Sunday, September 12, 2010

Tuhan..dosaku menggunung tinggi


"Saya telah melakukan dosa yang sangat besar. Sehinggakan saya sendiri malu untuk menghadap Allah atas tanggungan dosa saya ini.Adakah Allah bisa mengampunkan segala kesalahan saya?"

"Wahai sahabatku, Allah itu salah satu sifatnya adalah Maha Pengampun. Makanya, pasti setiap dosa kita akan diampuni oleh Allah s.w.t. Dengarkan firman Allah ini yang bermaksud: “Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampau (menzalimi) dirinya, janganlah kamu putus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan dosa semuanya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53) "

Kita disarankan untuk sentiasa bersegera dalam bertaubat serta tidak merasa putus asa atas segala yang kita pinta. Jika ampunan yang kita pinta, jangan berputus harap atasnya.

Bertaubat bermakna kita menyesali sesungguhnya atas kesilapan serta maksiat yang telah dilakukan. Tiada yang lebih bermakna dalam hidup ini daripada mengalirkan airmata ketika memohon ampunan padaNya. Menyedari bahawa kita ini bukanlah bersifat ma'sum seperti Nabi Muhammad, jadi kita perlu senantiasa memohon ampunan. Malulah wahai diri, sedangkan Rasulullah s.a.w sentiasa memohon ampunan dari Allah, apatah lagi kita sebagai manusia biasa ini.

Seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Mas'ud mengenai dosa yang ditanggungnya, adakah boleh bertaubat. Abdullah berpaling daripadanya, kemudian menoleh kembali kepada lelaki itu.

Dia melihat kedua-dua mata lelaki itu berlinangan air mata. Lalu, Abdullah berkata: “Syurga itu ada lapan pintu, semuanya dibuka dan ditutup melainkan pintu taubat, kerana di situ ada malaikat yang ditugaskan supaya tidak menutupnya. Maka beramallah, jangan kamu berputus asa.”

Jangan berputus asa kerana pintu taubat itu terbuka luas untukmu sehinggalah kiamat kelak.

Kalian cuba bayangkan..

Andai di hari kesaksian nanti, segala pancaindera kita menjadi saksi. Mata, tangan, kaki, dan segalanya memberi kesaksian tentang dosa yang kita lakukan.

Apakah selama ini kaki kita digunakan untuk berjalan ke arah kebaikan atau kemaksiatan? Kaki kita diguna untuk melangkah pusat maksiat atau majlis ilmu? Mata yang diguna untuk melihat, apakah dijaga sebaiknya dari memandang yang sesuatu bukan sepatutnya. Segala-galanya akan terzahir di hari kesaksian kelak.

Justerunya, kita mesti bertaubat serta tidak berputus asa denganNya!

Agar kelak, anggota pancaindera mampu menyelamatkan kita atas pengampunan dosa yang kita pinta.

KERANA SEHELAI BULU MATA

Ada satu kisah yang ana mahu kongsikan bersama. Hanya kerana bulu mata, manusia dapat masuk ke syurga.

Diceritakan di hari pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili. Dia dituduh bersalah kerana mensia-siakan hidupnya di dunia untuk berbuat maksiat. Namun begitu dia berkeras membantah, “Tidak demi langit dan bumi,sungguh tidak benar. saya tak pernah melakukan perkara itu…”

“Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa”

Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu merenung segenap penjuru ruang yg ada. Kemudian dia pun menyanggah, “mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? disini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja.”

Jawab malaikat, “Inilah saksi-saksimu…”

Tiba-tiba mata berbicara, “Saya yang memandang,”

disusuli dengan telinga, “Saya yang mendengar perkara itu”

Hidung pun tidak ketinggalan, “Saya yang mencium”

Bibir pun mengaku, “Saya yang merayu”

Lidah menambah dengan berani, “Saya yang menjilat dan menghisap”

Tangan tanpa malu meneruskan, “Saya yang meraba dan meramas”

Kaki pula menyusul, “Saya yang berjalan dan berlari semasa itu”

“Nah kalau dibiarkan kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu,” ujar malaikat. Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahnya lagi. Ia berputus asa dan amat berduka kerana sebentar lagi ia akan dihumban ke dalam neraka jahannam.. Padahal dia amat berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindungi. Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara yg amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi, ” Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini.” Malaikat menjawab dengan tenang, “Silakan wahai bulu mata”

“Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan. Bukankah rasulnya telah berjanji, apabila ada seorang hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yg dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan.”

Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga:

“Lihatlah hamba Allah ini masuk syurga kerana pertolongan bulu mata..”

SubhanAllah..bertaubatlah kita dengan sebenar-benar taubat..

Sementara kita masih punya sisa waktu ini, mari kita segerakan dalam bertaubat. Mohon maghfirah dariNya. Menangislah kerana mengenang dosa-dosa yang dilakukan. Jika kita mampu mengalir airmata demi kekasih ajnabi, mengapa tidak kita mudah untuk menumpahkan airmata kerana dosa yang kita lakukan sehari-hari.

Allah itu Maha Pengampun, Allah itu Maha Penyayang..

Imam Al-Ghazali mengatakan, “Orang yang tidak segera bertaubat terancam bahaya besar. Hatinya menjadi gelap dan berkarat. Kemudian bila ia didatangi sakit atau maut, berarti dia menghadap Allah dengan hati yang tidak sejahtera.”

Iman bukannya warisan..


Iman tak dapat diwarisi..

Dari seorang ayah yang bertakwa..

Ia tak dapat dijual beli..

Ia tiada di tepian pantai..

Begitu bait-bait lagu yang didendangkan oleh sebuah kumpulan nasyid tanah air. Benar, iman itu adalah ibarat permata berharga, perlu dicari dan dijaga sepenuhnya. Malahan iman ini bukanlah suatu warisan yang diperturunkan zaman berzaman seperti adab yang diwariskan.

Mesejnya cukup mudah, jika ayah itu seorang yang beriman, belum tentu lagi anak-anaknya akan mewarisi apa yang dilakukan. Namun itu tidak mustahil berlaku jika si anak mendapat didikan yang betul dari ayah dan ibunya.

“Aku kesianlah dengan ayah dia. Ayah imam tapi anak perempuan main hoki tapi tak tutup aurat, pakai short waktu main. Sebaik kau tak teruskan main hoki sekarang ni,” ujar abang ana ketika kami berbual dalam perjalanan pulang dari solat terawih.

Jawapannya mudah. Iman tak dapat diwarisi..

Malahan iman itu tidak boleh dijual beli. Jika boleh diniagakan, merugilah pada yang kurang upaya. Justeru, Maha Pengasih serta Maha Adilnya Allah adalah dengan meletakkan syarat bahawa iman itu sesiapa boleh dapat. Tidak mengenal bangsa, kulit, kaya, miskin, rupa dan sebagainya. Namun jika sudah memperoleh, jangan pula dipersia!

ANAK ITU IBARAT KAIN PUTIH

"Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas dasar fithrah. Hanya saja, kedua ibu bapanya yang menjadikannya yahudi, nasrani, atau majusi" (hadits)

Lahirnya kita ke dunia dengan keadaan masih bersih tanpa dosa serta noda. Selepas itu segalanya bergantung pada corak didikan yang diberi oleh ibu bapa. Mahu mencorak anak menjadi orang yang beriman, dari awallah mulanya.

“Bagaimana pula jika didikan agama yang diterap oleh ibu dan ayah cukup hebat. Tetapi akhirnya anak itu menjadi murtad, ada kes sebegini berlaku di Malaysia. Malahan ada pula pelajar sekolah agama yang berzina hingga melahirkan anak luar nikah.Kemudian dibuang merata bayi tersebut. Apa silapnya?” aju seorang teman kepada ana.

“Ada silapnya. Dimana- mana sahaja. Mungkin ibu dan ayah sudah memberi didikan agama yang cukup hebat kepada si anak, tetapi apakah mereka hanya mengajar tetapi tidak mendidik? Pengaruh alam keliling, apakah sudah diajar kepada sang anak. Melatih anak untuk berfikir secara hak dan batil. Jika dikatakan memberi pendidikan agama yang cukup hebat itu dari segi anak sudah pandai menghafal 30 juzuk al-Quran, dihantar anak ke sekolah pondok dan sebagainya, diberi segala macam input agama, tetapi outputnya bagaimana pula?Adakah berhasil jika kita hanya mengajar tetapi tidak mendidik secara telus,benar dan ikhlas. Kadang-kadang yang berlaku juga adalah salah satu bentuk ujian Allah untuk ibu bapa.”

Anak itu anugerah yang tidak ternilai dari Allah untuk para ibu bapa. Didiklah mereka menjadi generasi yang mampu membawa kegemilangan Islam ke puncak kembali.

UJIAN DARI ALLAH

Sebagaimana iman itu tidak dapat diwarisi, begitu juga apa yang berlaku pada zaman nabi-nabi. Mari kita renung sebentar kisah mengenai Nabi Nuh, berdakwah hampir seribu tahun namun hanya sedikit yang beriman. Lalu diturunkan Allah bencana berupa banjir besar yang memusnahkan kaumnya yang ingkar dan salah satunya adalah anaknya sendiri.

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

(surah Hud :ayat 42-43)

Makanya ini sudah menjadi petanda kepada kita untuk mengetahui bahawa iman itu bukan warisan.

Namun, itu adalah suatu bentuk ujian untuk hamba-hambanya yang beriman. Masyarakat yang memandang pula tidak harus menghukum sedemikian rupa.

“Eh, ustaz ni cakap serupa tak bikin. Dia dok berdakwah dekat kita, tengok anak-anaknya teruk juga.”

Nah, suara-suara sumbang sebegini yang sering berprasangka sudah menjadi satu penyakit dalam diri masyarakat dewasa kini.

Apa salahnya kita bersangka baik dengan berkata sebegini..

“Kasihan juga ustaz tu, sering berdakwah kepada masyarakat lain, namun anak-anaknya pula sedemikian. Mungkin dia sudah mendidik dengan yang terbaik dan ini adalah salah satu bentuk ujian untuknya.”

BERUBAHLAH MULAI SEKARANG

Tidak dinafikan, akhlak masyarakat mulai sekarang semakin buruk kerana masayrakat dulu juga. Jika kita tidak mengislahkan diri kita untuk menuju ke arah kebaikan, bagaimana kita untuk mendidik anak-anak dengan lebih baik.

Jadi, marilah kita berubah untuk menghasilkan generasi soleh. Ibu bapa soleh, insyAllah akan akan berjaya mendidik anak-anak soleh dengan izinNya jua..

Ingat,tidak akan berubah nasib sesuatu kaum kalau bukan kita yang mengubahnya sendiri. Mahu anak soleh, isteri soleh atau suami soleh? Kitalah yang harus menjadi soleh dulu...

Wednesday, September 8, 2010

Di sebalik kotak segi empat itu..


Rumah sewa kami mempunyai sebuah televisyen yang unik. Suaranya tiada,gambarnya ada. Malah gambarnya kurang jelas jika mahu dilihat.Namun kami bersyukur juga kerana sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen usang ini. Jika mahu mendengar suara,kami akan gabungkan dengan telefon kepunyaan ana yang mempunyai siaran televisyen. Unik bukan? Suara di telefon,gambar di televisyen.

“Jaja,nanti kalau dah aku dah kahwin, kau hadiahkan televisyen ni pada aku ya,” kata ana pada teman serumah ketika kami sedang menonton televisyen.

“Kau nak buat apa televisyen aku ni? Suara dah lah tak ada,gambar pun tak jelas. ” tanya Jaja dengan penuh kehairanan. Berkerut dahinya memandang ana.

“Bukan apa,nanti aku tak nak anak-anak aku terlalu terpengaruh dengan televisyen ni. Rancangannya kalau banyak mendidik tak apa, ni banyak yang melekakan. Jadi,salah satu cara aku nak ajar mereka dengan menonton televisyen macam ni. Kau cuba bayangkan,dengan suara tak ada,siaran tak jelas, nak tengok pun tak ada perasaan. Jadi mesti anak-anak aku rasa bosan, lalu mereka taklah nak menghadap televisyen je,” kata ana.

Jaja mengangguk-angguk kepalanya tanda memahami apa yang cuba ana sampaikan.

Kotak bersaiz segi empat petak ini jika tidak dikawal penggunaannya boleh menjadi racun yang membunuh masyarakat. Manakan tidak, fakta yang ana terima menunjukkan kanak-kanak di Malaysia menghabiskan sekitar enam jam sehari dengan hanya menonton televisyen sahaja. Membimbangkan!

Bandingkan perkembangan kanak-kanak di Malaysia dengan masyarakat luar negara khususnya Amerika, ibu bapa di sana lebih menggalakkan anak-anak mereka untuk membaca buku dari menonton televisyen. Malahan aktiviti harian anak-anak mereka di isi dengan penuh manfaat. Bermula dari sini lah puncanya masyarakat kita malas membaca! Terlalu seronok dan berlibur.

JADIKAN MEMBACA SIFAT PERIBADIMU

Jika dikatakan mengenai bahan bacaan, bukan bermakna bahan bacaan ringan dan picisan seperti majalah-majalah hiburan,sukan atau komik, novel dan sebagainya tetapi yang dikatakan bahan bacaan sebenar adalah buku yang berilmiah waima dikatakan buku teks sekolah itu juga merupakan bahan bacaan. Cuba dihitung dalam setahun berapa banyak bahan bacaan yang dibaca oleh kalian. Kajian yang dilakukan menunjukkan purata masyarakat di Malaysia membaca hanya lebih kurang 2 buah buku setahun.

Ya, setahun hanya dua buah buku!

Tidakkah itu menunjukkan kelemahan kita sendiri. Malas untuk membaca perenggan yang berjela-jela, bahan bacaan tidak menarik dan sebagainya dijadikan alasan untuk malas membaca.

“Aku tak minat baca buku tebal-tebal ni, sakit mata aku. Tak minatlah,” kata seorang kawan.

Alahai, minat tidak akan datang jika tidak dicari dan dipupuk wahai sahabatku.

Ciptalah mahu menuju mampu!

WAHYU PERTAMA DARI ALLAH, IQRA’!

Ingatkah kalian apakah perkara pertama yang Allah turunkan pada Nabi Muhammad s.a.w? Ya, iqra!

Bacalah, bacalah, bacalah..

Masyarakat Arab ketika itu hidup dalam keadaan yang begitu jahil, tidak bertamadun hinggakan kuasa-kuasa besar ketika itu seperti Parsi dan Rom tidak ingin untuk menakhluki negara itu,kerana apa? Tiada apa-apa yang membawa keuntungan kepada mereka.

Justeru, Allah mengangkat kembali martabat masyarakat Arab ketika itu dengan menurunkan wahyu mengenai menyuruh umatnya membaca. Jelas saranan ini menunjukkan bahawa membaca itu adalah pintu kepada segala ilmu. Ilmu itu pintu kepada segala perkara kemajuan dan ketamadunan.

Malahan kita lihat sendiri sirah Nabi Muhammad s.a.w apabila tawanan Perang Badar yang musyrik boleh menebus diri mereka jika dapat mengajar 10 orang muslim membaca dan menulis. Begitu arifnya baginda kerana mahukan umatnya berjaya menguasai ilmu dengan membaca dan menulis.

Perintah membaca ini datang dari Ilahi, apakah kita mahu mempersiakan sahaja perintah sebegini? Pastinya kita yang merugi.

BACA, FAHAM DAN AMAL

Musuh yang bijak lebih baik dari kawan yang dungu!

Seorang tokoh yahudi memberi komen mengenai kelembapan budaya membaca umat Islam, dia berkata: “ Kita tidak takut dengan orang Islam.Sebab orang Islam kini adalah umat yang tidak membaca!”

Realitinya masyarakat kini hilang roh untuk membaca, hanya sedikit yang membaca. Dari yang sedikit membaca itu, hanya sedikit yang memahaminya, dari yang sedikit memahami, hanya sedikit yang menguasai, malahan sedikit pula yang mengamalkan.

Jika mahu membaca bahan ilmiah sudah liat, apatah lagi jika disuruh untuk membaca ayat-ayat yang terkandung di dalam al-Quran. Malu sungguh, bertambah-tambah rugi apabila umat Islam sendiri tidak menghargai segala macam ilmu yang terkandung dalam mukjizat nan satu ini.

Ironinya al-Quran yang dibaca sehari-hari, apakah cuba difaham, dikuasai dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita.

Ana ambil satu contoh, sebagaimana di dalam al-Quran diperintahkan untuk kita bertakwa, menjadi insan yang mengamalkan amar makruf nahi mungkar. Dari perintah ini, apakah kita memahami dan cuba mengamalkan dalam kehidupan seharian?

Begitu juga solat serta zakat, apakah kita terfikir hikmah disebalik perintah?

TELEVISYEN ATAU BUKU : MANA PILIHANMU?

“Orang muda sekarang, apa yang mereka tahu?Cuma tahu facebook..facebook..facebook sahaja.. Tidak tahu mengenai apa yang berlaku di dalam negara sendiri. Mahu baca suratkhabar pun malas. Kalau yang baca pun hanya ruangan hiburan dan sukan sahaja,” adu seorang pakcik kepada ana.

Ketika itu ana mahu pulang ke kampung. Sementara menunggu keretapi yang jadualnya ditunda, ana berbual dengan seorang pakcik yang berbangsa Cina. Meluahkan rasa tidak puas hatinya pada peranan polis di Malaysia, sikap anak muda yang kurang adabnya, malahan sikap segelintir umat Islam yang merosakkan imej agama yang dibawa. Mungkin entri berikutnya akan ana ceritakan.

Facebook..maksudnya sendiri dari sudah buku, namun isinya tidak seperti yang digambarkan. Apa yang dilontarkan oleh pakcik itu ada benarnya. Berapa ramai yang sanggup menghabiskan masa melayari internet dengan hanya sia-sia dari mengambil kesempatan yang sepatutnya.

Begitu juga pengaruh televisyen. Mungkin bagi pelajar atau orang bekerja ada sedikit kurang kesannya pengaruh kotak segi ini namun bagaimana pula anak-anak yang berada di rumah senantiasa, para ibu yang tidak bekerja?

Jadi, mana pilihanmu..televisyen atau buku? Pilihan itu menunjukkan sifat peribadimu. Ayuhlah menjadi manusia yang bijak memilih untuk masa depan generasi sendiri.

“Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya, Allah akan memakaikan kedua-dua ibu bapanya dengan mahkota pada hari kiamat kelak. Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah di dunia.” ( Riwayat Ahmad no. 15683)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers