan bukan jua milikmu

Persahabatan ini adalah perancangan daripada Allah yang mengetahui segala rahsia

Kerana DIA lah aku mengenalimu dan kerana DIA jua telah menetapkan ukhwah itu

Pasti terukir 1001 kenangan dan kasih sayang

Semuanya kerana Allah

Sungguh

Bukan kerana selain daripadaNya..

Demi cinta ini...


Tengah hari itu ana serta kawan merancang untuk memasak. Alang-alang sudah berziarah,apa salahnya memasak bersama. Menu kami tidak susah mana,telur dadar bersama sos cili dan mayonis, sayur bayam dimasak goreng dan sardin berperisa tomato.

Hidup sebagai pelajar, kalau masakan tidak seringkas begini bukan pelajarlah namanya. (Alasan!)

Apa yang dimakan bukan menjadi persoalan,sedap atau tidak bukan juga pokok bicaranya,tetapi bagi kami bertiga memasak dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang itulah yang menjadi keseronokan ketika makan bersama. Rasa puas dan bahagia. Fizikal kenyang,rohani bertambah-tambah kenyang.

Kalian cuba fikirkan,kenapa setiap kali berada di perantauan,berkelana ke mana sahaja kerana tuntutan ilmu atau sebagainya,pasti kalian merindui masakan ibu. Padahal jika difikirkan juga, masakan ibu bukanlah setaraf chef terkemuka,tetapi masakan merekalah yang paling kita idamkan. Waima telur goreng dan nasi putih berlaukkan kicap pun boleh lahap dibuatnya gara-gara ibu yang menggorengkan untuk kita.

Benarlah apa yang dikata, air tangan ibu yang memasak itu lebih enak dari makan di hotel-hotel kelas berbintang-bintang.

Ana berfikir,apakah kuasa ‘air tangan’ itu yang menjadikan masakan ibu enak untuk dimakan?

Setiap perkara fizikal yang kita lakukan,apabila dituruti dengan emosi, pasti akan menerima kesan yang hebat. Begitu juga dalam hal ini, ibu memasak dituruti dengan perasaan kasih sayang, kerna itu kita jadi mabuk kepayang!

Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang,ceria dan tulus,hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk ‘mendapat’ tetapi untuk ‘memberi’. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk ‘memberi’ kasih-sayang kepada anaknya,berbanding seorang ‘chef’ yang memasak atas dorongan ganjaran komersial. (genta-rasa.com)

Fikir..fikir..fikir lagi..

Rasulullah s.a.w bersabda : “Bahawasanya Allah suka apabila sesorang dari kamu membuat sesuatu kerja,dia memperelokkan kerjanya.”

Seharusnya hal ini dapat kita hubungkan dengan pekerjaan yang lain juga, bukan sekadar memasak tetapi apa-apa pekerjaan yang melibatkan fizikal kita. Hubungkan dengan emosi mampu menjadikan kerja kita berkualiti.

“Kita kena bersikap profesional dalam setiap kerja, jangan nak libatkan emosi di tempat kerja,” arahan dari seorang ketua kepada anak buahnya.

Alahai, jika bekerja jasadnya ada,emosi tiada, ibarat robot yang bekerja!

Hakikatnya,kita bukanlah robot yang melakukan kerja tanpa ada sedikit rasa emosi. Tetapi beringatlah bahawa emosi yang positif melahirkan gerak kerja yang positif juga. Jika negatif maka negatif lah hasilnya.

Dalam konsep beribadah khususnya, tanpa menghadirkan emosi cinta terhadap apa yang dilakukan, membangunlah ibadah itu tanpa rohnya, akan menjadi ritual semata-mata. Bagi para pendakwah Islam pula, tanpa rasa cinta tidak akan hadir rasa pengorbanan, seterusnya tiada apa-apa pada perjuangan. Ayuh,kita lahirkan rasa cinta itu bersama-sama.

Ya Allah,hadirkanlah rasa cinta ini untuk jalan dakwahMu..

Terima kasih sahabat, masakan anda memang berkualiti dan beremosi, sungguh ana menghargai..

Ingatlah, paksalah hati dan diri untuk melakukan sesuatu perkara dari tiada apa-apa...

Something is better than nothing!

Untuk kalian,ana tinggalkan entri ini dengan sebuah kisah.Renungi bersama...

Masa usia setahun , ibu suapkan makanan dan memandikan kita. Cara kita ucapkan terima kasih kepadanya hanyalah
dengan menangis sepanjang malam.

Saat usia 2 tahun, ibu mengajar kita bermain. Kita ucapkan terima kasih dengan lari sambil tertawa terkekeh-kekeh apabila dipanggil.

Ketika usia 3 tahun, ibu menyediakan makanan dengan penuh kasih sayang.Kita ucapkan terima kasih dengan menumpahkan makanan.

Masuk usia 4-5 tahun, ibu belikan pensil warna dan pakaian. Kita ucapkan terima kasih dengan menconteng dinding dan bergolek atas lantai kotor.

Saat usia 6 tahun, ibu memimpin tangan kita ke Tadika.Kita ucapkan terima kasih dengan menjerit," Tak mahu! Tak mahu !".

Ketika usia 7 tahun, ibu belikan sebiji bola, kita ucapkan terima kasih dengan memecahkan cermin rumah jiran.

Setelah usia 8-9 tahun, ibu menghantar kita ke sekolah, kita ucapkan terima kasih dengan ponteng sekolah.

Di usia 10-11 tahun, ibu menghabiskan masa sehari suntuk dengan kita, kita ucapkan terima kasih dengan tidak bertegur sapa dan asyik bermain dengan kawan.

Menjelang usia 13 tahun, ibu suruh pakai pakaian menutup aurat, kita ucapkan terima kasih dengan memberitahu bahawa pakaian itu ketinggalan zaman.

Ketika menjangkau 18 tahun, ibu menangis apabila tahu kita di terima masuk universiti , kita ucapkan terima kasih dengan bersuka ria bersama kawan-kawan.

Menjelang usia 20 tahun, ibu bertanya apakah kita ada teman istimewa, kita katakan,...." itu bukan urusan ibu&ayah.

Setelah usia 25 tahun, ibu bersusah payah menanggung perbelanjaan perkawinan kita, ibu menangis dan memberitahu bahawa dia sangat
sayangkan kita, tanda kita ucapkan terima kasih dengan pindah jauh darinya.

Ketika usia 30 tahun, ibu menelefon memberi nasihat mengenai penjagaan bayi, kita dengan megah berkata,... " itu dulu , sekarang zaman moden ".

Ketika usia meningkat 40 tahun, ibu menelefon mengingatkan tentang kenduri di kampung, kita berkata, " kami sibuk...tak ada masa nak
datang ".

Menjelang usia 50 tahun, ibu jatuh sakit dan meminta kita menjaganya. Kita bercerita tentang kesibukan dan kisah-kisah ibu bapa yang menjadi beban bagi anak-anak.

Dan kemudian suatu hari...kita mendapat berita ibu meninggal, khabar itu mengejutkan.... dalam linangan air mata, segala perbuatan terhadap ibu muncul dalam ingatan satu persatu.

Saat di taman kanak-kanak, ibu menghantar hingga masuk ke dalam kelas,ibu perlu menunggu di sebelah sana. Aku tak peduli sebanyak manapun pekerjaannya di rumah, aku tak perduli hujan, panas atau rasa bosannya ketika menunggu. Aku senang ibu menungguku sampai lonceng berbunyi.

Setelah besar, aku sering meninggalkannya bermain dengan teman-teman dan berseronok.Tak pernah aku menemani ibu ketika sakit, ketika ibu memerlukan pertolongan aku tak pernah ada.

Masuk alam remaja, aku sering merasa malu berjalan bersama ibu. Pakaian dan dandannya ku anggap kuno dan tak serasi dengan penampilanku. Bahkan sering kali aku sengaja mendahuluinya berjalan satu dua meter di depannya agar orang tak menyangka aku bersamanya... malu!.

Padahal ibu yang menjagaku sejak kecil, tak pernah memikirkan penampilannya, tak pernah membeli pakaian baru , apalagi perhiasan baru untuknya tapi ibu gunakan untuk membelikanku pakaian yang bagus-bagus agar aku kelihatan cantik. Ibu mengangkat tubuhku ketika aku jatuh, membasuh luka di kaki dan mendakapku erat-erat saat aku menangis.

Mulai masuk di Intitut pengajiaan tinggi, aku makin jauh dengannya. Aku pintar dan cerdas sering kali menganggap ibu orang bodoh dan tak mengerti apa-apa.

Ibu yang ku anggap bodoh, tak berwawasan , tak mengerti apa-apa, dan bukan orang berpendidikan, doa di setiap sujudnya, pengorbanan dan cintanya tak pernah terhenti sedetikpun untuk anak-anaknya.

Semua kenangan itu muncul satu persatu di fikiranku. Dalam linangan air mata yang sudah terlambat, terus mengalir kedukaan dan penyesalan.

Dan anda sekarang yang masih mempunyai ibu disamping, jangan menjadi seperti aku....seperti ku dulu, memilih untuk memberikan perhatian padanya nanti,tapi sudah terlambat.Benar bahawa kasih Ibu kepada anaknya tak terbatas.....pengorbanan ibu jika dihitung takkan terbalas oleh seorang anak...

Friday, October 22, 2010

Didiklah hati dengan berjiwa besar...


Berfikir...

Sejenak ana terdiam,bungkam tanpa reaksi biasa.Sepi tanpa bicara.Melakukan sesuatu itu tanpa dipandu akal yang waras malahan ditujah dengan nafsu yang menggila,membuatkan diri menjadi alpa. Benar,manusia tidak sempurna.Tetapi sekurang-kurangnya ciptalah sesuatu yang mampu menjadikan kamu seorang tauladan dan sempadan.

Setiap detik dan saat diri diperhati. Pantang ada salah dan silap dan diri,mulalah suara-suara umpat dan keji. Jika tiada kekuatan spritiual yang hadir kala itu,pasti diri rebah,tersungkur di perdu dosa. Namun, bukanlah dinamakan manusia jika tiada kesalahan yang dilakukan. Maudhuk utamanya adalah memberi kemaafan dan melupakan segala kesalahan. Benar,diri sakit atas penderitaan hati dan jiwa,tapi siapalah kita untuk menghukum mereka sewenang-wenangnya. Kerna kerja berhukum adalah urusan Allah sahaja.

“Kalau macam tu,kita kena terima je lah apa orang buat kat kita?Macam ditindas je,macam insan yang lemah,”bersuara seorang teman.

“Kita kena berlapang dada.Tetapi pada perkara yang sepatutnya. Jika hak kamu sebagai rakyat atau masyarakat ditindas oleh pemimpin,adakah masa itu kita perlu berlapang dada,menerima nasib sebegitu sahaja?Tidak bukan.Pasti kalian akan bangkit untuk menuntut hak itu. Tetapi apa yang cuba ana katakan adalah berlapang dada dalam setiap urusan perhubungan kita sesama manusia,” ujar ana.

“Urusan perhubungan sesama manusia?Apa maksud kamu?” garis-garis kedut di wajah teman menzahirkan tanda kurang faham atas penjelasan ana.

“Ya,urusan perhubungan.SILATURRAHIM..itulah sepatutnya kita aplikasikan konsep berlapang dada. Manusia dicipta Allah dengan pelbagai ragam,sikap dan sifat yang berbeza-beza. Maha Bijaksana Allah atas ciptaan ini. Dan tidak semua ragam dan sifat yang ada pada diri manusia itu kita senangi. Kadang-kadang merimaskan dan menjengkelkan. Ada yang menyakitkan hati. Malahan kita punya perasaan untuk merasai semua itu. Jika diri diumpat dan dikeji,pasti merasa sakit hati kan? Justeru, kalau dilayan hati yang sakit itu,pasti tidak membawa apa-apa keuntungan pada diri,malah semakin melara dan kemudian menjadi dendam yang tidak berkesudahan. Itulah sebabnya kita perlu berlapang dada. Mengajar diri untuk menjadi manusia yang lebih kuat kesabaran dan kematangannya,” kata ana sambil menepuk lembut bahunya.

Nasihat ini bukan untuk sesiapa,tetapi lebih kepada diri ana sendiri. Kadangkala diri ini hampir tidak waras akibat melayan perasaan itu,tetapi berlapang dada itulah yang mampu meleraikan tali permasalahan yang kusut kerana diselirat dengan ego yang meninggi.

"...Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan. " (Al-Baqarah : 237)

Tabahlah wahai hati dan diri..


Thursday, October 14, 2010

Air mata takwa..


Firman Allah AWT, “…dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.” (Surah An Najm, ayat 43)

Menangislah kalau itu mampu menjadi penawar hati.

Menangis bukan bermakna kita lemah.

Menangis bukan bererti kita kalah.

Tetapi menangis itu menjadi tanda kepada hati-hati yang terpelihara.

Tangisan jenis apakah ini yang cuba kau sampaikan Suhana?

Yakni,tangisan takwa...

Seumur hidup kita, tipulah kalau ada yang mengatakan bahawa dia tidak pernah menangis. Sebaik sahaja kita lahir ke dunia,perkara pertama yang kita lakukan adalah menangis!

Dahulu,tangisan kita bergema kerana lapar, dahaga dan sebagainya. Namun,semakin menginjak dewasa, bertukar tujuan tangisan kita.Ada yang menangis kerana ditinggalkan kekasih,menangis kerana ditipu kekasih,menangis di dera perasaan jiwa dan hati.

Kita senang mengalir air mata kerana mengenang ibu dan ayah di kampung. Mudah menangis melihat drama di televisyen, tetapi adakah kita mudah untuk mengalir air mata kerana menyesali kesalahan kita sebagai seorang hamba yang lemah?

Sungguh kesenangan dan kenikmatan dunia merenggut hati-hati kita untuk menangis menginsafi setiap kejadian. Kita lupa akan siapa diri, kemana hala tuju selepas ini. Merugi bagi orang-orang yang hatinya keras untuk menangis. Ketahuilah ketika saat kamu sukar untuk mengalirkan air mata kerana penyesalan,itu menunjukkan hati serta iman kita semakin lemah. Semakin menjauh dari tujuan asal kehidupan.

Paksalah hatimu untuk menangis!

Memaksa lebih baik daripada tidak ada apa-apa. Kerana atas sebab paksaan itu, Allah akan memberi hidayahnya untuk kita terus menangis, dilembutkan hati kembali. Ingat serta kenanglah sesuatu yang bisa membuatkan mu menangis kerana Allah.

Kenanglah saat kematian. Sama ada kita bersedia atau tidak, kematian pasti menjemput. Tidak ada tangguhan waktu ketika itu. Menyesallah diri jika bila tiba waktu itu,kita sudah tidak mampu untuk melakukan apa-apa amal sedangkan sebelum ini,kita dilalaikan dengan kesibukan serta kenikmatan dunia.

Ziarahilah kubur nan terbiar sepi tidak berpenghuni. Ingatlah diri,suatu ketika kelak, kita pasti akan tinggal di situ juga. Saat itu, adakah kita gembira atau terseksa tinggal di dalamnya. Dengan pola hidup kita sekarang. Mana mungkin kita rasa bahagia andai lidah ini jarang menyebut asmaNya, mana mungkin kita rasa selesa andai amalan yang dilakukan tidak seberapa, malahan amat sukar untuk kita rasa gembira jika segala larangan Allah kita lakukan,perintahNya pula kita abaikan!...Menangislah wahai hati ketika ini..

Muhasabah kembali, apakah metode terbaik yang mahu dijemput oleh Malaikat Maut saat kematian kelak. Alangkah bahagianya hati apabila nyawa dicabut tatkala kita menangis sendu kerana Allah, dalam keadaan kita sedang melakukan ibadah. Ruginya diri apabila saat kematian kita dipanggil,kita dalam keadaan berfoya-foya, berlibur atau sebagainya. Pilihan ini ada pada dirimu sendiri. Antara mahu atau tidak,itu sahaja.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Justeru, tidak rugi kalau kita menangis.

Menangislah kerana hati-hati tika itu bergetar terkenangkan dosa. Mungkin dengan tangisan ini juga mampu menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Sungguh,rugilah manusia itu apabila menangis kerana perkara yang sia-sia!

Sunday, October 10, 2010

Memberi dengan sepenuh hati..

Memberilah sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya..

Ayat-ayat ini menjadikan ana terdiam seketika. Terpegun barangkali. Menusuk jauh ke dasar hati. Memikirkan tentang diri adakah menjadi si penerima atau pemberi.

Muhasabah diri membawa ana larut dalam tangisan rahmat dan kesyukuran. Jika difikirkan, Allah itu sifatnya Maha Pengasih, terlalu banyak yang diberi kepada makhluknya. Namun berapa banyak pula penerimaan terima kasih dan syukur dari makhluknya pula? Biar sedikit dari hamba-hambanya yang bersyukur, Allah tidak pernah mengurangi apa yang diberi. Bahkan lebih mencukupi.

Ya Allah..hambaMu ini penuh dosa kerana kurangnya syukur padaMu..janganlah Kau jadikan aku dari golongan orang yang kufur akan nikmatMu..

"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." (Surah an-Nahl, ayat 144)

Atas sebab ini juga,ana menanam tekad untuk mengubah sesuatu dalam diri. Mahu menjadi insan yang banyak memberi dari banyak menerima.

Mengeluh?

Kenapa mengeluh? Adakah kerana kecewa diri tidak dihargai oleh sekalian manusia atas apa yang disumbang dan diberi?

Biar diri tidak dihargai manusia,tapi ingatlah Allah memerhatikan hamba-hambaNya. Apa yang dilakukan,tidak akan menjadi sia-sia. Ada balasan pahala untuk kamu jika bersabar. Sungguh Allah bersama-sama orang yang sabar.

JALAN HIKMAH ITU TIDAK MAMPU DICARI

Ana teringat suatu kisah yang dibaca. Mengenai seorang pekerja yang pergi ke sebuah seminar. Biarlah ana gelarkan pekerja ini sebagai Makcik Jah. Beliau mengeluh dan mengadu masalahnya pada penceramah ketika tiba waktu jamuan.

“Ustaz,akak dah tak tahan nak kerja di pejabat tu. Naik rimas dan muak,” ujar Makcik Jah memulakan perbualan.

“Kenapa akak fikir macam tu pula?Ada masalah di tempat kerja ke,” tanya si penceramah pula.

“Akak dah bekerja hampir 30 tahun. Kejayaan syarikat tu pun banyak akak sumbang,tapi semuanya tak dipandang. Dari dulu sampai sekarang masih jawatan yang sama. Tak naik pangkat pun. Yang peliknya orang baru kerja tak sampai 5 tahun, dah naik pangkat lebih akak. Terlalu banyak budaya membodek di syarikat tu. Akibatnya akak yang banyak jasa ni dipinggirkan begitu sahaja,” keluh Makcik Jah lagi.

Tersenyum sebentar si penceramah.

“Akak,saya nak tanya sesuatu. Akak ada berapa orang?”

“Ada 5 orang. Semuanya dah besar-besar.”

“ Kalau macam tu,bagaimana kehidupan mereka sekarang?”

“Alhamdulillah,semuanya berjaya. Ada yang jadi doktor, peguam, pensyarah. Bersyukur akak semuanya menjadi.”

Ceria sedikit wajah Makcik Jah apabila bercerita mengenai anak-anaknya.

“Akak..Allah memberi ujian pada akak. Banyak sumbangan pada syarikat namun tidak dipandang, tetapi hikmahnya ialah anak-anak akak semuanya berjaya. Bila difikirkan kembali, adakah orang-orang yang membodek di syarikat akak itu kehidupannya boleh sebahagia akak? Ingatlah, tiada yang apa yang lebih bagus melainkan kita bersabar dengan setiap perkara yang berlaku.”

Benarlah jalan hikmah itu sukar untuk dicari. Di sinilah letaknya kebijakkan dan kecantikan pengaturan Allah s.w.t.

Kita sering mengharapkan panas hingga ke petang. Tetapi apabila hujan turun di tengah hari, ktia mengeluh kegelisahan. Apabila hujan berhenti,tanpa kita sangka Allah mengurniakan kita sebauh pelangi yang indah. Kagum kita melihat cantiknya warna,berlapis-lapis pula.SubhanAllah..

Pelangi yang indah itu tidak akan muncul jika tiada hujan. Mana mungkin cuaca panas boleh menyebabkan terbentuknya pelangi. Begitu juga kehidupan kita. Tidak akan ada kemanisan dalam hidup tanpa wujudnya masalah. Malahan semakin matang diri kita untuk membuat keputusan hidup.

Makanya, tidak rugi untuk kita memberi sebanyak apa yang kita ada. Semakin kita memberi, semakin kita rasa merendah diri.

Tiada apa-apa di dunia adalah hak milik kita. Justeru, kita perlu merasa pelik dan hairan jika dalam diri masih ada sifat kedekut serta kikir. Nikmat yang diberi boleh ditarik sekelip mata sahaja.

Ana sangat kagum akan seorang sahabat ini. Setiap makanan yang dia ada pasti akan dikongsi bersama. Tidak pernah lokek dalam apa-apa perkara. Jika ditanya kenapa baik sebegitu rupa, jawabannya adalah;

“Rezeki ni bukan untuk aku seorang je, Allah berikan rezeki untuk semua hambanya. Jadi, setiap rezeki yang aku terima, bermakna rezeki untuk korang juga. Kan kita bersama-sama?”

SubhanAllah..mampukah ana menjadi seperti sahabat ini. Semampu mungkin ana cuba untuk menjadi seperti beliau.

"Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih."(Surah Ibrahim, ayat 7)

Ayuh kita sama-sama banyak memberi!

Memberi dengan sepenuh hati dan seikhlas mungkin..


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers