Friday, December 4, 2009

Debat dan aku



Bismillah..Sudah lama rasanya ana tidak mengasah bakat ana dalam dunia perdebatan. Sebenarnya ana memang berminat dalam arena debat tetapi atas sebab tertentu ana terpaksa meninggalkan arena ini. Kini ana mula mengorak langkah untuk mula memupuk minat menulis pula. Blog adalah salah satu medium untuk ana mengasah bakat.

Sewaktu zaman sekolah, ana aktif dalam debat,forum,pidato dan sebagainya. Teringat lagi,kali pertama ana mewakili sekolah, pasukan ana berjaya mendapat naib johan di peringkat daerah.Bila di peringkat universiti,ana cuma aktif di tahun pertama sahaja. Persekitaran membuatkan ana tidak berasa selesa untuk terus dalam bidang ini. Mungkin orang keliling kata ini adalah cabaran. Menghadapi cabaran adalah lebih baik dari melarikan diri. Tapi ana tidak ada kekuatan untuk meneruskan perjuangan.InsyaAllah mungkin suatu hari nanti ana akan kembali dalam arena ini tetapi dengan penuh ilmu di dada.

Debat berjaya menjadikan ana seorang yang berani untuk berhujah tetapi berasas dengan fakta. Rajin mentelaah isu-isu semasa, mungkin satu kelebihan bagi ana.Tetapi sayang sekali golongan seperti kami tidak di kawal dengan batas ilmu islam yang sempurna.

Ana tidak berniat untuk memburukkan sesiapa dalam dunia perdebatan ini.Ana hanya ingin berkongsi apa yang ana pernah alami. Selalu masyarakat melabelkan debat bahasa melayu ini penuh dengan golongan "lelaki lembut". Ana tidak menafikan, memang ada (dan agak menguasai juga). Tetapi golongan inilah sebenarnya yang melontarkan idea "out of the box" ketika berhujah. Ana kagum, tetapi dalam hati ana terdetik,begitu sayang sekali orang sebegini tidak di asah untuk mengembangkan syiar islam yang kian lumpuh kini.

Teringat ana kata-kata seorang penceramah,yakni En Syukri, editor majalah Dewan Masyarakat. Beliau diundang ketika ana menghadiri kem debat dahulu. Beliau kata menjadi seorang pendebat adalah sesuatu yang sangat istimewa,anda mudah mendapat pekerjaan dan sebagainya.

Maknanya, menjadi seorang pendebat adalah satu kelebihan. Tetapi biarlah kita bijak menggunakan kelebihan yang Allah beri ini untuk manfaat masyarakat Islam bersama. Contohnya, gunakan kelebihan kita sebagai seorang pendebat untuk menghuraikan isu-isu yang berkaitan dengan Islam. Pemahaman masyarakat mengenai Islam masih kurang. Kini, Islam hanya dianggap sebagai anutan warisan di kalangan segelintir melayu. Solat,zakat,puasa dan sebagainya sudah dianggap sebagai ritual.InsyaAllah akan ana cuba manfaatkan kelebihan ini

Namun kini, hanya tinggal kenangan. InsyaAllah ana cuba untuk mengaplikasikan bakat yang ana ada untuk manfaat bersama. Selamat tinggal rakan-rakan debat sekalian, doakan ana berjaya sebagai orang yang lain pula.

Pohon hijau itu


Pohon hijau itu berdiri kaku
Pohon hijau itu berdiri kaku
Megahnya di celah pohonan
Ibarat lukisan hidup
Tetap tegak dan kaku

Pohon hijau itu tetap kaku
Lantas desiran kedengaran
Amat sayup dan sayu
Ia mula bergerak

Pohon hijau itu tidak kan kaku lagi
Beralun mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Begitulah diibaratkan
Dunia dengan kehidupan
Bermulanya di daratan
Kini menuju ke tengah lautan

Angin yang menderu
Datang tak menentu
Ombak memukul pelayaran
Apakan tergoyang keimanan

Untukmu teman bajailah hidupmu
Sirami hatimu dengan ketaqwaan
Dalam mencari keredhaan Tuhan

Hati-hati teman
Meniti salju kehidupan
Nan rapuh bisa cair dan runtuh

Bersama angin lalu kutitipkan harapan
Agar terus tabah hadapi cabaran

Pohon hijau itu yang dulu kaku
Kini mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Pohon hijau itu tidakkan kaku lagi
Beralun mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Bila kejayaan sudah digenggaman
Ingat-ingat teman kita kan pulang

Pohon hijau itu kini kaku
Ia tak bergerak lagi
Ia pastikan layu
gugur di taman ini

p/s : lirik lagu ini punya maksud tersendiri.Ana tujukan khas untuk diri dan teman-teman sekalian

Thursday, December 3, 2009

Jatuh cinta lagi: dengan siapa?



Alhamdullilah, ana berkesempatan untuk pergi ke toko buku di pusat membeli belah petang Isnin lepas. Mencari buku-buku terbaru di pasaran adalah hobi ana. Kawan-kawan ana agaknya dah faham dengan sikap ana, kalau pusat membeli-belah jer,mesti ke toko buku. Almaklumlah, ana pun bukan nak buat apa pun. Sekadar 'window shopping' tu, bolehlah.

Ketika ana membelek-belek buku yang best di toko buku tersebut,ada satu buku yang menarik minat ana, harga dalam promosi, RM10.00 saja. Ana pun belilah.Balik di rumah, ana buka dan baca.Isi yang menarik kerana lebih berkisar mengenai kehidupan masyarakat sekeliling.Membuatkan ana jatuh cinta lagi untuk membaca buku pengarang ini.Nak tahu buku siapa dan siapa pengarangnya?

Buku yang ana beli itu sebenarnya sebuah buku motivasi,karangan motivator Dr HM Tuah. Sebelum ni,ana ada juga membaca novel dan buku motivasi lain hasil dari karangan motivator tersebut,tapi takdelah sampai ada perasaan nak teringin beli buku motivator ni.

Tapi,Allah telah mengubah minda ana untuk terus membeli buku karangan Dr HM Tuah.InsyAllah, bakal menjadi koleksi buku-buku ana kelak.

Seperkara yang menarik minat ana,untuk dikongsi bersama kalian adalah mengenai cerita Dr HM Tuah. Ana terkesan dari cerita ini.Nak tahu ceritanya? (sebenarnya jumpa kat prakata je)


Dr HM Tuah kata, ramai orang tak pernah masuk universiti,tapi berjaya dan jadi kaya.Bapa saudara beliau di kampung boleh cipta macam-macam mesin,tapi tak pernah ada sebarang kelulusan.Tak ada sesiapa pun ajar dia,tapi semua ciptaan tu menakjubkan, dan lagi nak tahu kenapa orang hisap dadah?Antara sebabnya dia tak pandai.Kalau betul universiti jadikan orang pandai, kenapa ada lepasan universiti hisap dadah? Kan nampak benar tak pandainya tu.

Tak semestinya universiti menjadikan kita orang pandai.Kadang-kadang lebih ngok dari orang yang tak pernah masuk universiti. Yang dikatakan berjaya ialah hujungnya.Maknanya,kalau nak diukur kejayaan dari aspek duit semata-mata,selagi tak bergelar tauke bukanlah berjaya sangat namanya.Kalau nak diukur dari sudut kerja pula,kalau tak jadi bos bukan hebat sangat namanya. Kalau diukur dari sudut agama,kalau tak boleh jadi orang baik,beragama dan berperibadi mulia bukan berjaya namanya.

Itulah apa yang diperkatakan oleh Dr HM Tuah yang membuatkan ana terkesan.Kalian bagaimana? Ada rasa apa-apa tak lepas baca apa yang Dr Tuah kata.Macam terkena batang hidung sendiri ke?

Konklusinya, sebagai seorang mahasiswi merangkap hamba pada Allah, kita perlu melengkapkan diri kita dengan ilmu sebaik mungkin. Berada di universiti bukan bermakna kita harus leka, kautlah ilmu sebaik mungkin agar bisa dimanfaat kepada masyarakat. Kalau bukan kepada kita,siapa lagi yang di harap? Bagus-baguskan diri anda kerana anda adalah manusia hebat.

Perniagaan gaya pos: Hukum dari segi Islam

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, entri ini ana ambil dari laman ustaz Zaharuddin mengenai hukum perniagaan gaya pos ini. Ana mula-mula mendapat tahu mengenai perniagaan ini melalui kawan ana, perniagaan ini juga lebih dikenali dengan ta'awun. Modus operandinya seperti perniagaan lain, mencari orang bawahan, tapi beroperasi menggunakan wang pos, kawan ana kata seperti main kutu lah gayanya.

Menarik, itu yang ana fikirkan, tetapi apa-apa pun,ana perlu cari juga mengenai hukum perniagaan seperti ini. Bukankah Allah mengurniakan akal untuk berfikir? Justeru, ana mula mencari mengenai hukum perniagaan ini.Alhamdullilah, ana jumpa juga apa yang ana cari. Syukran ustaz kerana mengulas isu ini.

Buat kalian, terpulang kepada anda untuk percaya atau tidak, anda dikurnia akal, gunakanlah sebaik mungkin untuk menimbang tara mengenai hal ini.

SOALAN

Saya nak tanya tentang suatu pelaburan yang berbentuk piramid. Baru-baru ini saya ada masuk, modalnya cuma RM30.00. Caranya ialah dengan membeli wang pos berjumlah RM5.00 setiap satu dan enam keping. Setiap satunya hendaklah ditulis dengan nama si penerima 'di atas' kita dan ini merupakan sumbangan ikhlas daripada kita. Kemudian setelah nama kita tersenarai, kita mencari ahli-ahli baru pula di bawah dan giliran kita pula mendapat sumbangan RM5.00 daripada ahli di bawah. Dalam masa sebulan berbelas-belas keping wang pos yang diterima yang berjumlah beratus-ratus ringgit.

Soalannya, apakah hukum menerima duit tersebut? Pelaburannya cuma RM30.00 tetapi pulangannya agak lumayan. Ia juga adakalanya dinamakan sebagai ta'awun atau tolong menolong.

JAWAPAN

Setelah membaca penerangan saudara di atas. Jelas kepada saya bahawa ia adalah pelaburan yang tidak halal di sisi Islam. Ia juga bukanlah pelaburan.

Ini kerana rukun pelaburan islam di bawah konsep mudarabah dan musharakah adalah: -

· Wang pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui

· Pelabur

· Pengusaha

· Bisnes yang halal / Pekerjaannya

Antara syarat sahnya pula :-

· Nisbah pembahagian keuntungan yang dipersetujui bersama.

· Tiada jaminan modal selamat.

· Tiada jaminan untung tertentu atau tidak tertentu.

Jika dilihat, salah satu rukun dalam pelaburan Islam atas asas mudarabah dan musyarakah adalah mestilah mempunyai satu perniagaan yang halal serta terbuka kepada untung dan rugi.

Dalam kes yang dirujuk saudara, duit pelabur (peserta iaitu dalam bentuk wang pos itu) adalah untuk melabur dalam perniagaan itu..tetapi tiada perniagaan tertentu, malah pelaburan itu pula dianggap sumber mendapat untung, atau dalam kata lain, 'pelaburan' atau duit penyertaan terkumpul itu adalah dianggap bisnes dan keuntungannya, lalu manakah perniagaannya sebagaimana yang disyaratkan? apa produknya? mana pula "profit sharing ratio" nya? ..maka ini jelas tidak menepati rukun pelaburan dalam Islam.

Menjual pusingan ahli yang menyertai dan sistem piramid adalah tidak diterima oleh Islam walaupun ia cuba berselindung di sebalik nama ‘ta'awun' (kerjasama), sedeqah, tolong menolong dan sebagainya.

ELEMEN RIBA

Selain itu, proses ini juga mempunyai elemen riba di dalamnya, ini adalah kerana setiap pihak yang ‘menderma' memasuki sistem dengan niat, harapan serta janji oleh pihak pengurusan bahawa mereka mendapat derma berbentuk wang dengan nilai yang lebih banyak dari apa yang diberinya.

Di dalam Fiqh Islam, seseorang yang menderma tidaklah boleh mensyaratkan kepada penerima atau mana-mana pengurus sistem untuk mengembalikan sejumlah wang semula kepadanya, khususnya yang lebih besar. Jika ini berlaku, sifat hadiah tadi akan berubah kepada daripada hadiah yang biasa kepada ‘hibah at-thawab' atau ‘hadiah bersyarat pulangan' (hibah bisyarti ‘iwad) yang mana keadaan ini akan mengubah sifat kontrak asal derma iaitu ‘tabarru'at' kepada sifat jual beli iaitu ‘mu'awadah maliah'.

Apabila ia telah berubah menjadi sifat jual beli, Islam mengharamkan pertukaran wang dengan wang yang berbeza nilainya dan bertangguh pula. Selain itu, sifat jual beli mewajibkan agar semua rukun dan syaratnya ditepati dan jelas seperti subject matter, tempoh, nilai, pihak yang bertransaksi dan lain-lain.

Dalam program derma wang pos ini, kebanyakannya tidak diketahui, seperti bila tempoh dapat semula wang, berapa nilainya, siapa pihak di sebelah sana yang sedang berurusan dengannya dan banyak lagi. Hasil dari itu, konsep ta'awun atau banu membantu melalui sistem wang pos piramid ini tergolong dalam kategori yang bermasalah dari sudut rukun jual beli dan juga jatuh dalam kategori riba.

ELEMEN JUDI, GHARAR DAN MAKAN HARTA SECARA BATIL.

Selain dari tergolong dalam kategori riba atau syubhat riba, ia juga mempunyai elemen judi kerana peserta tidak pasti wang yang telah diderma akan mampu membawa pulangan wang yang lebih banyak atau tidak di kemudian hari, namun harapannya sentiasa berkobar untuk mendapat ‘derma' yang lebih banyak. Tatkala itu, definisi judi, spekulasi dan gharar, ketiga-tiganya wujud di dalam permainan ini.

Berdasarkan huraian sahabat besar, Ibn Abbas r.a semasa menghuraikan ayat dari surah An-Nisa:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." ( An-Nisa : 29)

Beliau menafsirkan salah satu dari erti makan harta secara batil, palsu dan tidak sahit adalah

أخذ المال بغير عوض

"mengambil harta tanpa sebarang balasan kerja yang setimpal" (Rujuk Tafsir at-Tabari, Ar-Razi)

Selain itu, terdapat juga athar yang disandarkan kepada Ibn Abbas dimana beliau berkata

"Riba adalah setiap hadiah yang mensyarat pulangan lebih besar dari pemberiannya" (Al-Jami' fi Usul al-Riba)

Imam Fakhruddin Ar-Razi menambah penjelasan di dalam kitab tafsirnya dengan berkata :

أن الربا يقتضي أخذ مال الإنسان من غير عوض، لأن من يبيع الدرهم بالدرهمين يحصل له زيادة درهم من غير عوض

Ertinya : Sesungguhnya riba ia beerti mengambil harta manusia tanpa sebarang timbale kerja atau nilai, sebagaimana seseorang yang menjual satu wang dirham dengan mengambil dua dirham, si penjual memperolehi tambahan satu dirham tanpa sebarang perantara kerja dan nilai tambah (Rujuk Tafsir Al-Kabir dalam tafsir ayat 29 surah An-Nisa)

Maka inilah sifat program derma wang pos, yang jelas jatuh dalam erti mengambil harta orang lain tanpa kerja yang setimpal, pemberian yang setimpal. Program ini amat sama dengan tabiat Riba, iaitu wang dipaksa melahirkan wang yang lain tanpa sebarang perantara aset dan kerja yang menambah nilai kepada ekonomi setempat.

Itu berlaku apabila wang diderma dan mengharap pulangan derma dari yang lain kepadanya. Apakah nilai pertumbuhan yang dihasilkan selain menambahkan ketamakan dan menghilangkan pahala dari sesebuah derma? Bukankah itu sama sahaja dengan sifat riba?, sama seperti meminjamkan wang dan menerima pulangan yang lebih darinya tanpa sebarang kerja yang setimpal dan tiada pula aset yang diniagakan.

Ringkasnya, sistem derma wang pos atas apa juga nama yang digunakan adalah sama seperti sistem piramid yang mengambil keuntungan di atas jumlah orang yang masuk di dalam sistem. Daripada bentuk yang saudara berikan, ia jelas diharamkan oleh sebab, syubhat riba, elemen judi, gharar dan juga makan harta secara batil.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

18 Syawal 1430 H

7 Oktober 2009


Tuesday, December 1, 2009

Berdakwah melalui filem


Sebelum kita pergi kepada dakwah melalui filem, mari kita ketahui dulu apa hukum drama, filem, panggung wayang, dan televisyen.

Setelah membaca 2 fatwa berkenaan hal ini:


Saya dapat menyimpulkan bahawa kesemua drama, filem, panggung wayang dan televisyen boleh menjadi baik dan boleh menjadi buruk bergantung kepada manusia yang menggunakannya, dan tentu sekali bergantung kepada jenis bikinan drama atau filem tersebut juga. Jika drama atau filem porno sudah tentu haram hukumnya.

Jadi, bagaimana mahu menggunakan drama, filem, panggung wayang dan televisyen ke arah kebaikan, tentulah perlu menyemak akan hal-hal berikut sekurang-kurangnya:

  • Tidak beserta maksiat drama atau filem tidak menayangkan apa-apa adegan yang melanggari syarak, seperti aurat wanita, aksi ghairah, keburukan masyarakat dan sebagainya. menonton televisyen dan panggung wayang juga tidak beserta maksiat seperti minum arak, bercampur lelaki perempuan bukan mahram, dan sebagainya.
  • Tidak lalai drama, filem, televisyen, panggung wayang itu tidak melalaikan kita dari mengerjakan perintah Allah s.w.t seperti meninggal solat atau melengahkannya, lagha, lupa pada Allah dan sebagainya.

Saya tertarik dengan jawapan Dr Yusuf al Qardhawi yang menjawab persoalan serupa, menonton televisyen ketika bulan Ramadhan:

"Pihak yang terlibat dengan penyiaran rancangan televisyen hendaklah takut kepada Allah terhadap sebarang program yang akan disiarkan kepada orang ramai, terutamanya pada bulan Ramadan. la bertujuan untuk menghormati bulan yang diberkati ini, menggalakkan manusia taat kepada Allah, di samping menambahkan amalan kebaikan. Sedangkan mereka sendiri tidak berdaya menanggung dosa mereka sendiri, bagaimana pula dengan dosa orang yang menonton televisyen itu?



Firman Allah:

"(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa dengan sepenuh penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahawa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruk dosa yang mereka pikul itu."
An-Nahl: 25

Oleh itu apa peringatan untuk pendakwah-pendakwah yang mahu menggunakan media drama, filem, televisyen dan panggung wayang untuk dijadikan medan dakwah? Saya kira jawapan Ustaz Zaharudin boleh membantu kita serba sedikit. Beliau pernah menulis tentang hukum wanita berdakwah dengan nasyid dengan berpendapat ia adalah haram hukumnya.

Beliau juga menambah dalam tulisannya, " tapi ustaz, inikan alternative untuk mereka yang suka tengok penyanyi wanita yang seksi. Eloklah mereka tengok kami." Mungkin ini sebahagian pertanyaan penyokong kumpulan nasyid wanita.

Jawabnya, benda yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga. Sebagaimana disebut oleh dalil :-

Ertinya :

"Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal) Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor."
(Riwayat Ahmad, 1/387 : Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali sebahagiannya khilaf ; Majma' Az-Zawaid, 10/228 )

Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan penyanyi nasyid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan mahramnya. Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah, TIDAK, Allah tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara haram.

Tiada siapa boleh mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakanya bahawa arak itu buruk.

Nabi SAW bersabda : Ertinya :

"Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya"
(Riwayat Al-Bukhari ) Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan oleh Allah SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan ubat dalam perkara yang diharamkanNya. ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )"

Maka, dapat saya simpulkan :

  • Tidak ada dakwah menggunakan method haram dalam Islam.
  • Jika buat juga benda haram dan disebarkan pada umum, maka dosa melibatkan orang lain dalam perkara haram akan ditanggung oleh kita jua. Maka mahu atau tidak mahu BERDAKWAH MELALUI FILEM atau apa saja media perlulah kita jalankan dengan 100% jalan yang syarie. Tidak ada alasan mahu mengurangkan dosa dengan buat sedikit dosa sebagai alternatif kepada buat banyak dosa.

Jika hal itu diperbolehkan, maka tentulah boleh nasyid-nasyid wanita dihukumkan halal, namun hakikatnya usaha beberapa pihak mahu menghalalkan nasyid wanita gagal membawa apa-apa hujah yang kuat. Jika nasyid wanita pun sudah jadi haram, bagaimana pula filem atau drama yang mempertontonkan aksi wanita buka aurat malah memberahikan atau sangat-sangat jelik tidak beradab berpakaian dengan sempurna? Tak akan mahu dihalalkan jua? Maka bagaimana pula dengan aksi sentuh-menyentuh bukan mahram yang lazim berlaku dalam produksi muslim di negara kita?

Bukan sekadar bersalam, malah usap kulit, peluk-berpeluk, dan cium badan juga dipertayangkan. Lebih parah, aksi itu bukan saja dalam filem atau drama rosak lagi merosakkan, tetapi jua ada dalam filem dan drama yang dicanang-canang sebagai islamik.

Pertama, kes drama Nur Kasih. Saya mengucapkan tahniah pada penulis skripnya yang mengaku drama itu bukan sebagai drama dakwah tetapi drama kekeluargaan. Namun, apa yang menyedihkan, ada para penonton yang menyambutnya dengan girang gembira dan mencanangkannya sebagai drama dakwah. Saya beranggapan peri penting dakwah dalam isu hiburan tanah air yang pertama adalah pada para penonton dan pengguna karya atau produksi hiburan itu.


Sebahagian sedutan drama Nur Kasih

Keduanya, baru pengkarya atau pembikin karya atau produksi hiburan tersebut. Mengapa saya melihat begitu? Jawapannya saya dapat lihat dalam isu drama Nur Kasih ini, walaupun penulis skripnya sudah menyatakan ini bukan drama dakwah, tetapi sikap penonton so called pencinta islam atau iluvislam yang berdegil dan berkeras kepala mahu menganggap juga drama ini sebagai islamik dan drama dakwah menyebabkan betapa sukarnya untuk kita menaikkan fatwa dan saranan ulama di awal entri ini.

Para ulama yang saya letakkan fatwanya itu sudah menyebut filem dan drama ini seumpama pisau maka pisau boleh membunuh , pisau juga boleh bermanfaat memotong barang masakan. Namun, ketahuilah jika sudah ada pisau yang berlumuran darah, pisau sumbing, pisau berkarat yang tak lagi bermanfaat, mahu diguna juga untuk memotong, alamatnya bencanalah bakal menimpa.

Jika sudah terlihat aksi-aksi dan adegan gila 'khinzirun' dalam suatu drama tetapi sengaja mendiamkannya dan memuji-muji lagi karya-karya busuk ini, apa lagi boleh kita harapkan pada penonton? Padahal kita mahu sangat pengkarya-pengkarya yang merogol agama ini hilang hujah apabila karya mereka ditolak atas kerana kedegilan mereka memasukkan aksi pesong dan pincang syariat itu.

Apa akan jadi apabila kita membiarkan anak-anak kita biasa dengan aksi maksiat dalam drama atau filem dengan alasan mesej utama filem atau drama itu sangat baik? Maka akan lahirlah nanti pemuka-pemuka liberalisme dan pluralisme yang akan rasa agama Kristian , Buddha dan Hindu juga adalah baik sebab semua agama itu mengajak kepada kebaikan, walaupun kita semua maklum akidah mereka sesat dan kafir.

Akan lahirlah nanti orang yang pergi haji guna duit gaji menyanyi konsert, balik haji tetap buka aurat dan tabarruj, berpuasa ramadhan sambil tonjol aurat, tak solat fardu tapi solat hari raya dan sebagainya. Ini semua simptom-simptom yang lahir dari kekeliruan antara haq dan batil, apabila bercampur dalam kepala dan hati akan maksiat dan amal soleh, iman dan kafir. Sebab itu penting untuk kita sentiasa menjelaskan kemungkaran yang jelik lagi menjelikkan dalam apa jua drama atau filem walaupun mesejnya baik tetapi kemungkaran itu perlu disedari dan disedarkan, supaya menjadi kebiasaan dan amalan buat hati kita membenci kemungkaran walau terlintas sesaat cuma.

Apa akan jadi apabila kita biasa buat-buat tak terpandang kemungkaran yang berlaku, sengaja bisukan diri, mendiamkan, maka nanti akan lahirlah umat yang berasa tidak apa atau biasa apabila rakan perempuannya ceritakan dia baru bersenggama dengan teman lelakinya, berasa biasa apabila mendengar kawannya minum arak di kelab malam, berasa biasa apabila saudaranya membuka aurat menjolok mata, berasa biasa apabila meninggalkan solat sebab main bola di padang, berasa biasa apabila anak perempuannya bercouple dan lain-lain.

Saya menjelaskan dengan terang bahawa dalam drama Nur Kasih ada kemungkaran itu setakat episod 6 ini:

  • Aksi peluk dan cium yang terang antara bukan mahram.
  • Aksi minum arak sambil memegang botolnya dengan terang.
  • Pembukaan aurat pelakon muslimat yang pada adegan lain boleh ditutup auratnya. (bukti penulis skrip dan pengarah adalah liberal dengan merasa tak berdosa memperlakukan pelakon muslimat kita sebegitu).
  • Aksi bersalam bukan mahram dan menggambarkan watak seorang "ustaz" juga meraikan perlakuan itu. (ada yang menganggap ini suatu adat Melayu, tapi tidak ada seorang dapat buktikan mana-mana adat resam Melayu baik adat Temenggung mahupun Pepatih yang membenarkan bersalam bukan mahram).

Saya merasakan bukan saja dosa-dosa berat bakal ditanggungi oleh penulis skrip, pengarah, penerbit dan sekalian yang terlibat dalam produksi Nur Kasih ini atas perlakuan mungkar mereka, malah gambaran salah kepada fakta dan realiti , sebagai contoh adat bersalam bukan mahram yang tidak ada dalam mana-mana adat resam Melayu cuba untuk diada-adakan padahal semua itu adalah perlakuan moden setelah kedatangan pemikiran liberalisme sejak penjajahan barat.

Kedua, adalah produksi filem Syurga Cinta. Berbeza dengan drama Nur Kasih yang tak diakui sebagai drama dakwah oleh pembikinnya, filem Syurga Cinta diakui sebagai filem dakwah atau disebut juga mengandungi mesej dakwah. Memang tepatlah ulasan Ustaz Zaharudin tentang sikap penasyid wanita atau setidaknya penyokong nasyid wanita yang cuba menghalalkan perlakuan haram mereka sebagai jalan dakwah islam.

Filem Syurga Cinta juga adalah salah satu spesies kaum yang sama dengan kelompok itu, yang tak memahami bahawa Allah tak akan redha kita berdakwah dengan cara haram.

Seperti juga drama Nur Kasih, filem Syurga Cinta juga menonjolkan aksi mungkar :

  • Aksi muslimin meminum arak di kelab malam.
  • Aksi pelukan, geselan bukan mahram.
  • Pembukaan aurat bukan saja buka aurat malah menjolok mata dengan menonjolkan barang tertonjol.
  • Lelaki dan perempuan bukan mahram berbual berdua-duaan sambil nak digambarkan perempuan itu kuat beragama.
  • Menggambarkan seolah-olah Islam menghalalkan "couple" atau hubungan "berkawan lelaki-perempuan sebelum nikah" padahal ia jelas haram. Maka, kita jangan menganggap penulis skrip, pengarah, dan penerbit drama atau filem ini budak kecil yang nak diajarkan tentang asas hukum Islam.

Selain David Teo atau pekerja bukan Islam yang terlibat, para muslimin muslimat ini rata-rata tahu akan hukum Islam yang menyatakan apa itu halal, apa itu haram. Mereka bukan jahil, kerana isi hukum Islam dinyatakan dalam skrip mereka baik drama Nur Kasih mahupun Syurga Cinta. Maka apa yang mungkin berlaku pada mereka adalah racun liberalisme yang menghalalkan beberapa perkara haram dengan meletakkan alasan situasi, keadaan dan keperluan.

Antara racun liberalisme yang saya lihat tertanam dalam iktikad beberapa penggiat seni yang mungkin terjangkit kepada mereka yang lain dalam produksi konon islamik ini :

  • Boleh buka aurat untuk mengelakkan tidak ikhlas menutup aurat.
  • Lebih rela langgar syariat dari menjadi hipokrit dengan melakukan amal soleh padahal hati cintakan maksiat.
  • Boleh bersentuhan bukan mahram untuk menghayati watak supaya mesej yang baik sampai dengan jelas pada penonton.
  • Boleh menayangkan aksi mungkar yang hanya dilakonkan untuk menggambarkan realiti masyarakat.
  • Boleh buat drama atau filem yang mengandungi kemungkaran asal saja mesej ceritanya islamik.

Dan poin nombor lima paling menakutkan bakal tiba Ramadhan nanti dengan drama yang dicanangkan sebagai drama dakwah sebelum mula penggambaran lagi dengan tajuknya Cinta Sempurna.

Setakat yang saya mampu lihat aksi mungkar masih diselitkan sebelum drama ini ditayangkan iaitu :

  • Lagu tema adalah lagu alunan muslimat yang bukan nasyid. Jika nasyid wanita pun dah diharamkan Ustaz Zaharudin, saya yakin Ustaz Zaharudin tidak akan halalkan lagu tema ini, kecuali ustaz yang lain yang liberal. Kita nantikan hujah liberal mereka ini untuk menghalalkan lagu tema drama ini.
  • Aksi buka aurat. Malah penulis skripnya berbangga dengan aksi lakonan buka aurat berasaskan skripnya itu yang dicanang sebagai skrip dakwah, siap bergambar dan letakkan gambar aksi shooting buka aurat itu di blognya. mereka malah memanggil penulis skrip ini ustaz.

Saya berdoa semoga hidayah dicurahkan agar adegan buka aurat ditiadakan. Malah, jika dua poin diatas bertambah dengan poin-poin serupa yang melanda Nur Kasih dan Syurga Cinta, malah dicanang pula sebagai drama dakwah, dan para pencinta Islam a.k.a iluvislam pun menjadi gila bayang menanti-nanti penuh girang gembira drama dakwah ini, berada di bulan Ramadhan penuh berkah diisi dengan penyebaran drama sebegini.

Jelas ingatan Dr. Yusuf al Qardhawi patut diambil kira sekali lagi buat mereka yang terlibat secara langsung atau tak langsung dalam menyiapkan, mempromosi, dan menayangkannya, dengan ingatan,

"Pihak yang terlibat dengan penyiaran rancangan televisyen hendaklah takut kepada Allah terhadap sebarang program yang akan disiarkan kepada orang ramai, terutamanya pada bulan Ramadan. la bertujuan untuk menghormati bulan yang diberkati ini, menggalakkan manusia taat kepada Allah, di samping menambahkan amalan kebaikan. Sedangkan mereka sendiri tidak berdaya menanggung dosa mereka sendiri, bagaimana pula dengan dosa orang yang menonton televisyen itu?"

Hampir saya terlupa, ada yang menyatakan kelemahan mukmin sejati menghasilkan drama atau filem menarik adalah kerana mukmin sejati tidak hebat sinematografinya seperti hebatnya sinematografi Nur Kasih. Mereka lupa filem Children of Heaven itu apa standard sinematografinya? Namun masih ia filem yang diakui hebat oleh banyak pesta filem antarabangsa malah penerimaan penonton pelbagai lapisan di seluruh dunia.

Sekarang anda mahu menafikan lagi, semua orang lebih suka mesej yang jelas akan makruf dan filem bersih tanpa aksi curang, pincang, pesong, melekit dan jelik-pelik lebih dari apa jua sudut sampingan sinematografi dan segala macam bagai.

Editor : doraemong13
Disalin oleh : Norsuhana binti Samsudin

Syabab


Lelaki idaman saya
adalah seorang lelaki yg beriman yang hatinya disalut rasa taqwa kepada ALLAH
yg jiwanya penuh penghayatan terhadap ISLAM
yg sentiasa dahaga dengan pahala
yg solatnya adalah maruah dirinya
yg tidak pernah takut untuk berkata benar
yg tidak pernah gentar melawan hawa nafsu
yg sentiasa bersama kumpulan orang2 yg berjuang di jalan ALLAH

Lelaki idaman saya
adalah lelaki yg menjaga tutur katanya
yg tidak pernah menitiskan airmata saya
yg tidak pernah bermegah dengan ilmu
yg dimilikinya yg tidak bermagah dengan harta dunia yg dicarinya
yg sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yg penyayang
yg m'punyai ramai kawan&tidak m'punyai musuh yg b'sifat jembalang

Lelaki idaman saya
adalah lelaki yg menghormati ibunya
yg sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarganya
yg bakal menjaga kerukunan rumahtangga
yg akan mendidik isteri dan anak2 mendalami ISLAM
yg mengamalkan hidup penuh kesederhanaan kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat

Lelaki idaman saya
sentiasa bersedia menjadi imam yg hidup di bawah naungan al-Quran&mencontohi sifat RASULULLAH
yg boleh diajak berbincang dan berbicara
yg menjaga matanya dari berbelanja
yg sujudnya penuh kesyukuran dgn rahmat ALLAH keatasnya

Lelaki idaman saya
tidak pernah membazirkan masa matanya kepenatan kerana penat membaca
suaranya lesu dengan cahaya keimanan
bangun subuhnya penuh kecergasan kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Lelaki idaman saya
sentiasa mengingati mati
yg baginya di dunia adalah ladang akhirat yg mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga
agar berputik tunas bakal menjadi baja yg baik meneruskan perjuangan ISLAM
sebelum hari kemudian

Lelaki idaman saya
adalah lelaki yg tidak terpesona dgn buaian dunia
kerana dia mengimpikan syurga
di situlah rumah idamannya
dan dia ingin membawa saya bersama

Bukan ku cari ketampanan wajahmu
Tapi hanya kejernihan cahaya keimanan di wajahmu
Bukan ku cari kedudukan dan darjatmu
Tapi hanya kesederhaanmu
Bukan ku cari kekayaan hartamu
Tapi hanya kekayaan budi pekertimu
Oh sayang…sesungguhnya
Ketakwaan dirimu itulah yang merantai jiwaku…

Disalin semula oleh : Norsuhana binti samsudin

Kesempatan dan Pilihan


Ketika kita bertemu orang yang tepat untuk dicintai, ketika kita berada di tempat pada waktu yang tepat, itulah KESEMPATAN.


Ketika kita bertemu dengan seseorang yang membuat kita tertarik, itu bukan PILIHAN, itu KESEMPATAN. Bertemu dalam satu peristiwa bukanlah pilihan, itu juga adalah KESEMPATAN.


Bila kita memutuskan untuk mencintai orang tersebut, malah dengan segala kekurangannya, itu bukan KESEMPATAN, itu adalah PILIHAN. Ketika kita memilih bersama dengan seseorang walau apapun yang terjadi, itu adalah PILIHAN. Bahkan ketika kita menyedari bahawa masih ramai orang lain yang lebih menarik, lebih pandai, lebih kaya daripada pasangan kita, dan kita tetap memilih untuk mencintainya, itulah PILIHAN!


Perasaan cinta, simpatik, tertarik, datang bagai kesempatan kepada kita. Tetapi cinta sejati yang abadi adalah pilihan. Pilihan yang kita lakukan.


Berbicara tentang pasangan jiwa, ada satu ungkapan yang mungkin tepat; ''Nasib membawa kita bersama, tetapi tetap bergantung kepada kita bagaimana membuat semuanya berhasil.''


Pasangan jiwa mungkin benar-benar ada. Dan bahkan sangat mungkin ada seseorang yang diciptakan untuk kita. Tetapi tetap terpulang kepada kita untuk membuat pilihan apakah kita ingin melakukan sesuatu untuk mendapatkannya, atau tidak...


Kita mungkin kebetulan bertemu pasangan jiwa kita, tetapi mencintai dan tetap bersama pasangan jiwa kita, adalah pilihan yang harus kita lakukan. Kita ada di dunia bukan untuk mencari seseorang yang sempurna untuk dicintai, tetapi untuk belajar mencintai orang yang tidak sempurna dengan cara yang sempurna...


Disalin oleh : Norsuhana binti Samsudin

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

About

MUSAFIR ILMU Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers